Sunday 11 May 2014

Manusia hina jika miskin akhlak

Besi hina kerana karat, manusia hina bukan kerana miskin, tetapi disebabkan akhlaknya. Akhlak yang buruk ibarat karat yang hina. Terbaik antara kita ialah yang baik akhlaknya, perlakuan selari ilmu dan iman yang mantap. 

Akhlak yang mulia adalah anugerah terbaik kurniaan Ilahi kepada seseorang. Barang kali kita tidak dapat menambat hati manusia dengan wang dan harta. Justeru, tambatlah hati mereka dengan akhlak yang mulia. 


Akhlak mulia menjadi timbang tara untuk mengimbangkan kesalahan manusia, manakala akhlak yang buruk merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu. Manusia sering lupa dan mereka dinamakan insan kerana pelupa. 


Jauhi sombong, angkuh 

Harta, pangkat dan kedudukan sering membawa manusia menjadi angkuh, memandang diri sebagai manusia agung, manakala orang lain dianggap kecil serta hina. Jauhi diri daripada sifat demikian kerana kita tidak mulia dengan pujian. 

Manusia yang terhormat ialah yang pandai menghormati manusia lain. Berjalan dengan angkuh membayangkan hati yang dijangkiti penyakit takbur. Bumi tidak retak dengan pijakan manusia seperti itu, manakala gunung tidak runtuh kerananya. 

Bersederhanalah dalam perjalanan, pijak bumi dengan perasaan tawaduk, tunduk dan insaf bahawa satu hari nanti manusia akan kembali menjadi tanah. Setiap kejadian dijadikan dengan hikmah, maka berkongsilah bumi Allah SWT ini. 


Inilah sebahagian mutiara pendidikan Luqman yang diberikan hikmah kepadanya yang diabadikan dalam al-Quran pada ayat 18, surah Luqman: “Dan janganlah kamu memalingkan wajahmu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri.”

No comments:

Post a Comment