Monday, 5 December 2011

AS, Israel letupkan pangkalan tentera Iran


 US and Israel 'involved in covert war against Iran'

AS, Israel dalangi letupan pangkalan tentera

LOS ANGELES 5 Dis. - Ramai bekas pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) dan pakar mengenai Iran percaya letupan di sebuah pangkalan tentera dekat Teheran pada bulan lepas adalah sebahagian operasi rahsia yang dijalankan oleh AS, Israel dan negara lain untuk melumpuhkan program nuklear dan peluru berpandu Iran. Letupan kuat yang menggegarkan pangkalan Kor Pengawal Revolusi pada 12 November lalu meranapkan kebanyakan bangunan di kompleks tersebut dan meragut nyawa 17 orang, termasuk pengasas program peluru berpandu balistik Iran, Jeneral Hassan Tehrani Moghaddam.

Matlamat operasi rahsia itu adalah untuk menggagalkan usaha Iran bagi memiliki keupayaan membina senjata nuklear dan untuk mencegah serangan udara Israel atau AS bagi menghapuskan atau mengurangkan ancaman senjata nuklear Teheran, lapor akhbar Los Angeles Times (LAT) malam tadi. "Operasi itu menyerupai perang abad ke-21 dan nampaknya terdapat kempen pembunuhan dan perang siber di samping kempen sabotaj yang diakui secara tersirat," kata Pengarah Inisiatif Keselamatan Iran di Institut Washington bagi Dasar Timur Dekat, Patrick Clawson, menurut laporan LAT.

Sebarang operasi seperti itu adalah rahsia besar dan mereka yang dipercayai tahu tentangnya enggan bersuara, lapor akhbar tersebut. AS dan sekutu-sekutunya sudah lama berusaha untuk menyekat program senjata Iran dengan membekalkan secara rahsia komponen, pelan atau perisian yang rosak. Belum ada bukti menunjukkan sabotaj tetapi program nuklear Iran dalam beberapa tahun kebelakangan ini jelas mengalami beberapa halangan yang membantutkan kemajuannya.

"Kita pastinya melakukan usaha sabotaj kerana sudah menjadi misi bahagian pengawalan senjata nuklear Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk melakukan apa sahaja bagi melambatkan program senjata nuklear Iran," kata seorang bekas pegawai CIA yang pernah bertanggungjawab terhadap Iran, Art Keller.

Ramai pakar Barat yakin pasukan jurutera Amerika dan Israel secara rahsia menyalurkan virus komputer Stuxnet ke dalam program nuklear Iran pada 2010, menurut LAT. Virus jenis cecacing itu dilapor menyebabkan alat emparan yang digunakan bagi memproses uranium berputar tanpa terkawal sehingga memusnahkannya. Baik kerajaan AS mahupun Israel tidak mengaku terlibat dalam serangan siber itu. - AFP
Credit to: Utusan

No comments:

Post a Comment