Thursday 8 March 2012

BERPEGANG TEGUH PADA TALI ALLAH


Syeikh Muhammad Abu Zahrah berkata: “Allah telah menerangkan pada ayat terdahulu keengganan sebahagian ahli Kitab dan berterusan mereka dalam kejahatan dan menyekat mereka jalan hidayah untuk sampai ke dalam hati mereka. Di samping itu, cabaran mereka terhadap kebenaran dan pengikutnya. Dan keengganan mereka untuk bukti yang sabit yang tidak boleh dinafikan kemudian mereka melampaui batas tersebut dan menentang orang yang beriman. Lantas ia meniupkan roh perpecahan dan kembali kepada zaman jahiliah. Pada ayat ini Allah menerangkan kepada orang beriman tali yang kukuh tidak sesat supaya mereka berpegang dengannya iaitu dengan takwa kepada Allah s.w.t.”
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
Sebab Nuzul
Ikrimah berkata: “Ayat ini diturunkan kepada Aus dan Khazraj ketika mereka hampir berperang, kemudian Nabi s.a.w mendamaikan mereka.”
Pertama: Firman Allah s.w.t: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam).”
Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir berkata: “Tali Allah” mempunyai enam pendapat:
  • Kitab Allah, iaitu al-Quran. Inilah pendapat Shaqiq daripada Ibn Mas’ud, Qatadah dan al-Dhahak.
  • Jemaah. Inilah pendapat al-Sya’bi daripada Ibn Mas’ud.
  • Agama Allah. Inilah pendapat Ibn Abbas R.Anhuma, Ibn Zaid, Muqatil dan Ibn Qutaibah.
  • Perjanjian Allah. Inilah pendapat Mujahid, Ata’, Qatadah dan Abu ‘Abid.
  • Ikhlas. Inilah pendapat Abu al-‘Aliah.
  • Perintah Allah dan ketaatannya. Inilah pendapat Muqatil bin Hiyan.
Al-Sonhadji berkata: “Tali Allah di sini ialah agama-Nya yang menuju ke jalan yang lurus. Dan dilarang kamu berpecah-belah, iaitu jangan berselisih di antara kamu sesama Islam, kelak membawa ke jalan yang sebaliknya, iaitu jalan yang ditegah oleh Allah. Di antara jalan-jalan perselisihan dan perpecahan ialah menubuhkan kumpulan atau parti-parti berdasarkan semangat berpuak-puak kerana taksubkan bangsa. Masing-masing mamandang sukunya atau bangsanya lebih daripada yang lain dan hendak mengalahkan lawannya seperti dibayangkan oleh Tuhan terhadap suku Aus dan suku Khazraj banyak kita saksikan berlaku pada masa ini. Oleh yang demikian, perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan hendaklah dijauhi.”
Sayid Qutb berkata: “Di sini jelaslah bahawa persaudaraan itu adalah persaudaraan yang lahir dari takwa dan Islam yang menjadi tiang seri yang pertama, iaitu tiang seri yang berasaskan pegangan yang kukuh dengan tali Allah, iaitu dengan perjanjian-Nya, sistem-Nya dan agama-Nya dan bukannya persaudaraan yang lahir semata-mata bermasyarakat yang berlandaskan sesuatu fahaman yang lain atau kerana sesuatu matlamat yang lain atau persaudaraan yang berasaskan pegangan pada sesuatu tali yang lain dari tali-tali jahiliah yang banyak.”
Persaudaraan yang berpegang teguh dengan tali Allah ini merupakan suatu nikmat yang dibangkitkan Allah kepada angkatan jamaah Muslimin yang pertama, iaitu satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada para hamba yang sentiasa disayangi, dan di sini Allah mengingatkan nikmat ini kepada mereka. Dan mengingatkan bagaimana mereka di zaman jahiliah dahulu hidup bermusuh-musuhan antara satu sama lain seperti permusuhan yang paling tajam yang wujud di antara suku Aus dan Khazraj (di Madinah), iaitu dua suku Arab yang tinggal di Yathrib dan mereka berjiran dengan kaum Yahudi mendapat gelanggang yang sesuai dengan usaha kerja dan cara hidup mereka.
Kemudian Allah menjinakkan hati kedua-dua suku kaum ini dengan perantaraan agama Islam. Hanya Islam sahaja yang dapat memadukan hati yang berjauhan ini. Hanya tali Allah sahaja yang dapat memberi pegangan kepada semua orang dan dengan nikmat itu mereka dapat hidup sebagai saudara. Tiada yang dapat menyatukan hati melainkan persaudaraan kerana Allah, iaitu persaudaraan yang membuat segala dendam kesumat yang turun temurun dalam sejarah, segala pembalasan dendam, segala tamak haloba peribadi dan segala panji kaum itu kelihatan begitu kecil di samping persaudaraan ini dapat menyatupadukan mereka dalam satu barisan di bawah panji-panji Allah Yang Maha Besar dan Maha Tinggi.
Kedua: Firman Allah s.w.t: “Jangan kamu berpecah belah”, ada dua pendapat seperti kata al-Mawardi:
  • Daripada agama Allah yang diperintahkan untuk beriltizam dengan jemaah. Inilah pendapat Ibn Mas’ud dan Qatadah.
  • Daripada Rasulullah s.a.w.
Sayid Qutb berkata: Tiang seri yang kedua ialah tiang seri persaudaraan, iaitu persaudaraan kerana Allah, persaudaraan di atas sistem hidup Allah dan persaudaraan untuk menghakikatkan sistem hidup Allah.
Ketiga: Firman Allah s.w.t: “Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).”
Muhammad Quraish Shihab berkata: “Perintah mengingat nikmat-Nya merupakan dalil yang mengharuskan mereka bersatu padu dan berpegang teguh dengan tuntutan Ilahi. Ini bertepatan dengan al-Quran yang kebiasaannya apabila memerintahkan sesuatu atau melarangnya akan disertakan dalil dan alasan atau sekurang-kurangnya menyuruh manusia berfikir. Ini bersangkutan  dengan bab aqidah, feqah dan lain-lain.”
Al-Maraghi berkata: Terdapat dua jenis perselisihan yang berlaku antara manusia, iaitu:
  • Perselisihan yang tidak dapat dihindarkan dan tidak mungkin dapat dielakkan iaitu perselisihan pendapat dan fahaman. Hal ini sudah dianggap fitrah manusia. Perselisihan inilah yang dinyatakan oleh firman-Nya: Dan kalaulah Tuhanmu (Wahai Muhammad s.a.w) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian ) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan tetapi orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu… (Terjemahan Surah Hud: 11: 118-119) kerana akal dan pemahaman tidak sama. Contohnya, dalam satu keluarga, ahli-ahli juga berbeza pendapat dalam menyelesaikan masalah. Begitu juga dalam hal mencintai sesuatu dan perselisihan jenis ini tidaklah dianggap berbahaya.
  • Perselisihan yang dianggap serius yang diusahakan oleh semua agama untuk menghapuskannya. Perselisihan ini bersumberkan fikiran dan hawa nafsu yang ingin menetapkan hukum-hukum agama dan kepentingan hidup.
Keempat: Firman Allah s.w.t: “Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
Al-Syaukani berkata: “Mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk ke arah ketetapan atas hidayah dan bertambah hidayahnya.”
Ayat-ayat yang telah kita bincangkan jelas menunjukkan beberapa arahan Allah supaya kita benar-benar melaksanakannya seperti takwa, Islam, berpegang teguh dengan tali Allah, tidak berpecah belah dan sentiasa zikrullah. Pada hari ini, suasana umat Islam begitu rapuh ukhuwahnya. Hal ini menyebabkan musuh dapat menguasai umat Islam dari segenap aspek, sama ada politik, kuasa, ekonomi hatta corak kehidupan yang mereka jalani terpaksa mengikut telunjuk musuh-musuh Islam.
Justeru itu, ayuh marilah kita bersatu padu dengan membuang yang keruh dan mengambil yang jernih. Usaha seperti ini hendaklah digembeleng bersama oleh pemerintah, ulama, pemimpin masyarakat, cendekiawan, ibu bapa dan masyarakat seluruhnya. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang mendapat hidayah Allah. Amin.

Credit to: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

No comments:

Post a Comment