Monday, 26 December 2011

Gajah liar ditangkap berhampiran Gerik-Jeli


foto_gajah_sumatra

26/12/2011 4:52pm

KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah jantan liar, kira-kira 500 meter dari jalan besar Jeli-Grik, berhampiran Kem Batu Melintang, Jeli, pagi ini.
Pengarahnya, Rahmat Topani berkata, gajah berumur antara 10-15 tahun dan berat anggaran 1.5 tan itu adalah di antara 11 ekor gajah liar yang berjaya ditangkap oleh jabatan itu di sekitar Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, kejayaan pihaknya menangkap gajah itu hasil maklumat daripada penduduk Kampung Jerek, Batu Melintang selepas terserempak dengan haiwan berkenaan sebelum melaporkan ke pejabat cawangannya di Jeli petang semalam.
Katanya, selepas menerima maklumat itu, sepasukan renjer jabatan diketuai Ismail Nordin mengesan gajah tersebut sebelum menembak dengan peluru pelali, kira-kira pukul 9 pagi.
"Gajah ini dipercayai telah berkeliaran sendirian sejak dua tahun lepas di kampung-kampung sekitarnya sebelum dapat dikesan oleh penduduk kampung tersebut dan melaporkan kepada pihak kami,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment