Pemandangan tebing sungai Tigris, Iraq
BAGHDAD merupakan antara pusat kelahiran peradaban Islam yang menjadi pemangkin kepada perkembangan dan kemajuan tamadun Islam seterusnya. Tamadun Islam yang gemilang di Baghdad dinaungi oleh Dinasti Abbasiyah sebelum diteruskan oleh dinasti Islam lain. Antara sumbangan Dinasti Abbasiyah dalam kesenian Islam ialah rekaan seni binanya yang mengagumkan dan menjadi kebanggaan masyarakat Islam.
Satu daripada rekaan seni binanya yang masih dikagumi sehingga ke hari ini ialah Madinat as-Salam yang mempunyai rekaan kota berbentuk bulat. Kota ini dibina semasa pemerintahan Khalifah Abbasiyah, al-Mansor.
Baginda memilih untuk membina kota berbentuk bulat untuk tujuan pertahanan dan keselamatan yang sangat dititikberatkan pada waktu itu.
Khalifah al Mansor mengambil tampuk pemerintahan Dinasti Abbasiyah pada tahun 754 Masihi bersamaan 136 Hijrah bagi menggantikan saudaranya Khalifah Abu al-Abbas as-Saffah. Kota Madinat as-Salam membawa maksud Kota Sejahtera atau Kota Aman yang mempunyai rekaan seni bina yang sesuai dengan nama yang diberikan.
1. Ciri pertama kota berbentuk bulat ini tidak mempunyai sudut yang terpencil dan yang boleh terlepas pandang kerana ia boleh dilihat secara keseluruhan dari mana-mana sudut.
2. Ciri kedua - Ia mempunyai dua lapis dinding pertahanan yang mengelilinginya. Dinding ini diperbuat daripada batu bata yang kukuh.
Susun atur dalam kota ini direka bersesuaian dengan bentuk kota yang bulat. Kota ini direkodkan mempunyai empat pintu masuk yang membahagikan kota bulat ini secara sama rata. Setiap jalan dan binaan kediaman serta perniagaan yang didirikan dibuat dalam bentuk baris-baris pendek menghala ke bahagian tengah kota. Bahagian kota yang telah dibahagi empat mengikut pecahan pintu utama kota turut dibahagikan mengikut kumpulan masyarakat yang telah dikhususkan.
BATU ASAS KEHEBATAN BAGHDAD
Kota As-Salam ini merupakan batu asas kepada sebuah kawasan yang dikenali sebagai Baghdad pada hari ini. Kawasan yang menjadi pilihan Khalifah
al-Mansor untuk mendirikan kota ini di bahagian barat tepi sungai utama yang dikenali sebagai Sungai Tigris. Sungai ini terletak di bahagian timur yang turut menjadi nadi kepada tamadun sebelumnya iaitu Mesopotamia.
Khalifah al-Mansur pernah merubah susun atur kota ini dengan meletakkan bahagian pasar di luar dinding kota pada tahun 772 Masihi. Tindakan ini mungkin disebabkan oleh perkembangan populasi penduduk dalam kota tersebut. Namun begitu, pada hari ini kota bulat ini telah musnah sepenuhnya. Hanya tinggal satu rekaan mimbar yang menjadi artifak berharga yang dikaitkan dengan kota bulat ini. Artifak ini pernah menjadi koleksi di Muzium Iraq.
Rekaannya memperlihatkan ketinggian nilai kreatif dan kebijaksanaan khalifah dalam merekabentuk sistem pertahanan ibu kotanya dengan mengambil kira sumber tenaga dan strategi dalam membina sesebuah kota. Ia juga menyerlahkan keberanian khalifah merancang dan melaksanakan sesuatu yang baharu walaupun ia belum dilakukan oleh generasi sebelumnya.
Credit Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria
Credit Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria
No comments:
Post a Comment