Tuesday 18 October 2011

JAKIM CADANG KARNIVAL HIBURAN CONTOH (BEST) BUAT ELOK SAHAJA TAU...



2011/10/18

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan karnival hiburan bagi memberi contoh kepada penganjur mengenai tatacara yang harus dipatuhi ketika menganjurkan karnival sedemikian.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata, menerusi karnival terbabit, JAKIM akan menyebarkan maklumat mengenai garis panduan yang wajar dipatuhi penganjur.
“Ia hanya garis panduan saja dan bukannya wajib diikuti, tetapi melalui karnival itu, JAKIM akan memberi nasihat dan panduan yang sewajarnya diikuti semua yang terbabit dalam penganjuran karnival hiburan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku 'Koleksi Doa Imam Masjid Negara' terbitan Masjid Negara dan Karnival BEST (Buat Elok Saja Tau), di sini semalam.
Othman berkata, karnival hiburan yang bakal dianjur JAKIM itu menyamai Karnival BEST yang akan berlangsung selama tiga hari di Laman 1Malaysia, Putrajaya, bermula 28 Oktober ini.

“Kami akan menunjukkan bagaimana seharusnya penganjur karnival hiburan membuat karnival hiburan.

“Tidak salah menganjurkan karnival hiburan tetapi ia perlu cara yang sesuai dan sewajarnya,” katanya, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil inisiatif berterusan mengadakan kempen ‘Pencegahan Arak dan Pengenalan Simbol Anti Arak’ peringkat negeri Selangor bagi membendung masalah ini daripada terus merebak pada peringkat akar umbi.

Beliau berkata, kempen bermula semalam bakal dijadikan aktiviti berterusan JAIS dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau setiap masa di semua tempat termasuk membabitkan pemandu dan pengguna jalan raya. 

“Ada umat Islam terutama di pinggir bandar, sudah mula minum arak tanpa pengawalan ketat dan ini merisaukan kami. Sebab itu langkah awal dilakukan dengan mendidik masyarakat untuk sedar implikasi dan kesan buruk pengambilan arak. 

“JAIS juga mahu rakyat pelbagai kaum dan fahaman agama mengelak mengambil arak kerana ia boleh menyebabkan kemalangan terutama ketika memandu, selain punca tindakan jenayah dan maksiat seperti membunuh, berjudi, berzina, malah pergaduhan dan keretakan rumah tangga,” katanya selepas melancarkan kempen di Plaza Tol Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Bandar Sunway di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment