Pasangan sibuk kerja tiada masa layan lawatan mengejut
“TELEFON dulu atau SMS kalau hendak datang rumah.” Kata-kata ini menjadi lumrah di kalangan masyarakat sekarang.
Sebagai tuan rumah, mereka perlu membuat persiapan supaya tetamu selesa ketika bertandang. Tuan rumah pula mempunyai masa menyediakan keperluan seperti juadah dan minuman.
Jika temu janji tidak dibuat lebih awal, tuan rumah tidak boleh dipersalahkan jika tetamu mendapati rumah yang dikunjungi berkunci kerana pemiliknya mempunyai program lain di luar.
Dalam suasana hidup di kota di mana kesesakan lalu lintas berlaku di mana-mana, ketiadaan tuan rumah ketika membuat lawatan ‘mengejut’ menyebabkan pengunjung rasa kecewa. Walaupun ada perasaan itu, kesilapan tetap di pihak pengunjung kerana tidak membuat temu janji lebih awal.
Isu ini bukan sesuatu yang asing kerana itulah yang terjadi hari ini di mana setiap isi rumah itu padat dengan program harian, sama ada dirancang atau tidak dirancang.
Boleh dikatakan majoriti pasangan berumah tangga bekerja, tidak kiralah sama ada besar atau kecil jawatan, bekerja di sektor swasta atau awam, mahupun bekerja sendiri, masing-masing hanya mempunyai masa hujung minggu untuk berehat di rumah atau bersantai bersama keluarga di luar.
Pada waktu begini, ramai yang mahu menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga. Jika ada temu janji dengan sesiapa yang mahu bertandang di rumah, mereka juga mahu pastikan kehadiran tetamu dilayan sempurna.
Bagi isteri yang bekerja, pada hujung cuti hujung minggu adalah untuk berkemas rumah yang tidak dapat dibuat pada hari bekerja.
Jika tetamu datang tanpa buat temu janji, ramai yang gelabah, malu dengan tanggapan tetamu apabila melihat rumah bersepah.
Lebih panik jika stok makanan di rumah kehabisan, takkan hendak hidang ‘air bujang’ saja terutama jika yang pengunjung itu kali pertama datang ke rumah.
Bagi mengatasi masalah ini ada yang bermuka tebal mengajak tetamu menikmati hidangan di restoran berdekatan.
Lainlah pada masa lalu dalam suasana kejiranan yang masih erat ikatannya, tidak timbul masalah untuk bertandang walaupun tiada temu janji awal. Golongan wanita yang menjadi suri sentiasa ada di rumah sepenuh masa menguruskan keluarga dan anak, jadi tidak timbul persoalan temu janji kerana mereka bersedia untuk menerima tetamu.
Institusi keluarga masa dulu memang cukup sempurna. Lelaki perlu keluar rumah mencari rezeki untuk keluarga, manakala wanita pula mempunyai tanggungjawab menyediakan keperluan makan minum suami, membuat kerja rumah dan mendidik anak.
Isteri yang juga ibu memantau sepenuhnya keperluan rumah tangga. Jika berlaku tidak cukup dari segi belanja dapur, dapat ditampung dengan berniaga kecil-kecilan menggunakan wang dapur diberikan suami.
Berkat usaha ini wang dapur dapat dikembangkan untuk menampung perbelanjaan bulanan dan dapat meringankan beban suami.
Si suami pula tak pernah fikir kesulitan menyediakan juadah jika membawa teman bertandang kerana di rumah sudah ada `tukang masak’ yang handal.
Walaupun kedatangan tetamu tanpa diundang, si isteri menggunakan kebijaksanaan mengawal keadaan.
Kalau lauk hari itu sedikit, si ibu akan menyuruh anak ke kedai beli apa yang patut untuk melengkapkan juadah untuk tetamu.
Maruah suami kena dijaga. Walaupun tidak berlauk hari itu, si isteri berusaha menampung di mana kurang. Sehabis-ringkas pun dicarikan juga telur di reban atau di kedai untuk dimasak sambal, walaupun sebelum ini juadah keluarga sekadar ikan kering atau ikan rebus berkuahkan budu.
Kadang-kadang berkerut juga muka si isteri apabila menerima tetamu tanpa diundang, tetapi demi maruah suami, semua itu ditelan.
Bagi anak yang melihat perubahan besar pada sajian, memang mengharapkan tetamu kerap bertandang supaya dapat berpeluang menikmati hidangan sedap.
Meraikan tetamu memang dituntut Islam kerana setiap tetamu yang datang sebenarnya membawa rezeki dan doa.
Pernah pada zaman Rasulullah, seorang sahabat dan keluarga sanggup memberikan makanan mereka untuk meraikan tetamu.
Walaupun keadaan itu tidak lagi berlaku kepada masyarakat sekarang, konsep menghormati tetamu patut dijadikan amalan sesuai dengan kehendak Islam.
Kalau dulu, tetamu yang bertandang ketika waktu makan akan diajak bersama menikmatinya. Kalau tak cukup nasi, ahli keluarga sanggup berundur memberi laluan kepada tetamu, sementara mereka menunggu nasi yang ditanak kemudian.
Pada masa itu akan terdengarlah ungkapan ‘langkah kaki kanan’ atau ‘rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari’.
Kini dalam keadaan lelaki dan wanita memainkan peranan yang sama penting di luar, jarang rumah berasap mengikut waktu makan, apa tak lagi kesediaan untuk menerima tamu tanpa diundang.
Anak-anak kena melalui kehidupan yang diatur ibu bapa, menikmati sarapan di pusat jagaan atau tadika. Bagi yang bersekolah pagi pula menikmati sarapan di kantin sekolah dan yang bersekolah sebelah petang melepak di kedai makan sebelum ke sekolah.
Apabila melihat kanak-kanak melepak di warung atau pasar raya sebelum ke sekolah, kita kena selidik dulu puncanya.
Kemewahan hidup kerana suami dan isteri mempunyai punca pendapatan sendiri menyebabkan ramai anak kempunan untuk menikmati makanan dari air tangan ibu.
Bagi anak sekarang menikmati makanan segera sudah jadi kebiasaan.
Kesibukan ibu dan bapa bekerja juga memaksa, bayi selepas pantang diletakkan di bawah jagaan orang lain sama ada diletakkan di pusat jagaan kanak-kanak atau mengambil pembantu rumah asing tinggal di rumah.
Setiap kali anak merengek lapar minta disuap, tangan-tangan asing yang menghulurkan makanan ke mulut mereka. Bila besar sedikit, anak juga dididik menyuap sendiri makanan atas dasar belajar berdikari.
Senyuman terserlah pada wajah ibu dan bapa melihat anak berupaya menguruskan diri sejak kecil tanpa mereka sedar, pusingan itu terbalik kepada mereka apabila tua nanti.
Makin ramai golongan tua merempat di jalanan atau menjadi penghuni rumah orang tua kerana ada anak yang mahu ibu dan bapa hidup berdikari.
No comments:
Post a Comment