Sunday, 22 December 2013

Persaudaraan tak boleh bermotif kepentingan diri

Abu Idris al-Khawlani berkata: “Saya masuk ke dalam Masjid Damsyik, saya dapati seorang pemuda yang suka senyum, sedang dikelilingi orang ramai. Jika orang itu berselisih pendapat berkenaan sesuatu perkara, mereka menyerahkan persoalan itu kepadanya. Mereka kemudian menghuraikan pendapatnya. Saya kemudian bertanya siapa pemuda itu, jawab seorang lelaki, “dialah Muza Jabal.” 

Esoknya, awal pagi lagi saya ke masjid tetapi saya dapati Muaz datang lebih awal. Saya nampak beliau sedang solat. Saya menanti sehingga beliau selesai dan menemui dari arah depannya.


Saya mengucapkan salam dan berkata: “Demi Allah, percayalah saya ini mengasihi saudara kerana Allah. Muaz bertanya: Kerana Allahkah? Saya jawab: Ya, kerana Allah.” 


Muaz lalu memegang selendang saya, kemudian menarik badan saya kepadanya dan berkata: “Bergembiralah saudara. Percayalah, saya mendengar Nabi Muhammad bersabda: Allah yang Maha Suci berkata, pasti Aku akan mengasihi orang yang saling mengasihi kerana Aku, duduk bersama kerana Aku, saling menziarahi kerana Aku dan saling menghadiah kerana Aku.” (Riwayat Malik) 

Umat Islam perlu mengasihi sesama mereka kerana Allah SWT bukan disebabkan faktor tertentu atau untuk kepentingan diri. Apabila kita mengasihi saudara kerana Allah SWT, maka perasaan itu akan mendorong kita melayan mereka dengan sebaiknya. 

Amat mendukacitakan jika persaudaraan bermotifkan kepentingan diri kerana apa yang dilakukan tidak berdasarkan keikhlasan. Oleh itu, jika sahabat tadi tidak mampu membantu, mereka tidak teragak-agak memutuskan persaudaraan. 

Kasih sayang yang terbina atas asas mendapat rahmat Allah SWT menjadikan umat Islam bersedia merasai kesusahan dialami saudara mereka. Justeru, apabila ada yang diuji dengan bencana, pasti ramai bersedia menghulurkan bantuan. 
Hanya mereka yang mengasihi saudaranya kerana Allah SWT dapat merasai nikmat serta kebahagiaan apabila berada bersama saudaranya. Bertuahnya mereka yang mengasihi kerana Allah SWT, mereka juga dikasihi Allah SWT.

No comments:

Post a Comment