Tuesday 8 May 2012

Adakah tugas jururawat dihargai pesakit?



KUALA LUMPUR - Insiden pertama: Jururawat Suraiya sedang bertugas malam bila beliau menerima panggilan telefon daripada seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai doktor dari sebuah hospital lain.

"Orang yang menelefon ini berkeras mahukan butiran diagnosa perubatan seorang pesakit walaupun saya enggan memberitahunya kerana semua maklumat mengenai pesakit adalah sulit.

"Dia kemudian marah-marah dan menggunakan bahasa yang agak kasar setelah saya berkeras mengatakan segala butiran yang dikehendakinya sulit dan rahsia.

"Kalaulah dia (pemanggil) benar-benar merupakan seorang doktor perubatan, sudah tentu dia tahu bahawa segala keterangan mengenai pesakit adalah rahsia di bawah peraturan hospital," jururawat itu memberitahu penulis di hospital berkenaan baru-baru ini.

Menurut peraturan hospital, butiran rekod pesakit adalah sulit dan hanya boleh dikeluarkan melalui permohonan pesakit itu sendiri atau warisnya yang diajukan kepada Jabatan Rekod Perubatan hospital yang berkenaan.

Insiden kedua: Jururawat Zuraidah sedang sibuk bertugas di wad surgeri di hospital yang sama bila beliau terdengar anak kepada seorang pesakit di situ terjerit-jerit memanggilnya, seolah-olah meminta bantuan kecemasan.

"Saya terpaksa berhenti daripada melayani seorang pesakit lain dan terus berkejar ke katil pesakit itu berada kerana bimbang terjadi situasi kecemasan yang memerlukan bantuan segera.

 "Tetapi rupa-rupanya anak pesakit itu hanya mahu tahu di mana kedudukan suis kipas kerana ibunya mahu kipas dihidupkan.

"Dia sebenarnya boleh bertanya kepada orang lain yang berada berdekatan dengan katil itu dan bukan terjerit-jerit memanggil saya. Saya ingatkan ibunya menghadapi kecemasan," cerita beliau dengan nada kesal kepada penulis.

Dua insiden yang diceritakan inis merupakan antara episod cabaran yang dihadapi jururawat semasa mereka bertugas di hospital.
           

Hargai 
    
Jururawat merupakan antara mereka yang penting dalam industri penjagaan kesihatan dan perubatan dan mereka sebenarnya perlu dihormati, menurut jururawat kanan Beatrice Wong.

Jelas Wong, jururawat merupakan orang yang sentiasa mendampingi pesakit ketika mereka dalam kepayahan dan merana kerana sakit.

"Jururawat bertugas pada satu jarak masa yang lama dan mereka juga memikul beban stres yang ditanggung pesakit dan doktor. Stres ini juga datang daripada anggota pasukan rawatan yang lain.

"Jururawat juga jadi wakil untuk bercakap bagi pihak pesakit dan keluarga mereka.

"Mereka sebenarnya bertugas sepanjang hari melayani kehendak dan keperluan pesakit serta juga doktor. Jururawat juga memikul tanggungjawab memastikan status keadaan pesakit dan semua yang diperlukan dalam keadaan teratur seperti memeriksa carta kesihatan pesakit.

"Mereka juga perlu memastikan pesakit menjalani segala ujian yang diperlukan doktor," kataya.

Beliau berkata pesakit memandang jururawat sebagai seorang yang boleh beliau (pesakit) bergantung selain daripada seorang yang memberi perhatian kepadanya.

"Kerana faktor ini, pesakit menjadi lebih bergantung kepada jururawat," kata Wong.

    
Isu
    
Menurut Wong, jururawat juda berdepan dengan pelbagai cabaran dalam menyempurnakan tugas harian mereka.

"Kadang kala, apa yang mereka utarakan tidak mendapat perhatian pesakit dan juga keluarga mereka sedangkan hal-hal yang diterangkan jururawat adalah untuk kepentingan pesakit itu sendiri," kata beliau.

Wong menerangkan jururawat dilengkapi dengan kebolehan pengurusan dan dengan bantuan kebolehan ini mereka dapat berdepan dengan situasi yang sukar selain daripada mengatasi masalah yang ditimbulkan (pesakit dan anggota keluarga mereka).

"Mereka (jururawat) yang memastikan kepentingan pesakit diambilkira dan diberi perhatian. Pesakit juga bergantung kepada golongan profesional ini ketika dalam sakit atau kepayahan, " kata Wong.


Inspirasi 
    
Bagi aktivis sosial Fatimah Mansur, jururawat memberikan inspirasi dalam industri penjagaan kesihatan dan mereka tidak boleh dilupai kerana merekalah yang memberi penjagaan rawatan terhadap orang yang sakit di hospital.

"Mereka antara ahli masyarakat yang perlu diberi sanjungan dan penghormatan kerana komitmen dan dedikasi yang dipamerkan.

"Jururawat merupakan idola dan model contoh dalam masyarakat. Penjagaan kesihatan tidak sempurna tanpa khidmat jururawat. Merekalah yang menjaga (pesakit) dan tanpa kehadiran serta khidmat mereka, kelompok penjagaan kesihatan tidak akan wujud," terang beliau.

Bagi Fatimah, jururawat perlu diberi penghormatan kerana menjalankan tugas mereka.

"Mereka sebenarnya pemacu dalam penjagaan kesihatan dan sepatutnya diberi penghormatan," kata beliau.

Kata Fatimah walaupun bagi jururawat tugas mereka adalah berat, mereka masih boleh mengekalkan sikap yang positif.

"Sudah jadi lumrah, jururawat selalu dimarah pesakit dan keluarga mereka.

Kadangkala mereka juga dimarah doktor. Tetapi mereka masih dapat menerima kemarahan ini sebagai cabaran," kata Fatimah.

Bila penulis ini menemui ramai anggota keluarga pesakit yang menerima rawatan di sebuah hospital di sini, rata-rata mereka bersetuju yang jururawat adalah golongan istimewa kerana jasa dan bakti mereka terhadap industri penjagaan kesihatan dan perubatan.Credit to:- Bernama/Sinar Harian

No comments:

Post a Comment