Thursday 8 March 2012

Hindari akhlak buruk sangka


SEJAK akhir-akhir ini, sesetengah kita ghairah mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan kesannya terhadap individu dan sensitiviti orang lain. Dalam diri mereka, ada sikap mencari kesilapan orang yang tidak sependapat, malah ditabur fitnah dan penuh dengan buruk sangka.

Islam sentiasa menyuruh agar sentiasa bersangka baik sesama insan, baik kepada Muslim dan bukan Muslim sehingga ada keterangan dan bukti yang boleh kita mengambil langkah berjaga-jaga.

Ayat Allah banyak mengingatkan kita bersangka baik kerana boleh menjamin kesejahteraan dan keamanan sejagat. Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kamu daripada sangkaan (iaitu sangkaan membawa kerosakan) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa...” (Surah al-Hujurat: 12) Ayat Allah itu membawa suatu petunjuk kepada kita bahawa orang beriman sentiasa bersangka baik kepada insan, terutama sesama Muslim.
Ramai di antara kita hari ini gemar menilai perilaku individu lain. Lebih menyedihkan apabila kebaikan orang lain ditafsirkan mempunyai agenda dan matlamat tersendiri.

Ini jelas menyalahi apa dinasihatkan Rasulullah s.a.w: “Aku tidak disuruh untuk menyelidiki setiap gerak hati manusia (membaca niat di hati manusia lain) dan perut mereka” (Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742) Bagaimana kita berinteraksi dengan ayat Allah dalam surah al-Hujjurat dan juga hadis muttafaqun alaih (al-Bukhari dan Muslim) dalam konteks kehidupan harian kita hari ini? Jika kita meneliti dan mengamati firman Allah dan sabda Rasul itu, sudah pasti kita punyai tanggungjawab besar dalam menjaga diri, terutama dalam menilai dan menghukum orang lain. Ini dapat dilihat antara ahli politik dengan lawan yang tidak sebumbung. Setiap kebaikan langsung tidak didahului ucapan terima kasih dan syukur, namun lidah cepat mengambil peluang menghunus parti lawan dan menyebarkan kepada orang lain agar tidak terpedaya dengan kebaikan. Ditambah lagi mereka mengambil urusan Allah dengan mempertikaikan kebaikan dan pemberian itu hanyalah sebagai gimik, strategi mengaburi masyarakat.

Sebagai umat Islam, adab terbaik dan akhlak yang dianjurkan adalah dengan sentiasa berterima kasih dan bersyukur. Menjadi prinsip kita sebagai umat Islam agar bila diberi kita bersyukur, bila diuji kita bersabar.
Akhlak buruk sangka ini haruslah dijauhi, terutama sekali dalam urusan politik. Tidak kira daripada mana parti, perbuatan yang baik hendaklah diadili dan dinilai dengan sangkaan baik.

Di antara pakar agama juga kadangkala budaya sangkaan buruk ini juga terjadi. Lebih buruk lagi jika yang berada dalam iklim dan pentas politik. Semestinya setiap gerakan, perkataan dan tulisan akan dikaitkan dengan politik. Lalu muncullah kumpulan yang mampu ‘membaca’ hati manusia lain. Lagak mereka seperti ahli sufi yang seolah-olah bijak mentafsir dan menterjemahkan bicara dakwah orang lain.
Dituduh mereka ulama keji, ustaz yang dibeli dengan memfitnah bahawa mereka disogokkan sejumlah wang ringgit dan diakhiri dengan membangkitkan rasa benci pada pakar agama yang tidak sependapat dengan mereka.

Mengapa tiada sangkaan baik atas usaha dakwah dijalankan? Apa yang melucukan, apabila bahan disampaikan pakar agama kebetulan sama dengan pendapat parti mereka lalu pakar agama itu akan dijulang, mendapat puji-pujian, namun jika berlaku sebaliknya, pakar agama itu akan dihempuk tanpa belas kasihan. Peringatan ini Allah abadikan dalam ayatnya bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Al-Maidah : 8) Buruk sangka dan khianat mengenai fakta Akibat buruk sangka tadi dan juga lidah tidak terurus, maka akan timbullah perpecahan dan permusuhan di antara umat Islam. Lebih buruk lagi, jika ia dipelopori di kalangan ahli politik dan pakar agama. Mereka membawa bicara dan berita untuk ditebarkan pada masyarakat lalu masyarakat menerima tanpa menilai fakta tersebut.

Baru-baru ini dalam suatu ceramah agama, seorang penceramah ‘Youtube’ yang cukup masyhur melarang jemaahnya membeli kitab daripada Arab Saudi kerana bimbang jemaahnya akan terperangkap dengan ideologi berbahaya dan sesat. Tidakkah ini suatu ‘amanat’ tidak bertanggungjawab? Adakah kerana kita begitu berpegang pada mazhab al-Syafie di Malaysia lalu kita menghukum negara yang majoritinya berpegang mazhab Hambali adalah sesat? Ini suatu tuduhan berat dan tidak beretika, malah jauh daripada budaya akademik dan bijak pandai. Bukankah Mazhab Hambali juga adalah Imam besar dalam mazhab Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah? Bukankah dia juga guru pada imam besar hadis seperti Imam Al- Bukhari? Pakar agama seperti ini cukup berbahaya jika terus diberi ruang menyampaikan sesuatu dengan ‘buruk sangka’. Hampir setiap bicaranya dipenuhi kebencian dan buruk sangka, terutama pada mereka yang tidak sependapat dengannya. Hal ini harus dielakkan kerana dalam tanggungjawab kita hendak menyampaikan sesuatu nasihat atau peringatan, maka ia perlu dinilai dengan fakta dan ilmu. Ia mungkin menjadi lebih serius jika pihak kedutaan Arab Saudi mendengar penghinaan sebegini terhadap ulama hebat mereka seperti Syeikh Ali Syeikh, Syeikh Bin Baz, Syeikh Syanqiti, Ibn Uthaimin, Salih Fauzan Al-Fauzan, Ibn Jibrin dan ramai lagi.

Mungkin penceramah ‘angkuh’ itu lupa kerana terlampau takutkan kehebatan ulama Arab Saudi akan hadis Nabi yang bermaksud: “Tidak ada bandar dan kota yang tidak dimasuki Dajjal melainkan Makkah dan Madinah di mana dia tidak dapat memasukinya”. (Hadis Riwayat Anas dan Bukhari Jld. 2, ms. 1055). Di bumi manakah Makkah dan Madinah ini berada? Adakah di Mesir seperti yang beliau banggakan? Perkara seperti ini sememangnya berlaku sejak zaman berzaman yang patut kita jadikan teladan. Budaya fitnah, sangkaan buruk dan khianat sudah dihadapi iman-imam besar dalam menyebarkan dakwah. Mereka difitnah dengan tuduhan jahat hanya kerana melawan kesesatan dan mempertahankan kebenaran. Imam Ibn Kathir mengabadikan dalam kitabnya, Al-Bidayah wa Al-Nihayah berhubung pembohongan pakatan Imam Abu Hassan Al-Syaibani dan Imam Qadi Abu Yusuf agar Imam Syafie dibunuh sebagaimana dalam kitab al-Rihlah ila al-Rasyid (Kembara Menuju Harun al-Rasyid). Semua ini dilakukan hanya kerana taksub mazhab masing-masing dan begitu tinggi tahap kebencian hanya kerana berbeza pendapat. (Lihat: Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/263).

Begitu juga tokoh hebat seperti Syeikh Islam Ibn Taimiyyah yang difitnah sehingga dipenjarakan musuhnya yang dengki dan sentiasa berburuk sangka dengan mereka yang tidak sehaluan. Firman Allah (maksudnya): Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita dusta itu segolongan di kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan mendapat hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya antara mereka akan beroleh seksa besar (di dunia dan di akhirat). Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, hendaklah bersangka kepada diri mereka sendiri (sesama mukmin) dan berkata: “sesungguhnya ini adalah tuduhan dusta nyata.” (surah al-Nur 11-12).

Begitu juga dalam usaha kita untuk bersangka baik, nilailah fakta dengan seadilnya, bukan dengan sangkaan kurang bijaksana dan janganlah mengambil urusan Allah dengan menghukum perbuatan baik manusia lain sebagaimana Imam Al-Nawawi dan Ibn Hajar dalam kitab mereka Syarhul Muslim dan Fathul Bari: “Sesungguhnya manusia tidak letakkan tanggungjawab untuk menilai urusan luar daripada yang zahir (jelas), dan apa jua urusan terlindung itu cukup sekadar urusan Allah dengan hamba-Nya”. (Syarah Sahih Muslim, 7/193; Fath Al-Bari, 9/119). Jika ingin mencapai taqwa, berlaku adillah dalam menilai! Penulis berkelulusan dalam bidang hadis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah Timbalan Pengerusi Sekretariat Ulama Muda Malaysia

No comments:

Post a Comment