Saturday, 31 March 2012

Jangan Raikan April Fool

Apa ada pada Hari April Fool. 
Terdapat pelbagai versi mengenai sejarah April Fool. Apa yang nyata ianya ada berkaitan dengan Tragedi berdarah Granada yang menimpa umat Islam di Sepanyol pada 1 APRIL 1847 MASIHI yang dikenali sebagai "The April Fool Day" oleh golongan Kristian dan pelbagai versi lain yang dikaitkan dengan sejarah April Fool ini. 






Apa yang berlaku pada April Fool dalam sejarah Islam sepatutnya membuka mata kita supaya menjadikan 1st April bukanlah hari gurau senda tetapi hari memperingati kekejaman yang dilakukan oleh tentera Salib (Kristian) terhadap umat Islam di Spanyol.

The April's Fool Day, berawal dari satu episod sejarah Muslim Sepanyol pada tahun 1487, bersamaan dengan  892 H. Sejak Sepanyol dibebaskan melalui Islam pada abad ke-8M oleh Panglima Thariq bin Ziyad dari penindasan puak kafir, Sepanyol beransur-ansur menjadi satu negeri yang makmur.

Pasukan Islam tidak saja berhenti di Sepanyol, namun terus melakukan pembebasan di negeri-negeri sekitar menuju Perancis. Perancis Selatan dengan mudah dapat dibebaskan.  Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours, dan sebagainya ditawan dengan aman oleh Islam.Walaupun sangat kuat, pasukan Islam masih memberikan toleransi kepada suku Got dan Navaro di daerah sebelah Barat yang berupa pergunungan. Islam telah mula menerangi seluruh Sepanyol. 

Kerana sikap para penguasa Islam yang begitu baik dan rendah diri, banyak orang-orang Sepanyol yang kemudian dengan tulus dan ikhlas menganuti ajaran Islam. Muslim Sepanyol bukan sahaja beragama Islam, namun bersungguh-sungguh mempraktikkan cara hidup seorang Islam. Tidak hanya membaca Al-Quran, tingkah laku mereka berdasarkan Al-Quran. Mereka kerap berkata tidak untuk muzik bebas, arak, pergaulan bebas, dan segala perkara yang dilarang Islam. Keadaan aman dan sejahtera seperti ini berlangsung hampir enam abad lamanya.

Selama itu pula kaum kafir yang masih ada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal lelah terus berusaha menghapuskan Islam dari Sepanyol, namun acapkali gagal.  Maka mereka menhantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam Sepanyol. Akhirnya mereka menemukan cara untuk menaklukkan Islam, yakni dengan cara melemahkan iman mereka melalui jalan serangan pemikiran dan budaya.

Maka mulailah secara diam-diam mereka menghantar arak dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka bernyanyi dan menari dari pada membaca Al-Quran. Mereka juga mengirimkan sejumlah ulama palsu untuk meniup-niupkan api perpecahan pada umat Islam Sepanyol. Lama-kelamaan taktik ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan dapat dikuasai oleh pasukan tentera Salib yang mempunyai hubungan dengan gerakkan Zionis. Serangan oleh pasukan tentera Salib benar-benar dilakukan dengan kejam tanpa mengenal peri kemanusiaan. Tidak hanya pasukan tentera Islam yang disiksa, tetapi juga penduduk awam, wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua turut di bunuh dengan kejam. Satu-persatu daerah Islam di Sepanyol jatuh.

Granada adalah daerah terakhir yang ditaklukkan. Penduduk-penduduk Islam di Sepanyol (juga disebut orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Salib terus mengejar mereka. Ketika jalan-jalan mulai sepi,  ribuan mayat yang bergelimpangan bermandikan genangan darah, tentara Salib mengetahui bahawa banyak Muslim Granada yang masih bersembunyi di rumah-rumah. Dengan lantang tentera Salib itu meneriakkan pengumuman, bahawa orang Islam Granada dibolehkan keluar dari rumah dengan aman dan dibenarkan berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.
 
Orang-orang Islam masih curiga dengan tawaran ini. Namun beberapa dari orang Islam dibenarkan melihat sendiri kapal-kapal penumpang yang sudah dipersiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat ada kapal yang sudah disediakan, mereka pun segera bersiap untuk belayar meninggalkan Granada dan Sepanyol.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Islam Granada keluar dari rumah-rumah mereka dengan membawa seluruh barang-barang keperluan, sambil beriringan berjalan menuju ke pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai pasukan tentera Salib, memilih bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumah mereka. 

Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan cepat tentara Salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan penghuninya. Lidah api terlihat menjulang ke angkasa ketika mereka membakar rumah-rumah tersebut bersama-sama dengan orang-orang Islam yang masih bertahan di dalamnya. 

Sedang ribuan umat Islam yang tertahan di pelabuhan, hanya terpana ketika tentera Salib juga membakar kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Ribuan umat Islam tidak boleh berbuat apa-apa kerana sama sekali tidak bersenjata. Mereka juga kebanyakan terdiri dari para perempuan dengan anak-anak yang masih kecil. Sedang para tentara Salib telah mengepung mereka dengan pedang terhunus.

Dengan satu teriakan dari pemimpinnya, ribuan tentera Salib segara membunuh umat Islam Sepanyol tanpa rasa belas kasihan. Jerit tangisan dan takbir memenuhi suasana. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenang di mana-mana. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitam-hitaman.

Tragedi ini bertepatan dengan tarikh 1 April. Inilah yang kemudian diperingati oleh dunia Kristian setiap tanggal 1 April sebagai The April's Fool Day.  Pada tarikh 1 April, orang-orang dibenarkan menipu dan berbohong kepada orang lain. Bagi orang Kristian, The April's Fool Day merupakan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam Sepanyol oleh tentera Salib dengan cara-cara penipuan. Sebab itulah, mereka merayakan The April's Fool Day dengan cara membenarkan penipuan dan kebohongan dalam masa yang sama disulami dengan dalih iaitu sekadar hiburan atau gurauan belaka.

Bagi umat Islam, The April's Fool Day tentu merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari di mana ribuan saudara-saudara seIslam disembelih dan dibunuh oleh tentera Salib di Granada, Sepanyol. Sebab itu, adalah sangat tidak bermoral juga dengan adanya orang Islam pada masa kini yang masih terikut-ikut merayakan tradisi ini. Siapapun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka ia sesungguhnya sedang merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai ribuan umat Islam di Granada, Sepanyol, pada 5 abad silam....Kata Sdr Ahmad Zaki.


Bergurau dan seronok mengenakan orang lain.
April Fool juga dianggap sebagai hari untuk bergurau dan mengenakan orang lain. Ada yang boleh menerima dan tak kurang juga yang menjadi punca kemarahan dan perbalahan sehingga putus persahabatan.


Bagaimanapun, apa yang ingin ditekankan disini bukanlah sekadar sejarah APRIL FOOL, tetapi juga adalah mengenai  budaya APRIL FOOL yang jelas bertentangan dengan ajaran islam yang mana Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bersifat jujur dalam kehidupan


Sedia maklum mereka yang suka sangat meraikan hari tersebut tidak lari daripada terlibat dengan unsur penipuan dan mempersendakan orang lain yang mana ianya merupakan salah satu  sifat mazmumah atau sifat yang buruk lagi tercela yang dilarang dalam Islam.

Sudah jelas, budaya April Fool sememangnya bertentangan dengan ajaran Islam. Budaya April Fool sebenarnya mengajar kita untuk menjadi orang yang berdusta, berbohong, munafik dan suka membodohkan orang lain. Sikap dan tindakkan sedemikian amat bertentangan dengan ajaran dan norma-norma budaya dalam Islam yang mana menyuruh umatnya supaya saling menghormati sesama anggota masayarakat tanpa mengira anutan agama, bangsa dan budaya serta bersifat jujur dalam kehidupan.

Sukakah kita melihat kesusahan orang lain akibat dari tindakkan dan perbuatan kita dengan menjerit dengan riangnya....APRIL FOOOOOOOLLL!!!!!!. Seronokkah kita meraikan saudara kita diperbodohkan, dibunuh dan dihina kira-kira lima abad yang lalu...Fikir-fikirkanlah...

Wednesday, 28 March 2012

LAGENDA MAHSURI: TRAGEDI LANGKAWI


MAHSURI : Sebuah Tragedi Negeri Kedah

Makam Mahsuri
Tuan-tuan yang telah melawat Langkawi tentu telah mendengar dan mungkin telah melawat kubur Mahsuri di Mukim Ulu Melaka.

Cerita Mahsuri telah dikarang oleh Perdana Menteri kita, Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj. Cerita itu telah difilemkan beberapa tahun dahulu dan telah dipersembahkan di atas pentas untuk mengutip derma beberapa kali.

Cerita yang ditunjukkan di-dalam filem dan di-atas pentas adalah berbeza sedikit daripada versi yang diceritakan oleh orang tua-tua di Langkawi. Cerita yang berikut telah diceritakan kepada saya oleh seorang penduduk tua pulau itu bernama Ku Jusoh.

Kira-kira dua ratus tahun dahulu, dalam masa pemerintahan Al-Marhum Sultan Abdullah Mukaram Shah yang kedua yang memerintah Kedah antara tahun 1762 dengan 1800, ada seorang Melayu miskin tinggal di pulau Langkawi itu bersama-sama isterinya. Mereka berdua hanya mempunyai seorang anak perempuan. Nama orang itu Pandak Maya, nama isterinya Mek Andak Alang dan anaknya dipanggil Mek Yah.

Pada suatu hari sedang suaminya mencari seekor kerbau hilang, maka dengan tiba-tiba turun hujan yang sangat lebat serta guruh petirnya. Pandak Maya berteduh di dalam sabuah pondok tinggal. Semasa ia berada di dalam pondok itu ia telah mendengar tangisan seorang kanak-kanak kecil. Ia memandang ke seluruh tempat di dalam pondok itu hendak mencari di manakah kanak-kanak itu tetapi tidak ada tanda-tanda manusia di mana-mana pun. Satu benda luar biasa yang dilihatnya di dalam pondok itu hanyalah sekeping kerak nasi di atas lantai pondok tersebut. Diambilnya sedikit kerak nasi itu kerana hendak diperiksanya. Ia berasa takjub kerana dengan serta-merta tangisan kanak-kanak itu pun berhenti.
 
Telaga Mahsuri
Selepas memerhatikannya maka dilepaskannya kerak nasi itu dan kedengaran semula bunyi kanak-kanak menangis. Pandak Maya bertambah hairan apabila melihatkan kejadian itu. Apabila hujan sidang ia pun berjalan balik dengan membawa sedikit kerak nasi itu. Apabila sampai di rumah diberinya kerak nasi itu kepada isterinya serta diceritakannya apa yang telah berlaku.

Isterinya menyatakan kepadanya bahawa mengikut kepercayaan orang tua-tua tangisan kanak-kanak seperti itu ialah tangisan "semangat" buah padi.
Mek Andak pun menyimpan kerak nasi itu dan pada tiap-tiap kali ia memasak nasinya, sama ada untuk makan siang atau makan malam dimasukkannya kerak nasi itu ke dalam nasinya dan mereka bertiga beranak pun makanlah seperti biasa.
Beberapa bulan kemudian Mek Andak pun mengandung sekali lagi. Selain daripada berladang padi untuk menambah pencarian keluarganya, Pandak Maya biasa pergi ke dalam hutan tidak jauh dari rumahnya kerana mencari damar, iaitu getah daripada pokok meranti. Pada suatu hari, ia merayau di dalam hutan itu berjalan dari sebatang pokok ke sebatang pokok memungut damar di suatu tempat bernama Belanga Pechah, maka ia telah sampai ke sebuah gua. Di gua itu dilihatnya satu benda seperti cendawan melekat pada tepi gua itu. Diambilnya sedikit untuk dimasak oleh isterinya kalau-kalau benda itu cendawan.

Di tengah jalan pulang ia berjumpa seorang China bernama Ah Pek. Maka ditunjukkannya kepada Ah Pek benda yang dibawanya itu, serta bertanyakan nama benda itu. Ah Pek sendiri tidak kenal benda itu lalu meminta sekeping supaya dapat ditunjukkannya kepada taukenya yang tinggal di Padang Mat Sirat. Tauke sendiri tidak tahu apakah benda lalu dibawanya ke Pulau Pinang supaya dapat dikenali.

Apabila ia balik dari Pulau Pinang beberapa hari selepas itu, Tauke itu pun bersama-sama dengan Ah Pek pergi ke rumah Pandak Maya dan memberitahu kepadanya bahawa benda yang disangka oleh Pandak Maya cendawan itu ialah sarang burung yang boleh dimakan. Tauke itu menyatakan sarang burung itu sukar didapati dan harganya sangat mahal.
 
Pandak Maya sudah tentu sangat gembira kerana ia boleh dapat dengan banyak di dalam gua itu. Maka ia pun pergi ke gua tersebut lalu mengumpul sarang burung itu, kemudian ia menyuruh jualkan kepada Tauke itu di Pulau Pinang. Kadang-kadang ia sendiri pergi menjualnya. Dengan wang jualan sarang burung itu ia membeli kain baharu serta barang-barang lain untuknya sendiri dan untuk keluarga. Dia juga membeli barang-barang untuk dijual kepada orang-orang di kampungnya.

Tiada berapa lama kemudian pecahlah khabar bahawa Pandak Maya telah menjumpai sarang burung dan dia telah menjadi kaya-raya.

Pada suatu hari seorang kawan Pandak Maya bernama Mat Jusoh telah datang ke rumahnya dan bertanya kepadanya kalau-kalau boleh ia memberitahu di mana dia mendapat sarang burung itu. Sebagai seorang yang lurus dan pemurah dia telah menemani Mat Jusoh pergi menunjukkan tempat itu. Sebelum sampai betul-betul ke tempat tersebut maka dengan tiba-tiba datang angin ribut yang amat kencang serta guruh petirnya. Beberapa pohon besar telah bongkas. Dengan yang demikian Pandak Maya dan kawannya itu pun mengambil keputusan membatalkan perjalanan mereka itu lalu pulang.

Tiada lama selepas itu mereka pergi sekali lagi dan sekali lagi hujan lebat turun serta kilat sabung-menyabung. Oleh itu bukan sahaja mereka tak dapat mencari sarang burung bahkan juga tak dapat menemui gua itu. Maka tak ada ikhtiar lain, lalu mereka pun pulang dengan tangan kosong.

Mat Jusoh dan kawan-kawannya menuduh Pandak Maya tidak jujur iaitu dengan cuba merahsiakan gua itu daripada mereka.

Ilustrasi Portrait Mahsuri
Dalam masa isteri Pandak Maya hamil maka kebunnya yang bertanam dengan pokok pisang, pokok buah-buahan dan pokok sayur-sayuran yang lain telah hidup dengan subur dan ayam itiknya menjadi biak. Jiran-jirannya selalu datang kepadanya membeli daun sirih dan sayur-sayuran.

Namanya menjadi terkenal bukan sahaja di kampungnya dan di dalam Mukim tempat ia tinggal tetapi juga di seluruh Pulau Langkawi itu.

Pada suatu malam sedang ia berbual-bual dengan isterinya serta mengucap syukur kepada Tuhan atas rahmat dan kemakmuran yang telah diturunkan olehNya kepada mereka itu, mereka telah terdengar bunyi ular cinta mani dekat rumah mereka. 

Dengan tidak bertangguh-tangguh, Pandak Maya pun turun ke tanah serta nampaklah ia ular itu ada dua ekor. Ditangkapnya kedua-kedua ekor ular itu. Mengikut satu kepercayaan orang tua-tua bahawa barang siapa dapat melihat dan memakan ular cinta mani itu akan hidup senang-lenang. Oleh yang demikian ular itu pun dibunuh mereka lalu dimasak dan mereka bertiga beranak memakannya dengan tidak ada sisa barang sedikit pun.

Kira-kira sebulan selepas itu, pada suatu hari yang terang cuacanya dan pada saat yang baik isteri Pandak Maya berasa sakit hendak bersalin. Ia pun menyuruh panggil bidan. Bidan pun datang dengan gopoh-gapah dan apabila ia sampai ia menyuruh Pandak Maya mengambil sedikit air tetapi oleh kerana musim kemarau pada masa itu tak dapatlah ia air yang cukup dari tempat yang berhampiran dengannya. Kemudian bidan menyuruh Pandak Maya mengambil daun sirih tetapi ini pun tidak diperolehnya kerana junjung sirih itu tersangat tinggi.

Tidak berapa lama kemudian seorang kanak-kanak telah selamat dilahirkan dan Pandak Maya dipanggil masuk oleh bidan untuk menamakan kanak-kanak itu. Oleh kerana kanak-kanak itu seorang perempuan ia telah diberi nama Mahsuri.
 
Telaga Mahsuri
Apabila Mahsuri berumur seminggu, Pandak Maya bermimpi bahawa ia hendaklah membawa anak kecilnya itu mandi di sebuah kolam yang tiada jauh dari rumahnya. Ia pun menunaikan kehendak mimpinya itu. Lepas mandi kanak-kanak itu pun dibawa pulang.

Untuk melapangkan hatinya, Pandak Maya pergi bersia-siar di dalam hutan kerana itulah kesukaannya. Sedang ia berjalan di dalam hutan itu ia telah ternampak setimbun batu yang ganjil rupanya. Dibedek-bedeknya dan ditakiknya dengan parangnya benda itu lalu dibakarnya. Asap yang keluar daripada pembakaran itu harum dan keras baunya. Dipungutnya beberapa ketul lalu dibawanya pulang. Selepas itu ditunjukkannya kepada Ah Pek. Kata Ah Pek benda itu ialah kemenyan dan boleh dijual dengan senang dan harganya pun baik. Pandak Maya telah mengutip banyak lagi kemenyan dan minta dijualkan kepada Ah Pek di Pulau Pinang.
Tempat Pandak Maya menjumpai kemenyan itu hingga hari ini dinamakan Lubok Kemian. Hasil daripada jualan kemenyan itu menambahkan wang Pandak Maya.

Apabila Mahsuri besar rupanya sangat cantik dan ramai orang datang ke rumahnya dan membawa hadiah. Sebagai seorang gadis yang telah besar panjang rupa parasnya bertambah-tambah cantik dan dia pandai pula melayan tetamu-tetamu yang datang serta bertimbang rasa terhadap orang-orang yang miskin. Pada masa itu tidak ada perempuan yang boleh menandingi kecantikkannya di seluruh Pulau Langkawi itu.

Pada masa tersebut Langkawi telah diperintah oleh seorang orang besar yang dianugerahi oleh Sultan gelaran Dato' Seri Kerma Jaya dan nama isterinya Mahura. Apabila Dato' itu mendengar cerita Mahsuri dan peri kecantikannya serta budi bahasanya itu beliau pun pergi ke Mawat dengan maksud hendak melihat Mahsuri.
Apabila Dato' itu sampai di rumah Pandak Maya didapatinya Pandak Maya dan isterinya tidak ada di rumah. Anak mereka, Mahsuri ada. Ia pun membuka pintu dan memberitahu Dato' itu bahawa ibu dan bapanya tak ada di rumah dan akan balik senja kelak. Dato' itu mengatakan bahawa dia tak dapat menanti dan akan datang sekali lagi pada suatu hari kelak.
 

Dato' itu telah tertarik oleh budi bahasa dan kecantikan Mahsuri dan dengan serta-merta timbullah di dalam hatinya bahawa ia ingin hendak mengambil gadis itu untuk menjadi isterinya. Apabila dinyatakannya hasrat hatinya kepada isterinya maka terjadilah satu perkelahian yang begitu sengit sehingga terpaksa Dato' itu membatalkan cita-citanya hendak mengahwini Mahsuri.
Dato' Seri Kerma Jaya ada seorang anak bernama Mat Deris dan setelah berbaik-baik semula dengan isterinya Dato' itu telah berpakat dengan isterinya hendak meminang Mahsuri untuk anaknya itu dan isterinya itu pun bersetuju. Pandak Maya serta isterinya telah menerima kedatangan orang-orang pihak Dato' itu mengikut adat istiadatnya dan mereka pun bersetujulah atas peminangan itu. Tiada berapa lama kemudian majlis perkahwinan pun diadakan dengan secara besar-besaran dan hampir-hampir semua penduduk Pulau Langkawi telah dijemput hadir ke majlis yang meriah itu.
Selepas perkahwinan itu sepasang suami isteri pun tinggal bersama-sama dalam aman sentosa dan rukun damai. Bulan berganti bulan, maka Mahsuri pun hamil. Suaminya Mat Deris telah pergi ke Siam kerana urusan perniagaan dan sebagai biasa lama dia tiada pulang.

Dalam masa Mat Deris tidak ada maka datanglah seorang pengembara Melayu muda lagi miskin ke Langkawi. Namanya Deramang. Orang ini dilahirkan di Melaka. Ia mengembara di seluruh Semenanjung termasuklah Pulau Pinang dan Perlis. Dari Perlis ia menyeberang ke Langkawi kerana hendak tinggal beberapa hari.

Deramang mempunyai suara yang sangat merdu, dan sangat pandai berpantun serta membaca cerita dalam bentok prosa. Pada suatu hari dia datang ke rumah Mahsuri. Mahsuri kasihan melihatkan keadaan pengembara miskin ini lalu mempelawa dia tinggal di rumahnya beberapa hari dengan izin ibu bapanya. Deramang menerima pelawaan itu serta mengucapkan terima kasih kepadanya.

Ilustrasi Mahsuri diikat di pokok.
Pada waktu malam Deramang telah berpantun dan bercerita. Orang-orang yang tinggal berdekatan di situ datang ke rumah Mahsuri mendengar pantun dan cerita Deramang.

Beberapa bulan kemudian Mahsuri pun melahirkan anaknya yang pertama seorang laki-laki, dan telah diberi nama Mat Arus.

Oleh sebab baik budi dan ramah mesra Deramang dan Mahsuri, lebih ramai orang datang ke rumah Mahsuri dan sedikit sahaja datang ke rumah Dato' Seri Kerma Jaya. Oleh kerana begitu terkenalnya Mahsuri maka namanya sentiasa di bibir mulut tiap-tiap orang.

Mahura isteri Dato' berasa cemburu dan iri hati kepada Mahsuri kerana namanya terkenal dan dengan mengingatkan cita-cita suaminya tempoh hari hendak memperisterikan dia dan telah menimbulkan perselisihan di antara dia, dengan suaminya itu maka ia mengambil keputusan hendak membuat fitnah.

Pada suatu malam yang gelap dia meminta izin daripada suaminya Dato' hendak pergi ke rumah Mahsuri dengan alasan hendak mendengar Deramang berpantun dan bercerita. Dato' telah mengizinkan dia pergi. Ia pun pergi. Beberapa ketika kemudian dan sebelum sampai ke rumah Mahsuri, Mahura berlari balik ke rumahnya dengan termengah-mengah serta dengan tangisnya dan memberitahu suaminya bahawa ia telah melihat Mahsuri dan Deramang sedang bercumbu-cumbuan dan Deramang memakai sebentuk cincin yang diberi kepadanya oleh Mahsuri.

Benar Deramang ada memakai cincin. Cincin itu dihadiahkan kepadanya oleh Mahsuri dengan izin bapanya kerana menghargai jasa-jasa Deramang dalam menglipurkan hatinya dengan berpantun dan bercerita dalam masa suaminya meninggalkan rumah begitu lama.
 
Monumen Mahsuri
Apabila mendengarkan cerita isterinya itu maka timbullah radang Dato' Seri Kerma Jaya dan pada keesokan paginya ia telah mengerah orang-orangnya menangkap Mahsuri dan dengan tidak menyiasat lebih lanjut serta perbicaraan, ia telah dijatuhkan hukuman bunuh.

Orang-orang Dato' itu pun pergilah ke rumah Mahsuri di Mawat dan mereka dapati dia tidak ada di rumah. Dia telah pergi ke suatu tempat tiada jauh dari rumahnya mendodoikan anaknya di dalam buaian di bawah sepohon kayu. Orang-orang itu telah pergi ke tempat itu lalu berjumpa dengannya. la diberitahu bahawa mereka telah diperintahkan oleh Dato' menangkap dan membunuh akan dia kerana kelakuan sumbangnya dengan Deramang. la hendak dibawa ke suatu tempat bernama Padang Hangus dan di sanalah hukuman itu hendak dijalankan.

Mahsuri berasa hairan dan merayu bahawa dia tiada bersalah. Tetapi segala rayuannya itu sia-sia belaka.

Bapanya Pandak Maya yang sedang berada di dalam rumahnya apabila mendengar khabar mala petaka yang menimpa anaknya itu telah membawa tujuh buah kereta lembu yang penuh berisi wang untuk menebus anaknya itu tetapi tiada berhasil.

Perkhabaran berkenaan dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas Mahsuri itu telah merebak dengan pantas ke seluruh kampung di dalam Mukim itu dan ramai orang telah membantah perintah tersebut. Tetapi apa pun tidak dapat memujuk hati Dato' itu mengubah keputusannya.

Beratus-ratus orang telah berhimpun di Padang Hangus hendak menyaksikan pembunuhan itu. Permintaan Mahsuri yang terakhir ialah hendak menentang wajah anaknya bagi kali yang terakhir tetapi Dato' tiada membenarkannya.
 

la telah diikat kepada sebatang pokok asam jawa. Dua bilah lembing tajam telah digunakan. Apabila ditikamkan ke tubuh Mahsuri yang lemah itu pada kedua-dua belah bahagian lembut bahunya mata lembing yang tajam itu tidak dapat menembusi kulit atau dagingnya. SeIepas segala percubaan yang gagal itu, Mahsuri memberitahu pembunuh-pembunuhnya bahawa jika sekiranya mereka betul-betul hendak menjalankan hukuman membunuh akan dia, dia ada sebilah lembing kepunyaannya sendiri di rumahnya dan senjata itulah sahaja yang boleh membunuh akan dia.

Maka perintah pun dikeluarkan untuk pergi mengambil lembing Mahsuri. Apabila ditikamkan lembing itu ke tubuh badannya maka kelihatan darah putih memancut ke atas lalu terbentuk seperti payung di atas kepalanya.

Sebelum Mahsuri menghembuskan nafasnya yang akhir dia telah berkata dengan suara yang lembut dan jelas bahawa oleh kerana perbuatan zalim ini Pulau Langkawi tidak akan makmur dan tidak akan menikmati keamanan selama tujuh keturunan yang akan datang. Ramalan Mahsuri itu betul berlaku.

Deramang pula apabila ia mendengar peristiwa yang dahsyat ini ia telah lari ke Perlis dan langsung tidak kedengaran ceritanya.

Beberapa tahun kemudian Langkawi telah diserang oleh Siam dan telah ditawan dan dibinasakan mereka. Dato' Seri Kerma Jaya dan kesemua ahli keluarganya telah dibunuh oleh tentera yang menyerang itu. Ramai daripada penduduk pulau itu telah ditawan dan dibawa ke Silim.

Sebagai ikhtiar yang akhir sebelum tentera Dato' yang bertahan itu mengundurkan diri, mereka telah menggunakan taktik menjahanamkan harta benda iaitu dengan membakar padi beras rakyat dan bekalan-bekalan tentera.

Credit to: Dato Wan Ibrahim bin Wan Soloh

Tuesday, 27 March 2012

BERBALOIKAH BAKAR DIRI??


Penunjuk perasaan Tibet bakar diri

Dia menjerit semasa api membakar baju dan seluarnya.


NEW DELHI - Seorang penduduk Tibet, Janphel Yeshi yang membakar dirinya berlari ke sebatang jalan di New Delhi semalam.
Dia melakukan perbuatan itu bagi menyatakan bantahan terhadap Presiden China, Hu Jintao yang akan melawat India.
Penduduk Tibet tersebut, Janphel Yeshi, 27, melakukan perbuatan itu di Jantar Mantar yang merupakan tempat perhimpunan awam dan demonstrasi.
Beberapa saksi berkata, dia yang memakai baju dan seluar panjang menjerit semasa api membakar tubuhnya.
Menurut seorang ahli perniagaan Tibet, Nyima Tashi, Yeshi kemudian terjatuh selepas dia berlari.
"Kami semua terkejut," katanya yang berusia 39 tahun.
"Salah seorang penyokong kami membaling sehelai kot ke arahnya sebagai usaha untuk memadamkan kebakaran.
"Polis kemudian menghantarnya ke hospital," tambahnya.
Tashi berkata, dia pernah melihat Yeshi menghadiri perhimpunan bagi menuntut kebebasan Tibet.
"Kami menentang penguasaan China ke atas Tibet, kekurangan kebebasan agama dan hak asasi," jelasnya.
Seorang pegawai polis berkata, 85 peratus tubuhnya melecur.
Menurut Dr, R.K. Doshi di Unit Kecemasan Hospital Ram Manohar Lohia, beberapa kakitangan perubatan berusaha untuk menyelamatkan nyawa Yeshi.
"Keadaan dirinya amat kritikal. Peluang untuknya hidup amat tipis," katanya.
Sebilangan aktivis Tibet berkata, Yeshi merupakan penganggur yang telah merancang untuk melakukan perbuatan tersebut sejak beberapa hari lalu.
Menurut mereka, lelaki itu tiba di lokasi penunjuk perasaan dengan membawa botol mengandungi minyak tanah yang digunakan untuk membakar dirinya.
Dia melarikan diri dari Tibet pada tahun 2006 dan tinggal di sini sejak dua tahun lalu.
 Credit to: Kosmo

Sunday, 25 March 2012

CEMAS..30 kambing terperangkap di beting pasir



Kambing
KUANTAN - Tanggapan bahawa kambing takutkan air mungkin tidak lagi sesuai digunakan kerana kira-kira 30 ekor kambing dipercayai milik penduduk Kampung Tanjung Selangor, Pekan, dilihat selesa turun bermain air di beting pasir berhampiran Kuala Kampung Cherok Paloh, dekat sini, semalam.

Kejadian yang dianggap pelik itu disaksikan sebuah keluarga dari Kuantan yang kebetulan singgah berehat di tepi pantai berkenaan.

Bagaimanapun keasyikan mereka menyaksikan gelagat kambing itu bertukar cemas apabila semua haiwan terbabit terperangkap di beting pasir berikutan air pasang.

Moha Hazrul Hisham, 27, dari Bukit Setongkol, di sini, berkata, dia bersama 10 ahli keluarganya singgah di pantai itu kira-kira jam 9 pagi untuk berehat selepas penat mengayuh basikal dari Kuantan ke Kampung Cheruk Paloh.

Menurutnya, mereka ternampak kumpulan kambing itu datang dari Tanjung Selangor sebelum melintasi air cetek di beting pasir dan berjalan ke kawasan yang agak jauh ke tengah.

“Kami sedari air mula pasang dan ternampak haiwan terbabit mula berkumpul di satu kawasan dikelilingi air laut yang semakin dalam serta berarus agak deras.

“Kami mula panik kerana bimbang kambing-kambing itu akan lemas, namun beberapa nelayan yang melintasi kawasan itu bersama bot masing-masing tidak mengendahkan kejadian yang berlaku,” katanya.

Moha berkata, atas dasar kemanusiaan, dia menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk meminta bantuan bagi menyelamatkan kambing berkenaan memandangkan keadaan air semakin dalam.

Tiga anggota JPAM Pekan, Mohd Indra Iskandar Ramli, 21, Nor Faizal Mohamad, 27, dan Abdul Syukur Ismail, 30, tiba di lokasi kira-kira jam 10 pagi sebelum cuba mendekati kawasan kambing yang terperangkap menggunakan sebuah bot.

Kehadiran tiga anggota penyelamat itu seolah-olah tidak disenangi kumpulan kambing terbabit apabila semuanya cuba melarikan diri dengan berenang melintasi air yang agak deras untuk ke tebing arah Tanjung Selangor.

Kejadian disaksikan dengan penuh debaran keluarga terbabit kerana mereka tidak yakin haiwan itu mampu melepasi arus deras sejauh kira-kira 50 meter ke tebing.

Bagaimanapun, debaran mereka berakhir apabila kambing-kambing itu berjaya sampai ke tebing dalam keadaan selamat, tetapi seekor anak kambing tersasar dibawa arus, namun sempat diselamatkan tiga anggota JPAM itu.

Bagi Mohd Indra, pengalaman menyelamat haiwan bukan kali pertama baginya, namun kes kambing terperangkap dan nyaris lemas dalam air laut tidak pernah dilalui selama dia berkhidmat dalam pasukan sukarela itu.

Menurutnya, mereka tetap memberikan respons terhadap semua aduan orang ramai walaupun kes kecemasan itu melibatkan haiwan.

“Bagi kami haiwan juga makhluk bernyawa dan perlu diselamatkan jika berlaku kecemasan atau bencana, jus­teru kami nekad untuk menyelamatkan kambing-kambing itu daripada lemas dihanyutkan arus,” katanya kepada Sinar Harian.
Credit to:Sinar Harian

AWAS..Remaja diculik, dirogol



Kws Rogol
SABAK BERNAM – Seorang gadis bukan sahaja dilarikan secara paksa malah dirogol oleh seorang lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Panjang, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian itu, mangsa berumur 17 tahun itu bersama adiknya menaiki motosikal diekori suspek dari sebuah stesen minyak di Pekan Sungai Besar.

“Setibanya di Sungai Panjang, suspek melanggar motosikal yang dinaiki mangsa dan adiknya menyebabkan motosikal itu jatuh.

“Suspek kemudiannya membawa lari mangsa secara paksa dan membawanya ke sebuah kebun di Parit 15, serta merogol mangsa,” katanya adik mangsa terus pulang ke rumah dan memaklumkan kepada bapanya serta penduduk kampung serta laporan polis dibuat.

Menurutnya, suspek sempat menghubungi rakan-rakannya dan mengugut untuk merogol mangsa beramai-ramai jika mangsa memberitahu kejadian itu kepada sesiapa.

“Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari kebun berkenaan dan diturunkan di tepi jalan selepas berjanji menyembunyikan kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, penduduk yang sudah dimaklumkan tentang kehilangan mangsa terlihat suspek menurunkan mangsa dan bertindak mengejar suspek.

“Menyedari dirinya diburu, suspek memecutkan kereta yang dipandunya sehingga terbabas masuk ke dalam kebun.

“Suspek yang panik meninggalkan kenderaan itu dan menyembunyikan diri di rumah majikannya di Parit 13,” katanya.

Noor Mushar berkata, polis berjaya menjejaki mangsa berdasarkan kenderaan yang ditinggalkan mangsa, kereta Proton Saga berwarna putih itu adalah milik majikan mangsa.

“Suspek yang berusia 19 tahun akhirnya menyerah diri kira-kira jam 10.30 pagi semalam apabila majikan membawanya ke IPD bagi membantu siasatan,” katanya mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang

Menurutnya, pihaknya menghargai kerjasama yang diberikan masyarakat setempat sehingga suspek dapat dikesan.

“Kita juga memuji tindakan adik mangsa yang dapat mengingati dengan pantas nombor kenderaan, jenis dan warna kenderaan yang banyak membantu kepada menyiasat kes ini.

“Kita juga menasihatkan ibu bapa atau penjaga memantau dan memastikan anak sentiasa dalam kawalan terutamanya perempuan,” katanya

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (jenayah rogol) dan Seksyen 363 (menculik daripada jagaan sah)
Credit to:Sinar Harian

Thursday, 22 March 2012

JANGAN HISAP ROKOK



Sarimin Sorno Merokok dan menghisap sisa kerja sia-sia. Mencemar udara bersih dan membazir wang, masa dan kesihatan diri serta org lain. Mengkayakan golongan pengeluar/kapitalis. Di Negara2 maju sprt USA, EU dll rokok diakui merbahaya lalu dieksport ke negara membangun dan dunia ketiga.Jgn jadi mangsa MEREKA dan jgn kita jadi agen perosak...... 

KELEBIHAN HARI JUMAAT


Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (HR Muslim).

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya hari Juma‘at adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jum‘at itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jum‘at juga akan terjadinya hari Kiamat”. (HR Ibnu Majah)

Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Sahih, al-Hakim:3392, disahihkan oleh al-Albani)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) ". (HR Al Baihaqi)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya harimu yang paling utama adalah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari itu, kerana selawatmu ditunjukkan kepadaku. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami ditunjukkan kepadamu sedangkan tubuhmu telah hancur? Rasulullah s.a.w. menjawab: Sesungguhnya Allah mengharamkan tubuh para Nabi bagi bumi (tidak hancur)." (HR Abu Daud, Nasa'i dan Ibnu Majah).

Rasulullah bersabda maksudnya : “Sesiapa yang berwuduk dan kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya”. (HR Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Pada hari Jumaat terdapat satu waktu, tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkannya. Carilah ia di akhir waktu selepas asar.” (Sahih, Abu Daud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz Dzahabi, an-Nawawi dan al-Albani)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur (soalan di dalam kubur). (HR At-Tirmizi. Al-Albani mengatakan hadis ini hasan dalam Ahkam Janaiz). 



Credit:Tazkirah.

Saturday, 17 March 2012

Identiti Tentera AS Menembak Mati Rakyat Afghanistan



Robert Bales
KABUL - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) semalam mendedahkan identiti - gambar dan nama askar yang menembak mati 16 rakyat Afghanistan dan kemudian membakar sebahagian daripada mereka dalam satu kejadian awal minggu ini.

Askar itu dikenali sebagai Sarjan Robert Bales. Fotonya juga dimuatkan pada satu laman web pihak tentera sehingga namanya diumumkan.

Pegawai-pegawai AS mengeluarkan identitinya ketika dia sedang dibawa ke AS untuk menghadapi tuduhan membunuh.

Dia dijangka tiba di Fort Leavenworth, Kansas dari Kuwait.

Peguamnya, John Henry Browne berkata, suspek itu berusia 38 tahun dan pernah cedera dua kali ketika berkhidmat di Iraq.

Katanya, askar itu telah menyaksikan kaki rakannya berkecai sehari sebelum dia mengambil tindakan kejam menembak 16 orang awam termasuk sembilan kanak-kanak.

Menurut laporan BBC, insiden itu belum disahkan oleh Tentera AS.
Credit to:Sinar Harian

Friday, 16 March 2012

Manfaatkan lidah melalui komunikasi berkesan


 

KOMUNIKASI berkesan mampu menjana kebijaksanaan diri dan masyarakat serta kelangsungan ajaran Islam secara berterusan selagi yang disampaikan itu baik dan menepati ajaran Islam. Rasulullah bersabda, “Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat.” (Riwayat Imam Bukhari) 

Dalam pelbagai situasi sosial sama ada dalam hubungan kekeluargaan, kejiranan dan pekerjaan, komunikasi juga boleh menjadi punca perselisihan faham, perbalahan, persengketaan dan perceraian.


Dalam situasi organisasi, ada pengurus atasan yang memberikan arahan dan permintaan kepada subordinat dengan baik dan jelas, ada pula yang menyampaikannya dengan tegas, ada pula yang menyampaikannya secara perli dan sindiran, ada juga yang menyampaikannya dengan gurauan. 


Pelbagai bentuk penyampaian komunikasi boleh memberikan kesan yang berbeza kepada subordinat sehingga ada yang menerima dan mendengarnya dengan senang hati atau secara serius untuk tindakan, ada yang tidak faham dan bersungut, ada yang buat tidak tahu kerana menyangka ia bukan arahan tetapi hanya suatu pernyataan serta macam-macam reaksi lain berbeza kerana cara dan gaya seseorang berkomunikasi. 

Dalam situasi lain pula walaupun seseorang itu terpelajar, berjawatan tinggi, memiliki kekayaan tetapi tidak semestinya mampu menyesuaikan diri atau disenangi orang sekeliling sama ada dalam keluarga suami atau isteri, mentua, jiran, ahli kariah atau jika di pejabat, sesama rakan atau majikan. 

Mengapa hal ini terjadi? Salah satu aspek yang boleh diperhatikan dan diperbaiki ialah komunikasi kita dengan orang lain. Untuk berkomunikasi dengan baik memerlukan kecerdikan emosi selain akal. Emosi yang boleh menimbangkan antaranya kesesuaian bahasa, masa, aspek perbualan, tempat, kekerapannya dan nada pertuturan. Justeru, Nabi Musa pernah berdoa kepada Allah, “Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, supaya mereka faham perkataanku; dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku.” (Surah Taha, ayat 27-30). 

Pepatah Melayu ada menyebut, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’. Justeru, melalui komunikasi berkesan, kita dapat menjalinkan hubungan, mengeratkan persaudaraan, menyampaikan ilmu pengetahuan dan buah fikiran, menyalurkan arahan, maklumat, memberi peringatan, pengajaran, malah membina tamadun bangsa. 
Akan tetapi kerana mulut juga manusia boleh bercakaran, bermusuhan, bercerai-berai dan saling berbunuhan. Justeru, bagi umat Islam yang beriman, perlulah menjaga adab ketika berkomunikasi dengan menuturkan perkataan baik dan dengan cara betul, sesuai dengan keadaan serta golongan sasaran. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Jagalah lidah kamu”. Namun, ia bukan sesuatu yang mudah walaupun berlaku secara tabii. Ia mempunyai seni dan kemahirannya yang boleh dipelajari sama ada melalui komunikasi atau proses pembelajaran secara formal. 

Garis panduan asas disebut banyak dalam dalil al-Quran dan hadis, antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 83 bermaksud: “Dan katakanlah kepada sesama manusia yang baik.” Allah mengingatkan Nabi Muhammad SAW supaya tidak berkasar ketika menyampaikan seruan Islam dalam firman-Nya: “Maka disebabkan rahmat dari Allahlah engkau (Muhammad) berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan kasar, tentulah mereka menjauhkan diri darimu.” (Surah Aali-Imran, ayat 159). 

Allah SWT turut berfirman: “Allah tidak suka kepada perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang)”. (Surah an-Nisa, ayat 48). 

Rasulullah SAW dalam sabdanya berkata: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah mengucapkan perkataan yang baik atau pun dia hanya diam”. (Riwayat Muslim) 

Dalam al-Quran, beberapa gambaran komunikasi dinyatakan dalam pelbagai istilah disampaikan secara berbeza mengikut keperluan dan golongan. Contohnya, qaulan kariman (perkataan yang mulia) dalam Surah al-Isra ayat 23. 

Ia mengandungi laras bahasa menggambarkan sifat menghormati dan tidak menyebabkan orang lain rasa hina atau menyinggung perasaan kepada yang lebih tua khasnya kepada kedua ibu bapa. Perkataan ‘qaulan balighan’ dalam surah An-Nisa ayat 62 dan 63 (perkataan berbekas pada jiwa). 

Ia mengandungi bahasa yang baik, isi yang jelas dan benar. ‘Qaulan maisuran’ (perkataan yang lembut dan menyenangkan), ‘qaulan ma’rufan’ (perkataan yang baik sesuai dengan keadaan dan golongan), ‘qaulan layyinan’ (perkataan yang lembut), ‘qaulan sadidan’ (perkataan yang tegas, jelas, terus terang). 

Dalam organisasi, komunikasi yang baik boleh disampaikan melalui sembilan bentuk ucapan iaitu ucapan salam, selamat, tahniah, takziah, perangsang, cadangan, maklum balas, doa dan terima kasih antara staf dan majikan. 

Oleh itu, komunikasi di tempat kerja tidaklah tertumpu kepada komunikasi pengarahan, pengaduan, permintaan, perbincangan dan pertanyaan saja tetapi perlu dipelbagaikan mengikut keadaan dan pencapaian dengan sembilan bentuk komunikasi pengucapan tadi supaya masing-masing merasakan diri dihargai dan merasa selesa serta seronok di tempat kerja. Semuanya sangat bererti dan besar kesannya dalam komunikasi dan interaksi kerja. 

Kajian juga menunjukkan komunikasi yang berkesan mempunyai hubungan rapat dengan komitmen, prestasi dan kepuasan kerja. Justeru, keberkesanan organisasi mempunyai hubungan yang rapat dengan keberkesanan komunikasi. 

Ia mampu membentuk karakter, baik dalam diri dan orang lain serta menjadi perangsang kepada daya kreativiti serta inovasi. Justeru, marilah kita berusaha menambah baik kemahiran komunikasi walau di mana berada dan dengan sesiapa juga agar ia memberi manfaat dalam segenap aspek kehidupan.
Credit:BHarian