Monday, 12 December 2011

Licik menjerat individu kesunyian dan bijak mempengaruhi hartawan


'Awang Hitam' tipu ahli perniaga

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Warga Afrika yang mendalangi jenayah siber bukan sahaja licik menjerat wanita dan lelaki kesunyian dengan cinta, tetapi mereka juga bijak mempengaruhi golongan hartawan sehingga sanggup menyerahkan wang yang banyak kepada mereka apabila dipelawa menjadi rakan kongsi dalam perniagaan.

Walaupun hanya berbual melalui laman sosial di Internet dan tidak pernah bersua muka, mangsa terdiri daripada ahli perniagaan atau golongan korporat dengan mudah diperdayakan sindiket 'Awang Hitam' itu yang bijak bermain kata-kata dan memalsukan dokumen-dokumen penting.

Baru-baru ini, seorang ahli perniagaan dari Taiwan membuat laporan polis selepas mendakwa mengalami kerugian AS$96,000 (RM296,000) setelah diperdaya oleh seorang lelaki warga asing yang dikenali melalui internet pada pertengahan tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, dalam perkenalan itu, suspek dipercayai anggota sindiket penipuan warga Afrika telah menyamar sebagai pengarah sebuah syarikat membekalkan baja urea beralamat di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, mangsa berusia 58 tahun yang kerap berhubung dengan suspek melalui internet dan telefon kemudian bersetuju membeli baja urea seberat 20 tan metrik berharga AS$64,000 (RM202,119) dari 'syarikat' kenalannya itu.
"Mangsa yang tidak menyedari sudah ditipu telah memindahkan wang diminta dari sebuah bank di Taiwan kepada sebuah bank di Malaysia dan suspek berjanji akan menghantar bekalan baja dipesan selepas semua urusan dokumentasi selesai.

"Tidak lama kemudian, mangsa menerima kiriman dokumen termasuk invois dari rakan niaganya itu yang memaklumkan baja dipesan sudah sedia untuk dihantar tetapi ahli perniagaan itu diminta membayar tambahan AS$32,000 (RM101,167) kononnya untuk membayar kos penghantaran," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Perdana di sini.

Menurut Syed Ismail, melihat dokumen-dokumen yang menyakinkan itu, mangsa tanpa ragu-ragu sekali lagi membuat pembayaran kepada suspek dan sepanjang tempoh berurus niaga, mangsa sudah membuat tiga kali pembayaran berjumlah AS$96,000.

Beliau berkata, selepas membuat pembayaran kali ketiga, barulah ahli perniagaan terbabit menyedari dia ditipu kerana suspek gagal dihubungi selepas itu menyebabkan dia terpaksa datang ke ibu negara untuk membuat laporan polis pada 16 November lalu.

Dalam kejadian berasingan, kata Syed Ismail, seorang wanita Brazil dan seorang gadis tempatan turut membuat laporan polis baru-baru ini, mendakwa menjadi mangsa 'Awang Hitam' yang menyamar sebagai jejaka Inggeris melalui sindiket penipuan cinta siber.

"Dalam kedua-dua kes itu, wanita Brazil terbabit kerugian RM430,000, manakala gadis tempatan yang menganggur berusia 37 tahun hilang wang RM41,000 setelah diperdaya 'kekasih' yang menyamar sebagai anak jutawan dan bakal mewarisi wang pusaka bapanya yang pernah tinggal di Malaysia bernilai jutaan dolar Amerika.

"Untuk mewarisi harta tersebut, suspek kononnya terpaksa membayar yuran guaman dan cukai pelepasan. Namun, dia menghadapi masalah kewangan lalu meminta wanita terbabit membantunya dan sebagai balasan, mereka dijanjikan habuan lumayan," katanya.

Syed Ismail berkata, wanita Brazil terbabit hanya menyedari ditipu apabila datang ke ibu negara tetapi gagal menemui 'kekasih' dipuja sebaliknya seorang lelaki warga Afrika, manakala wanita tempatan tersedar ditipu apabila menghubungi pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di sini dan dimaklumkan dia sudah menjadi mangsa penipuan.Credit to: Utusan

No comments:

Post a Comment