Malaysia hari ini, situasi negara semakin maju dan membangun dengan kepesatan dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup, masyarakat yang berilmu dan juga masyarakat yang berdaya maju. Tambahan pula, prinsip pembangunan tersebut digilap dengan asas keIslaman yang dipandang sebagai suatu teori sejajar dengan kemajuan masyarakat. Islam Hadhari menjadi satu garis panduan berasaskan prinsip sebenar Islam di dalam menggalakkan peningkatan terhadap kemajuan dan pembangunan yang seterusnya akan menjamin kualiti hidup. Masyarakat pula semakin sedar untuk hidup berlumba-lumba mempertingkatkan status kedudukan sebagai suatu kelompok yang berdaya maju dan bertanggungjawab terhadap hal ehwal dan permasalahan serta keperluan negara. Dengan sikap majoriti secara dominan sebagai suatu masyarakat produktif dan berwibawa, maka negara kita semakin menuju ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang. Di sebalik pembangunan fizikal dan kebendaan tersebut, kita sebagai masyarakat yang terbilang perlu mempunyai agenda tersendiri agar tidak semata-mata hanya mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi memiliki mentaliti kelas ketiga. Masyarakat perlu memperkukuh lagi aspek budi bahasa dan nilai-nilai murni yang semakin diabaikan sejak akhir-akhir ini. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu ada kesedaran mengenai asal usul dan acuan kita sendiri yang boleh dilabelkan sebagai "Orang Timur". Orang Timur bukan hanya dikenali dengan penilaian rupa bentuk fizikal sahaja. Akan tetapi kita mewarisi satu khazanah paling berharga yang yang menjadikan kita sebagai masyarakat Timur yang berwibawa. Dari aspek kenegaraan pula, Perdana Menteri kita pada 11 Januari 2005 lalu menggambarkan bahawa "Budaya dan sistem nilai itulah yang sebenarnya menjadi kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju." Demikian diucapkan pada majlis pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni. Demikianlah betapa pentingnya peranan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam aspek kemajuan kita "sendiri" sebagai masyarakat timur atau masyarakat ‘melayu'. Kepentingannya adalah meliputi matlamat Malaysia yang mempunyai matlamat mencapai Wawasan 2020 dan menjadi bangsa yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Matlamat yang lebih penting di sebaliknya adalah menjadi sebuah masyarakat yang maju mengikut cara kita sendiri dengan erti kata menambahkan peningkatan hidup dan kemajuan tanpa mengurangi nilai-nilai penting khazanah bangsa kita sendiri. Budaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni bukan sekadar perlu dipertahankan bahkan perlu diperkayakan lagi agar ia tidak mengalami kepupusan serta sentiasa berkesinambungan untuk diwarisi daripada generasi ke generasi seterusnya. Usaha kita mempertahankan budaya dan adat resam perlu juga disertai dengan aspek tingkah laku berbudi bahasa. Malaysia memerlukan pembangunan nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai yang terlibat adalah seperti ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, amanah dan akauntabiliti. Dengan ini, kita bukan sahaja mampu membentuk aspek pembangunan luaran semata-mata, akan tetapi perlu juga memperbaiki aspek dalaman yang dikenali sebagai aspek keperibadian untuk menjadikan masyarakat kita sebagai suatu masyarakat yang benar-benar bertamadun. Walaupun berbudi bahasa dan nilai-nilai murni itu secara istilahnya bukan disebut sebagai Akhlak mulia, namun ia tetap membawa maksud yang sama. Sesuai dengan galakan agama yang menyatakan kepentingan menjaga suara hati dan pertuturan sebagai garis permulaan mempertingkatkan budi pekerti diri. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa mendengar,lagi maha mengetahui." (Surah an-Nisa'ayat 148) Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara." Budi bahasa dan nilai-nilai murni harus dipraktikkan di setiap aspek kehidupan agar keindahan Islam itu akan memberi kesan baik yang menyeluruh terhadap kemaslahatan sesebuah masyarakat. Masyarakat kini digesa untuk menghidupkan dan menghangatkan kembali nilai murni dalam kehidupan seharian. Walau apa pun status dan kerjaya kita sebagai seorang generasi millenium atau kita terlibat dengan penglibatan antarabangsa, maka berpasak teguhlah pada peribadi budi seorang yang berbudi bahasa. Kemajuan dunia merangsang kita untuk bekerja, berdaya maju dan berusaha. Tetapi jangan sampai kemajuan itu mengajarkan kita pada perkara yang sebaliknya. Iaitu mengurangi nilai-nilai murni yang sedia ada dan pernah menjadi suatu kebanggaan atau aset bangsa. Setiap golongan dan peringkat memainkan peranan untuk bekerjasama mempertahan dan memperkukuhkan budaya menjadikan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni sebagai satu cara dan gaya hidup berkesinambungan. Permulaan yang baik adalah bermula daripada institusi keluarga yang menekankan tanggungjawab memberi pendidikan berdasarkan autoriti ibu bapa kepada anak-anak. Permulaan daripada kelompok keluarga adalah lebih berkesan dan lebih sesuai dijadikan sebagai tempat berkesinambungannya khazanah budaya berbudi bahasa dan nilai-nilai murni. Dalam memanfaatkan kepentingan budi bahasa dan pengamalan nilai-nilai murni sebagai satu agenda pembangunan material dan mentaliti, adalah suatu yang perlu untuk membudaya dan memperteguhkan etika kerja berdasarkan pendekatan tersebut. Anggota perkhidmatan awam dan jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan penguatkuasaan seperti polis, imigresen dan semua yang terlibat dengan khidmat pelanggan khususnya haruslah memberi perkhidmatan dengan penuh beradab. Tutur kata yang mesra, bersopan dan sentiasa membantu adalah tunggak kecemerlangan bagi sesebuah perkhidmatan. Suatu masa dahulu, senario di sekitar pengangkutan awam pernah menggambarkan suasana kesopanan dan budi bahasa yang boleh dibanggakan. Namun sekarang, masyarakat boleh merasa malu untuk mempraktikkan nilai-nilai murni di khalayak ramai kerana keprihatinan telah berkurang sehingga boleh muncul mentaliti mempersenda nilai-nilai yang baik. Secara tidak sedar, pelbagai gejala negatif akan boleh timbul akibat daripada kepupusan budi bahasa dan nilai murni. Orang timur pada kebiasaannya memang lemah lembut dan sensitif jiwanya terhadap budi bicara. Hubungan dan keharmonian boleh porak peranda hanya kerana kekurangan budi bahasa. Bak kata pepatah "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa". Kalau tiada nilai-nilai murni, maka rosaklah tingkah laku masyarakat kita. Kerosakannya bukan hanya menyentuh aspek kesihatan atau kecacatan jiwa, bahkan menular ke pembangunan fizikal. Mentaliti kita adalah membina. Bukan merosak apa yang telah terbina. Tanpa nilai murni, remaja kita berperangai sewenang-wenangnya. Membudayakan vandalisme, gangsterisme, samseng jalanraya, gangguan seksual dan pelbagai jenis perlakuan delinkuen akan menjadi sorakan di persekitaran negara kita. Justeru, setiap pihak perlu positif dan turut serta membudayakan budi bahasa dan nilai murni sebagai gaya hidup yang sempurna. Perjuangan sebuah bangsa itu bukan sekadar mempertahankan kuasa dan labelnya sebagai suatu ‘bangsa'. Tetapi harus diingat juga bahawa praktik di samping mempertahan dan memperkukuhkan khazanah bangsa adalah sangat bermakna. Kerajaan negeri Johor mengenai agenda ini mempunyai pendekatan tersendiri yang bersifat holistik atau menyeluruh. Di bawah program Pembangunan Beridentiti, telah banyak program-program yang bermanfaat telah dirangka bagi mempastikan pembangunan masyarakat itu sejajar dengan mutu identiti tersendiri. Di dalam memartabatkan khazanah budaya, sikap berbudi bahasa dan nilai-nilai murni, program pembentukan dan didikan kekeluargaan dikenal pasti sebagai satu pendekatan paling efektif dan mesra masyarakat. Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim di negeri Johor telah menjalankan peranannya mendidik institusi keluarga melalui Modul Keluarga Sakinah yang menyentuh setiap peringkat kekeluargaan dari permulaan hidup hinggalah ke akhir hayat. Modul tersebut dikesan dapat menyerapkan sentimen mengamalkan nilai-nilai murni di peringkat keluarga. Pemupukan nilai-nilai murni ini juga diserapkan melalui pendekatan tidak langsung menerusi program-program sihat di dalam memastikan kebudayaan dan kesenian adalah seiring dengan pembangunan ekonomi dan fizikal. Kerajaan negeri terus memberi tumpuan terhadap pembangunan seni dan budaya yang meliputi bidang teater, permainan tradisional, seni tari,seni muzik, seni silat, pemuliharaan budaya, Kembara Puisi Darul Ta'zim dan sebagainya. Penglibatan-penglibatan ini diharap dapat memberikan kesan halus kepada masyarakat Johor untuk menghayati nilai-nilai murni di sebalik kebudayaan-kebudayaan tertentu. Program-program Gaya Hidup Sihat juga banyak menitik beratkan sumber nilai-nilai murni apabila kerajaan menggalakkan penglibatan sukarela daripada hampir setiap golongan menyertai Program Rakan Muda, J-Robik, Belia dan PROSTAR. Negeri Johor akan terus menerus mempertahankan budaya agar nilai-nilai murni dan budi bahasa yang dianggap paling penting di dalam pengamalan budaya itu dapat diperah dan menjadi identiti masyarakat secara umumnya. Tegak rumah kerana sendi, Runtuh sendi rumah binasa, Sendi bangsa ialah budi, Runtuh budi, runtuhlah bangsa. Credit to: MOHD FADZLI ABU BAKAR |
Saturday, 31 December 2011
BUDI BAHASA DAN NILAI MURNI
Labels:
Bahasa Melayu,
Budaya,
Islam,
Motivasi,
Pendidikan,
Seni
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment