Wednesday, 4 December 2013

Melancong bersyariat

PADA saat ini kita telah memasuki musim percutian. Saya pasti ramai yang telah ataupun tengah mempertimbangkan untuk keluar melancong bersama keluarga.

Seiring ekonomi yang membaik, minat melancong juga turut berkembang. Selain destinasi pelancongan negara, umat Islam ramai juga memilih bercuti ke luar negara.

Sebuah kajian tentang pasaran pelancongan global pada 2011 menunjukkan bahawa umat Islam membelanjakan USD126,076 juta untuk melancong. Dijangkakan jumlah ini terus bertambah dari tahun ke tahun.

Dengan aliran dana sebesar ini, pelancong Muslim sebenarnya memiliki kuasa tuntut yang tinggi. Sangat wajar jika meminta perkhidmatan yang patuh syariah. Dan kita tidak patut berasa takut menunjukkan identiti keislaman kita yang menjadikan takwa sebagai panduan.

Sebagaimana sabda Rasulullah: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada.” (riwayat al-Tirmizi)

Hukum melancong pada asalnya ialah harus. Namun ia boleh menjadi haram apabila aktiviti dan destinasi perlancongan itu berkaitan dengan perkara yang diharamkan. Tempat-tempat yang terkenal dengan aktiviti haram seperti judi, arak dan zina tidak patut dijadikan destinasi pelancongan Muslim.

Hukum percutian boleh menjadi sunat apabila aktiviti ini dapat meningkatkan iman.

Misalnya apabila pelancongan itu membawa kita untuk bertafakur tentang kekuasaan Allah SWT, memberi keinsafan dan pengajaran daripada umat-umat terdahulu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang berdosa itu. (al-Naml: 69)

Percutian juga bernilai pahala apabila dijadikan medium untuk menjalin kasih sayang suami-isteri atau mengeratkan tali silaturahim antara ahli keluarga.

Justeru, program percutian sedapat mungkin dirancang bukan untuk keseronokan belaka, akan tetapi untuk mencapai salah satu daripada objektif seperti di atas.


Memilih destinasi


Apabila memilih destinasi pelancongan, alangkah baiknya kita pastikan terlebih dahulu beberapa perkara untuk menjamin keselesaan bercuti keluarga Muslim.

Antara kemudahan yang mesti ada ialah khidmat makanan halal. Perkara ini sangat penting untuk dipastikan sebab makanan halal merupakan satu aspek terpenting dalam Islam.

Seorang Muslim tidak boleh memakan makanan haram melainkan apabila darurat. Dan tiada darurat dalam satu pelancongan yang bebas kita pilih destinasi dan pakej aktivitinya.

Lagi pula, pada hari ini makanan halal sangat mudah diperoleh di pelbagai belahan dunia.

Bukan hanya di negara-negara Islam, malah makanan halal dapat ditemukan di negera-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam seperti di Britain, Austria, Jerman dan lain-lain.

Selain itu, kita wajib memastikan tempat percutian tersebut menyediakan fasiliti ibadah yang selesa, terutamanya wuduk dan solat. Sebab solat tetap wajib dilaksanakan meskipun seorang Muslim sedang dalam melancong. Seorang musafir hanya diberikan keringanan jamak dan qasar solat, bukan menggugurkan kewajiban solat sama sekali.

Tidak disyaratkan destinasi pelancongan itu menyediakan tandas yang menyediakan air untuk beristinja. Sebab tisu kertas boleh digunakan sebagai ganti.

Namun jika ada kemudahan ini di sebuah destinasi pelancongan, ia menjadi satu nilai tambah yang sangat disukai.

Semua ini hanya beberapa hukum-hakam berkaitan pelancongan Muslim.



Credit: 
UMAR MUHAMMAD NOOR

No comments:

Post a Comment