Wednesday, 28 December 2011

Mengambil kesempatan di jaringan maya



Jenayah maya tanpa sempadan



MENYEDARI dunia Internet adalah suatu alam terbuka untuk mereka yang mahu merebut peluang menjadi kaya, seorang lelaki warganegara Switzerland tidak mahu ketinggalan mengambil kesempatan itu.
Tambah menyeronokkan hati peguam berusia 40-an itu adalah apabila berkenalan dengan seorang lelaki dari Malaysia melalui sebuah laman sosial. Dia teruja kerana menganggap pencariannya bakal membuahkan hasil lumayan.
Lelaki yang ditemui melalui jaringan maya itu memperkenalkan diri sebagai seorang ahli perniagaan yang menjalankan bisnes eksport bahan-bahan mentah penternakan dan memiliki syarikat yang berpangkalan di Malaysia.
Peguam itu ditawarkan sebuah kontrak perniagaan mengeksport bekalan makanan ayam ke Hong Kong, tetapi diminta membayar sejumlah wang terlebih dahulu bagi memastikan kontrak tersebut tidak terlepas ke tangan orang.
Teruja dengan tawaran yang tidak disangka-sangka itu, peguam itu menurut sahaja kemahuan 'ahli perniagaan' itu. Wang sejumlah RM1,360,079.50 pun telah dipindahkan ke dalam akaun lelaki tersebut.
Begitupun, oleh kerana tiada apa-apa yang berlaku dalam tempoh masa yang terlalu panjang, dia yang mempunyai latar belakang undang-undang itu telah melakukan penyiasatan sendiri terhadap syarikat tersebut dengan maklumat yang ada.
Luluh hatinya apabila mendapati syarikat tersebut palsu dan tidak pernah wujud di Malaysia. Tidak mahu si penipu siber itu terlepas begitu sahaja, dia telah melaporkan kes itu kepada pihak berkuasa.
Mujur tindakan pantas pihak polis telah berjaya menangkap dua individu, seorang lelaki dan wanita berhubung kes tersebut. Itu merupakan salah satu kes jenayah siber di negara ini.



Pada 15 Jun lalu, negara digemparkan pula dengan serangan alam siber yang ditunjangi penggodam antarabangsa. Dikenali sebagai Anonymous menerusi Operation Malaysia, kesan buruk penggodamannya amat serius.
Dalam serangan tersebut, sebanyak 91 buah laman web telah mengalami gangguan perkhidmatan.
Terdedah ancaman
Kegiatan jenayah dan salah laku siber tidak hanya melumpuhkan laman web, malah sesiapa sahaja boleh terdedah kepada ancaman tanpa sempadan itu.
Ia terbukti apabila CyberSecurity Malaysia melalui Pusat Bantuan Cyber999 telah mencatatkan sebanyak 14,157 insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet di seluruh Malaysia dari bulan Januari sehingga November 2011.
Jumlah tersebut menunjukkan berlaku peningkatan mendadak sebanyak 97 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Mengikut istilahnya, jenayah siber merujuk kepada perbuatan atau insiden yang dilakukan di alam siber, sama ada menggunakan komputer mahupun peralatan seperti perkakasan dan perisian telekomunikasi.
"Ia dilakukan dengan menggunakan telefon pintar atau peranti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), dengan teknologi Internet digunakan sebagai perantara dan tidak melibatkan perbuatan jenayah secara fizikal.
"Sebagai contoh, penjenayah ini menceroboh maklumat organisasi atau individu, harta intelektual, penipuan kad kredit, kecurian identiti, penggodaman ke atas sistem rangkaian komputer dan laman web organisasi mahupun individu," kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt. Kol. (Bersara) Prof. Datuk Husin Jazri ketika ditemui Kosmo!.
Husin menjelaskan, setiap aktiviti jenayah siber yang dilakukan mempunyai motif atau tujuan tersendiri seperti membalas dendam, marah, berhibur sekadar suka-suka, kewangan dan politik.
Di kebanyakan negara, landskap jenayah siber yang berlaku kesemuanya hampir sama.
Laporan insiden
Di negara ini, CyberSecurity Malaysia mengklasifikasi kategori jenayah atau ancaman siber berdasarkan data laporan insiden keselamatan siber melalui penggunaan Internet yang dikumpulkan Pusat Bantuan Cyber999.

PENIPUAN melibatkan kad kredit juga merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh penjenayah siber.


Statistik yang dikumpul melalui pusat bantuan tersebut dikenali sebagai insiden keselamatan siber, dan tidak dikategorikan sebagai jenayah siber.
Antara insiden keselamatan siber yang dikenal pasti adalah seperti penipuan, spam, pencerobohan, kod berbahaya, cubaan pencerobohan, gangguan siber, laporan kerentanan (vulnerabilities), gangguan perkhidmatan (DoS) dan juga berkaitan kandungan.
Husin memberitahu, terdapat beberapa punca atau sebab berlakunya peningkatan insiden tersebut. Antaranya adalah jumlah pengguna Internet yang semakin bertambah dari semasa ke semasa dan kurang pengetahuan mengenai kepentingan keselamatan siber.
Pusat Bantuan Cyber999 juga banyak menerima laporan insiden keselamatan Internet berkaitan penggunaan media sosial.
"Ada dalam kalangan pengguna Internet yang kurang arif dan juga kurang berhati-hati sewaktu melayari Internet," ujar beliau.
Justeru, peluang tersebut memudahkan lagi penjenayah siber untuk mengambil kesempatan ke atas mereka.
Selain daripada itu, terdapat juga peningkatan ancaman-ancaman penggodaman seperti pencacatan laman web (web defacement) dan juga pencerobohan.
Kelemahan utama yang menjadi sasaran kebanyakan penjenayah siber ialah pihak yang menggunakan penyelesaian sekuriti tidak asli dan yang luput tarikh sah.
Menurut Pengarah Saluran Jualan Kaspersky Lab Asia Tenggara, Jimmy Fong, dalam satu kenyataan akhbar, pengguna peranti teknologi seperti komputer, telefon pintar, tablet dan peranti lain, ia seumpama seseorang yang meninggalkan pintu dan tingkap rumah dalam keadaan terbuka.
"Dalam situasi perbandingan tersebut, pengguna seolah-olah berharap tiada sesiapa yang akan masuk ke dalam rumah seterusnya menyalah guna atau mencuri hak miliknya.
"Di dalam kes ini, ia melibatkan data dan identiti anda," katanya
Credit to: Kosmo

No comments:

Post a Comment