Tuesday, 27 December 2011

Beranikah anda melawat zon perang?


Tempat paling ngeri di dunia


TIANG bendera paling tinggi di dunia milik Korea Utara.


JARANG sekali pelawat dikehendaki menandatangani borang aku janji apabila melawat mana-mana tempat di dunia.
Tetapi borang yang baru ditandatangani oleh kira-kira 50 pelancong di dalam dewan Kem Bonifas yang terletak di Zon Bebas Tentera (DMZ), kira-kira 40 kilometer ke utara Seoul, Korea Selatan itu berbunyi: "Lawatan ke Kawasan Sekuriti Bersama (JSA) di Panmunjom melibatkan kemasukan ke kawasan musuh dan kemungkinan kematian akibat tindakan musuh."
Sekalipun amaran itu menggerunkan, belum ada pelancong yang mati semasa melawat JSA, pusat ketenteraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di DMZ.
Namun begitu, nasib tentera pengaman yang ditempatkan di situ tidak selalunya baik. Sejak tahun 1953, lebih 50 tentera Amerika Syarikat (AS) dan 500 askar Korea Selatan terbunuh selepas berlaku pertempuran dengan tentera Korea Utara.
Kem Bonifas sendiri diambil sempena nama kapten tentera AS yang dikapak sehingga mati semasa melakukan kerja memotong pokok di JSA pada tahun 1976.
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton menggambarkan Zon Bebas Tentera (DMZ) di Korea sebagai tempat paling mengerikan di muka bumi.
Apa tidaknya, DMZ yang membahagi dua Korea dipenuhi dengan menara peninjau, perangkap kereta kebal dan senjata berat.
Tentera
Lebih dua juta tentera sedia berperang pada bila-bila masa sejak lebih 50 tahun lalu di sepanjang 248 kilometer sempadan kedua-dua negara itu.
Korea Utara dipercayai menempatkan sejuta tentera di DMZ. Di pihak yang satu lagi pula ada kira-kira 600,000 tentera Korea Selatan dan 28,000 tentera AS. DMZ merupakan salah satu penempatan terbesar tentera AS di luar negara.

TENTERA Korea Selatan berkawal di salah satu pos kawalan yang banyak terdapat di sepanjang DMZ.



Jika tentera Korea Utara memasuki sempadan DMZ, AS secara automatik dikira sedang berperang kerana mengikut perjanjian 1954 yang disokong oleh resolusi PBB menyebut bahawa AS komited dalam mempertahankan Korea Selatan.
Walaupun DMZ merupakan salah satu tempat paling bahaya di dunia, ia telah menarik kedatangan ratusan ribu pelancong setiap tahun.
Mereka teruja untuk melihat tentera Korea Utara yang berwajah bengis dan sentiasa menggunakan teropong untuk memerhati pergerakan pelancong.
Sebuah pusat penerangan dibina berhampiran Terowong Ketiga di JSA.
Di situ, pengunjung boleh menonton tayangan video multimedia selama enam minit yang menceritakan kesengsaraan rakyat Korea akibat berperang sesama sendiri.
Wajah pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il berulang kali dipaparkan dalam video itu.
Jong-Il meninggal dunia minggu ini akibat serangan jantung semasa menaiki kereta api di luar Pyongyang. Beliau digantikan oleh anaknya, Kim Jong Un.
Namun, bahagian dalam video itu yang menyentuh perasaan ialah tatkala dua keluarga yang terpisah di Korea Utara dan Korea Selatan disatukan.
Perang Korea yang meletus pada tahun 1950-53 hakikatnya belum berakhir. Tiada rundingan damai rasmi apatah lagi perjanjian menamatkan perang ditandatangani.
DMZ pula ibarat medan untuk kedua-dua negara menunjukkan kehebatan.
Pada tahun 1998, Korea Selatan membina Bangunan Kebebasan di JSA. Malangnya saiz bangunan dan seni binanya tidak menggembirakan Korea Utara.
Sebagai tindak balas, negara itu membesarkan bangunan Dewan Panmun dengan menambah beberapa tingkat lagi.
Begitu juga pada tahun 1980-an, apabila Korea Selatan membina tiang bendera setinggi 98 meter di Kampung Daeseong-dong, Korea Utara membalasnya dengan membina tiang yang lebih tinggi di Kijong-dong.
Kampung
Tiang bendera Korea Utara itu disenaraikan oleh Guinness Book of Records sebagai tiang bendera paling tinggi di dunia iaitu setinggi kira-kira 160 meter.
Terdapat perkampungan di kedua-dua sempadan. Di selatan, Kampung Daeseong-dong ditadbir mengikut undang-undang DMZ. Ia merupakan satu-satunya kawasan berpenghuni di DMZ.
Penduduk kampung dikira sebagai rakyat Korea Selatan namun mereka dikecualikan daripada membayar cukai dan keperluan sivil lain seperti menyertai perkhidmatan ketenteraan.






Di utara, Kijong-dong menampilkan beberapa bangunan dan apartmen yang dicat terang beserta kemudahan elektrik.
Ciri itu menggambarkan kemewahan penduduk kampung Korea pada tahun 1950-an.
Kesemua bangunan di situ dicat putih manakala bumbungnya berwarna biru menyebabkan ia sangat ketara dilihat dari jauh. Namun, pandangan menggunakan teleskop moden mendapati bangunan itu sekadar konkrit.
Ia tidak mempunyai tingkap atau bilik. Lampu bangunan itu akan terpasang dan terpadam secara automatik. Kaki lima bangunan pula diletakkan patung manusia bagi memberi ilusi ada aktiviti di sana.
Boleh dikatakan tidak disentuh selama lebih setengah abad, DMZ yang selebar kira-kira empat kilometer bertukar menjadi syurga bagi spesies haiwan terancam termasuk burung tengkuk putih dan harimau bintang.
Credit to: Kosmo

No comments:

Post a Comment