Guru sakit tetap mengajar
Ismail menunjukkan pedal tambahan yang dipasang di sebelah kiri keretanya.
ALAI - Walaupun separuh badannya lumpuh akibat angin ahmar, namun ia langsung tidak memudarkan semangat kental seorang guru, Ismail Abdul Samad, 54, untuk terus mendidik anak bangsa.

Malah ketika diserang penyakit itu empat tahun lalu, Ismail hanya mampu terlantar tanpa boleh berbuat apa-apa dan dinasihatkan doktor supaya berehat selama setahun serta menjalani rawatan.

Memikirkan dia tidak boleh berkeadaan begitu selama- lamanya dan hanya menerima gaji percuma tanpa menjalankan tugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai selepas berkhidmat lebih 15 tahun lalu, Ismail kuatkan semangat untuk bergerak sedikit demi sedikit.

Akhirnya enam bulan kemudian dia mampu mengajar semula walaupun bergerak menggunakan tongkat.

“Saya tidak lagi boleh memandu dengan keadaan sebelah badan lemah, jadi saya gagahkan diri berlatih bergerak dan yakin mampu mengajar seperti dahulu.

“Pada mulanya, saya menumpang kereta adik ipar saya yang kebetulan guru dan mengajar d bersebelahan sekolah tempat saya mengajar, namun saya akhirnya mengambil keputusan memandu sendiri dengan mengubahsuai kereta saya,” katanya.

Menurut guru yang berkelulusan Sijil Maktab Perguruan Kuantan, Pahang, ini, dia mengubah suai kereta jenis Proton Satria miliknya yang berenjin manual kepada enjin automatik dan menambah gear minyak di sebelah kiri untuk keselesaannya
memandu.
“Saya mengambil masa tiga bulan berlatih memandu di padang sekolah dengan menggunakan sebelah tangan sebelum mengambil keputusan memandu sendirian ke sekolah di Pulai, sejauh kira-kira 35 kilometer.

“Bagaimanapun selepas itu, saya menyedari kereta saya tidak berapa selesa disebabkan terlalu rendah dan saya mengambil keputusan menggunakan kereta Perodua Kenari yang lebih tinggi,” katanya yang pernah dianugerahkan Sijil Guru Cemerlang sebanyak dua kali iaitu pada 1998 dan 2008.

Ismail berkata, pengalaman bekerja sebagai jurutera enjin perkapalan di Pejabat Perikanan suatu ketika dulu banyak membantunya dalam proses mengubahsuai kenderaannya bersesuaian dengan keadaannya kini.

Menurutnya, dia bersyukur kerana setakat ini penyakit angin ahmar yang dihidapinya tidak pernah menjejaskan prestasinya sebagai pendidik.

“Saya tidak pernah jemu dengan kanak-kanak, saya sangat suka berkongsi ilmu dengan mereka terutama ilmu teknikal yang telah sebati dengan jiwa saya.

“Saya tidak merancang untuk memohon dikurangkan beban tugas dan yakin diri masih berupaya mendidik anak bangsa yang memang menjadi minat saya sejak kecil,” katanya yang merancang bersara pada usia 60 tahun. Sinar Harian