Saturday, 31 December 2011

Budak kecil dan sayur pucuk paku...



BANYAK orang mungkin tidak pernah hendak mengambil tahu atau memandang ringan nilai simpati, belas kasihan atau rasa kasih pada orang yang memerlukan pertolongan. Mungkin sebab kita lihat banyak kali orang yang memerlukan pertolongan itu jelas mengambil kesempatan.

Tetapi ada juga orang yang memerlukan pertolongan itu mempunyai prinsip yang lebih baik, tidak meminta semata-mata, sebaliknya ada sesuatu yang ditukar sebagai ganti dan mereka bersungguh-sungguh memegang prinsip itu. Ada satu malam, seorang budak lelaki kecil dalam lingkungan umur 8-10 tahun yang sangat comot berniaga sayur pucuk paku di hadapan sebuah pasar raya. Sayur itu diikat dengan kemas dan disusun elok-elok di atas helaian kain di tepi kaki lima.

Dengan bersemangat dia melaung; "bang, kakak, pakcik makcik sayur seringgit-sayur seringgit". Dia comot mungkin kerana seharian bergemulang dalam semak di kawasan berpaya untuk mencari sayur pucuk paku. Sayur itu dijual seikat RM1 kalau ada 15 ikat dapatlah dia RM15 untuk malam itu.

Budak-budak baya ini biasanya duduk di rumah sambil melayan Astro Ceria, membelek-belek barang Ben10, tidak pun iPad dan kalau yang bagus - sedang mengulang kaji buku sekolah. Tetapi budak penjual sayur ini pada malam pun masih berdiri di tepi kaki lima di hadapan pasar raya besar dengan harapan orang ramai yang sudah membeli barang-barang "segar" dalam pasar raya itu berminat juga membeli sayur segarnya.

Ada orang sekadar melihat dengan pesimis dan terus berlalu. Mungkin kerana sayur pucuk paku dan budak kecil yang comot itu tidak ada daya penarik.

Ada orang yang singgah bertanyakan harga tetapi tidak membeli. Mungkin kerana duitnya semua besar, jadi terfikir budak ini tidak cukup duit kecil untuk ditukar lalu tidak jadi membeli. Ada orang yang singgah hanya bertanya "Sayur apa ni?" Mungkin orang itu hidupnya hanya kenal sayur asparagus.

Ada orang yang singgah, membeli dua hingga lima ikat dan dibayar cukup-cukup. Budak kecil itu ucap "terima kasih-terima kasih" sambil tersenyum tiap kali ada orang membeli. Di dalam hatinya mungkin dia berkata "Tinggal satu saja lagi... tak sabarnya nak dapat RM15."Dikira-kira lagi jika "seminggu tiga kali boleh dapat RM45. Wah, banyak tu!". Kali ini dia lagi tersenyum.

Dalam ramai-ramai yang membeli. Ada seorang yang singgah, kali ini orang yang membeli itu tidak sekadar membeli dan berlalu. Dia bertanyakan itu sayur apa, (mungkin dia sama seperti orang yang hanya tahu sayur asparagus), dia bertanyakan lagi berapa harga sambil membelek-belek dompetnya (mungkin dia pun sama seperti orang yang risau budak kecil itu tidak ada tukaran wang kecil).

Budak kecil ini pun memberitahu; "Seringgit kak!" Orang itu hanya tersenyum, dia hanya memandang budak kecil itu dalam beberapa saat (mungkin dia juga sama saja dengan orang yang hanya bertanya sayur apa, harga apa tetapi akhirnya tidak membeli).

Budak kecil itu hanya menunggu orang itu membeli. "Nah, ambil ni. Bagi kakak sayur tu. Baki simpan okey!" Dihulurkan duit RM10 kepada budak kecil itu. Budak kecil itu terkebil-kebil. "Sayur ni seringgit. Baki ni banyak kak!" budak kecil itu seperti keberatan untuk menerima.

"Kakak bagi okeySo awak ambil!" budak kecil itu tersenyum sungguh dan terus berulang kali ucap "terima kasih kak!"
"Adik cari sayur ni kat mana? Dah lama jual? Petik sendiri ke? Adik jual ni saja-saja ke."

Oh! Rupa-rupanya banyak sungguh orang yang baik hati itu bertanya. Mungkin kerana orang itu sengaja membuatkan budak kecil itu tahu yang dia amat kagum dengan kesungguhannya berniaga sehingga habis semua sayur dijual.
Berbaloi budak kecil tu berdiri selama tiga jam, meminta orang supaya membeli sayurnya.

Sejak budak kecil itu mula membuka "kedainya" tidak ramai dari kebanyakan orang yang hanya berlalu atau yang membeli sayurnya itu, dapat melihat kelainan seorang budak kecil yang comot itu membuat sesuatu yang tidak ramai budak-budak sebayanya boleh lakukan - meninggalkan aktiviti menonton Astro Ceria, bermain Ben10, melayan iPad sambil membuka FB atau yang bagus, menelaah pelajaran sekolah.

Sebaliknya berniaga di malam hari, jika tidak kerana kesempitan hidup serta kesusahan yang dialami. Mungkin ada beberapa orang yang ada belas kasihan lalu membeli dengan niat untuk membantu budak kecil itu menghabiskan jualannya, walaupun setakat bayar cukup-cukup dengan jumlah sayur yang dibeli.

Tetapi ada juga manusia yang baik hati masih boleh melihat lebih jauh daripada itu, kerana orang yang segelintir itu, bukan hanya tahu nilai simpati dan belas kasihan sebaliknya memahami prinsip budak kecil itu.

Itulah yang dimaksudkan dengan "orang- orang yang memerlukan pertolongan dengan prinsip yang lebih baik". Budak kecil itu ada prinsip. Kita tahu budak kecil itu sebenarnya orang yang susah. Kesusahan tidak membenarkan dia untuk mengambil kesempatan, dengan hanya meminta duit daripada ibu atau ayahnya yang tidak mampu memenuhi keinginannya, atau dengan jalan mudah - mengambil kesempatan dengan hanya meminta-minta daripada orang lain.

Sebaliknya dia bertekad untuk melakukan sesuatu supaya dia dapat perolehi apa yang dihajatinya. Dan itulah prinsip orang yang memerlukan pertolongan yang boleh kita hormati, agar ia menjadi teladan kepada diri kita, setidak-tidaknya mungkin pada anak-anak kita.

"Jual-jual juga. Tapi belajar tak boleh tinggal tau dik!" orang yang baik hati itu sempat meninggalkan pesanan sebelum meninggalkan budak kecil yang comot itu untuk menaiki kereta yang sudah tiba untuk menjemputnya.

No comments:

Post a Comment