Wednesday, 31 December 2014

QZ8501: NOTA "I LOVE YOU FROM 38000 FT

 
GAMBAR yang dimuat naik di rangkaian media sosial yang tertera "I Love You From 38000 ft' oleh pramugari pesawat AirAsia Indonesia. - Foto ihsan http://news.detik.com/

JAKARTA: Kisah seorang pramugari pesawat AirAsia Indonesia yang memuat naik gambar di rangkaian media sosial yang tertera tulisan "I Love You From 38000 ft', amat menyentuh perasaan.

Detik.com dalam laporannya hari ini berkata, salah seorang kru pesawat QZ8501 yang terputus hubungan Ahad lalu adalah pramugari Khairunisa Haidar Fauzi, 22, yang cukup aktif di media sosial.

Laporan itu berkata, pramugari yang lebih selesa dipanggil Nisa ini kerap menjadikan Instagram sebagai salah satu media sosial untuk memuat naik banyak gambar mengenai foto kegiatan hariannya.

"Setelah hilangnya AirAsia QZ8501, salah satu gambar dari Instagram Nisa yang banyak tersebar di media sosial ialah gambar yang dimuat naik dua dua minggu lalu.

"Foto berkenaan menampilkan sehelai kertas yang ditampalkan di tingkap pesawat. Di kertas berwarna coklat itulah terdapat tulisan tangan Nisa 'I LOVE YOU FROM 38000 ft' (Saya sayang anda dari 38,000 kaki) dengan berlatar belakangkan ada pemandangan sayap pesawat yang berada di atas awan," kata laporan itu.

Dipercayai gambar berkenaan itu diambil ketika Nisa sedang bertugas sebagai pramugari di AirAsia.

"Nisa juga membuat keterangan pada gambar iaitu: 'Yes! I love you :x #love #caption #wings #aircraft'," kata Detik.com.

Setelah QZ8501 dilaporkan hilang, ratusan komen ditulis pengguna Instagram dengan kebanyakan menyatakan perasaan sedih, malah ada juga yang berharap Nisa boleh membaca semua komen berkenaan.

Susulan itu, keluarga pramugari berkenaan agar Nisa terselamat dalam kejadian yang menimpa pesawat QZ8501 yang terputus hubungan ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura, Ahad lalu.

Ayahnya, Haidar sangat berharap anak perempuannya itu dapat ditemui dengan selamat.

"Harapan semoga Nisa mampu ditemui dengan selamat," kata Haidar di kediamannya Jl Pipa Nomor, Kelurahan Pipa Reja, Kemuning, Palembang, semalam.

Nisa menjadi pramugari AirAsia sejak 2013. Dia adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan lahir di Palembang pada 11 Mei 1992.

Kali terakhir Nisa menghubungi keluarganya adalah pada malam sebelum dia bertugas pada penerbangan pertama dari Surabaya menerusi pesawat QZ8501 pada jam 5.35 waktu tempatan. - Detik.com




Pramugari Khairunisa Haidar Fauzi (kanan) bersama rakan kru pesawat QZ8501 yang terputus hubungan Ahad lalu. - Foto ihsan http://news.detik.com/

Sunday, 28 December 2014

Sesi persekolahan negara ditangguh seminggu

Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin

SEPERTIMANA semua pihak sedia maklum bahawa banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.

Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.

Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa kementerian dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu.

Dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad).

Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin). Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambilkira;

a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan

b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.

Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.


Terima kasih.


Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan
29 Disember 2014

Tuesday, 23 December 2014

Adab terima khabar berita

perkembangan komputer
Sikap bertaklid buta membuatkan seseorang sentiasa dalam kejahilan

ZAMAN semakin hari semakin pesat membangun. Pelbagai perubahan demi perubahan telah dikecapi baik daripada sudut pembangunan, kehidupan, teknologi dan sebagainya.

Seiring dengan kemajuan teknologi, maka maklumat juga semakin hari semakin mudah didapati dan dicapai. Semuanya di hujung jari sahaja dengan capaian internet.                  

Hari ini, maklumat tersebar dengan begitu pantas sekali. Tambahan pula dengan fenomena laman sosial seperti facebook, twitter, instagram, whatssapp dan sebagainya, apa jua berita dapat tersebar dalam masa beberapa saat sahaja ke seluruh pelosok dunia! Jika ia digunakan dengan kebaikan sudah pasti banyak manfaat yang diperoleh.

Namun, risiko tersebarnya keburukan juga terbuka luas bahkan kerosakan berskala besar boleh terjadi dengan sekelip mata jika tidak cermat menggunakannya.

Hari ini manusia mudah sekali menyebar fitnah, aib dan keburukan orang lain melalui laman sosial hingga ia menjadi viral, diketahui semua orang. Bukan itu sahaja, sikap sebahagian masyarakat yang begitu mudah menyebarluaskan sesuatu berita yang diterimanya menjadi punca besar dalam masalah ini.

Butang share ditekan begitu mudah tanpa memikirkan kesan dan akibat yang akan terjadi selepas itu. Sikap inilah yang perlu dikaji dan diperbaiki oleh masyarakat kita agar lebih berhati-hati dan bijaksana dalam menerima maklumat. Islam telah lama meletakkan garis panduan dalam permasalahan ini.

Kita diajar supaya mengkaji kesahihan sesuatu berita yang datang sebelum ia diterima, dipercayai dan disebarkan. Sikap bertaklid buta iaitu terus mempercayai begitu sahaja tanpa mengkaji terlebih dahulu menyebabkan seseorang itu terus menerus berada dalam kejahilan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)

Lihatlah betapa jelasnya perintah Allah SWT ini. Sikap inilah yang perlu ada dalam setiap diri setiap orang Islam supaya sentiasa berhati-hati dan menyemak kebenaran sesebuah berita yang dijumpai. Jika tidak, boleh jadi berita itu tidak benar atau fitnah semata hingga membawa kepada pertumpahan darah, pergaduhan dan permusuhan. Disebabkan kejahilan kita kerosakan yang besar terjadi. 

Perkataan orang fasik di dalam ayat al-Quran di atas bukanlah bermaksud orang yang diketahui selalu menipu semata-mata, bahkan menurut ulama tafsir al-Quran ia juga merujuk kepada orang yang tidak dikenali siapa dirinya (majhul ‘ain) ataupun orang yang dikhuatiri salah dalam menyampaikan berita. 

IMAM Ahmad meriwayatkan di dalam musnadnya bahawa ayat al-Quran tersebut diturunkan berdasarkan suatu peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW memerintahkan Walid bin Uqbah untuk datang kepada Al-Harith bin Dhirar dan kaumnya bagi memungut zakat. 

Walid bin Uqbah kemudiannya berpatah semula kerana berasa bimbang akan keselamatan dirinya lalu berkata kepada Nabi SAW bahawa Al-Harith bin Dhirar tidak mahu menyerahkan zakat, bahkan mahu membunuhnya. Sedangkan Walid belum pun bertemu dengan Al-Harith pada hakikatnya. Al-Harith kemudian menemui Nabi SAW dan menjelaskan semuanya hinggalah turun ayat dalam surah al-Hujurat tersebut.

Di dalam kisah ini kita dapat mengambil pelajaran betapa pentingnya menyemak kesahihan sesebuah berita yang sampai kepada kita. Itulah apa yang dilakukan oleh Nabi sejurus selepas Walid bin Uqbah menceritakan kisah yang tidak benar itu. Baginda memerintahkan wakilnya untuk bertemu dengan Al-Harith untuk mendapatkan penjelasan dan kepastian. 

Inilah sikap yang perlu ada dalam diri kita semua. Kadang-kala berita yang sampai kepada kita itu datangnya daripada orang yang kita kenali, namun berita itu sebenarnya salah. Kebiasaannya disebabkan si penyampai itu kawan kita, maka kita terus menerimanya bulat-bulat atas dasar percayakan kawan.

Sikap sebegini perlu dibaiki kerana belum tentu orang yang kita percayai menyampaikan maklumat yang tepat. Selari dengan kemajuan teknologi dan maklumat, sepatutnya kita semua juga lebih bijaksana dan peka dalam menerima khabar maklumat yang ada.

Firman Allah di atas hendaklah dijadikan asas panduan bagi kita semua dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan kita semua lebih berhati-hati dan sensitif dalam masalah ini. Wallahua’lam.

Monday, 22 December 2014

Hafaz Al-Quran Rahsia Pelajar Peroleh 11A Dalam PT3


Nurunnuha Muhammad Ismi gembira berjaya meraih keputusan cemerlang 11 A dalam keputusan Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan pada Isnin.

IPOH: Selain belajar bersungguh-sungguh, menghafaz Al-Quran turut merupakan faktor yang membantu kejayaan seorang pelajar dalam Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Nurunnuha Muhammad Ismi dari Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini yang memperoleh keputusan 11A berkata awal pagi adalah masa sesuai untuk menghafal Al-Quran seterusnya mengulangkaji mata pelajaran sekolah.

"Saya akan bangun seawal pukul 5.30 pagi kerana waktu ini mudah untuk menghafal Al-Quran.

"Apabila kita mudah menghafal Al-Quran, mudah juga untuk kita mengulangkaji mata pelajaran sekolah," katanya ketika ditemui di sekolahnya pada Isnin.

Selain itu, Nurunnuha berkata keredhaan ibu bapa dan guru juga amat penting untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Dengan nada sebak, anak ketiga daripada lapan beradik itu berkata segala nasihat dan dorongan ibu membuatkannya cukup bersemangat untuk belajar.
|
"Saya harap kejayaan yang saya perolehi hari ini dapat membanggakan kedua ibu bapa saya," katanya.

Seorang lagi pelajar sekolah itu, Nur Basyirah Mortaza yang memperolehi keputusan 10A berkata selain berusaha, beliau juga memberi sepenuh perhatian ketika di dalam kelas.

"Cikgu banyak memberi bimbingan dan tips untuk berjaya," kata anak ketiga daripada lima beradik itu.

Nur Basyirah yang bercita-cita menjadi seorang doktor lebih gemar mengulangkaji pelajaran seorang diri berbanding mengulang kaji secara berkumpulan.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan, Noor Aini Zainal Abidin berkata jumlah keseluruhan pelajar sekolah itu yang menduduki ujian PT3 adalah seramai 123 orang dan daripada jumlah itu seorang pelajar memperoleh 11A manakala 10Aseramai dua orang, 9A (empat), 8A (lapan), 7A (tujuh) dan 6A (enam).

"Saya tidak berpuas hati kerana hanya 22 pelajar memperolehi lebih dari 7A berbanding tahun lepas lebih 60 pelajar," katanya.

Beliau berkata majoriti pelajar yang memperoleh lebih dari 7A bukan terdiri dari pelajar 'kaki buku' malah mereka yang aktif dalam bidang kokurikulum.

Sunday, 21 December 2014

Guru Diingat Tidak Mempermainkan Isu Lelaki Lembut - PIBGN



PETALING JAYA: Golongan pendidik diingatkan supaya bersikap terbuka dan tidak mempermainkan isu lelaki lembut yang diketengahkan menerusi novel Destinasi Impian ketika mengajar subjek Komponen Sastera (Komsas) bahasa Melayu bagi pelajar Tingkatan Satu.
 
Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, setelah novel ini diberi laluan memasuki kelas, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk melaksanakan peranannya bagi memulihkan permasalahan yang berlaku menggunakan teks yang dipilih.

"Ini adalah hakikat yang guru perlu ambil kira, selain sifat keterbukaan dan positif terhadap isu lelaki lembut.

"Tak perlulah isu ini menjadi permainan, ejekan atau pun modal untuk merendah-rendahkan martabat anak-anak yang lembut ini," katanya kepada mStar Online.
Beliau diminta mengulas laporan mStar Online mengenai pemilihan naskhah Destinasi Impian karya Mohd Ismail Sarbini akan digunakan oleh pelajar Tingkatan Satu di sekolah-sekolah di Selangor, Putrajaya, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.
 
Ia mengisahkan tentang Firdaus, seorang pelajar yang sering diejek dan dipandang rendah kemampuannya sebagai seorang lelaki kerana berperwatakan lembut.
 
Dia merupakan satu-satunya anak lelaki dalam enam adikberadik dan sering dicabar oleh rakan dan ahli keluarganya untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan karektor dan identitinya dalam usaha untuk menjadikan dirinya seorang lelaki yang mempunyai ciri-ciri lelaki sejati.
 

 
Tambah Mohamad Ali lagi, pemilihan novel ini perlu dilihat secara positif oleh ibu bapa, guru dan masyarakat kerana tema yang diangkat tidak hanya tertumpu kepada konflik golongan lembut semata-mata tetapi juga peranan masyarakat secara keseluruhannya.
 
"Kita harapkan dengan pendedahan tema ini guru-guru yang mempunyai jiwa dan semangat pendidik sejati akan mempunyai ruang dan peluang untuk memahami permasalahan pelajar lembut.

"Mereka perlu memikirkan tindakan pemulihan jika perlu, baik secara individu atau kolektif," katanya.
 
Menurutnya, walaupun novel Komsas dengan tema ini agak asing untuk semua dan sedikit lari daripada kebiasaan, beliau mengajak semua pihak bersifat optimis dengan harapan ia mampu membuatkan masyarakat menginsafi keadaan semasa ini.
 
"Masyarakat tak harus memberi persepsi negatif terhadap buku yang telah dipilih dan dinilai ini.

"Lelaki lembut telah menjadi fenomena, semestinya ia dirasakan sesuai oleh panel pemilih untuk didedahkan kepada pelajar kita," katanya.
 
Beliau juga percaya sokongan ibu bapa dan masyarakat serta kepercayaan terhadap bimbingan guru-guru untuk memastikan keberkesanan novel ini, akan membolehkan fenomena ini dibendung.
 
Mengenai kebimbangan sesetengah ibu bapa yang merasakan isu ini kurang sesuai untuk didedahkan kepada pelajar Tingkatan Satu, beliau berkata, rata-rata pelajar berusia 13 tahun sudah mencapai peringkat akil baligh yang seharusnya boleh berfikir dan menimbang antara yang baik atau buruk.


 
 
Credit: Izra Abdul Rahman/MStar

Saturday, 20 December 2014

Adab dalam majlis ilmu

pertanyaan kerana ingin kepastian hukum adalah satu bentuk pertanyaan
Pertanyaan kerana ingin kepastian hukum adalah satu bentuk pertanyaan yang baik. - Gambar hiasan

Di dalam majlis ilmu, sering kali timbul persoalan yang dikemukakan hadirin. Berada di dalam majlis ilmu itu beroleh pahala daripada Allah SWT. Bagaimana jika soalan yang diutarakan itu bertujuan;
a. Menduga
b. Sememangnya dia tidak mengetahui hal itu
c. Untuk menghindarkan komuniti setempat melakukan sesuatu yang tidak baik disebabkan dia tidak mampu untuk menegurnya sendiri.

JAWAPAN

Bertanya dalam majlis ilmu adalah baik. Ini kerana ceramah, kuliah dan syarahan sahaja tanpa pertanyaan daripada pendengar mungkin menyebabkan salah faham terhadap isi kuliah. Oleh itu, ruang pertanyaan hendaklah dibuka dalam majlis ilmu seperti kuliah Subuh dan juga kuliah Maghrib.

Namun terdapat juga tujuan pertanyaan yang berbeza daripada pendengar yang ingin bertanya. Mungkin ada yang sekadar ingin menduga atau mencuba ilmu seorang guru agama. Ada masanya ia baik namun ada masanya ia mungkin termasuk dalam kategori kurang beradab. Dibimbangi pertanyaan yang sekadar ingin menduga itu membawa kepada perbezaan pendapat yang keras dan menimbulkan perbalahan dan permusuhan.

Oleh itu, biarlah seseorang guru agama diuji oleh guru agama yang lain dalam majlis khas. Contohnya seorang ustaz yang sudah tamat pengajian di pondok, universiti dan sebagainya. Secara asas, mereka mempunyai ilmu. Namun untuk mengajar, para ustaz akan diuji dalam satu ujian khas iaitu sistem pentauliahan.

Dalam sistem ini, kefahaman mereka diuji oleh kumpulan ulama meliputi pelbagai disiplin ilmu. Dengan pentauliahan ini, maka guru agama yang mengajar di masjid dan surau tidak perlu lagi diuji oleh pendengar.

Namun jika pertanyaan kerana ingin kepastian hukum, ingin tahu hukum sebenar, ingin agar masyarakat tahu hukum sebenar melalui jawapan guru agama dan sebagainya maka ia adalah satu bentuk pertanyaan yang baik.



Credit: AL-SYAIKH DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR (AL-JARUMI )

Thursday, 18 December 2014

Merancang percutian yang berkat

Ramai ibu bapa yang mengambil kesempatan cuti persekolahan akhir tahun untuk membawa anak-anak dan keluarga berjalan-jalan atau melancong di dalam mahupun ke luar negara. Selain merehatkan minda ia juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan anak beranak.                   

Maklumlah, semasa hari persekolahan, ramai ibu bapa yang tidak sempat meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak disebabkan keterbatasan waktu. Lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang tinggal di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur.



Sememangnya, melancong atau berjalan-jalan itu digalakkan oleh Islam. Lebih-lebih lagi untuk melihat kebesaran Yang Maha Esa. Firman Allah SWT: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dan ingatlah kepada Allah SWT jualah (tempat kembali kamu) dibangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya).” (al-Mulk: 15)

Walau di mana kita merancang bercuti dengan keluarga, sebagai ibu bapa hendaklah mengatur aktiviti tersebut supaya ia menepati syariat dan mendapat berkat. Antara yang perlu diberi perhatian adalah soal keselamatan. Ini bukan sahaja bab mengawal anak-anak daripada hilang di tengah-tengah tempat tumpuan orang ramai. 



Lebih penting lagi adalah soal keselamatan perjalanan pergi dan balik dari bercuti. Elakkan keluarga kita menjadi statistik kemalangan jalan raya. Kemalangan yang berlaku walaupun tidak meragut nyawa tetapi pastinya akan merugikan masa dan wang. 

Pada masa sama, marilah kita mempraktikkan ‘hadiah’ Allah kepada mereka yang bermusafir iaitu solat jamak dan qasar. Ia adalah rukhsah (kemudahan atau keringanan) kepada mereka yang musafir dengan syarat-syarat tertentu.



Syarat-syarat yang mengharuskan solat jamak (himpun) dan qasar (pendek) itu adalah:

* Bukan bertujuan maksiat.

* Destinasi tujuan lebih dua marhalah.

* Mengetahui destinasi tujuan.

Menurut mazhab Syafie, apabila seseorang itu bermusafir lebih daripada dua marhalah (kira-kira 90 kilometer), maka dia harus melakukan solat qasar dan jamak. Namun, ulama khilaf dalam menentukan jarak dua marhalah ini. Oleh itu, sebagai langkah berhati-hati eloklah dikira melebihi 90 km.

Wajar

Permulaan musafir pula dikira selepas kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi.

Rukhsah Solat bertujuan supaya umat Islam dapat menunaikan solat fardu dalam apa keadaan sekalipun di samping membuktikan bahawa agama Islam itu mengambil kira kebajikan umat dan bukanlah agama yang menyusahkan. 



Berkaitan mengqasar solat ini Allah SWT menyebut di dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.” (an-Nisa’: 101)

Di samping bergembira menikmati percutian dengan keluarga, sewajarnya ibu bapa menunaikan solat berjemaah terutama rukhsah semasa bermusafir. Selain membuktikan keindahan Islam yang memudahkan umatnya melaksanakan ibadat ia juga akan menjadi contoh kepada anak-anak tentang kepentingan solat berjemaah.




Credit: MOHD. RADZI MOHD. ZIN
 

Tuesday, 16 December 2014

KEBERKATAN PAGI

<b>Gambar Pagi</b> Hari di PegununganSAKHR bin Wadaahal-Ghamidi seorang sahabat Nabi SAW. Pada masa baginda hidup, Sakhr merupakan seorang peniaga. Beliau tinggal di negeri Taif.                  

Sakhr pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, berkatilah umatku pada masa pagi mereka.” Sakhr turut memperhatikan, setiap kali Rasulullah SAW mengutus pasukan, baginda mengutusnya pada pagi hari.

Sakhr lalu mengamalkan sunnah ini dalam perniagaannya. Beliau memulakan aktiviti perniagaannya pada pagi hari dan apabila hendak mengutus pegawainya untuk satu tugasan, beliau akan mengutuskannya pada pagi hari. 

Kesannya, perniagaan Sakhr berkembang pesat. Beliau mendapatkan keuntungan yang banyak sehingga hartanya melimpah-ruah. (riwayat Abu Dawud)



Imam al-Bukhari menyebutkan dalam al-Tarikh al-Kabir: “Sakhr lalu menjadi orang kaya. Hartanya sangat berlimpah sehingga ia tidak tahu di mana hendak menyimpannya?”

Kebiasaan orang soleh Bangun di awal pagi mengandungi kebaikan yang sangat banyak. Udara pada saat itu masih segar, minda masih jernih dan tenaga masih kuat. Masa ini sangat sesuai untuk digunakan bagi perkara-perkara yang penting.



Bangun pagi ialah kebiasaan Nabi SAW dan para sahabat. Mereka memulakan aktiviti harian beberapa jam sebelum terbit fajar. Mereka bertahajud, beristighfar dan bermunajat.

Allah SWT memuji perbuatan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: Mereka mengambil sedikit sahaja masa malam untuk tidur. Dan pada akhir malam (sebelum fajar), mereka selalu beristighfar. (al-Zariyat: 17-18)

Kumpulan Gambar Embun di pagi Hari

Apabila azan Subuh berkumandang, mereka mendirikan solat Subuh secara berjemaah. Selepas itu, mereka melakukan pelbagai aktiviti sama ada ibadah, bekerja atau sebagainya. 

Jabir bin Samurah berkata: Rasululah tidak bangkit dari tempat beliau mengerjakan solat Subuh sehingga terbit matahari. Apabila matahari telah terbit, baginda bangkit dari tempat itu. (riwayat Muslim)

gambar-tegap-menyambut-pagi

Ramai daripada kalangan sahabat yang tidak menyukai tidur selepas Subuh. Melainkan bagi seseorang yang bekerja di waktu malam dan tidak memiliki masa tidur melainkan selepas Subuh.

Srikandi Bonda

Zubeir bin Awwam (seorang sahabat Nabi SAW) sangat melarang anak-anaknya daripada tidur selepas Subuh. Beliau berkata: “Setiap kali melihat seseorang tidur selepas Subuh, maka aku tidak menyukainya.” (Ibnu AbiSyaibah dalam Musannaf)

Sebuah kajian semasa turut menyokong kebaikan bangun awal pagi. Kajian itu mendapati bahawa individu yang suka bangun awal secara amnya terbukti lebih sihat, lebih bahagia dan lebih proaktif.

Ramai daripada kalangan tokoh cemerlang dan berjaya masa kini yang mengamalkan budaya bangun awal dan memulakan aktiviti mereka pada awal pagi. Umat Islam lebih patut mengamalkan budaya ini. Ini kerana ia sebahagian daripada sunnah Nabi dan kebiasaan orang-orang soleh. Wallahua’lam.

SAYANG DAH TERLAMBAT


TIMBALAN presiden mahkamah (kiri) memohon maaf kepada ibu bapa Hugjiltu dan menawarkan mereka pampasan di Hohhot, Inner Mongolia

Beijing: Seorang remaja China yang dihukum bunuh kerana kesalahan rogol dan bunuh 18 tahun lalu akhirnya diisytiharkan tidak bersalah oleh mahkamah semalam.

Hugjiltu, 18, yang juga dikenali sebagai Qoysiletu, didapati bersalah dan dihukum bunuh di Inner Mongolia pada 1996, namun kes itu dibuka semula selepas seorang lelaki lain mengaku melakukannya pada 2005.

“Mahkamah Tinggi Rakyat Inner Mongolia mendapati sabitan asal terhadap Hugjiltu tidak konsisten dengan fakta kes selain kurang bukti.

“Sehubungan itu, dia tidak bersalah,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.

Selain itu, imej yang disebarkan di media sosial menunjukkan timbalan presiden mahkamah memohon maaf kepada ibu bapa Hugjiltu dan memberi mereka pampasan berjumlah 30,000 yuan (RM17,000).

Namun perkara itu tidak dapat disahkan. Mahkamah mendapati pengakuan Hugjiltu tidak sepadan dengan laporan bedah siasat selain bertentangan dengan ‘bahan bukti lain.’

Selain itu, bukti DNA dikemukakan pada perbicaraan kesnya gagal mengaitkannya secara langsung dengan jenayah berkenaan. - AFP





 

Saturday, 13 December 2014

Ganjaran 
ketaatan beribadah

Ia akan memberi kebahagiaan, ketenangan kepada jiwa seseorang

solat sunat awwabin adalah satu jenis solat sunat awwabin sendiri

Semua ibadah yang wajib dan sunat akan menjadi faktor
kebahagiaan seseorang Muslim. – Gambar hiasan

JIWA manusia adalah gabungan daripada pelbagai sifat yang berbeza. Perasaan gembira bersulam duka, benci terkadang sayang, takut lawannya berani, rajin setelah malas dan berbagai-bagai perasaan lain yang bersemadi di jiwa.

Namun, perasaan ini tidak kelihatan di mata hanya dirasakan di jiwa. Seseorang Muslim yang mempunyai jiwa yang kukuh akan dapat membentuk jati diri setiap individu menuju ke arah kebaikan dalam kehidupan.

Bagi memperkukuhkan jiwa, umat Islam sangat digalakkan melaksanakan ibadah dengan tenang dan penuh khusyuk. Ini disebabkan jiwa amat sebati dengan ketenangan dan kekhusyukkan.

Hakikat kehidupan manusia sangat memerlukan ketenangan yang akhirnya memberikan kedamaian kepada jiwa. Keperibadian manusia yang normal, baik berkaitan kesihatan diri juga akhirnya memberi kesan kepada ketenangan dan kedamaian kepada jiwa.

Pengertian jiwa secara umumnya meliputi nyawa dan roh. Di sinilah tempat letaknya dasar batin, perasaan, fikiran, cita-cita yang memperkuat kehidupan manusia.

Dalam Islam, semua ibadah yang wajib dan sunat akan menjadi faktor kebahagiaan serta jalan hidup yang terbaik bagi penganutnya agar dapat menikmati kehidupan yang tenteram, damai dan bahagia.

Ibadah-ibadah ini seperti solat, puasa, menunaikan zakat, melaksanakan haji, mempunyai hubungan yang rapat dan erat secara langsung dengan jiwa.

Seseorang yang berjaya adalah orang yang mampu membersihkan jiwa dengan segala ketaatan, akan tetapi mereka yang rugi atau gagal adalah yang mengotorkan jiwa dengan kemaksiatan.

... solat dan sesungguhnya solat itu berat melainkan orang orang yang

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotori jiwa itu. (As-Syams:9-10).

Jelaslah ketaatan beribadah kepada Allah SWT akan dapat membersihkan dan menenteramkan jiwa. Bagi mereka yang melakukan maksiat seseorang itu akan mengotorkan jiwanya yang menyebabkan jiwa tidak tenteram.

Bagi tujuan penyucian jiwa, janganlah sesekali kita terjebak dalam maksiat kepada Allah SWT. Ini disebabkan hati dan jiwa manusia yang digoda oleh syaitan mudah terdorong ke arah maksiat.

Keutamaan taat kepada Allah SWT dengan beribadah kepada-Nya sangat penting dalam kehidupan seharian. Ketaatan beribadah akan memberikan kebahagiaan kepada jiwa seseorang.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud; “Kebahagiaan yang paling bahagia ialah panjang umur dalam ketaatan kepada Allah.” (riwayat Ad Dailami dan Al Qodhho’i).

Dengan melaksanakan ibadah secara berterusan akan dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Keutamaan takwa banyak bergantung pada tahap ibadah yang dilakukan oleh seseorang. Tingkat takwa adalah tingkat yang tinggi dalam melaksanakan ibadah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah di mana sekalipun kamu berada dan ikutilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, nescaya menghapuskannya. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang luhur.” (riwayat At Tirmizi).

Ibadah adalah penyucian jiwa yang luhur dan murni. Oleh itu, peliharalah diri kita dengan sentiasa berlindung kepada Allah daripada syaitan yang bersembunyi (dalam diri). Ini disebabkan, Allah SWT mendidik dan mengajar kita untuk berbuat demikian menerusi firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada Tuhan (yang menguasai dan memelihara) manusia. Raja segala manusia. Sembahan manusia (daripada kejahatan dan bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi (dalam diri manusia). (an-Nas:1-4)

Manusia yang beriman sentiasa dalam peliharaan Allah SWT. Setiap perbuatan yang baik dan jahat pasti dicatat dan dibalas dengan balasan yang setimpal. Terdapat beberapa pengajaran yang boleh dijadikan contoh dan teladan dalam kehidupan. Dalam melaksanakan ibadah walaupun kecil ia akan diberi balasan ganjaran pahala yang setimpal. (rujuk Luqman: 16)

Sesungguhnya, untuk mencari ketenangan hati dan jiwa selalulah mendekatkan hati dan diri kepada Allah SWT dan sentiasa melakukan ibadah serta melakukan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang dalam kehidupan kita.






 

Julaibib disayangi Rasulullah SAW

 Pemuda yang memperoleh penghormatan luar biasa

 Para sahabat lalu menemukan mayat Julaibib bersebelahan dengan
Para sahabat lalu menemukan mayat Julaibib bersebelahan dengan tujuh mayat musuh. – Gambar hiasan

TERSEBUTLAH kisah seorang pemuda di Madinah bernama Julaibib. Beliau kurang disukai ramai kerana perilakunya yang tidak selari dengan norma masyarakat.

Julaibib terkenal suka bercampur dan berbual-bual dengan kalangan perempuan. Justeru, Abu Barzah al-Aslami pernah melarang isterinya daripada berjumpa dengan Julaibib. Beliau berkata: “Jangan biarkan Julaibib masuk ke rumah kita. Jika tidak, maka aku akan melakukan ini dan itu.” Maksudnya beliau akan menghukum isterinya dengan tegas.

Terkadang kita terlalu sibuk mengeluhkan masalah sehingga terlupa mencarikan jalan penyelesaian. Justeru, apabila pandangan orang lain tertumpu kepada aspek negatif, Rasulullah SAW melihat kepada aspek positif.

Baginda tidak memulaukan Julaibib, malah meminangkan seorang gadis untuk menjadi isterinya. Tindakan ini terbukti sangat berkesan dan merubah hidup Julaibib sebagai mana kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan disahihkan oleh Ibnu Hibban berikut ini.

Suatu hari Rasulullah SAW bersabda kepada seorang laki-laki Ansar: “Kahwinkan anak gadismu untukku.” Laki-laki Ansar ini menyangka baginda menginginkan anak gadisnya menjadi isteri baginda. Justeru, beliau sangat bergembira dan segera menerima pinangan tersebut.

Namun baginda menjelaskan: “Aku bukan meminangnya untuk diriku. Akan tetapi untuk Julaibib.” Mendengar penjelasan ini, laki-laki Ansar tersebut tertegun. Semua penduduk Madinah tahu siapa Julaibib. Pemuda ini bukanlah tipikal menantu yang terbaik.

Justeru, laki-laki Ansar ini menarik diri dan berkata: “Izinkan saya untuk berbincang dengan ibunya terlebih dahulu.” Baginda menjawab: “Baiklah.” Laki-laki tersebut segera pulang ke rumah. Apabila menceritakan perihal pinangan Rasulullah SAW untuk Julaibib, Isterinya menolak tegas: “Adakah Rasulullah tidak menemukan pemuda lain selain Julaibib?! Aku tidak akan menikahkan anakku kepadanya. Kita telah menolak pinangan ramai pemuda kerana tidak sesuai dengan anak kita.” Pandangan ini turut dipersetujui oleh suaminya.

Beliau segera bangkit untuk berjumpa semula dengan Rasulullah SAW. Tiba-tiba, anak gadis mereka bersuara. Walaupun masih mentah usianya, ternyata fikirannya lebih matang.

Anak gadis ini berkata: “Adakah ibu ayah akan membangkang kehendak Nabi? Jika Nabi telah memilih Julaibib, kabulkanlah perintah baginda. Baginda tidak mungkin menginginkan keburukan untuk kita.” Ucapan ini seolah-olah menyedarkan kedua-dua sahabat ini.

Keputusan Rasulullah SAW tentulah yang terbaik. Justeru, tidak patut bagi seorang Muslim membantah perintah baginda itu. Ayah gadis itu lalu mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: “Jika tuan reda kepada Julaibib, maka kami pun reda kepadanya.” Baginda menjawab: “Aku reda kepadanya.” 

Laki-laki Ansar itu lalu menikahkan anak gadisnya dengan pemuda pilihan Rasulullah SAW. Baginda turut mendoakan gadis itu dengan sabdanya: “Ya Allah siramkanlah kebaikan kepadanya dengan deras dan jangan jadikan hidupnya susah.”

Berperang Beberapa lama setelah itu,Rasulullah SAW dan para sahabat keluar untuk menghadapi musuh Islam yang akan menyerang Madinah. Semua pemuda ikut serta dalam ekspedisi itu, tidak terkecuali Julaibib. Di akhir peperangan, para sahabat memeriksa keadaan para tentera dan menguruskan jenazah yang terkorban.

Rasulullah bertanya: “Masih adakah yang tertinggal daripada pasukan kita?” Para sahabat menjawab: “Tidak ada, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Akan tetapi aku masih lagi mencari Julaibib. Carilah dia daripada kalangan tentera yang terkorban.”

Para sahabat lalu menemukan mayat Julaibib bersebelahan dengan tujuh mayat musuh. Apabila melihatnya, Rasulullah SAW bersabda: “Ia telah membunuh tujuh orang musuh, lalu ia terbunuh. Ia sebahagian daripadaku dan aku sebahagian daripadanya.” Baginda mengucapkannya tiga kali.

Rasulullah SAW meletakkan mayat Julaibib di atas lengan baginda sementara digalikan kubur untuknya. Setelah siap, baginda sendiri yang meletakkan mayat Julaibib ke liang kubur. Sungguh beruntung Julaibib.

Hukum ucap selamat perayaan bukan Islam

HIDUP dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia memerlukan banyak toleransi. Lebih-lebih lagi dalam aspek hablum minan nas (hubungan sesama manusia).

Satu persoalan yang sering dibahaskan adalah hukum mengucap selamat bagi perayaan orang bukan Islam. Lebih-lebih lagi, menjelang sambutan Krismas pada 25 Disember ini.                  

Dalam konteks masyarakat Malaysia, ucapan selamat ini persis budaya yang sudah sekian lama diamalkan. Apa yang perlu diberi perhatian adalah niat dalam menyampaikan ucapan itu.

Ucapan selamat itu bukan bermakna kita mengiktiraf agama mereka. Ini kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama yang benar dan diredai Allah ialah agama Islam.” (ali-’Imran: 19)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam.

Muzakarah memutuskan bahawa:
1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.

2. Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.

3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Mengulas hal ini, ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: Menjadi hak setiap agama merayakan hari raya tanpa mengganggu pihak lain.

Kita orang Muslim tidak dilarang dalam agama kita untuk mengucap tahniah penduduk negara kita dan jiran kita yang terdiri daripada orang Kristian pada hari raya mereka.

Ini termasuk dalam berbuat baik yang disebut dalam al-Quran: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengeluarkan dari kampung halaman kamu (negeri atau negara kamu). Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah: 8)

Bagaimanapun, keharusan itu tidak pula sampai melibatkan penyertaan orang Muslim dalam upacara dan ritual agama Kristian yang menjadi amalan khusus bagi orang Kristian itu.

Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah yang dianggotai oleh ramai sarjana Islam turut membolehkan Muslim mengucapkan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka. Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. (rujuk surah al-Nisa: 86).

Pun begitu, mereka tetap mengharamkan Muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.Yang perlu diberi perhatian adalah tindakan segelintir umat Islam yang semberono terikut-ikut dengan perbuatan orang kafir dalam menyambut perayaan mereka waima atas alasan suka-suka.

Ini termasuk memakai pakaian Santa Claus atau memakai topi Santa.Merungkai isu ini, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menegaskan, topi itu melambangkan agama Kristian dan pemakaiannya dengan sengaja boleh merosakkan akidah umat Islam kerana berniat mengagungkan agama itu.

Oleh itu, mengucapkan selamat sempena perayaan penganut agama lain adalah dibenarkan dengan syarat ia tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah.

Islam juga menyuruh kita memberikan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Ini adab Islam yang tinggi. Ia merangkumi sesama Islam atau kepada bukan Islam. Sehingga Ibn ‘Abbas RA menyebut: Jika Firaun berkata kepadaku “semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’”. (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).



Credit: MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Wednesday, 10 December 2014

Belajar bersangka baik

setiap manusia di dunia ini dikurniakan kelebihan dan kelemahan
Setiap manusia di dunia ini dikurniakan kelebihan dan kelemahan masing-masing sebagai panduan kehidupan.- Gambar hiasan -
 
KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru sahaja diumumkan. Ada pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan anak-anak yang mengambil peperiksaan tersebut. Ternyata getir mengulangi beberapa kertas soalan peperiksaan sebelum ini akibat ketirisan yang berlaku, cukup memberi impak pada keputusan yang dikeluarkan.
Bagi yang berjaya meraih keputusan cemerlang, senyumnya sampai ke telinga. Begitu juga dengan ibu bapa, mengucap syukur apabila segala kepayahan yang dilalui oleh anak sebelum ini berbalas dengan kejayaan yang diharap-harapkan.

Namun ia tidak berlaku pada Haziq. Keputusan cemerlang yang diharapkan, tidak kesampaian. Ternyata pengumuman yang dibuat sebentar tadi oleh guru sekolahnya, telah membuatkannya tidak keruan.

Resah, gelisah dan cemas! Itu perasaannya ketika itu. Mana tidaknya, sehingga selesai cikgu mengumumkan pelajar-pelajar yang mendapat 5A dan 4A 1 B, nama Haziq tidak muncul-muncul.

Air muka Haziq mula berubah.

Sehari sebelum keputusan dikeluarkan, Haziq memberitahu ibunya, dia yakin akan dapat capai keputusan yang baik. Sekurang-kurangnya 4A 1B. Namun hari ini emosi Haziq cukup terganggu. Air mata mula bergenang. Sebaik menerima keputusan daripada guru kelasnya, Haziq terus menangis.

Semalam, Haziq dan ibunya telah membeli beberapa hadiah untuk diberikan kepada guru-guru yang mengajarnya sebagai tanda terima kasih. Dan hari ini, hadiah itu masih terletak di dalam kereta. Apabila ibu Haziq menyuruhnya menyerahkan hadiah-hadiah yang dibeli kepada guru-gurunya, Haziq enggan melakukannya.

Malu! Haziq bertarung dengan harapannya yang musnah serta emosinya yang cukup terganggu. Dia malu berhadapan dengan kawan-kawannya, apatah lagi guru-guru sekolahnya.

Dia malu kerana selama ini dia begitu yakin keputusan cemerlang sudah pasti berada dalam genggamannya, tetapi ia tidak berlaku. Ia tidak berlaku sebagaimana yang diharapkan!

Cukup mengecewakan,setelah berhempas pulas mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan di sekolah agama, namun keputusan sekolah kebangsaan Haziq sedikit pun tidak membantunya untuk meneruskan pengajian di sekolah-sekolah yang terpilih.

Ternyata Haziq dipaksa untuk akur, dua keputusan cemerlang di sekolah agamanya sebelum ini, sedikit pun tidak membantunya untuk masuk ke sekolah aliran agama terpilih kerana sekolah menengah agama terpilih juga menuntut keputusan cemerlang UPSR.

TIP minggu ini diharapkan dapat dijadikan sandaran bagi ibu bapa dan
anak-anak yang sedih dengan keputusan peperiksaan yang diperoleh agar dapat melaluinya dengan tenang dan berlapang dada.
  1. Ibu bapa yang menghadapi keputusan peperiksaan anak-anak yang kurang memberangsangkan perlulah bersabar dan berfikiran terbuka kerana tekanan memikirkan perkara tersebut akan menjadikan urusan lain turut tergendala.
  2. Belajar menerima apa jua keadaan sebagai pembelajaran kehidupan. Bagi yang berjaya dengan cemerlang mereka perlu mengekalkan kecemerlangan yang diperoleh dengan penuh rasa syukur, manakala yang kurang berjaya sentiasalah menanamkan azam untuk meningkatkan usaha pada masa hadapan.
  3. Orang yang gagal dalam satu perkara mungkin akan berjaya dengan cemerlang di bidang yang lain pula. Batas kecemerlangan bukan hanya tertakluk kepada keputusan peperiksaan semata-mata. Sebaliknya banyak ruang dan peluang terbuka untuk semua orang berjaya dalam kehidupan masing-masing. Lihat pada diri kerana di situ ada kelebihan yang mungkin selama ini kita abaikan.
  4. Ada orang yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran tetapi berjaya dalam pekerjaan. Ada orang yang berbakat dalam satu bidang yang boleh dijadikan sumber kejayaan dan pendapatan kehidupan. Apa yang penting setiap orang belajar mempercayai diri sendiri dan melihat sesuatu itu perlu diusahakan kerana kejayaan tidak datang bergolek.
  5. Ibu bapa yang bijak akan terus membantu merangsang anak agar berfikiran terbuka dan tidak terikat semata-mata dengan peperiksaan. Anak-anak diasuh agar belajar meneroka diri untuk melihat kekuatan, kelebihan dan menggunakan setiap peluang untuk berjaya.
  6. Bawalah anak-anak berbincang dengan orang yang boleh membantu membuka mindanya agar anak-anak tidak beku dan terbelenggu dalam membuat keputusan. Ingat! Dunia kejayaan tidak pernah bernoktah asalkan mahu berubah.
SETIAP tahun anak-anak akan menghadapi saat peperiksaan besar yang amat menekan. Ibu bapa juga tidak kurang tertekan apabila sentiasa disogok dengan prestasi akademik berdasarkan jumlah skor A yang diperoleh dalam peperiksaan yang diambil.

Sanak saudara, jiran tetangga dan kenalan di pejabat akan bertanyakan keputusan peperiksaan anak-anak dan saling membandingkan antara satu sama lain. Ia secara tidak langsung menambah tekanan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang tidak mendapat keputusan sebagaimana yang diharapkan.

Sekalipun pelbagai usaha dilakukan, namun sebagai manusia kita harus kembali kepada perancangan Tuhan. Manusia hanya mampu merancang dan mengatur cita-cita. Inilah fenomena kehidupan masa kini. Dan hari ini, kejayaan seseorang diukur berdasarkan prestasi akademik arus perdana.

Tidak ada ibu bapa yang mengharapkan kegagalan anak-anak mereka. Bahkan, ibu bapa hari ini berusaha memastikan anak-anak mereka mendapat tempat yang terbaik dalam meneruskan pengajian. Namun, ada kala nasib tidak menyebelahi. Senang kata, tiada ‘rezeki’ untuk anak-anak memperoleh keputusan sebagaimana yang diharapkan oleh ibu bapa masing-masing, meskipun mereka telah berusaha.

Faktor emosi ada kala mempengaruhi keputusan anak-anak, sekali gus membuatkan mereka terbelenggu dengan nasib. Justeru, di sinilah peranan ibu bapa dan pihak pendidikan agar sentiasa membuat pertimbangan yang bersesuaian dengan bakat, kemampuan dan pencapaian.

Seperti kisah minggu ini anak-anak yang berjaya akan meneruskan kesinambungan kecemerlangan mereka di sekolah yang lebih berprestij. Manakala anak-anak yang kurang bernasib baik walaupun menanam cita-cita yang menggunung, terpaksa akur dengan dunia peperiksaan hari ini.

Sekali lagi anak-anak terpaksa menghadapi kenyataan betapa mereka perlu belajar berfikir di luar kotak agar tidak menjadikan peperiksaan sebagai penilaian diri untuk berjaya. Anak-anak dan ibu bapa juga perlu belajar menerima keadaan yang terjadi sebagai ruang muhasabah diri agar usaha dan ikhtiar perlu diteruskan untuk membina tapak kejayaan di dalam segenap ruang dan peluang yang datang.

Sesuatu yang tidak perlu dinafikan, setiap manusia di dunia ini dikurniakan kelebihan dan kelemahan masing-masing sebagai panduan kehidupan. Jika difikirkan secara logik, tahap kemampuan seseorang mempunyai hikmah yang pasti ada kebaikan di sebaliknya.

Sebagai contoh anak-anak yang berjaya dan berkemampuan dalam akademik akan meneruskan legasi kejayaan kerjaya dunia seperti doktor, jurutera, peguam, akauntan yang pastinya memerlukan kemampuan pelajaran dan pencapaian akademik yang cemerlang.

Sebaliknya, anak-anak yang sederhana pencapaiannya dalam pembelajaran akan menjadi pelaksana kepada agenda pembangunan yang dirancang. Sekiranya semua orang berada di satu tahap kejayaan yang cemerlang, pasti tiada orang yang akan mengurus untuk melakukan perancangan yang dibuat.

Inilah hikmah dan indahnya kehidupan yang diciptakan Tuhan. Cuma manusia perlu belajar bersangka baik dan tidak mendiskriminasikan golongan yang kurang berkemampuan. Bahkan, betapa adilnya Allah apabila kelebihan dan kelemahan yang ada saling memerlukan antara satu sama lain.

Yang pasti, kecemerlangan akademi bukan kayu ukur untuk menilai kejayaan serta masa depan yang terjamin. Sebaliknya, kemahiran dan kreativiti yang ada pada seseorang akan menjadikan seseorang itu lebih berjaya dalam kehidupan.

Bahkan kemahiran, bakat dan kreativiti yang dimiliki akan menjadikan mereka lebih kaya daripada mereka yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang. Yang penting, mereka harus lebih gigih berusaha bagi memastikan mereka juga boleh berjaya tetapi dengan cara yang berbeza.

Malangnya kebanyakan masyarakat sering terlepas pandang akan ‘keistimewaan’ yang dimiliki oleh anak-anak yang kurang bernasib baik dalam akademik. Dan apabila bakat, kreativiti dan kemahiran yang ada dalam diri anak-anak ini tidak digilap, maka ia akan terus berkubur.
Justeru, sebagai ibu bapa, keprihatinan mereka terhadap ‘keistimewaan’ yang ada pada diri anak-anak ini, akan menjadi pemangkin kejayaan anak-anak mereka. Jangan sesekali memandang rendah dan meletakkan pencapaian akademik sebagai kayu ukur kejayaan semata-mata. Sebaliknya bukalah mata, bahawa di luar sana masih ada ruang yang boleh diisi. Dan rebutlah peluang tersebut dengan membuat keputusan yang tepat.

Hakikatnya, setiap yang terjadi sesuai dengan takdir yang ditentukan Allah. Manusia sering terlupa, tidak semestinya setiap yang cantik itu baik dan setiap yang kita benci itu buruk. Ini kerana ada kala apa yang kita benci itu adalah yang terbaik untuk kita.

Oleh itu, kembalilah kepada Tuhan kerana Dia lebih mengetahui. Mohonlah kepadanya agar ada sinar lain yang menunggu bagi menampung kekurangan yang ada pada hari ini. Apapun belajarlah bersangka baik sesama manusia dan lebih-lebih lagi kepada Tuhan.





Tuesday, 9 December 2014

Masyarakat digesa jauhi 
ideologi IS

KOTA BHARU 9 Dis. – Umat Islam negara ini dinasihatkan supaya berhati-hati dan memandang serius ideologi serta gerakan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria.                 

Mohamad Shukri Mohamad Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad (gambar) berkata, pendekatan itu penting kerana dikhuatiri gerakan berkenaan berkemungkinan didalangi oleh musuh-musuh Islam.

“Kita tidak tahu siapa yang ditaja dan siapa yang dikendalikan... mungkin musuh Islam dan saya nasihat supaya jangan terlibat dalam kegiatan seperti ini.

“Jadi masyarakat perlu mengetahui bahawa ideologi yang dibawa oleh kumpulan itu jelas bertentangan dengan agama Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang seorang lagi militan IS dari negara ini terbunuh di Syria selepas dipercayai menjadi pengebom berani mati dengan merempuh kem tentera yang turut membunuh 50 yang lain, kebanyakannya tentera kerajaan negara itu.

Akhbar hari ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan seorang lagi pengebom berani mati rakyat Malaysia telah maut di Syria iaitu Ahmad Affendi Manaff berusia 27 tahun.

Ahmad Affendi berasal dari Tumpat, Kelantan dilaporkan berlepas ke Syria pada 27 April lalu dan maut dalam serangan bunuh diri apabila bersama-sama beberapa anggota IS lain menaiki lori membawa bahan letupan dan merempuh kem tentera kerajaan di Homs, Syria, pada awal bulan lepas.