BARU sekejap berjumpa dan bergurau senda, namun secara tiba-tiba mendapat berita individu itu telah meninggal dunia. Pastinya ramai dalam kalangan kita pernah mengalami situasi tersebut.
Ini kerana, tiada siapa mengetahui dan yakin mampu hidup di dunia ini walau hanya sesaat lagi. Sebagai umat Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis serta beriman dengan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah wajib mempercayai bahawa kematian pasti berlaku tanpa mengira usia.
Ia sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekali pun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.” (an-Nisa: 78)
Apabila nyawa berpisah daripada tubuh, maka bermulalah perpindahan dari alam dunia ke barzakh atau alam kubur iaitu alam yang terletak antara dunia dan akhirat sebelum dibangkitkan serta dihimpunkan di Padang Mahsyar.
Alam barzakh merupakan persinggahan pertama antara tempat-tempat persinggahan alam akhirat. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama alam akhirat, jika seorang terselamat daripada huru hara azabnya, maka huru hara di tempat lain lebih ringan kepadanya; dan jika dia tidak terselamat daripada itu, maka huru haralah di tempat-tempat lain dengan lebih berat lagi.” - Riwayat Tirmizi
Ketahuilah apabila mayat seseorang diletakkan dalam kubur, maka dua malaikat Mungkar dan Nakir akan datang dan menyoal beberapa soalan.
Ini adalah ujian pertama yang disebut fitnatul kubur atau ujian kubur. Sesiapa yang berjaya dalam ujian ini akan menerima nikmat, manakala sesiapa gagal akan menerima azab Allah. Inilah yang dinamakan nikmat dan azab kubur.
Nikmat kubur disediakan bagi umat Islam yang taat melaksanakan perintah Allah manakala azab kubur disediakan bagi mereka menderhaka secara berterusan sehingga ke hari kiamat.
Ini dijelaskan sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya apabila seseorang itu telah mati, didedahkan padanya pagi dan petang tempat tinggalnya akan datang. Sekiranya si mati itu daripada ahli syurga maka syurgalah yang didedahkan kepadanya untuk merasai nikmatnya, dan jika ia daripada ahli neraka maka nerakalah yang didedahkan kepadanya untuk merasai azab sengsaranya. Kemudian dikatakan kepada masing-masing: Inilah tempat tinggalmu yang akan engkau bawa kepadanya pada hari akhirat.” - Riwayat Bukhari
Nikmat dan azab di alam barzakh pasti berlaku dan setiap manusia akan menemuinya. Sebagai orang yang beriman, hendaklah menyakini kebenarannya dan bersedia dengan persediaan-persediaan yang dapat membantu menikmati nikmat kubur serta menghindarkan daripada azab Allah.
Justeru, umat Islam hendaklah memperbanyak amalan soleh ia merupakan perkara yang kekal bersama setiap individu di alam kubur nanti.
Antara amal soleh yang dapat membantu seseorang bagi mendapatkan nikmat kubur ialah seperti sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.
Sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila seseorang manusia meninggal dunia maka terputuslah amalannya melainkan dari tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.” - Riwayat Muslim
Justeru, bersegeralah melakukan amal soleh sebagai bekalan ke alam barzakh. Ini kerana kematian akan datang pada bila-bila masa sahaja, tanpa mengira usia, masa sihat atau sakit, masa senang atau susah, walau di mana jua kita berada.
Antara nikmat kubur:
1. Dibentangkan hamparan dari syurga
2. Dipakaikan pakaian dari syurga
3. Dibukakan pintu menuju syurga
4. Didatangkan wangi-wangian dari syurga
5. Dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta
6. Diberikan cahaya menerangi kuburnya
7. Tidur dengan lena sehingga hari kebangkitan
Antara azab kubur ialah:
1. Dibentangkan hamparan dari neraka
2. Dipakaikan pakaian dari neraka
3. Dibukakan pintu menuju ke neraka
4. Didatangkan bahang api neraka
5. Dipukul antara kedua-dua telinganya
6. Dihimpit bumi sehingga remuk tulang-temulangnya
* Riwayat Bukhari dan Muslim
No comments:
Post a Comment