Friday, 30 December 2011

Menghadapi cabaran 2012


Nature is playing with colors

BEBERAPA hari lagi kita semua akan menyambut tahun baru masehi 2012. Masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak kita akan terus tertinggal malahan cabaran baru kian menghimpit kita.

Menyedari perkara itu, Islam telah menyarankan agar umatnya sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin. Pada hari ini pihak kepimpinan negara telah menyarankan agar kita melakukan transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam aspek ekonomi, politik dan sosial dan juga memperbaiki keadaan negara dan rakyat seluruh agar lebih baik dan sempurna.

Dalam Islam transformasi disebut sebagai islah. Ia bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan yang lebih baik. Proses islah atau transformasi pada asasnya terdapat dua aspek yang perlu dilihat iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).

Dalam transformasi kehidupan insan, Islam telah menetapkan manusia sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian segala bentuk perubahan atau pembaikan adalah bertujuan membina kualiti kemanusiaan.

Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran yang menyentuh aspek akidah, hukum-hakam, akhlak, sirah dan juga sains dan teknologi. Kesemua aspek tersebut disebut oleh Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban kemanusiaan.

Ini jelas seperti firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.(ar-Ra'd: 11)

Perubahan diri (taghir al-anfus) atau disebut sebagai self reform dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran dalam diri seseorang untuk melakukan perubahan.

Ini disebut sebagai self introspection atau muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan juga pembaikan diri.

Muhasabah diri merupakan suatu tuntutan yang penting pada hari ini kerana kehidupan yang kian mencabar dari pelbagai aspek. Amat sedih kerana ramai di kalangan umat Islam pada hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga tidak mampu dan gagal menemukan faktor-faktor kelemahan diri sendiri.

Oleh yang demikian, kita perlu mengingati apa yang telah disebut oleh Khalifah Umar al-Khattab yang telah mengingatkan: "hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung."

Walaupun ramai yang mentafsirkan peringatan tersebut merujuk kepada persiapan kematian, tetapi kepentingan untuk bermuhasabah dalam pelbagai aspek kehidupan perlu kita lihat dalam konteks yang lebih luas. Untuk itu kita perlu bermuhasabah dan tindakan tersebut perlu dimulakan oleh diri kita sendiri seperti mana saranan Rasulullah SAW yang menyebut ibda' binafsika (mulakan daripada diri kamu sendiri).

Perlu kita sedari bahawa umat Islam tidak akan terjatuh atau terperosok ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam. Pelbagai cabaran dan kehinaan akan menimpa umat jika umat Islam gagal untuk mengambil ajaran Allah sebagai petunjuk dan panduan kehidupan.

Berdasarkan keadaan tersebut, beberapa tindakan memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan. Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan dari aspek visi keislaman yang jelas, akidah yang murni, ibadah yang kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap.

Jika ini dapat dilakukan ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.
Proses yang disebutkan di atas akan memacu setiap insan Muslim ke arah yang lebih baik dan melakukan perubahan diri. Perlu kita sedari bahawa seorang Muslim yang baik, tidak akan pernah dalam dirinya bersifat statik dalam melakukan perubahan dalam diri.

Pada asasnya kehidupan hari ini perlu lebih baik daripada semalam dan kehidupan hari esok perlu lebih baik daripada hari ini. Jika berlaku keadaan yang statik atau jumud, ini bererti berlaku kemunduran dan jika tidak dibaiki, keadaan akan menjadi bertambah buruk dan akan menuju kehancuran atau kebinasaan.

Perkara ini perlu disedarkan kepada seluruh umat dan kesedaran fahaman wasatiah atau ummatan wasatan perlu digerakkan bagi mencapai ciri-ciri umat yang terbaik (khaira ummah).

Jika kesedaran ini dapat digerakkan dan dapat dicapai sudah pasti umat Islam akan dapat menjadi pemimpin dunia bukan sahaja dalam penguasaan politik tetapi juga dalam segala aspek kehidupan manusia seluruhnya kerana umat Islam pernah menjadi pemimpin dunia dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, politik dan juga peradaban secara umumnya.

Al-Islah al-manhaj

Untuk al-islah al-manhaj iaitu transformasi sistem kehidupan manusia berdasarkan fikrah manusia yang merupakan makhluk sosial yang perlu kepada saling berkomunikasi dan berinteraksi di antara satu sama lain. Dalam melakukan hubungan sosial atau interaksi, manusia memerlukan peraturan atau sistem yang dapat mengatur kehidupan dengan lebih baik dan sempurna.

Sehubungan itu, Islam telah mengatur atau membentuk sistem kehidupan manusia secara jamaie yang mampu membentuk sistem hidup manusia yang sempurna.

Ini semua terkandung dalam peraturan dan hukum-hakam yang terdapat dalam ibadah, munakahat, muamalat dan juga jenayah. Selain itu, Islam juga mementingkan aspek kepimpinan kerana manusia bukan makhluk haiwan yang hidup tanpa ikatan peraturan dan norma-norma tertentu.

Untuk itu, dalam hidup yang berperaturan dan bersistem, memerlukan kepimpinan yang mampu mengurus manusia ke arah yang lebih baik. Ia tidak sekadar menumpukan kepada ibadah-ibadah khusus yang berbentuk individu semata-mata tetapi ia perlu terus dimantapkan dengan pengukuhan pelbagai aspek kehidupan dan peraturan Islam yang merangkumi aspek ibadah khusus dan ibadah umum yang melibatkan kepentingan seluruh umat.

Sirah nabawi juga telah mencatatkan terdapat dua orang nabi yang telah membawa syariat Islam dan diikuti oleh ramai umat manusia iaitu Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad SAW.

Kedua-dua pemimpin manusia utusan Allah itu tidak sahaja mengajak manusia melakukan ibadah secara khusus seperti puasa, solat, zakat dan zikir semata-mata tetapi kedua-dua utusan Allah itu mengajak manusia melakukan ketaatan Allah berlandaskan sistem Islam yang dibawa oleh mereka.

Untuk itu, dalam usaha membina sistem kehidupan yang bertujuan untuk membentuk manusia ke arah yang lebih sempurna dan berjaya, seluruh umat Islam perlu melihat ibadah serta aspek kehidupan bermasyarakat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam mampu membentuk masyarakat melakukan perubahan secara menyeluruh dalam kehidupan bermasyarakat dan bukan tidak mempercayainya atau meminggirkannya.

Sesungguhnya transformasi atau islah dalam konteks Islam yang berteraskan dua aspek yang disebutkan iaitu al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan) dan al-Islah al-manhaj(transformasi sistem kehidupan manusia) adalah saling berkait. Kegagalan pada satu aspek akan memberi kesan kegagalan kepada aspek yang satu lagi.

Ia umpama benih dan juga tanah yang saling berkaitan dalam bidang pertanian. Manusia seumpama benih yang perlu ditanam di tanah yang sesuai dan sistem (manhaj) merupakan tanah yang subur perlu bagi pertumbuhan benih yang baik.

Benih-benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah yang gersang atau kering. Jika sebaliknya, walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik atau rosak, kita tidak boleh mengharapkan pokok akan tumbuh dengan subur dan akan berbuah dengan lebat dan segar.

Justeru, dalam menghadapi tahun baru 2012 kita perlu membina semangat baru dan berazam menjadi individu yang bersedia melakukan perubahan yang lebih baik dan berkesan serta menjadi insan yang berguna. Ia seperti mana peringatan Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25.

 Credit to: DR. BURHANUDDIN ABDUL JALAL/Utusan

No comments:

Post a Comment