Saturday, 31 December 2011

Semoga Tahun 2012 lebih baik


Mengharap 2012 lebih baik daripada 2008, 2009, 2010 dan 2011

jata_negara   

HARI ini adalah hari terakhir dalam kalendar 2011. Banyak orang mahu meninggalkan kenangan tahun 2011 dan berazam untuk membuka lembaran baru 2012.

Malam ini akan ada pelbagai bentuk sambutan di tempat tumpuan umum bagi meraikan kedatangan tahun baru 2012.
Bagi saya baik 31 Disember atau 1 Januari, apa yang akan kita harungi adalah sama sahaja - tidak ada banyak bezanya. Kita tetap akan mengharungi tempoh masa 24 jam sehari.

Dalam sepanjang tempoh itu, sama dengan hari-hari sebelum 1 Januari - kita akan bangun tidur, solat, sarapan, buat urusan kerja atau peribadi, makan, bertemu keluarga atau rakan, bersiar-siar atau beriadah, dan kembali ke kamar untuk tidur semula. Begitulah juga rutin keesokannya hampir sama sahaja.

Apa pun, kita mengalu-alukan kedatangan tahun baru 2012. Apa yang telah kita lalui selama empat tahun kebelakangan ini diharap dapat dijadikan teladan dan cabaran. 2012 diharap tampilkan perubahan.
Sepanjang tahun 2008, 2009, 2010 dan 2011 banyak menguji kesabaran dan sikap tolak ansur rakyat berbilang kaum negara ini. Banyak yang memendam perasaan.

Dalam aspek ekonomi di tahun baru ini, rata-rata rakyat akan menghitung satu persatu masalah berikutan kemelut ekonomi di Eropah dan Amerika Syarikat yang dijangka memberi kesan kepada Malaysia.

Ini meliputi soal dasar seperti perancangan dan strategi kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi global hinggalah kepada harga barang serta inflasi yang dikhuatiri boleh menghimpit kehidupan kita.

Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku dalam tahun 2012 tetapi ia tetap akan memberi ujian yang cukup besar. Jadi, segala-galanya memerlukan pengorbanan, iltizam dan semangat muafakat yang cukup kuat daripada semua pihak termasuk rakyat berbilang kaum.

Pada tahun 2008, kedudukan ekonomi dunia sudah menunjukkan kesan tsunaminya kepada politik dan sosial negara kita. Lanjutan itu kedudukan agama Islam, hak-hak istimewa Melayu, Institusi Raja- Raja Melayu, bahasa kebangsaan mula dipersoalkan. Ia tidak terhenti walaupun sudah diberi amaran keras oleh pihak berkuasa dan Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Ekonomi, politik dan agama memang menjadi faktor duri dalam daging yang boleh mencetuskan ketidakstabilan negara majmuk kita ini.

Suasana perpaduan nasional dilihat hari demi hari cuba diganggu gugat oleh individu yang tidak sedar diri akan nikmat kemerdekaan negara kita ini.

Sudah empat tahun berlalu, begitu ketara gerakan provokasi untuk menggugat sensitiviti agama dengan niat supaya pihak satu lagi bangkit membalas tindakan itu sehingga tercetus ketegangan.

Provokasi seperti ini perlu dibendung secara tegas sebelum ia menular menjadi konflik hingga menghancurkan segala nikmat kebaikan yang kita kecapi selama ini.

Ingatlah pesanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa "segala yang kita capai, bina dan hargai boleh hancur berkecai serta musnah dalam sekelip mata jika masyarakat dirosakkan dengan budaya jumud dan melampau menerusi isu perkauman serta agama".

Kita bertuah mendapat pemimpin kerajaan yang sentiasa memikirkan rancangan untuk memajukan dan memakmurkan negara ini, malah masalah kebajikan dan perpaduan rakyat juga tidak lepas daripada perhatian beliau.

Apakah tahun 2012, isu perkauman dan agama akan terus mewarnai politik negara kita? Rakyat terutama pengundi rasanya sudah tidak sabar membuat perhitungan dalam pilihan raya umum untuk memberikan mandat kepada parti yang diyakini dapat memulihkan semula suasana harmoni negara.

Alangkah eloknya jika suasana politik, ekonomi dan sosial kita berada dalam keadaan aman dan makmur - tanpa hiruk-pikuk satu demi satu kegawatan politik.

Sebelum 2008, kita dapat rasai bagaimana kestabilan politik dan ekonomi telah membawa rakyat berasa gembira kerana mereka dapat menikmati hidup dengan aman dan sejahtera.

Pengalaman pada tahun 2008, 2009, 2010 dan 2011 banyak memberi pengajaran kepada kita semua. Oleh itu, tahun baru 2012 ini adalah harapan kita untuk melihat perubahan lebih baik berlaku demi kemajuan dan kemakmuran hidup kita semua
.
Selain takdir Tuhan, kita juga boleh menentukannya berlaku.

Credit to: Utusan

No comments:

Post a Comment