Tuesday, 24 December 2013

Hak persaudaraan wajib ditunai umat Islam

Sifat tolong-menolong dapat pelihara ummah daripada ditimpa malang, bahaya.

Salah satu sifat utama yang mencerminkan keperibadian Muslim sejati, di samping memperkukuhkan tali persaudaraan sesama Islam ialah tolong-menolong. Allah SWT sendiri amat menganjurkan umat Islam menghiaskan diri dengan sifat tolong-menolong dalam kehidupan seharian. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Maidah, ayat 2).


Sepanjang kehidupan manusia, terhampar pelbagai kesulitan dan kesukaran yang menguji ketahanan serta keperibadian diri. Walaupun begitu, seorang manusia selamanya tidak mampu untuk bertahan keseorangan menghadapi segala bentuk kepayahan dan kesulitan yang merintangi dirinya. 

Oleh sebab itulah, dia amat memerlukan pertolongan rakannya. Maka, benarlah pepatah Arab yang menyatakan: “Seorang itu amat sedikit (tenaga kekuatannya) apabila berseorangan, dan akan menjadi bertambah banyak jika dia berada bersama-sama saudaranya.” 


Tak mengira masa 

Hak persaudaraan yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim terhadap saudaranya ialah hendaklah dia menolong saudaranya baik masa senang atau susah, pada setiap saat dan ketika. Barangkali inilah maksud yang cuba diungkapkan Rasulullah SAW dalam sabda: “Ibarat seorang Mukmin terhadap Mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan yang setengah bahagiannya menegakkan bahagian yang lain.” (Riwayat Bukhari) 


Justeru, persaudaraan Islam yang tulen adalah satu nikmat Ilahi yang tiada ternilai. Sehubungan itu, seorang Muslim wajib bersama saudaranya untuk mempertahankan kebenaran Islam dalam apa juga keadaan, menunjuk jalan kepadanya jika dia tersesat dan mencegahnya jika dia terlajak. 

Sabda Rasulullah SAW: “Tolonglah saudaramu sama ada dia seorang penganiaya ataupun yang kena aniaya! Jawab sahabat: Menolongnya sewaktu dia teraniaya, fahamlah kami, maka bagaimana mungkin pula menolongnya bila dia yang menganiayai? Ujar Rasulullah: Kamu mencegahnya daripada perbuatan aniaya itulah erti kamu telah menolongnya.” (Riwayat Bukhari) 


Peranan Muslim 

Selain itu, setiap Muslim wajib menolong saudara semuslim berdasarkan kemampuan yang sedia ada. Jika dia seorang pemimpin yang berkuasa, maka dia berkewajipan menolong rakyat dengan mengembalikan hak mereka dan menyediakan keperluan asas kehidupan rakyatnya. 

Kuasa adalah satu amanah Allah SWT yang cukup berat pada bahu seseorang pemimpin. Jika dia melaksanakan amanah dengan ikhlas dan baik, insya Allah dia akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. 

Sebaliknya jika dia cuai memikul amanah itu dan dijadikan alat untuk mencari kekayaan serta menambah koleksi harta peribadinya, bukannya untuk menolong rakyat, maka dia hanya menempah tempat dalam api neraka. 

Seorang Muslim yang berada dan kaya pula, maka dia berkewajipan membantu saudaranya dari sudut kewangan. Sudah menjadi sunnatullah ada yang kaya dan ada pula yang miskin. 

Alangkah baiknya harta orang kaya dinafkahkan kepada orang memerlukan terutama fakir miskin, pesakit kronik yang memerlukan dana perbelanjaan untuk menanggung kos pembedahan, ibu tunggal, anak yatim dan mangsa musibah. 

Perlu ditegaskan bahawa amalan menafkahkan harta pada jalan Allah SWT bukan hanya terhad kepada membelanjakan hartanya pada jihad dan perjuangan menegakkan Islam, malah ia turut mencakupi amalan berzakat, bersedekah, menderma dan menumbang untuk maslahah umum. 


Berdasar kemampuan, daya 

Selain itu, ulama atau guru pula boleh membantu umatnya dengan sumbangan ilmu yang berharga. Seorang yang sihat dan gagah perkasa boleh menolong saudaranya dengan meringankan beban yang ditanggungnya. 

Pendek kata, setiap Muslim boleh menolong saudara berdasarkan kemampuan dan daya upaya yang ada padanya. Sifat tolong-menolong inilah yang menjadi asas keperibadian Muslim sebenar dan tonggak utama yang menegakkan binaan persaudaraan Islam. 

Rasulullah SAW bersabda: “Budi kebajikan (tolong menolong) itu akan memelihara seseorang daripada ditimpa malang dan bahaya yang mendatang, bersedekah (membantu meringankan beban saudaranya) dalam keadaan sulit atau tersembunyi daripada pengetahuan umum akan menghapuskan kemurkaan Tuhan, dan menjalinkan atau mengeratkan tali silaturahim (dengan sifat tolong menolong) akan melanjutkan usia seseorang.” (Riwayat Tabrani).



Credit: Dr. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

No comments:

Post a Comment