Thursday 12 December 2013

Kedudukan tinggi ibu dan bapa

SABAN hari, banyak kes melibatkan anak dan ibu bapa disiarkan di dada akhbar. Sebelum ini negara digemparkan dengan kes anak memukul, mencuri harta ibu bapa,. Bahkan ada yang membunuh ibu bapa sendiri. 

Sukar dibayangkan seorang anak yang dahulu kecil tidak berdaya, dibesar dan didik oleh ibu bapa, akhirnya sanggup melakukan perbuatan yang keji terhadap mereka.

Islam amat meninggikan kedudukan ibu bapa sehingga perintah menghormati mereka tercatat di dalam al-Quran al-Karim sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman:14)

Islam menyuruh umatnya menghormati ibu bapa yang telah bersusah payah membesarkan mereka dari kecil sehinggalah dewasa. Hendaklah seorang anak itu menjaga tutur kata dengan ibu bapa.

Malah mengeluh dengan mengatakan œah€! sahaja tidak dibenarkan, apatah lagi meninggikan suara atau menengking mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (al-Isra€™: 23)


Dimuliakan


Demikianlah tingginya kedudukan ibu bapa di sisi Islam. Merekalah yang perlu dimuliakan selepas Allah dan Rasul-Nya. Jika mereka menyuruh untuk menyekutukan Allah SWT, maka tidak perlu taat kepada perintah mereka lagi, namun Islam masih menyuruh berbuat baik kepada mereka.

Firman Allah SWT: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. (Luqman: 25)

Kedudukan ibu tiga kali ganda lebih utama daripada ayah. Ini sesuai dengan pengorbanan seorang ibu menanggung kesusahan mengandung dan melahirkan seorang anak. 


Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang lelaki tentang kepada siapakah yang paling berhak dia berbakti. Baginda menjawab kepada ibu sehingga tiga kali kemudian yang keempatnya barulah kepada ayah. (riwayat Al-Bukhari)


HARAM menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa selagi mereka tidak menyuruh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam. Menderhaka kepada mereka termasuk dalam dosa-dosa besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kalian derhaka kepada ibu bapa. (riwayat Muslim no. 593)

Daripada Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: Mahukah kalian aku beritahu tentang dosa yang paling besar? Para sahabat menjawab, Ya. Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, membunuh orang dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa. (riwayat Al-Bukhari)

Antara perbuatan yang dilarang ialah mencela atau mengejek ibu bapa orang lain. Ini sering terjadi dalam kalangan remaja terutama yang masih bersekolah. Mencela atau mengejek ibu bapa orang lain dianggap sama seperti mencela ibu bapa kandung mereka sendiri.

Baginda melarang perbuatan seperti ini kerana akan membawa kepada tabiat yang buruk dan tiada berkesudahan. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda: Di antara dosa besar adalah seorang mencela kedua orang tuanya. Para sahabat bertanya, Wahai Rasulullah, Adakah seorang lelaki mencela orang tuanya? Beliau menjawab: Ya. Dia mencela bapa seseorang lalu orang tersebut (membalas) mencela bapanya, lalu dia mencela ibunya, lalu orang tersebut (membalas) mencela ibunya. (riwayat Muslim)

Umat Islam hendaklah menekankan didikan terhadap anak mereka mengenai adab terhadap ibu bapa sejak kecil lagi. Masalah derhaka kepada ibu bapa bukanlah sesuatu yang remeh. Sebaliknya ia hendaklah dibendung dengan menekankan aspek keagamaan seawal yang mungkin. Wallahua'a€™lam.



Credit: MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR

No comments:

Post a Comment