Saturday, 12 August 2017

TEGUR SECARA BERHEMAH



SAYA melihat seseorang yang tersilap dalam solat. Adakah saya perlu menegur dengan segera?
Sesuatu kesilapan tetap kesilapan. Namun terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian. Pertama, hendaklah dipastikan ia satu kesilapan yang betul-betul silap. Ini kerana ada banyak perkara dalam solat yang menjadi perbezaan pendapat ulama.
Contohnya meletakkan tangan di dada atau bawah pusat. Katakan tuan beramal dengan cara meletakkan tangan atas dada ketika solat berdasarkan riwayat hadis. Maka tuan melihat seseorang yang bersolat dengan meletakkan tangan di bawah pusat telah melakukan kesilapan.
Sebenarnya tuan sendiri tersilap. Ini kerana ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa tangan diletakkan di bawah pusat ketika berdiri dalam solat. Oleh itu, pastikan dahulu sesuatu kesilapan pada pandangan tuan adalah juga kesilapan pada pandangan insan yang hendak ditegur.
Kedua, hendaklah kesilapan itu ditegur dengan cara yang berhemah iaitu secara bijak. Contohnya, dikisahkan dalam riwayat hadis bagaimana seorang lelaki Arab Badawi kencing dalam masjid. Para sahabat ingin menghalau lelaki itu keluar dari masjid. Namun Nabi SAW meminta dibiarkan lelaki itu kencing. Kemudian Nabi SAW memanggil lelaki Badawi itu dan menerangkan ketidakharusan untuk kencing dalam masjid. Baginda juga menjelaskan tentang tatacara membersihkan tempat yang terkena najis kencing. Maka tindakan Nabi SAW adalah tindakan yang berhemah.



Credit Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al Jarumi

Wednesday, 9 August 2017

Sarimin: PERINTIS ZOOLOGI ISLAM

Sarimin: PERINTIS ZOOLOGI ISLAM: BUKAN berasal daripada keluarga berkemampuan tinggi, sejak kecil  al-Jahiz  atau nama penuhnya  Abu Uthman Amr Ibn Bakar al-Kinani al-F...

PERINTIS ZOOLOGI ISLAM


Image result for KITAB AL HAYAWAN
BUKAN berasal daripada keluarga berkemampuan tinggi, sejak kecil al-Jahiz atau nama penuhnya Abu Uthman Amr Ibn Bakar al-Kinani al-Fuqaimi al-Basri sering membantu keluarganya menjual roti dan ikan di pasar Basrah, Iraq.
Namun, kesibukan tersebut tidak menghalang minat dan semangatnya yang suka membaca. Bagi memenuhi minatnya itu, al-Jahiz menyewa kertas dan risalah di kedai buku serta membacanya sehingga membolehkan beliau memiliki pelbagai ilmu pengetahuan.
Sehinggakan, sejak usia belia lagi beliau telah mencapai darjat keilmuan yang tinggi. Bukan sekadar menghadiri kuliah, tetapi al-Jahiz juga sering bergaul dengan cendekiawan serta ilmuwan di daerah tersebut.
Dilahirkan pada 780 Masihi di Basrah, beliau juga dianggap sebagai penulis kontemporari, bersistem, mempunyai pemikiran kognitif, teliti dalam membuat kajian serta pemerhatian yang menjadikannya diiktiraf bijak dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat.
Dikatakan, beliau juga menghasilkan sebanyak 350 buku dalam pelbagai bidang seperti biologi, kehaiwanan, tumbuhan, serangga, antropologi, ekonomi, perdagangan, dan geografi.
Kariernya sebagai penulis dan ilmuwan mula mencapai kegemilangan apabila karya penulisannya berjudul Books of Animals (Kitab al-Haywan) yang mengandungi tujuh jilid berjaya mengangkat namanya sebagai antara penulis terkemuka.
Menerusi bukunya itu, beliau membahagikan haiwan kepada tujuh jenis yang merangkumi kategori terbang, berenang, dan berjalan.
Buku itu juga menyentuh mengenai kesan-kesan ke atas haiwan, cara pembentukan telur dalam perut anak ayam, bagaimana sarang burung dibuat dan habitat tidur binatang.
Selain itu, al-Jahiz turut menghasilkan karya popular berjudul Al-Qaul fi al Baghal iaitu mengenai asal-usul keldai, sifat dan kehidupannya. Oleh kerana keilmuannya yang tinggi, beliau dianggap sebagai antara seorang saintis Islam banyak menyumbang dalam bidang zoologi termasuk menjadi rujukan pengkaji selepasnya.
Di samping itu, penulisannya juga meliputi aspek pengaruh cuaca, diet manusia, tumbuhan, dan haiwan yang hidup di persekitaran geografi serta kawasan berbeza. Beliau turut membincangkan mengenai komunikasi antara haiwan, psikologi dan tahap intelek serangga serta beberapa jenis haiwan lain.
Al-Jahiz juga menyediakan turutan atau jadual lengkap mengenai organisasi sosial serangga yang diperoleh daripada pemerhatiannya. Antaranya, bagaimana serangga menyimpan biji-bijian yang tidak rosak sepanjang musim hujan.
Menerusi pemerhatinya juga mendapati sesetengah serangga bertindak balas terhadap cahaya, justeru beliau menggunakan maklumat itu untuk mencadangkan satu kaedah bagaimana memerangkap nyamuk dan lalat.
Kini, sebanyak 87 helai muka atau kira-kira satu pertiga daripada teks asal yang ditulis oleh al-Jahiz itu dipelihara dan disimpan di Perpustakaan Ambrosiana Library Milan, Itali.
Kisah kematiannya menggambarkan bahawa kehidupan beliau yang begitu mencintai ilmu. Beliau yang lumpuh tubuh badannya meninggal dunia kerana ditimpa buku-bukunya yang tinggi tersusun dan tersimpan di sekelilingnya.

Wednesday, 2 August 2017

Sarimin: PERSEDIAAN MENUJU KE ALAM BARAKH

Sarimin: PERSEDIAAN MENUJU KE ALAM BARAKH: BARU sekejap berjumpa dan bergurau senda, namun secara tiba-tiba mendapat berita individu itu telah meninggal dunia. Pastinya ramai dal...

PERSEDIAAN MENUJU KE ALAM BARAKH

UMAT Islam perlu memperbanyak ibadah dan bertaubat sebagai persediaan
BARU sekejap berjumpa dan bergurau senda, namun secara tiba-tiba mendapat berita individu itu telah meninggal dunia. Pastinya ramai dalam kalangan kita pernah mengalami situasi tersebut.
Ini kerana, tiada siapa mengetahui dan yakin mampu hidup di dunia ini walau hanya sesaat lagi. Sebagai umat Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis serta beriman dengan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah wajib mempercayai bahawa kematian pasti berlaku tanpa mengira usia.
Ia sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekali pun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.” (an-Nisa: 78)
Apabila nyawa berpisah daripada tubuh, maka bermulalah perpindahan dari alam dunia ke barzakh atau alam kubur iaitu alam yang terletak antara dunia dan akhirat sebelum dibangkitkan serta dihimpunkan di Padang Mahsyar.
Alam barzakh merupakan persinggahan pertama antara tempat-tempat persinggahan alam akhirat. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama alam akhirat, jika seorang terselamat daripada huru hara azabnya, maka huru hara di tempat lain lebih ringan kepadanya; dan jika dia tidak terselamat daripada itu, maka huru haralah di tempat-tempat lain dengan lebih berat lagi.” - Riwayat Tirmizi
Ketahuilah apabila mayat seseorang diletakkan dalam kubur, maka dua malaikat Mungkar dan Nakir akan datang dan menyoal beberapa soalan.
Ini adalah ujian pertama yang disebut fitnatul kubur atau ujian kubur. Sesiapa yang berjaya dalam ujian ini akan menerima nikmat, manakala sesiapa gagal akan menerima azab Allah. Inilah yang dinamakan nikmat dan azab kubur.
Nikmat kubur disediakan bagi umat Islam yang taat melaksanakan perintah Allah manakala azab kubur disediakan bagi mereka menderhaka secara berterusan sehingga ke hari kiamat.
Ini dijelaskan sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya apabila seseorang itu telah mati, didedahkan padanya pagi dan petang tempat tinggalnya akan datang. Sekiranya si mati itu daripada ahli syurga maka syurgalah yang didedahkan kepadanya untuk merasai nikmatnya, dan jika ia daripada ahli neraka maka nerakalah yang didedahkan kepadanya untuk merasai azab sengsaranya. Kemudian dikatakan kepada masing-masing: Inilah tempat tinggalmu yang akan engkau bawa kepadanya pada hari akhirat.” - Riwayat Bukhari
Nikmat dan azab di alam barzakh pasti berlaku dan setiap manusia akan menemuinya. Sebagai orang yang beriman, hendaklah menyakini kebenarannya dan bersedia dengan persediaan-persediaan yang dapat membantu menikmati nikmat kubur serta menghindarkan daripada azab Allah.
Justeru, umat Islam hendaklah memperbanyak amalan soleh ia merupakan perkara yang kekal bersama setiap individu di alam kubur nanti.
Antara amal soleh yang dapat membantu seseorang bagi mendapatkan nikmat kubur ialah seperti sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.
Sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seseorang manusia meninggal dunia maka terputuslah amalannya melainkan dari tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.” - Riwayat Muslim
Justeru, bersegeralah melakukan amal soleh sebagai bekalan ke alam barzakh. Ini kerana kematian akan datang pada bila-bila masa sahaja, tanpa mengira usia, masa sihat atau sakit, masa senang atau susah, walau di mana jua kita berada.
Antara nikmat kubur:
1. Dibentangkan hamparan dari syurga
2. Dipakaikan pakaian dari syurga
3. Dibukakan pintu menuju syurga
4. Didatangkan wangi-wangian dari syurga
5. Dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta
6. Diberikan cahaya menerangi kuburnya
7. Tidur dengan lena sehingga hari kebangkitan
Antara azab kubur ialah:
1. Dibentangkan hamparan dari neraka
2. Dipakaikan pakaian dari neraka
3. Dibukakan pintu menuju ke neraka
4. Didatangkan bahang api neraka
5. Dipukul antara kedua-dua telinganya
6. Dihimpit bumi sehingga remuk tulang-temulangnya
* Riwayat Bukhari dan Muslim

Tuesday, 1 August 2017

WAJAH ISLAM PADA WATAK DAN AMALAN


ISLAM yang bertunjangkan Ru­kun Islam dan Rukun Iman menjadi asas untuk memba­ngunkan sistem kepercayaan dan cara hidup. Pola ini menyebabkan Islam tidak hanya dalam batas ri­tual atau ibadah yang sifatnya rohaniah semata-mata tetapi manifestasinya terlihat pada amal dan amal itu pula tercermin pada watak.
Akidah tauhid menjadi tunjang dalam menyakini kewujudan Allah dan penyebab kepada terciptanya alam ini. Alam ini tidak terjadi de­ngan sendiri atau bergerak dengan sendiri. Bintang dan galaksi berge­rak laju tetapi tersusun dan teratur malah tidak berlanggar melainkan dengan takdir-Nya.
Jiwa tauhid ini sifatnya me­rentasi dalam melakukan ibadah, melalui proses syariah untuk membentuk watak dan perlakuan manusia atau pun akhlak yang Islami. Daripadanya bakal lahir watak Islami yang menjadi te­ladan dan ikutan. Pembentukan watak sebegini melalui proses pengilmuan dan jihad. Tanpa­nya pemahaman terhadap Islam berlaku secara ikut-ikutan dan menyebabkan fikrah Islami tidak terbina.
Fikrah Islami amat penting dalam membentuk pola berfikir dan beramal dalam Islam. Fikrah Islami menjadi pedoman membentuk tasawwur atau pandangan semesta yang membantu terjadi­nya keseimbangan dan keharmonian dalam mencari kebenaran.
Ilmu yang benar dan bermanfaat menjadi faktor utama membimbing manusia memahami yang nyata dan ghaib. Al-Quran adalah petunjuk membawa per­khabaran benar dan pemikiran yang bermanfaat dipandu supaya akal terpedoman dan sifatnya tidak bercanggah. Integrasi nakli-akli ini apabila diharmonikan bakal mengukuh­kan hubungan menegak dan merentas dengan Allah dan manusia juga sistem. Inilah aksis atau tunjangan yang membentuk tasawwur Islami.
Tasawwur Islami adalah prasyarat penting membangunkan pemikiran dan hati. Pemikiran yang dipandu oleh ilmu yang benar dan bermanfaat memba­ngunkan hati-budi supaya niat yang terbina ke arah kebaikan dan kemakrufan. Hati-budi yang tulus dengan niat yang baik bakal menghasilkan amal contoh dan sumber ikutan.
Amal contoh yang dilakukan dikaitkan dengan Allah. Kaitan dengan Allah memberikan daya kawalan yang tinggi kepada seseorang insan kerana insan menginsafi apa sahaja yang dilakukannya adalah dalam pengetahuan dan pemerhatian Allah. Sifat ubudiyyah (ke­taatan) ini hikmah atau kebaikannya berpulang kepada manusia.
Watak dan amalan adalah cerminan kepada Islam. Rasulullah SAW seperti digambarkan oleh isterinya Aishah r.a. memiliki akhlak al-Quran (khuluq al-Quran). Baik dalam percakapan, pergaulan, melakukan dakwah, menghadapi cabaran dan kere­nah, berdepan dengan jihad atau maslahah, Rasulullah tetap seorang yang benar dan bijaksana hingga akhirnya dakwah dan tarbiah baginda berakhir de­ngan kemenang­an.
Rasulullah tidak gopoh dan hilang pertimbangan walaupun dihina. Pengalaman di Taif amat perit bagi ba­ginda tetapi Rasulul­lah tidak pernah putus asa. Berhijrah ke Madinah adalah suatu kebijaksanaan berdepan de­ngan suasana baharu yang me­nuntut pendekatan litaarrafu atau kerjasama terjadi. Futul Makkah atau kembali semula ke Mekah dilakukan dengan strategi yang rapi dan cermat sehingga akhir­nya kejayaan dicapai.
Antara kelemahan umat Islam masa kini ialah tidak memiliki watak seperti dimiliki Rasulullah. Sesetengah daripada kita nama­nya saja Islam tetapi amal Islami tidak terlihat. Ada yang terlibat dalam jemaah Islam tetapi berbangga-bangga dengan kelebihan jemaahnya dan menimbulkan taksub. Ada juga terlibat dalam politik Islam yang cenderung me­label dan menyebabkan perpecah­an dalam kalangan umat.
Wajah Islam perlu dijernihkan semula supaya memikat orang Islam apatah lagi bukan Islam. Jika watak dan amalan memba­yangkan orang Islam yang berilmu, mempunyai jiwa tawaduk, sangka baik dan sentiasa sabar berdepan kerenah, fahaman me­ngimbangi strategi dan maslahah, fokus terhadap keutamaan, terus melakukan dakwah dan tarbiah, bersifat menyumbang ke arah pembangunan Islam, penulis percaya umat Islam bakal bangun dengan kekuatan baharu ke arah contoh dan teladan yang boleh dijadikan sumber ikutan.
Akar kata Islam iaitu salama membawa maksud sejahtera. Umat Islam adalah umat yang menyejahterakan diri mereka dan orang lain. Apabila keikhlasan menjadi pakaian orang Islam, kejujuran menjadi kegunaan orang Islam, amanah menjadi perisai umat Islam, keadilan pula menjadi pegangan maka akan mencetuskan rasa sejahtera yang tinggi. Inilah sebenarnya risalah Islam pembawa rahmat bagi sekalian alam.
Sayangnya kualiti yang baik dalam Islam ini tidak terlihat dan diamalkan, sebaliknya hanya menjadi sebutan dalam ceramah dan tazkirah. Proses penyerapan tidak terjadi. Ini menyebabkan syarah dan khutbah tidak masuk ke dalam hati maka keinsafan tidak terjadi. Jika syarah dan khutbah dihayati, pasti membawa perubahan kepada watak dan amal.

Credit : PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Melayu dan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Monday, 17 July 2017

KEHEBATAN MADINAT AS SALAM, BAGHDAD

PEMANDANGAN tebing Sungai Tigris di Iraq dari udara.
Pemandangan tebing sungai Tigris, Iraq

BAGHDAD merupakan antara pusat kelahiran peradaban Islam yang menjadi pemangkin kepada perkembangan dan kemajuan tamadun Islam seterusnya. Tamadun Islam yang gemilang di Baghdad dinaungi oleh Dinasti Abbasiyah sebelum diteruskan oleh dinasti Islam lain. Antara sumbangan Dinasti Abbasiyah dalam kesenian Islam ialah rekaan seni binanya yang mengagumkan dan menjadi kebanggaan masyarakat Islam.
Satu daripada rekaan seni binanya yang masih dikagumi sehingga ke hari ini ialah Madinat as-Salam yang mempunyai rekaan kota berbentuk bulat. Kota ini dibina semasa pemerintahan Khalifah Abbasiyah, al-Mansor.
Baginda memilih untuk membina kota berbentuk bulat untuk tujuan pertahanan dan keselamatan yang sangat dititikberatkan pada waktu itu.
Khalifah al Mansor mengambil tampuk pemerintahan Dinasti Abbasiyah pada tahun 754 Masihi bersamaan 136 Hijrah bagi menggantikan saudaranya Khalifah Abu al-Abbas as-Saffah. Kota Madinat as-Salam membawa maksud Kota Sejahtera atau Kota Aman yang mempunyai rekaan seni bina yang sesuai dengan nama yang diberikan.
1. Ciri pertama kota berbentuk bulat ini tidak mempunyai sudut yang terpencil dan yang boleh terlepas pandang kerana ia boleh dilihat secara keseluruhan dari mana-mana sudut.
2. Ciri kedua - Ia mempunyai dua lapis dinding pertahanan yang mengelilinginya. Dinding ini diperbuat daripada batu bata yang kukuh.
Susun atur dalam kota ini direka bersesuaian dengan bentuk kota yang bulat. Kota ini direkodkan mempunyai empat pintu masuk yang membahagikan kota bulat ini secara sama rata. Setiap jalan dan binaan kediaman serta perniagaan yang didirikan dibuat dalam bentuk baris-baris pendek menghala ke bahagian tengah kota. Bahagian kota yang telah dibahagi empat mengikut pecahan pintu utama kota turut dibahagikan mengikut kumpulan masyarakat yang telah dikhususkan.

BATU ASAS KEHEBATAN BAGHDAD
Kota As-Salam ini merupakan batu asas kepada sebuah kawasan yang dikenali sebagai Baghdad pada hari ini. Kawasan yang menjadi pilihan Khalifah 
al-Mansor untuk mendirikan kota ini di bahagian barat tepi sungai utama yang dikenali sebagai Sungai Tigris. Sungai ini terletak di bahagian timur yang turut menjadi nadi kepada tamadun sebelumnya iaitu Mesopotamia.
Khalifah al-Mansur pernah merubah susun atur kota ini dengan meletakkan bahagian pasar di luar dinding kota pada tahun 772 Masihi. Tindakan ini mungkin disebabkan oleh perkembangan populasi penduduk dalam kota tersebut. Namun begitu, pada hari ini kota bulat ini telah musnah sepenuhnya. Hanya tinggal satu rekaan mimbar yang menjadi artifak berharga yang dikaitkan dengan kota bulat ini. Artifak ini pernah menjadi koleksi di Muzium Iraq.
Rekaannya memperlihatkan ketinggian nilai kreatif dan kebijaksanaan khalifah dalam merekabentuk sistem pertahanan ibu kotanya dengan mengambil kira sumber tenaga dan strategi dalam membina sesebuah kota. Ia juga menyerlahkan keberanian khalifah merancang dan melaksanakan sesuatu yang baharu walaupun ia belum dilakukan oleh generasi sebelumnya.

Credit Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria