Wednesday 26 October 2011

Dianggarkan Tujuh Orang Bunuh Diri Setiap Hari di Malaysia



KUALA PENYU: Dianggarkan seramai tujuh orang membunuh diri setiap hari dan lebih kurang 140 orang melakukan percubaan membunuh diri setiap hari di negara ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Haji Ukin, berkata walaupun jumlah itu dianggap kecil tetapi ianya menunjukkan lebih kurang 11 peratus daripada populasi penduduk Malaysia mengalami penyakit mental.

“ Peratusan ini mungkin lebih tinggi dari apa yang dilaporkan di mana sekitar 5 hingga 10 peratus penduduk dalam komuniti memerlukan bantuan dalam menangani kemurungan pada satu-satu masa bagi menangani kes ini,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri di Dewan Masyarakat Dato Shah Bandar Makang di sini Sabtu lepas.

Hadir sama Wakil Rakyat Kuala Penyu, John Teo Mau Sing, Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmond Teo, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Bahagian Kesihatan Awam, Dr. Haji Jamil Muhi dan Pegawai Kesihatan Kawasan Beaufort, Dr. Tasin Kamarul Jamal.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort, berkata masalah penyakit mental walaupun tidak serius namun membimbangkan kerana akan memberi kesan kepada produktiviti dan ekonomi negara serta kos perubatan dan rawatan yang tinggi.

Sehubungan dengan itu, katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO ) telah mencadangkan empat strategi utama untuk mengurangkan jurang perbezaan antara sumber dan keperluan untuk perawatan penyakit mental.

Strategi itu ialah, menambah dan membaik pulih maklumat mengenai kesihatan dan penyakit mental yang digunakan untuk merancang sebarang pelan perawatan dan perkhidmatan; memupuk kesedaran tentang penyakit mental melalui promosi; perkongsian maklumat dan advokasi untuk rasa hormat yang lebih kepada hak asasi manusia dan mengurangkan stigma.

Lajim berkata, usaha menyediakan polisi dan membentuk perkhidmatan yang lebih berkesan dalam menangani penyakit mental ini juga diperlukan dengan membina kapasiti setempat untuk kajian kesihatan mental di negara- negara miskin.

Lajim juga meminta semua pihak supaya berganding bahu, menggembleng tenaga untuk menyumbang kepada pencegahan penyakit mental di negara ini.

Credit to: New Sabah Times

No comments:

Post a Comment