Sunday, 11 December 2011

Nenek 11 cucu berjaya tawan Gunung Kinabalu




Azillah Abdul Rahman (kiri) dan Nurul Jannah Abdul Kadir menunjukkan sijil yang diterima daripada Kinabalu Park setelah mereka berjaya mendaki Gunung Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.


HULU LANGAT 11 Dis. - Seorang nenek yang mempunyai 11 cucu merupakan seorang daripada 28 peserta yang berjaya menamatkan Program Kembara Sihat-Gabungan IPT Menuju Puncak Kinabalu, Sabah pada 10 hingga 14 November lalu. Azillah Abdul Rahman, 58, seorang suri rumah berjaya sampai ke puncak gunung yang ketinggiannya mencecah 3,574.4 meter.

Ahli Kelab Kecergasan Pandan (KKP) itu menyertai program berkenaan yang dianjurkan secara kerjasama oleh KKP dan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat). "Bagi saya, umur bukanlah satu halangan untuk melakukan senaman. Jika kita mahu sentiasa sihat, kita perlu melakukan senaman setiap hari. "Saya amat suka melakukan aktiviti luar seperti ini kerana ia membantu mendapatkan kesihatan yang baik selain dapat beriadah," kata Azillah ketika ditemui di majlis penutup program itu di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MySihat, Datuk Dr. Yahya Baba serta Pengerusi KKP, Abdul Ghani Abdul Samad.
Selain ahli-ahli kelab berkenaan, program itu turut melibatkan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Sementara itu, Nurul Jannah Abdul Kadir, 9, murid Sekolah Islam Al-Iman, Kampung Pandan, Kuala Lumpur merupakan peserta termuda yang berjaya menamatkan pendakian tersebut. "Saya rasa seronok kerana dapat menyertai aktiviti ini dan jika berpeluang, saya ingin mendaki gunung lain pula," katanya.

Dalam pada itu Yahya berkata, program tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia agar mementingkan kesihatan dan sentiasa mengamalkan cara hidup sihat. "MySihat akan sentiasa menyokong persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menganjurkan program riadah dan rekreasi agar dapat melahirkan rakyat yang sihat," katanya.
Credit to: Utusan

No comments:

Post a Comment