Tuesday 8 May 2012

BUGHAH (PEMBERONTAKKAN) DALAM ISLAM.


PEMBERONTAKKAN DAN BAGAIMANA MENGHADAPINYA DALAM HUKUM ISLAM


Pemberontakkan dan Bagaimana Menghadapinya Dalam Hukum Islam
Siapakah pemberontak?


Pemberontak ialah siapa sahaja yang melampaui had atau melampai batas undang-undang yang sepatutnya dipatuhi dalam sesebuah Negara. Dalam bahasa arab pemberontak di kenali sebagai bughah iaitu sekumpulan umat Islam yang menentang pemerintah Islam atau melanggar perintahnya atau bertindak menghalang hak-hak Allah atau hak manusia.

Apakah hukumnya?

Apabila wujud pemberontakkan, pemerintah Islam wajib menghantar wakil bagi berurusan dengan pemberontak. Jika tuntutan bughah tadi adalah baik dan tidak memberi kesan yang buruk, tuntutan mereka wajib dipenuhi. Sekiranya tuntutan mereka tidak relevan, boleh memberi kesan buruk, atau tidak ada sebarang motif, maka pemerintah hendaklah memberi nasihat berupa amaran bahawa mereka akan diperangi jika meneruskan

pemberontakkan dan minta mereka supaya kembali taatn. Jika mereka enggan dan masih memberontak, mereka wajib diperangi.

Kumpulan pemberontak tidak dihukum fasik atau kafir kerana mereka mempunyai sebab dan alasan yang dibenarkan syarak.

Syarat-syarat bagi Memerangi bughah.
1. Untuk memerangi bughah, syarat pertama ialah kumpulan pemberontak itu mestilah kekuatan dan keupayaan untuk menentang atau mengancam pemerintah. Kekuatan mereka mungkin dari segi jumlah ahli yang ramai atau senjata.

2. Pemberontakkan yang dilakukan mestilah benar-benar diluar kawalan pemerintah. Jika ia masih boleh dikawal, mereka tidak perlu diperangi, cukup sahaja dengan ditangkap dan dipenjarakan.

3. Kumpulan bughah ini perlulah mempunyai tafsiran yang jelas tentang sebab mereka memberontak dan mereka mempunyai ruang dalam berijtihad. Jika mereka tiada takwilan yang jelas dan ijtihad yang disandarkan, maka mereka tidak dihukum sebagai pemberontak tetapi diperangi sebagai kumpulan yang fasik. Perlu ditekankan disini bahawa, jika tiada ijtihad dan tafsiran yang jelas bagi sebab memberontak, dan mereka menghalalkan memerangi pemerintah Islam, kumpulan pemberontak boleh menjadi kufur.

4. Syarat terakhir ialah kumpulan pemberontak mestilah mempunyai tokoh yang ditaat yang berperanan menguatkan mereka, yang mempengaruhi dan menyatupadukan ahli bagi melakukan pemberontakkan.

Dalil

"Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil". (al-Hujurat: 9)

Menurut Ulamak, ayat ini bersifat umum atau boleh diqiaskan dengan pemberontakkan. Puak yang zalim adalah kumpulan yang melampaui batas dan perlu diperangi oleh pemerintah apabila dituntut oleh syarak.

Dari sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dalam bab memerangi khawarij Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang memisahkan diri dari jamaah walaupun sejengkal, maka dia telah mencabut ikatan Islam daripada lehernya.”

Mengapa Pemberontak Perlu Diperangi?

Ini adalah kerana supaya menjaga kestabilan pemerintahan setelah dilantik secara sah oleh Umat Islam. Kestabilan pemerintahan penting bagi menyatupadukan kekuatan Umat Islam dan bagi menakutkan musuh.

Banyak Ayat al-Quran memerintahkan umat Islam taat setia kepada pemerintah walaupun dia seorang yang zalim. Tetapi ketaatan dikecualikan dari taat pada perkara maksiat. Dan ketaatan kepada pemerintah adalah melebihi dari berpegang pada ijtihad.

Bagaimana memerangi pemberontak?

Memerangi bughah berbeza dengan cara memerangi orang yang fasik, kafir dan musuh Islam. Malah ia tidak ada kaitan dengan Bid’ah. Memerangi bughah hanya satu matlamat iaitu menjaga keamanan dan perpaduan umat Islam.

1. Mestilah pemerintah terlebih dahulu menghantar wakil bagi berbincang seperti mana dilakukan oleh Saidina Ali r.a yang menghantar Abdullah bin Abbas r.a bagi berbincang dengan kumpulan yang menentangnya. Setelah perbincangan gagal, perlulah diberi ancaman akibat dari pemberontakkan dan kemudian memberi amaran akan diserang, kemudian barulah wajib diperangi jika masih gagal.

2. Peperangan hanya pada orang yang membalas serangan, jika ada pemberontak yang lari dari medan perang tidak boleh dikejar dan pemberontak yang cedera tidak boleh dibunuh.

3. Pemberontak yang ditawan tidak boleh dibunuh, larangan keatas pemberontakkan ini dari hadis Nabi s.a.w dari Ibnu Umar,
“jangan kejar mereka yang melarikan diri dan jangan kejar dan bunuh mereka yang cedera.” Al-Baihaqi menambah lagi: “dan jangan dirampas harta mereka”.

Dalam satu peristiwa saidina Ali r.a pernah menyuruh pesuruhnya membuat pengumuman dalam peperangan terhadap pemberontak bahawa jangan mengejar orang yang melarikan diri, jangan diserang orang yang cedera, jangan dibunuh orang yang ditawan dan sesiapa yang menutup pintunya dan meletakkan senjata akan selamat. Sesiapa yang enggan menyerah, enggan memberi baiah dan taat setia akan dipenjara sehinggalah peperangan tamat. Tawanan akan dibebaskan sekiranya dia berjanji tidak akan terlibat lagi dalam peperangan. Jika dikhuatiri dia akan memungkiri janji, dia boleh terus dipenjarakan sehingga diyakini.

4. Walaupun harta milik tidak boleh dirampas atas nama harta rampasan perang, namun harta berupa senjata perlu disimpan sebagai bukan hak milik kerajaan sehingga diyakini mereka tidak kembali melancarkan serangan.

Implikasi peperangan terhadap pemberontak.

Jika semua syarat dipenuhi dan langkah awal telah diambil, maka halal darah pemberontak yang dibunuh kerana tindakan ini dibenarkan oleh syarak. Oleh itu pembunuh tidak dikenakan qisas dan bayar diyat.

Selepas tamatnya peperangan, jika pemberontak dibunuh sedangkan dia telah melakukan baiat, maka pembunuh akan dikenakan hukuman qisas. Jika pembunuh bersumpah dia membunuh dengan menganggap pemberontak masih engkar, maka qisas digugurkan dan dia hanya perlu membayar diyat.

Sumber : Fiqh al-Manhaji, Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji, bab Pemberontakkan dan Hukumannya.
Credit to: Salamizhar

No comments:

Post a Comment