Tuesday 8 May 2012

ISLAM CARA HIDUPKU



Pagi itu sewaktu diri sibuk melayari internet, membaca blog-blog ilmiah untuk menjamu santapan minda dan  jiwa, diri kerap kali menemui kata 'Islam Is My Way Of Life' yang dipamerkan jelas sama ada di bahagian sudut tepi blog mahupun di sudut paling atas. Tidak kurang juga yang menulis sedemikian di bahagian maklumat diri profil Facebook masing-masing.

Slogan 'Islam is my way of life' (Islam adalah gaya hidupku) ini kerap didengari dan diwar-warkan oleh kebanyakan orang, namun sejauh manakah implementasi dan tindakan diri? Adakah selari dengan slogan yang dihebohkan itu atau sebaliknya?

Usahlah cuba memandang dan mengkaji gaya hidup insan lain, cubalah lihat akan tindakan dan gaya hidup diri sendiri terlebih dahulu. Hari ini ramai yang mengatakan dirinya Islam dan mengucapkan dua kalimah syahadah setiap hari dalam solatnya, namun gaya hidup yang dijalaninya sama sekali tidak menggambarkan gaya hidup Islam, malah lebih memburukkan apabila gaya hidup yang diamalkan itu adakalanya amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Perhatikanlah gaya hidup diri sendiri hari ini, adakah benar-benar menggambarkan keindahan Islam atau sebaliknya? Adakah benar-benar mengikut batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan Islam atau sebaliknya? 

Manusia sememangnya tidak sempurna, namun keazaman untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan bertakwa itu haruslah ada. Andai ada yang kurangnya sebelum ini, bersama-samalah kita melakukan perubahan hari ini juga - perubahan untuk menjadikan Islam sebagai gaya hidup diri kita yang sebenarnya!


Hakikat hari ini, banyak perkara yang amat bertentangan dengan apa yang termaktub di dalam kitab suci Al-Quran dan sunah peninggalan Rasullulah S.A.W. tercinta, namun ramai yang melakukannya dan masyarakat pula menganggap ia sebagai satu perkara biasa, seolah-olah menghalalkan apa yang sememangnya sudah jelas haram di sisi agama.

Manusia itu sememangnya mudah alpa dan lupa, maka ramailah juga yang hanyut menikmati keindahan dunia sehingga terlupa sejenak pada kehidupan abadi di akhirat kelak. Ramailah yang melakukan kemungkaran namun tidak menyedarinya kerana menganggap ia hanyalah sekadar perkara biasa. 

Bagaimana pula dengan diri kita sendiri? Cuba perhatikan senarai di bawah ini. Ini adalah antara perkara yang kerap dilakukan insan yang menggelarkan dirinya muslim dan muslimah.

* Bercinta (couple) dan bersiar-siar ke hulur dan kehilir dengan pasangan masing-masing tanpa ada ikatan suami isteri yang sah

Bergurau senda dengan mahram sehingga melampaui batas - adakalanya melibatkan sentuhan dan perasaan.

* Tidak menjaga muamalat (perhubungan) antara lelaki dan perempuan - antaranya duduk terlalu dekat sehingga boleh tersentuh. Sebaiknya berbicara apabila perlu dan jarakkan diri 1 meter apabila berurusandan sebagainya (sebagai langkah berjaga-jaga)

Mengumpat dan membuka aib orang lain kerana ingin melepaskan perasaan benci dan geram sama ada secara sedar ataupun tidak sedar.

Mengeluarkan kata-kata yang kesat, kasar dan tidak baik untuk didengari dan dipraktikkan sebagai kata-kata harian (contoh: kata-kata yang mencarut)

Mengutuk dan mengata menggunakan sumpah seranah bertujuan untuk menyedarkan orang yang dikutuk. Seharusnya dengan memberi nasihat dan cara yang baik. Walaupun niat ingin menegur, namun caranya tidak kena. Matlamat tetap tidak menghalalkan cara.

* Wanita terutamanya - menayangkan aurat secara terbuka dan mempamerkan aurat dalam laman sesawang Facebook dan blog (menampakkan rambut, leher, lengan dan sebagainya). Adakalanya gambar yang diletakkan itu menutup warna kulit secara menyeluruh, namun tetapmenampakkan bentuk badan yang menggiurkan - termasuklah dengan menggelapkan gambar (teknik silhouette) namun tetap menampakkan bentuk dada, pinggang dan pinggul yang menggoda.

* Penipuan secara halus (wanita terutamanya) - Mengubah suai gambar diri sendiri bertujuan untuk mencantikkan dirinya dalam gambar tersebut dan ditayangkan kepada orang ramai sehingga boleh menyebabkan orang yang melihat gambar tersebut tertipu (biasanya dengan mencerahkan gambar sehingga menyebabkan kulit tampak cerah, licin dan sebagainya).

Menjawab 'uh' dan 'ah' kepada ibu bapa apabila disuruh melakukan sesuatu atau semasa ditegur tingkah laku.

* Bergurau senda melibatkan penipuan dan adakalanya boleh menimbulkan fitnah

* Wanita - menata rias wajah (make up) sehingga terjadinya tabarruj(melampau-lampau)

* Mengajak orang lain ke arah kebaikan namun diri sendiri tidak melakukan apa yang diserunya. Keadaan ini biasanya terjadi apabila diri sekadar menyalin ayat-ayat yang dipetik dari kata-kata orang lain untuk disebarkan namun diri sendiri tidak menghayati, memahami dan mempraktikkan apa yang diserunya itu. 

Mempamerkan gambar-gambar yang menjurus ke arah maksiatwalaupun bukan gambar sendiri kerana ia boleh membentuk minda orang-orang yang melihatnya.

Menghadiri konsert-konsert yang mempunyai unsur maksiatdan zina berlaku secara berleluasa

Banyak lagi perkara-perkara yang nampak biasa dan normal di mata masyarakat namun hakikatnya, salah dari segi agama. Sama-samalah kita bermuhasabah dan melakukan perubahan pada hari ini juga.

Andai diberikan Ilahi walau secebis perasaan bersalah dan menyesal di dalam hati, maka bersegeralah untuk pulang kembali ke pangkal jalan agar diberikan hidayah olehNya. Hidayah itu haruslah dicari, bukan sekadar menanti agar ia menyinggah diri.

Antara perubahan yang boleh dilakukan:
1. Mengukuhkan akidah dan pegangan dalam diri
    * Menjadikan Allah sebagai satu-satunya tempat pergantungan, bukan pada manusia
    * Menunaikan solat 5 waktu sehari semalam dengan khusyuk
    * Berpuasa di bulan Ramadhan dan mengharapkan keredhaan dari Ilahi
    * Menunaikan haji apabila mampu
    * Membayar zakat - membersihkan harta kita dari unsur-unsur yang tidak baik
    * Membaca kalamullah Al Quran dan memahami/menghayati ertinya

2. Menjauhi dan meninggalkan perkara-perkara kemungkaran
    * Menipu, mengumpat, mengata dan mencela (Jaga lidah)
    * Menjauhi maksiat dan perkara yang menjurus ke arah penzinaan
    * Menutup aurat dengan sempurna
    * Tidak melihat dan mendengar perkara-perkara yang tidak dibolehkan (Jaga penglihatan dan pendengaran)

3. Memperbanyakkan amalan kebaikan dan menyahut seruan agama
   * Amal maa'ruf nahi munkar (mengajak-ajak ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran)
   * Tolong menolong sesama manusia
   * Beribadah 24 jam sehari semalam - setiap perkara yang dilakukan itu, niatkan kerana Allah. Pastikan semua perkara yang dilakukan itu masih lagi dalam batas-batas agama
   * Bertegur sapa sesama manusia dan doakan kebaikan insan lain

Bersegeralah dalam melakukan perubahan agar diri tidak semakin jauh terpesong dari jalan yang lurus. Apa yang berlaku sebelum ini, bertaubat dan mohonlah keampunan dari Yang Maha Esa. SesungguhNya Dia Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani. Selagi ajal masih belum menjemput, selagi matahari masih lagi terbit dari ufuk timur, masih belum terlambat untuk berubah dan pulang ke pangkal jalan. Bukalah lembaran baru dan mulalah kehidupan yang baru dan jadikanlah pengajaran lepas sebagai sempadan buat diri.

Firman Allah S.W.T.
"Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang," (An'-Nisa', 110)

Untuk renungan:
Andai terdetik untuk melakukan sebuah kebaikan,  jangan pernah berfikir dua kali kerana anda mungkin tidak akan melakukannya.
Andai terdetik untuk melakukan sebuah kejahatan, jangan pernah berfikir dua kali kerana anda mungkin benar-benar akan melakukannya.

Semoga Allah senantiasa memelihara hati kita dari segala anasir yang kurang baik dan menyuluh hati dan jiwa kita dengan hidayahNya, Amin.

Credit to: Aisha Ardini

No comments:

Post a Comment