HIDUP dan matinya seseorang manusia itu adalah tertakluk secara mutlak kepada kehendak (iradah) dan kuasa (qudrah) Allah SWT. Tujuan Allah menjadikan adanya kehidupan dan kematian bagi seseorang manusia adalah untuk menguji, siapakah dalam kalangan hamba-Nya itu yang benar-benar beriman dan berusaha bersungguh-sungguh melakukan amal soleh bagi memperoleh reda Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (al-Mulk: 2)
Sebagaimana awal kita hidup iaitu ia tertakluk secara mutlak kepada kehendak dan kuasa Allah, begitulah juga apabila kita menghadapi saat kematian. Tiada siapa tahu bila seseorang itu akan lahir dan bagaimana keadaan dia lahir, begitu juga tiada siapa yang tahu bagaimana seseorang itu akan mati dan bagaimana keadaan dia mati.
Namun bagi orang yang beriman, kita percaya dan yakin kepada arahan Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 102 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati, melainkan dalam keadaan Islam.
Walaupun kita tidak mengetahui bagaimana keadaan kematian kita, namun kita wajib berusaha memastikan bahawa berakhirnya hidup kita di dunia ini dalam keadaan taat perintah Allah SWT. Kita dituntut untuk mempertahankan iman dan agama Islam.
Abu Hurairah melaporkan: Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesiapa mati, tetapi dia tidak pernah berjuang mempertahankan agama Islam dan tidak pernah terlintas dalam hatinya cita-cita untuk berjuang mempertahankan Islam, maka orang itu mati dalam salah satu kategori orang munafik." (riwayat Abu Daud)
Individu yang memperoleh status mati syahid, mendapat keistimewaan di sisi Allah SWT. Mati syahid merupakan antara kurniaan terbesar yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya yang terpilih.
Status individu yang memperoleh mati syahid tidak boleh sewenang-wenangnya diberikan kepada sesiapa sahaja. Hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui, siapa dalam kalangan hamba-Nya yang benar-benar layak mendapat status mati syahid.
Syahid dunia akhirat
Individu yang mati dalam medan perang mempertahankan agama Islam, dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, individu tersebut dikategorikan sebagai syahid dunia dan akhirat. Abu Musa al-Asy'ari melaporkan, ada seorang lelaki bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan bertanya bagi mendapatkan kepastian. Ada seorang lelaki, pergi berperang dengan tujuan untuk mendapatkan harta rampasan perang. Ada pula lelaki yang pergi berperang kerana hendak namanya disanjung. Ada pula lelaki yang pergi berperang kerana hendak menunjuk-nunjuk kedudukannya. Siapa dalam kalangan mereka yang benar-benar berjuang mempertahankan agama Allah? Baginda menjelaskan, Sesiapa yang berperang dengan niat untuk mendaulatkan agama Allah, maka orang itulah yang benar-benar berjuang mempertahankan agama Allah. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Individu yang mati syahid dunia dan akhirat, memperoleh pahala yang besar dan kedudukan yang istimewa di sisi Allah SWT iaitu kedudukan yang tidak sama dengan individu yang hanya memperoleh syahid akhirat. (rujuk Ali Imran: 169)
Syahid dunia
Individu yang mati dalam medan perang mempertahankan agama Islam, tetapi niatnya bukan semata-mata kerana Allah, contohnya dia berperang untuk mendapatkan harta rampasan perang, menunjuk-nunjuk, berjuang kerana fanatik kepada kaumnya atau tujuan-tujuan keduniaan yang lain.
Orang ini walaupun secara zahirnya dia diurus sebagai seorang syahid dalam medan perang iaitu tidak dimandikan, dikafankan dengan pakaiannya, tidak disembahyangkan, tetapi di akhirat nanti terpulanglah kepada Allah SWT yang mengetahui niat dan tujuan seseorang hamba-Nya dan memberi balasan yang sewajarnya.
Syahid akhirat
Terdapat individu yang dikurniakan keistimewaan oleh Allah, cara individu itu meninggal dunia dikurniakan status syahid, namun individu itu tidak mati dalam medan perang. Individu ini diuruskan jenazahnya seperti individu lain yang meninggal dunia iaitu dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan kemudian dikebumikan.
Imam al-Suyuti, seorang ulama bermazhab Syafie menulis sebuah buku khas yang menerangkan tentang golongan yang memperoleh status mati syahid, iaitu buku yang bertajuk, Abwab al-sa'adah fi asbab al-syahadah. Dalam buku tersebut, dianalisa terdapat lebih daripada 36 sebab, seseorang itu memperoleh status mati syahid.
Antara jenis kematian yang mendapat status syahid akhirat ialah:
1) Penghidap taun, penghidap penyakit dalam perut, orang yang mati tenggelam, orang yang mati ditimpa bangunan.
Abu Hurairah melaporkan: Nabi Muhammad SAW bersabda: Ada lima orang yang dikategori mati syahid: Penghidap taun, penghidap penyakit dalam perut, orang yang mati tenggelam, orang yang mati ditimpa bangunan dan orang yang mati syahid dalam medan peperangan mempertahankan agama Allah. (riwayat Bukhari dan Muslim)
2) Wanita yang meninggal dunia semasa melahirkan anak.
Seorang wanita yang meninggal dunia semasa melahirkan anak daripada pernikahan yang sah, wanita itu memperoleh status syahid akhirat. Ubadah bin Somit melaporkan: Nabi pernah bertanya, Adakah kamu tahu, siapa yang memperoleh status syahid dalam kalangan umatku?...Nabi bersabda: Sesungguhnya yang memperoleh status syahid dalam kalangan umatku... wanita yang meninggal dunia semasa melahirkan anak beroleh status syahid..." (riwayat al-Albani dalam bukunya 'Ahkam al-jana'iz')
3) Orang yang mati dibunuh ketika mempertahankan hartanya.
Abu Hurairah melaporkan: Seorang lelaki datang bertemu dengan Rasulullah SAW dan bertanya, Wahai Utusan Allah. Pada pandangan tuan, apa yang perlu saya lakukan jika ada seseorang mahu merampas harta saya? Nabi Muhammad menjawab, Saudara jangan berikan harta saudara kepadanya. Lelaki itu bertanya lagi, Jika perompak itu mahu membunuh saya? Nabi menjawab, Jika begitu, saudara perlu mempertahankan diri, walaupun terpaksa membunuhnya. Lelaki itu bertanya lagi, Bagaimana pula jika dia yang membunuh saya? Jawab Nabi, Saudara memperoleh pahala mati syahid. Lelaki itu bertanya lagi, Apa pendapat tuan, jika saya membunuhnya. Jawab Nabi, Dia di dalam api neraka. (riwayat Muslim).
Credit: DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN
No comments:
Post a Comment