Thursday, 29 December 2011

Graduan ke tali gantung


Tali gantung
ALOR SETAR - Seorang graduan dari universiti di Indonesia menangis teresak-esak, sejurus Mahkamah Tinggi Alor Setar, menjatuhkan hukuman gantung ke atasnya semalam, setelah didapati bersalah mengedar 841.63 gram dadah.
 
Maggie Taissya Olyvia, 27, berasal dari Jakarta, dituduh mengedar 656.15 gram heroin dan 185.48 gram monoacetylmorphine kira-kira 12.15 tengah hari, 20 September tahun lalu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam.
 
Graduan jurusan perbankan yang pernah bertugas sebagai pegawai pemasaran di Jakarta itu, dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama dengan memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
 
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab berkata, Maggie mengaku mengetahui sampul berisi dadah di dalam begnya.
 
Katanya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
 
“Tertuduh tidak menyangkal kewujudan dadah dalam begnya dan mendapati bersalah dan disabitkan kesalahan ,” katanya.
 
Dia diwakili peguam AJ Surinarayanan, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shuhada Mohd Yatim.

No comments:

Post a Comment