Tuesday, 21 May 2013

AMERIKA DILANDA BENCANA


Puting beliung, hujan batu melanda utara AS


OKLAHOMA 20 Mei - Ribut yang membawa puting beliung, hujan lebat dan hujan batu sebesar penumbuk, melanda kawasan utara di tengah Amerika Syarikat (AS), menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut.

Sehingga pukul 9.30 malam tadi waktu AS tengah, lebih berpuluh-puluh puting beliung dikesan di beberapa kawasan di Iowa, Oklahoma, Kansas dan Illinois, menurut Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA).

Fox News melaporkan seorang maut di Shawnee, Oklahoma akibat bencana alam itu dengan beberapa daerah di negeri itu turut bergelap. - REUTERS

Monday, 20 May 2013

MASALAHKEWANGAN PUNCA JENAYAH



Mohd Bakri Zinin
Mohd Bakri Zinin
KUALA LUMPUR - Masalah kewangan adalah antara punca sesetengah individu terlibat dalam kegiatan jenayah, termasuk mengambil jalan mudah dengan menyertai kumpulan kongsi gelap.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata risikan polis menunjukkan ada sesetengah anggota kumpulan kongsi gelap itu pula bersedia menjadi pembunuh upahan, semata-mata mahu melangsaikan hutang.

Siasatan polis dalam kes pembunuh upahan ini termasuk membabitkan penggunaan senjata api, lazimnya akan mendapati suspek ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap selain mempunyai rekod jenayah lampau, katanya kepada Bernama, di sini.

Menurut Mohd Bakri, pembunuh upahan akan terus wujud selagi ada pihak yang bersedia membayar upah dan kebiasaannya kes sedemikian bermotifkan dendam.

Sementara itu, penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar melihat sikap tamak menyebabkan seseorang individu atau kumpulan berani melakukan jenayah menggunakan senjata api.

"Selalunya ahli kongsi gelap yang tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk musuhnya akan bertindak mengupah orang lain untuk membunuh musuhnya tanpa berperikemanusiaan. "Mereka ini (ahli kongsi gelap) akan melakukan jenayah terancang dengan mengetahui segala butiran mengenai musuhnya bagi memudahkan kerja (bunuh)," katanya kepada Bernama.

Menurut Akhbar, penjenayah terbabit tahu hukuman yang menunggu mereka jika tertangkap dan disabitkan kesalahan, namun nafsu terhadap duit dan kemewahan mengatasi rasa takut dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau juga bersetuju selain mahu hidup mewah, dendam juga antara motif kes pembunuhan di negara ini termasuk menggunakan pembunuh upahan.

Credit: Bernama/Sinar Harian.

Ketua guru disiplin bebas tuduhan cabul 11 pelajar



KUALA LUMPUR 20 Mei - Selepas dua tahun menghadapi pertuduhan mencabul 11 pelajar perempuan, seorang ketua guru disiplin akhirnya mampu menarik nafas lega apabila Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan tersebut.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membuat keputusan itu terhadap Ismazi @ Megat Ismazi Ismail, 51, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Ayuni dalam keputusannya berkata, pendakwaan gagal memanggil seorang saksi penting yang berada di tempat kejadian iaitu pengawas sekolah berketurunan India yang boleh menceritakan situasi sebenar pada waktu kejadian.

Menurut beliau, terdapat percanggahan antara keterangan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin pada hari kejadian dan pengakuan bertulis pengawas tersebut.

Dalam pengakuan bertulisnya, pengawas itu menyatakan, tertuduh ada meminta izin daripada kesemua pelajar untuk memegang leher bagi memeriksa denyutan nadi sebelum merotan pelajar tersebut dan kesemua pelajar itu tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang tertuduh semasa pemeriksaan nadi dijalankan.

Menurut majistret itu lagi, mahkamah berpendapat, sekiranya tertuduh ingin berbuat perkara tidak baik, dia tidak meminta kebenaran selain jumlah pelajar yang ramai berada di dalam bilik disiplin ketika kejadian.

Mahkamah juga mengambil kira keterangan kesemua saksi yang menyatakan, tiada seorang pun daripada 11 pelajar itu menjerit, meronta atau menangis apabila tertuduh kononnya meletakkan tangan ke atas dada mereka seperti yang didakwa mereka.

''Jika ada pelajar yang tidak senang dengan perbuatan tertuduh, mereka semua berpeluang melarikan diri, keluar dari bilik disiplin yang tidak berkunci itu dan boleh terus melaporkan kepada pengetua atau mana-mana guru tetapi perkara itu tidak dilakukan.

''Ini kerana sekiranya perbuatan cabul itu benar-benar berlaku, perbuatan itu sesuatu yang serius dan tindakan segera boleh diambil terhadap tertuduh oleh pihak sekolah,'' katanya.

Mengikut pertuduhan, Ismazi didakwa mencabul kehormatan 11 pelajar perempuan berusia antara 15 dan 16 tahun di dalam bilik guru disiplin di sekolah menengah tersebut antara pukul 7.30 dan 8.30 pagi, 25 Februari 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Sepanjang perbicaraan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene, sebanyak 23 saksi dipanggil memberikan keterangan di peringkat pendakwaan.

Ismazi ketika ditemui pihak media melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut dan menyatakan, dia hanya menjalankan tugas sebagai guru disiplin pada hari kejadian demi mendidik pelajar sekolah itu.
Ismazi yang berkhidmat sebagai guru selama 23 tahun kesal kerana banyak tohmahan dan penghinaan diterima daripada masyarakat serta laporan akhbar sesetengah media yang berat sebelah dan cuba menimbulkan isu perkauman.

Dia yang digantung tugas semenjak kes itu dibawa ke mahkamah berharap ibu bapa memberikan sokongan dan kerjasama kepada guru dalam menjalankan tanggungjawab dan tidak menjadikan sekolah tempat menghangatkan isu.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Ismazi berkata, pihaknya akan memikirkan tindakan lanjut mengenai laporan palsu terutama pembabitan sesetengah ahli politik yang mengambil kesempatan terhadap kes tersebut.

Sunday, 19 May 2013

Pelajar cacat penglihatan rentas Selat Pulau Pinang


Pelajar cacat penglihatan rentas Selat Pulau PinangPERENANG Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan, Faiz Adnan, 23, cukup teruja selepas berjaya menamatkan renangan dengan masa dua jam, 20 minit dan 30 saat merentasi Selat Penang sejauh 5km bermula dari Jeti Swettenham di Georgetown ke pantai Bagan Ajam di Butterworth, Pulau Pinang. - Foto Mohd Kamil Rahim/Ramdzan Masiam
Butterworth: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang cacat penglihatan berjaya mencatat rekod peribadi apabila berenang merentasi Selat Pulau Pinang secara individu dari Jeti Swettenham ke Pantai Bagan Ajam di sini, semalam. 

Faiq Adnan, 23, yang cacat sejak kecil memulakan renangan sejauh lima kilometer (km) pada jam 9 pagi dan menamatkan renangan pada jam 11.30 pagi, selepas menempuh pelbagai halangan termasuk disengat obor-obor dan menempuh cabaran ombak besar.


Pelajar jurusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia hampir berputus asa untuk meneruskan cabaran apabila disengat obor-obor selepas 45 minit memulakan misi berkenaan, namun diberi perangsang oleh jurulatih yang mengiringinya. 


Saya sudah hampir berputus asa kerana disengat obor-obor di seluruh badan termasuk di tangan, bibir dan muka. Keadaan gatal itu amat tidak selesa, namun saya diberi perangsang oleh jurulatih untuk meneruskan cabaran ini. 


Cabaran ombak besar 

Selain itu, saya menempuh cabaran ombak besar tetapi ia tidak menghalang tumpuan saya untuk menyudahkan misi kerana sudah lama saya memasang impian untuk mencipta rekod ini, katanya selepas berjaya merentasi Selat Pulau Pinang, semalam. 

Acara merentasi Selat Pulau Pinang itu julung kali dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Sukan Rekreasi Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (PESRON), PUSPAKOM Sdn Bhd serta Jabatan Belia dan Sukan negeri. 
Faiq yang juga atlet paralimpik negeri berkata, kejayaannya berenang merentasi Selat Pulau Pinang dengan catatan dua jam 30 minit 35 saat, membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga mampu melakar kejayaan sama seperti individu lain. 

Sebagai persiapan untuk menjayakan misi ini, saya melakukan latihan renangan 40 pusingan di kolam renang dua kali sehari bagi membina stamina. Latihan kelajuan dan ketangkasan ini dijalankan sejak dua tahun lalu untuk memastikan saya benar-benar berkemampuan menjayakan misi ini. 


Rentas Selat Inggeris 


Selepas ini, saya berhasrat mencatat satu lagi rekod peribadi iaitu berenang merentasi Selat Inggeris pada 2015 dan berharap ada pihak yang sudi menaja serta membantu saya merealisasikan impian berkenaan, katanya. 

Jurulatihnya, Datuk Ooi Win Juat, berkata Faiq yang berenang dalam sangkar khas berdepan tempoh sukar apabila sangkar berkenaan pecah dipukul ombak besar ketika berada di tengah laut.


Credit: Siti Fatimah Mohamed Anwar

Keyakinan utuh sempurnakan iman


Pengarang terkenal, Stephen R Covey dalam bukunya yang tersohor, The Seven Habits of the Most Effective People, menegaskan, keyakinan yang utuh dan kekuatan paradigma adalah perkara penting yang menjadi asas utama mendasari perubahan untuk menjadi seorang yang berkesan dan berjaya dalam hidup. 

Begitu juga ajaran Islam yang disampaikan Rasulullah SAW, amat menitikberatkan aspek pemantapan keyakinan dan kekuatan akidah. Ini kerana keyakinan mantap dan akidah yang teguh akan menjadikan Islam sebagai al-Din unggul pada kaca mata dunia.
Apabila seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah, kemudian keyakinannya digilap dan akidah diperkasakan, sudah pasti dia adalah seorang Muslim yang taat dan bertakwa serta patuh melakukan segala perintah Allah.
Firman Allah SWT bermaksud: Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (mengenai datangnya dari Allah dan sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa; iaitu orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mendirikan solat serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang yang beriman kepada Kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad) dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang yang berjaya. (Surah al-Baqarah, ayat 2-5) 

Keyakinan adalah satu keadaan yang mana hati merasai ketenangan tanpa terselit sebarang keraguan dalam setiap tindakan dilakukan. Keyakinan ini juga satu ilmu yang bertindak sebagai perisai, yang tidak dapat ditembusi oleh angan-angan, sangkaan, syak atau salah faham. 

Malah, keyakinan itu sebenarnya nur yang dijadikan Allah dalam sudut hati hamba-Nya yang beriman sehingga nur keyakinan jelas dilihat melalui segala tindakannya. 


Hati tak mudah goyah 

Ulama tasauf tersohor, Syeikh Junaid al-Baghdadi pernah berkata: Keyakinan itu ialah satu ketetapan ilmu yang tidak berubah-ubah dan tidak pula terumbang-ambing serta tidak mudah goyah di dalam hati. 

Keyakinan yang menjadi amalan hati adalah tanda kesempurnaan iman seseorang Muslim. Bahkan keyakinan juga kunci dalam mengenal Allah sebagai Pencipta dan Pentadbir alam semesta. Melalui keyakinan inilah iman seseorang Muslim akan bertambah mantap dan kukuh. 

Sebaliknya, tanpa keyakinan, iman akan mudah goyah dan luntur serta mudah pula terkena penyakit lalai, lupa diri serta ragu-ragu. 

Ini yang diingatkan Rasulullah SAW: Yang sangat aku takuti di antara ketakutan aku terhadap umatku ialah lemahnya keyakinan. Ini kerana lemahnya keyakinan akan mendorong seseorang kepada lupa akan agamanya dan akan bergaul dengan orang yang bersifat kasar dan keras kepala. (Riwayat Tabarani dan Baihaqi) 

Ulama tasauf membahagikan yakin kepada tiga peringkat iaitu ilmu yakin dipetik dari firman Allah dalam surah al-Takathur, ayat 5 bermaksud: Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin (ilmu yakin). 

Ilmu yakin itu ialah satu keadaan yakin yang baru bertapak di kotak fikiran. Contohnya, seseorang yang masuk ke hutan, dia tentu akan terfikir ada binatang liar seperti harimau, ular dan sebagainya. 

Begitulah halnya dengan seseorang yang beribadat dan beriman hanya dengan menggunakan kaedah akal fikiran dan ilmu zahir saja. Penetapan akan adanya Allah Yang Maha Agung itu hanya dilakukan dengan perbahasan ilmu yang belum bertapak kukuh dalam hatinya. 


Ainul yakin 
Ainul yakin pula difahami melalui firman Allah dalam surah al-Takathur, ayat 7 bermaksud: Selepas itu - demi sesungguhnya - Kamu (wahai orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (Ainul Yakin) (ketika kamu dilemparkan ke dalamnya). 

Ainul yakin adalah penglihatan lebih jelas daripada ilmu yakin. Seseorang yang masuk ke hutan tadi menemui bekas tapak kaki harimau, sudah tentu secara rasionalnya ada harimau yang melalui kawasan tempat ditemui tapaknya itu dan hal ini sekali gus membuatkan hatinya merasa takut. 


Ibadat kemas, adab dan akhlak halus 


Samalah dengan seseorang yang beribadat dengan hatinya telah yakin dan nampak akan kebesaran Allah Taala. Orang sebegini ibadatnya amat kemas, adab dan akhlaknya juga halus dan tauhid bertakhta kukuh di lubuk hatinya. Hatinya tidak mudah goyah dan sentiasa memohon perlindungan Ilahi. 

Haqqul Yakin pula dapat difahami daripada firman Allah dalam surah al-Haqqah, ayat 51 bermaksud: Dan sesungguhnya al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (Haqqul Yakin) (dengan seyakin-yakinnya). 

Seperti bekas tapak kaki harimau yang dilihat tadi secara ainul yakin, kini harimau itu dilihat berada di hadapannya dengan penglihatan mata kasarnya. Sudah pastinya ia akan menambahkan lagi ketakutan ketika seseorang berhadapan betul-betul dengan harimau itu. 

Begitulah keadaannya dengan seorang Muslim yang beribadat dan beriman kepada Allah, dia juga telah melihat dengan mata hatinya akan kebesaran Allah. Keadaan inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW apabila Baginda ditanya hakikat ihsan. 

Katanya, ihsan itu iaitu kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya. Jika kamu tidak melihat-Nya sekalipun, maka ingatlah sesungguhnya Allah melihat kamu. 

Dalam tahap ini, seseorang Muslim itu dapat mencapai haqqul yakin iaitu merasakan kehadiran Allah dalam amalan, perilaku dan tindakannya pada setiap detik dan ketika. Dia juga akan merasai kemanisan iman yang tiada tolok bandingnya serta menikmati kebahagiaan dunia dan akhirat.

Friday, 17 May 2013

Dilarang angkuh, perkecil orang lain

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW menerangkan: Apabila seseorang mengatakan, orang ramai sudah rosak akhlaknya, sebenarnya dialah yang rosak akhlaknya. (Direkodkan oleh Muslim) 

Hal ini dilarang dan haram hukumnya apabila orang yang mengucapkan rasa kagum terhadap diri sendiri dan memperkecilkan orang lain. Tetapi jika mengucapkan kerana kesal dan sedih terhadap kurangnya komitmen agama dalam masyarakat, ia tidak salah.


Inilah yang diperjelas dan diperincikan oleh ulama, antara mereka adalah Malik bin Anas, al-Khattabi, al-Humaidi dan lain-lain. Nawawi menjelaskan perkara ini dalam kitabnya al-Azkar. 


Allah berfirman: Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan) kebenaran. Mereka itu mendapat seksaan yang pedih. (Surah Asy-Syura, ayat 42) 

Iyad bin Himar melaporkan, Rasulullah SAW menerangkan: Allah yang Maha Tinggi memberi wahyu kepada saya, menyuruh saudara sekalian merendahkan diri antara satu sama lain, sehingga tidak ada orang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak ada orang yang bersikap angkuh terhadap orang lain. (Direkodkan oleh Muslim) 

Firman Allah SWT: Jangan kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui berkenaan orang yang bertakwa. (Surah an-Najm, ayat 32)

Laksana tugas dengan telus, ikhlas


Kuasai pelbagai kepakaran serlah kehebatan Islam.



Islam meletakkan kepelbagaian bidang ilmu serta kelebihan individu dalam sesuatu bidang sebagai pelengkap kepada kemakmuran alam semesta. Kekurangan dimiliki individu lain akan tertampung dengan kelebihan orang lain kerana tiada manusia sempurna dan maksum melainkan Nabi Muhammad SAW. 

Ini kerana Baginda SAW sentiasa dipimpin oleh wahyu yang menyelamatkan Baginda daripada kesilapan dan kesalahan. Firman Allah SWT: Dia (Muhammad) tidak bertindak dan berkata-kata mengikut hawa nafsu melainkan setelah datangnya wahyu. (Surah An-Najm, ayat 3).


Sahabat Baginda Rasulullah SAW sendiri mempunyai kepakaran yang berbeza. Contohnya, dalam ilmu agama, Baginda bersabda: Dalam kalangan umatku, orang yang paling merahmati umatku ialah Abu Bakr. Orang yang paling tegas melaksanakan urusan Allah ialah Umar. Orang yang paling pemalu dan lemah lembut ialah Uthman. Orang yang paling mahir membaca kitab Allah ialah Ubay bin Kab. Orang yang paling mahir perihal harta pusaka ialah Zaid bin Thabit. Orang yang paling berilmu mengenai halal dan haram ialah Muaz bin Jabal. Ketahuilah bahawa setiap umat mempunyai pemegang amanah dan sesungguhnya pemegang amanah umat ini ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah. (Riwayat Tirmizi) 


Rasulullah SAW sentiasa mengiktiraf kepakaran sahabatnya dengan meletakkan mereka pada tempat dan masa paling sesuai. Sahabat pula sentiasa memahami dan mentaati arahan serta menjadikannya sebagai panduan dalam pemerintahan selepas kewafatan Baginda SAW. 

Laksana tugas dengan telus, ikhlas 

Mereka menjalankan tugas dengan telus dan ikhlas tanpa ada rasa kecewa dan putus asa. Kesannya, kita dapat melihat Islam berkembang ke seluruh pelosok dunia. 

Ketika pemerintahan Saidina Umar, jawatan panglima perang yang disandang oleh Khalid Al-Walid dilucutkan ketika sedang bertugas dan digantikan dengan Abu Ubaidah. Perintah segera dilaksanakan dan terbukti apabila penguasaan Islam dapat masuk ke Syria. 
Pelbagai persoalan diajukan mengenai perlucutan itu, namun Khalid menjawab dengan yakin: Sesungguhnya aku berkhidmat untuk Allah, bukannya untuk Umar. 

Semasa hayat Baginda SAW juga, Khalid Al-Walid sering dilantik untuk mengepalai gerakan ketenteraan. Begitu juga sahabat lain seperti Abu Ubaidah, Saidina Hamzah, Saidina Ali dan lain-lain. 

Rasulullah SAW tidak mengetepikan Khalid semata-mata kerana kekurangan beliau dalam strategi peperangan atau periwayatan hadis jika dibandingkan dengan Abu Hurairah dan sahabat lain. Namun Baginda ingin menyampaikan mesej bahawa setiap orang perlu dihargai kerana setiap seorang berperanan dalam menyerlahkan kehebatan Islam. 

Mereka juga perlu diberi peluang untuk mengasah bakat serta kemampuan dalam membangunkan negara dan agama. Sahabat amat memahami sabda Baginda SAW: Semua kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan bertanggungjawab terhadap pimpinannya. 

Baginda SAW tidak pernah mengarahkan sahabat menumpukan perhatian kepada satu bidang ilmu saja. Sebaliknya Rasulullah SAW sentiasa melihat kepada kepakaran sahabatnya dalam skop yang lebih besar. 

Selagi mana kepakaran itu dapat menyerlahkan kehebatan Islam, selagi itulah kepakaran itu akan dimanfaatkan. Islam juga mengajar segala keperluan untuk kebaikan Islam akan diterima pakai tanpa mengira latar belakang atau kedudukan seseorang. 

Baginda SAW pernah meminta perkhidmatan seorang yang bukan Islam iaitu Abdullah Bin Uraiqith sebagai pemandu jalan dalam peristiwa Hijrah yang terkenal. 

Kita juga melihat kepelbagaian yang ada pada sekalian isteri Baginda SAW di mana kelebihan yang ada pada Zainab binti Jahsh ialah pandai menjahit dan sering bersedekah. Aishah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Orang yang paling awal wafat dan menyusuliku di kalangan kamu semua (isteri-isteri Baginda SAW) ialah yang paling panjang tangannya. Aishah berkata: Lalu kami mengukur tangan kami. Kemudian kami dapati Zainab yang paling panjang tangannya di antara kami kerana dia menjahit baju dan bersedekah dengan hasil kerjanya itu. (Riwayat Imam Muslim) 

Rasulullah SAW iktiraf usaha murni 

Menjelaskan hadis ini, al-Imam al-Nawawi mengatakan, hadis ini menunjukkan keistimewaan Zainab binti Jahsh yang dapat bekerja dan bersedekah daripada hasil jualan jahitannya. Justeru, dapatlah kita fahami Rasulullah SAW mengiktiraf usaha murni Zainab dalam menyerlahkan kehebatan Islam melalui usahanya meringankan bebanan fakir miskin. Istilah panjang tangan di sini merujuk kepada banyak bersedekah, berbeza dengan peribahasa Melayu yang masyhur. 

Kepakaran perlu dipelbagaikan demi menjaga kehebatan Islam. Dalam satu riwayat, Zaib bin Thabit berkata: Rasulullah SAW telah mengarahkan saya untuk belajar bahasa Yahudi. Lalu saya pun belajar persuratan Yahudi. Baginda telah berkata: Demi Allah, aku tidak percaya dengan bangsa Yahudi dalam persuratanku. Maka saya pun mempelajarinya dan tidak sampai setengah bulan, saya telahpun dapat menguasai bahasa Yahudi. Justeru, sayalah yang menulis surat Rasulullah SAW kepada orang Yahudi dan membaca surat mereka kepada Baginda. (Riwayat Abu Daud) 

Hadis ini sewajarnya menjadi inspirasi dan motivasi kepada mereka yang menceburi bidang linguistik supaya berusaha sedaya upaya sehingga dapat menguasai bahasa yang dipelajari. Tidak dapat dinafikan bahasa dapat memperluaskan dakwah Islamiah. 

Kemampuan dalam beribadat hendaklah diseimbangkan dengan kehidupan yang memerlukan usaha seterusnya menghasilkan kepakaran dalam pelbagai bidang ilmu. Marilah kita melihat kelebihan dikurniakan Allah SWT sebagai satu rahmat dan bagi menampung kelemahan yang ada. 

Justeru, tuntutan untuk kita berada dalam jemaah atau sesuatu kumpulan adalah jalan ke arah mencapai tahap kesempurnaan yang lebih baik. Sabda Baginda SAW: Hendaklah kamu menyertai golongan ramai kerana serigala akan menyerang mangsanya yang bersendirian. 

Semoga kita menyedari kekurangan dan kelebihan yang ada pada diri serta menolak sifat angkuh atau sombong yang semakin menebal.