Namun, kesibukan tersebut tidak menghalang minat dan semangatnya yang suka membaca. Bagi memenuhi minatnya itu, al-Jahiz menyewa kertas dan risalah di kedai buku serta membacanya sehingga membolehkan beliau memiliki pelbagai ilmu pengetahuan.
Sehinggakan, sejak usia belia lagi beliau telah mencapai darjat keilmuan yang tinggi. Bukan sekadar menghadiri kuliah, tetapi al-Jahiz juga sering bergaul dengan cendekiawan serta ilmuwan di daerah tersebut.
Dilahirkan pada 780 Masihi di Basrah, beliau juga dianggap sebagai penulis kontemporari, bersistem, mempunyai pemikiran kognitif, teliti dalam membuat kajian serta pemerhatian yang menjadikannya diiktiraf bijak dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat.
Dikatakan, beliau juga menghasilkan sebanyak 350 buku dalam pelbagai bidang seperti biologi, kehaiwanan, tumbuhan, serangga, antropologi, ekonomi, perdagangan, dan geografi.
Kariernya sebagai penulis dan ilmuwan mula mencapai kegemilangan apabila karya penulisannya berjudul Books of Animals (Kitab al-Haywan) yang mengandungi tujuh jilid berjaya mengangkat namanya sebagai antara penulis terkemuka.
Menerusi bukunya itu, beliau membahagikan haiwan kepada tujuh jenis yang merangkumi kategori terbang, berenang, dan berjalan.
Buku itu juga menyentuh mengenai kesan-kesan ke atas haiwan, cara pembentukan telur dalam perut anak ayam, bagaimana sarang burung dibuat dan habitat tidur binatang.
Selain itu, al-Jahiz turut menghasilkan karya popular berjudul Al-Qaul fi al Baghal iaitu mengenai asal-usul keldai, sifat dan kehidupannya. Oleh kerana keilmuannya yang tinggi, beliau dianggap sebagai antara seorang saintis Islam banyak menyumbang dalam bidang zoologi termasuk menjadi rujukan pengkaji selepasnya.
Di samping itu, penulisannya juga meliputi aspek pengaruh cuaca, diet manusia, tumbuhan, dan haiwan yang hidup di persekitaran geografi serta kawasan berbeza. Beliau turut membincangkan mengenai komunikasi antara haiwan, psikologi dan tahap intelek serangga serta beberapa jenis haiwan lain.
Al-Jahiz juga menyediakan turutan atau jadual lengkap mengenai organisasi sosial serangga yang diperoleh daripada pemerhatiannya. Antaranya, bagaimana serangga menyimpan biji-bijian yang tidak rosak sepanjang musim hujan.
Menerusi pemerhatinya juga mendapati sesetengah serangga bertindak balas terhadap cahaya, justeru beliau menggunakan maklumat itu untuk mencadangkan satu kaedah bagaimana memerangkap nyamuk dan lalat.
Kini, sebanyak 87 helai muka atau kira-kira satu pertiga daripada teks asal yang ditulis oleh al-Jahiz itu dipelihara dan disimpan di Perpustakaan Ambrosiana Library Milan, Itali.
Kisah kematiannya menggambarkan bahawa kehidupan beliau yang begitu mencintai ilmu. Beliau yang lumpuh tubuh badannya meninggal dunia kerana ditimpa buku-bukunya yang tinggi tersusun dan tersimpan di sekelilingnya.