Friday, 13 December 2013

Bencana alam sebagai ujian, pengajaran Allah

Allah SWT telah menciptakan alam semesta dengan begitu seimbang dan tersusun untuk keselesaan umat manusia. Keseimbangan ini adalah kurniaan nikmat daripada Allah SWT yang perlu dijaga dan dikawal selia dengan baik. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu sekali-kali tidak akan dapat melihat pada ciptaan Tuhan sesuatu yang tidak seimbang. Maka Lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itupun dalam keadaan payah. (Surah Al-Mulk, ayat 3-4)


Demikianlah Allah SWT menunjukkan kehebatan-Nya melalui pancaindera yang dianugerahkan kepada manusia. Mereka hidup dengan keriangan dan kegembiraan di atas segala keamanan dan kestabilan itu. 


Namun, bahagia dan derita adalah lumrah kehidupan kerana dunia sifatnya adalah sementara. Kesenangan dan keselesaan tidak akan sentiasa menemani kita, sebaliknya kesusahan dan penderitaan akan menjenguk buat seketika supaya manusia tidak terleka dibuai kesenangan. 

Justeru, dengan nikmat yang dirasai atau ujian terpaksa ditempuhi akan lahirlah jiwa yang suci dan terserlah siapakah hamba Allah SWT benar-benar diredai. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dialah yang menghidup dan mematikan sebagai ujian siapakah di antara mereka yang baik amalannya. (Surah Al-Mulk, ayat 2) 

Fenomena banjir yang melanda sebahagian negara sekarang adalah ujian terhadap kesenangan dirasai sekian lama. Ia juga dianggap sebagai ujian, gambaran, pengajaran serta pembersihan dosa bagi hamba-Nya. 
Sikap prihatin 

Bukan saja untuk mereka yang ditimpa bencana, bahkan kepada yang terselamat untuk melihat sejauh manakah keprihatinan terhadap saudara seagama yang menerima musibah. 

Kita membaca kisah banjir yang menimpa kaum Nabi Nuh, azab kaum Nabi Hud, kaum Nabi Soleh, kaum Nabi Lut, penduduk Madyan, Ashabul Aykah dan lain-lain tanpa melihat sendiri hakikat kejadian yang berlaku. 

Oleh itu, Allah SWT menciptakan fenomena ini supaya kita mendapat sedikit gambaran mengenai kemusnahan terdahulu, manakala pengajaran pula ialah berkaitan kemurkaan Allah SWT terhadap hambanya yang alpa. 

Ujian adalah fokus utama dalam menilai fenomena banjir yang berlaku kerana Allah SWT akan sentiasa melihat kualiti kesabaran hambaNya atas segala kesulitan yang berlaku. Sebenarnya Allah SWT ingin melebarkan pelbagai ganjaran dan balasan kepada orang bersabar. 

Melalui sifat sabar akan membentuk jiwa yang kuat serta mental berani menghadapi segala cabaran dan peristiwa yang boleh mengganggu gugat keimanan kepada Allah SWT. Mereka juga akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab. (Surah az-Zumar, ayat 10) 

Baginda SAW bersabda dalam hadis qudsi: Allah telah berfirman: Sekiranya Aku menguji salah seorang daripada hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas penderitaan itu, maka ia akan bangun dari tempat pembaringannya, bagaikan seorang anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih dari dosa lalu Allah SWT akan memerintahkan malaikat pencatat amal untuk mencatat pahala baginya. (Riwayat Ahmad) 

Sabar kunci kejayaan 

Kesabaran adalah kunci kepada semua kejayaan sama ada di dunia mahupun akhirat. Di sinilah bermulanya penilaian Allah SWT terhadap hambanya. 

Berkata Abu Umamah melalui sebuah hadis qudsi, Nabi SAW bersabda: Allah telah berfirman: Wahai malaikat, pergilah kepada hamba-Ku, dan timpakan ke atasnya ujian. Maka malaikat pun menimpakan ujian ke atasnya dan orang itu memuji Allah. Malaikat lalu kembali mengatakan: Wahai Tuhan kami! Kami telah menimpakan atasnya seperti mana yang Engkau perintahkan. Berfirman Tuhan: Kembali semula kepadanya, Aku ingin mendengar apakah jawapan daripadanya. (Riwayat Tabrani) 

Seterusnya, pembersihan terhadap dosa mereka akan terlaksana. Saidatina Aishah menyebut, Rasulullah SAW bersabda: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

Tugas seorang Muslim 

Ujian bagi mereka yang terselamat daripada bencana ialah sejauh manakah tindakan dan tanggungjawab seorang Muslim terhadap saudaranya yang ditimpa musibah. Allah SWT menganjurkan umatnya saling membantu sebagai tuntutan hak antara sesama Islam dan Allah SWT tidak akan mensia-siakan segala amalan mereka. 

Amalan kebajikan juga akan menghubungkan silaturahim yang membawa pelbagai keberkatan. Daripada Amru bin Auf, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk (suul khatimah) dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya). (Riwayat Bukhari) 

Alam semesta adalah simbol kepada jiwa manusia. Jika jiwa mereka tenang, damai, khusyuk dan dekat dengan Allah SWT, maka alam semesta juga akan mengambil tindakan sama. Namun, jika jiwa selalu memberontak, protes, mengeluh, maksiat berleluasa dan jauh dari Allah, maka alam semesta akan sering goyah kerana alam semesta juga bekerja sesuai dengan kehendak Allah SWT. 

Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus serta mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan.


 Credit: Zamanuddin Jusoh

No comments:

Post a Comment