Wednesday 7 May 2014

Niat tentukan amalan ikhlas atau tidak

Persoalan pendidikan ialah persoalan mendidik hati manusia. Hati yang sejahtera melahirkan perbuatan mulia. Perbuatan yang sejahtera melahirkan pula masyarakat berakhlak, penyayang dan bertamadun. 

Koleksi hati yang sejahtera menjadi lambang umat sejahtera dalam semua aktiviti kehidupan. Dalam pendidikan, perhatikan beberapa inti sari nasihat Luqman Al-Hakim terhadap anaknya.


Keikhlasan menjadi lambang awal hati yang sejahtera. Sabda Rasulullah SAW yang terkenal dalam bab keikhlasan niat perlu direnungi secara mendalam. Sabda Baginda: “Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niat.” 

Sesiapa yang hijrahnya kerana Allah SWT dan Rasul-Nya, maka hijrahnya bagi Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dicarinya atau wanita yang akan dinikahinya maka hijrahnya bagi niat hijrahnya. 


Sukatan keikhlasan 

Menurut an-Nawawi, itu adalah paksi Islam. Ilmuwan Islam dulu dan kini, menjadikan ia sebagai pendahuluan dalam tulisan masing-masing. Hadis ini menjadi timbang tara sukatan keikhlasan sebelum memulakan sesuatu perbuatan. 


Seseorang mendapat perlindungan serta pertolongan Ilahi bergantung pada nilai niatnya. Beriman dengan hati yang tulus ikhlas tanpa sebarang kesyirikan menjadi nasihat utama Luqman kepada anaknya. 

Syirik bukan saja berlaku kepada aspek keimanan, syirik amalan boleh berlaku dalam perbuatan seseorang. Perasaan riak, menunjuk-nunjuk kepada manusia, berbangga dengan tindak-tanduknya menjadi sebahagian syirik amalan mengikut an-Nawawi. 

Antara tanda ikhlas seseorang ialah perbuatannya semata-mata kerana Allah SWT, dia tidak menyukai orang mengetahui sedikit pun daripada amalan baiknya. Mereka yang ikhlas tidak mengambil kira sama ada perbuatannya mendapat pujian asalkan mendapat keredaan Ilahi. 

Perbuatan zahir dan batin bagi orang yang ikhlas adalah bersamaan. Amalan sukakan pujian manusia menunjukkan pengamalnya tidak ikhlas melakukan sesuatu apatah lagi dia sendiri yang memuji perbuatannya
.

No comments:

Post a Comment