SAYA melihat seseorang yang tersilap dalam solat. Adakah saya perlu menegur dengan segera?
Sesuatu kesilapan tetap kesilapan. Namun terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian. Pertama, hendaklah dipastikan ia satu kesilapan yang betul-betul silap. Ini kerana ada banyak perkara dalam solat yang menjadi perbezaan pendapat ulama.
Contohnya meletakkan tangan di dada atau bawah pusat. Katakan tuan beramal dengan cara meletakkan tangan atas dada ketika solat berdasarkan riwayat hadis. Maka tuan melihat seseorang yang bersolat dengan meletakkan tangan di bawah pusat telah melakukan kesilapan.
Sebenarnya tuan sendiri tersilap. Ini kerana ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa tangan diletakkan di bawah pusat ketika berdiri dalam solat. Oleh itu, pastikan dahulu sesuatu kesilapan pada pandangan tuan adalah juga kesilapan pada pandangan insan yang hendak ditegur.
Kedua, hendaklah kesilapan itu ditegur dengan cara yang berhemah iaitu secara bijak. Contohnya, dikisahkan dalam riwayat hadis bagaimana seorang lelaki Arab Badawi kencing dalam masjid. Para sahabat ingin menghalau lelaki itu keluar dari masjid. Namun Nabi SAW meminta dibiarkan lelaki itu kencing. Kemudian Nabi SAW memanggil lelaki Badawi itu dan menerangkan ketidakharusan untuk kencing dalam masjid. Baginda juga menjelaskan tentang tatacara membersihkan tempat yang terkena najis kencing. Maka tindakan Nabi SAW adalah tindakan yang berhemah.
Credit Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al Jarumi
No comments:
Post a Comment