Saturday, 27 July 2013

Perkukuh akhlak generasi muda

Masyarakat Islam perlu terap nilai mulia untuk mencari keredaan
Ulama bersepakat menyatakan asas penghayatan Islam perlu bermula daripada penghayatan tauhid, ibadah, akhlak dan syariat dalam kehidupan Muslim. Berleluasanya gejala keruntuhan akhlak, moral dan tingkah laku berpunca daripada rendahnya tahap keimanan dan penghayatan Islam.


Menyedari hakikat ini, setiap Muslim perlu mengetahui dengan baik perkara berhubung akidah dan ibadat. Menurut al-Sawi dalam kitabnya Ma la yasuhu al-Muslim jahluhumenyatakan, ada beberapa perkara yang tidak diberi kelonggaran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahuinya, khususnya berkaitan akidah, ibadah dan akhlak. 

Ini seperti yang telah difirmankan Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam dengan mematuhi segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208). 


Rapuh akidah

Berdasarkan beberapa kajian dan pengamatan oleh cendekiawan Muslim menyebut ada sebahagian kecil generasi muda hari ini yang begitu rapuh kekuatan akidah mereka, khusus yang berhubung dengan perkara ghaib dan sam’iyyat seperti azab kubur, dosa serta pahala. 

Selain itu, dalam aspek penghayatan ibadah juga masih kurang dari segi tasawwur, perasaan dan amalan. Ini menunjukkan generasi muda hari ini masih belum menguasai sepenuhnya kefahaman mengenai pelaksanaan ibadah yang benar dan betul. 
Ini merangkumi ibadat khusus seperti solat atau ibadah yang tidak khusus seperti muamalat, hubungan silaturahim, menuntut ilmu serta kefahaman pelaksanaannya yang merangkumi sifat ikhlas selaras tuntutan sunnah.

Selain itu dapat diperhatikan juga fenomena yang menunjukkan kefahaman berhubung aspek penutupan aurat masih rendah kerana masih ramai yang beranggapan menutup aurat hanya wajib ketika hendak menunaikan solat.

Ramai yang tidak menutup aurat secara sempurna. Kefahaman mengenai konsep ibadah perlu difahami secara lengkap dan menyeluruh. Sesungguhnya skop ibadah merangkumi aspek amal zahir dan batin, perkataan atau perbuatan yang diredai Allah SWT.

Begitu juga berhubung aspek akhlak. Perkara ini perlu diperbetulkan kerana Islam tidak hanya menyentuhi aspek akidah dan ibadah saja tetapi Islam juga mengatur adab hubungan sesama manusia.

Dalam aspek penjagaan fizikal tubuh badan, umumnya ramai yang prihatin namun ada yang masih mengambil ringan seperti merokok, minum minuman keras, dadah, judi, nombor ekor atau amalan boleh merosakkan akal. 


Muslim kuat lebih dicintai

Sesungguhnya Muslim yang memiliki fizikal yang kuat lebih dicintai oleh Allah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah.”

Jika seseorang itu memahami dengan baik persoalan dosa dan pahala iaitu dosa akan dicatat sebagai satu kesalahan. Ini berbeza dengan konsep kebaikan, dengan melakukan niat saja untuk melakukan kebaikan ia sudah dicatat sebagai satu kebaikan.

Jika ini dapat difahami oleh semua betapa besarnya rahmat Allah kepada seluruh hamba-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada Hari Kiamat), maka baginya (balasan) 10 kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya sedang mereka tidak dianiaya (sedikit pun).” (Surah al-An‘am, ayat 160).
 

Penting kawal hawa nafsu

Selain itu kawalan terhadap hawa nafsu juga penting. Hawa nafsu anugerah Allah yang amat besar dan dengan adanya hawa nafsu hidup ini akan teras indah sebagai hiasan untuk manusia keseluruhannya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Umumnya, generasi muda dalam lingkungan 40-an gagal memanfaatkan usia muda untuk mencari keredaan Allah. Nabi SAW bersabda: “Hendaklah kamu rebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa mudamu sebelum masa tua, masa sihatmu sebelum masa sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, masa hidupmu sebelum masa matimu.” (Riwayat Ibn ‘Abbas)

Generasi muda perlu memanfaatkan ruang dan kesempatan yang ada untuk membetulkan keadaan dengan pencarian ilmu khususnya ilmu berhubung ajaran agama Islam. Jika tidak, mereka telah mensia-siakan nikmat dan ruang yang Allah berikan.

Sesungguhnya masa muda adalah satu bentuk amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan bergerak kaki seorang hamba dari sisi Tuhannya sehingga ia ditanya lima perkara, umurnya ke mana ia habiskan, masa mudanya ke mana ia habiskan, hartanya dari mana ia dapat dan ke mana dibelanjakan dan ilmu ke mana digunakan.” (Riwayat Tirmizi)



Credit: Dr Burhanuddin Jalal

136 penyokong Morsi maut

  • Foto
    Penyokong Morsi lari daripada polis selepas pertempuran meletus di kota Nasr, timur Kaherah. - Foto REUTERS]
  • Foto
    Penyokong Morsi membawa seorang lelaki yang cedera selepas bergaduh dengan anggota keselamatan. - Foto AP
Anggota keselamatan gempur penunjuk perasaan pro Ikhwan

Kaherah: Sekurang-kurangnya 136 penyokong bekas Presiden Mohammed Morsi maut ditembak anggota keselamatan Mesir semalam, dakwa Ikhwanul Muslimin.


Jurucakapnya, Gehad El-Haddad berkata, tembakan mula kedengaran sejurus sebelum solat Subuh di kawasan penyokong Morsi melakukan bantahan. 

“Mereka menembak bukan untuk mencederakan tetapi membunuh,” dakwa Haddad yang percaya angka kematian mungkin lebih tinggi.

Aktivis membawa mangsa kena tembakan ke pusat rawatan sementara. 

Ada yang diletak dalam pengusung atau ditarik dengan selimut.

Seorang remaja dilihat terbaring dengan kesan tembakan di kepalanya. Televisyen Al Jazeera melaporkan, 120 terbunuh dan 4,500 lagi cedera. 


Lepaskan gas pemedih mata

Haddad berkata, anggota polis melepaskan gas pemedih mata berulang kali selepas 3 pagi waktu tempatan ke arah penunjuk perasaan yang berada di sekitar Rabaa al-Adawia yang menjadi laluan utama ke Jambatan 6 Oktober.

“Peluru menghujani penunjuk perasaan. Polis berpakaian seragam gelap melepaskan tembakan manakala penembak tepat menembak dari bangunan dan jambatan berdekatan, katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri pilihan tentera, Mohamed Ibrahim berkata protes penyokong Morsi akan ditamatkan mengikut peraturan.
Foto

Keganasan terburuk berlaku di kota kedua Mesir, Iskandariah selepas ada penyokong Ikhwan disekat keluar masjid oleh 'samseng.' 

Wartawan di Rabaa al-Adawia melaporkan, tembakan masih kedengaran beberapa jam selepas keganasan meletus.

Pegawai yang mentadbir rumah mayat Ikhwan, Dr Ibtisam Zein berkata kebanyakan yang mati kena tembakan di kepala dan di celah mata.

Penunjuk perasaan bersurai

Ahli politik kanan Ikhwan, Saad el-Hosseini pula berkata anggota keselamatan mahu semua penunjuk perasaan bersurai.

“Saya cuba meminta orang muda supaya bersurai selama lima jam tetapi gagal. 
“Penunjuk perasaan enggan berundur,” katanya lagi.

Haddad menekankan, Ikhwanul Muslimin komited kepada usaha mencari keamanan meskipun ramai maut.

Tindakan anggota keselamatan menembak penunjuk perasaan adalah yang kedua bulan ini menyebabkan ramai maut, kali pertama 8 Julai lalu menyebabkan 53 orang terbunuh.

Pihak berkuasa belum menjelaskan mengapa keganasan terbaru meletus sejak Morsi digulingkan dan akan dikenakan tuduhan jenayah termasuk membunuh. - REUTERS

Al-Quran penyuluh hidup

MEMBACA al-Quran menenangkan fikiran. Ketenangan yang menjelma dalam jiwa pembaca al-Quran dapat menyelesai masalah yang dihadapi.
Ramai yang menghadapi tekanan hidup mampu mengimbangi hidup dengan membaca al-Quran seterusnya dapat melangsungkan kehidupan dengan sempurna.

Ketenangan yang timbul hasil daripada pembacaan al-Quran adalah menunjukkan ia adalah Kalam Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan kami turunkan al-Quran yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepada orang yang beriman. (al-Isra: 82)

Allah juga berfirman dengan maksud: Orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah (al-Quran al-Karim), ketahuilah dengan zikir kepada Allah tenang tenteramlah hati mereka. (al-Ra'ad: 28)


Nama Allah

Kajian ulama terhadap al-Quran menemukan banyak rahsia dan perkara yang pelik lagi menakjubkan. Antaranya nama Allah yang berulang dalam al-Quran adalah sebanyak 2,699 kali. Purata bilangan ini ialah setiap halaman tidak kurang daripada empat atau lima kali nama Allah tertulis.

Ada bijak pandai merumuskan bahawa nama Allah SWT diulang dengan begitu banyak namun manusia tetap membaca dan tidak merasa jemu mengkaji al-Quran.

Berbeza pula jika ada penulis novel yang menulis namanya dengan jumlah sebegitu di setiap halaman novel, nescaya ramai yang mencemuh dengan mengatakan penulis suka membangga diri dan angkuh. Bahkan novel itu tidak mampu dibaca dan akan dibuang.


Bilangan angka

Kajian juga dilakukan kepada bilangan angka yang disebut di dalam al-Quran. Ada bilangan angka satu, dua, tiga, tujuh, lapan, 19 dan sebagainya. Namun angka yang paling banyak berulang ialah satu. 

Umpamanya firman Allah SWT di akhir surah al-Kahf bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa aku adalah manusia seperti kamu, diwahyukan kepada ku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Satu.

Kesimpulannya, bilangan nama Allah SWT yang sebanyak 2,699 kali dihubungkan dengan kekerapan bilangan satu sebanyak 30 kali menatijahkan bahawa Allah SWT adalah esa dan bersifat wahdaniyyah.

Menariknya lagi, al-Quran diturunkan dengan ayat yang tidak teratur mengikut urutan surah yang tertulis pada hari ini. Semua maklum bahawa ayat pertama diturunkan ialah lima ayat permulaan surah al-'Alaq. Diikuti beberapa ayat permulaan surah al-Muddathir. Terakhirnya pula ialah ayat 281 surah al-Baqarah.

Nuzul al-Quran mengikut peristiwa dan kejadian yang berlaku. Namun begitu setiap ayat yang diturunkan, Jibril AS akan memaklumkan kepada Nabi Muhammad SAW di manakah harus diletak ayat tersebut? Di surah manakah ia perlu diletakan? Dan Rasulullah SAW akan tahu setiap surah berakhir apabila Jibril AS membaca Basmalah.


Orang bertakwa

Permulaan surah al-Baqarah perlu renungan yang mendalam, lihat dengan mata hati betapa Allah SWT memulakan ayat dengan huruf yang tidak ada manusia memahaminya iaitu alif, lam, mim. Tetapi selepas itu Allah menyatakan bahawa kitab ini adalah panduan kepada orang-orang yang bertakwa.

Hubungan surah demi surah sebanyak 114 surah adalah amat teliti dan sempurna diibaratkan seperti untaian tasbih. Segala keperluan manusia dipaparkan dengan bahasa yang kemas dan menakjubkan.

Peristiwa masa lalu dengan pengajarannya, keperluan manusia kepada panduan hidup masa kini dan jalan kebahagiaan manusia masa hadapan dihurai dengan jelas. Justeru, berbahagialah mereka yang menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Di akhir al-Quran, Allah SWT menamatkan Kalam Suci-Nya dengan surah al-Nas yang bermaksud manusia. Intisari surah al-Nas ialah perlindungan kepada Allah SWT daripada segala bahaya zahir dan bahaya batin.

Bahaya batin ialah gangguan dan perasaan ragu-ragu daripada angkara makhluk yang tidak kelihatan kepada kita, syaitan dan jin. Juga tipu daya daripada makhluk yang berupa manusia.

Lantaran itu, dampingilah al-Quran dengan membaca, memahami dan mengamalkannya. Semoga kita menjadi manusia yang mendapat syafaat al-Quran di Hari Kemudian.


Credit: DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD (USIM)

Kelaparan akibat tiada gigi punca buaya mati

Kelaparan akibat tiada gigi punca buaya mati
Keratan akhbar Sinar Harian semalam berhubung penemuan bangkai buaya di Kampung Bukit Belimbing.
KUALA SELANGOR - Kelaparan disebabkan tidak makan gara-gara tiada gigi dikenal pasti menjadi punca kematian buaya yang ditemui dua nelayan di Jeti Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Rahim Ahmad berkata, faktor usia mungkin menyebabkan struktur gigi rapuh sehingga menyukarkan buaya itu meneruskan ikhtiar hidup dan makan seperti biasa.

Menurutnya, buaya terbabit adalah jantan berusia lebih 70 tahun dan hasil bedah siasat awal mendapati dalam perut buaya berkenaan kosong dipercayai tidak makan dalam tempoh agak lama, manakala ia sudah mati sejak dua atau tiga hari lalu.

Bagaimanapun katanya, pihak Perhilitan masih menunggu keputusan bedah siasat lebih terperinci dalam tempoh dua minggu lagi selepas organ penting buaya terbabit dihantar ke makmal di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun.

"Selangor pertama kali menerima aduan seumpama ini dan sememangnya Sungai Selangor dikesan mempunyai habitat buaya jenis itu.

"Saiz buaya air tawar seberat 1,000 kilogram itu adalah normal di kawasan ekosistem yang sihat seperti di Sungai Selangor," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan pencemaran air menjadi punca kematian buaya terbabit.

Rahim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan buaya yang ditemui mati itu mempunyai pasangan, namun meminta penduduk di kawasan berkenaan tidak panik kerana haiwan tersebut tidak mengganggu manusia.

“Pihak kami akan sentiasa melakukan pemantauan di sungai dan sebarang maklumat boleh hubungi Perhilitan dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Belimbing, Samsudin Idris berkata, meskipun terkejut dengan penemuan bangkai buaya itu, namun nelayan masih turun ke sungai seperti biasa
.

Tenang selepas memeluk Islam

Tenang selepas memeluk Islam
Sebahagian daripada saudara baru yang menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Perkim di Padang MPK 1, dekat sini.
KUANTAN – “Keinginan semenjak kecil untuk memeluk agama Islam akhirnya tercapai dan perasaan kini lebih tenang daripada biasa apabila suami menerima saya dalam hidupnya sekali gus membawa ke jalan ALLAH.”

Demikian luahan saudara baru, Norhidayah Abdullah, 28, yang berasal dari Macau dan memeluk agama Islam sekitar November tahun lalu.
Menurutnya, sekiranya dia tidak kuat semangat untuk memeluk agama Islam dan datang ke negara ini pada 2005, pastinya hingga kini dia masih beragama Buddha.

“Semenjak kecil saya mahu memeluk agama Islam dan apabila menginjak usia 20-an sekitar 2005, saya mendapat tentangan hebat daripada keluarga membuatkan saya nekad lari ke Malaysia berseorangan.

“Rata-rata kawan terdekat mencadangkan supaya ke Malaysia sekiranya ingin meneruskan niat, berikutan Malaysia dianggap negara lebih selamat dan mempunyai keteguhan dalam agama Islam,” katanya kepada Sinar Harian ketika majlis berbuka puasa bersama saudara baru anjuran Pertubuhan Kebajikan Malaysia (Perkim) di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, dekat sini.

Norhidayah berkata, dia lewat memeluk agama Islam kerana terlalu banyak dugaan dan masalah ditempuhnya untuk mencari mereka yang benar-benar boleh membantu.

“Walaupun saya datang secara sah, namun setibanya saya di sini, banyak dugaan ditempuhi termasuk hampir terjebak dalam maksiat.

“Mujurlah saya berjumpa dengan suami (Nornajwa Nazri, 28) yang berjaya menyelamatkan saya dan membawa saya jumpa keluarganya untuk memberi peluang saya mendekati Islam,” katanya.

Dia berkata, walaupun suaminya juga tidak mahir dalam agama Islam tetapi setelah berkahwin pada awal 2013, dia diberikan peluang yang  cukup luas untuk mempelajari Islam.

Nurhidayah berkata, tahun ini adalah kali pertama dia berpuasa dan bersyukur dapat menahan lapar dan dahaga.

“Sememangnya pada mulanya rasa sedikit pelik tidak makan dan minum sepanjang bekerja tetapi saya faham dan menerima segala perintah ALLAH," katanya.

Koperal, anak nyaris disamun

Koperal, anak nyaris disamun
Tempat kejadian dipasang tali keselamatan sementara menunggu ketibaan pasukan forensik untuk menjalankan siasatan.
BENTONG – Tindakan dua penyamun bersenjatakan parang menyamun seorang lelaki yang juga seorang anggota polis berpangkat koperal mengundang padah apabila seorang daripada mereka cedera terkena tembakan.

Suspek cedera di bahagian rusuk kiri ketika cubaan menyamun di persimpangan masuk ke Felda Lurah Bilut kira-kira jam 4.10 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian, anggota polis yang bertugas di Pondok Polis Mempaga itu dalam perjalanan pulang dari Bandar Bentong bersama anak perempuannya, 17, ke rumahnya di Berek Polis Lurah Bilut.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, kenderaan dinaiki mangsa iaitu kereta Proton Iswara ditahan kenderaan suspek jenis Mercedes Benz berwarna hitam.

“Seorang suspek bertindak keluar dari kenderaan dan mengacukan parang ke leher anak mangsa dan meminta menyerahkan barangan berharga.

“Mangsa kemudian bertindak pantas dengan melepaskan tembakan ke arah suspek menggunakan pistol untuk mempertahankan diri dan anak perempuannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Mansor berkata, selepas seorang daripada mereka terkena tembakan, kedua-dua suspek terbabit bertindak melarikan diri.

Katanya, mangsa dan anaknya bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan.

“Polis giat mengesan kedua-dua suspek terbabit. Orang awam yang melihat pergerakan individu yang mencurigakan dan cedera akibat terkena tembakan diminta membuat laporan segera,” katanya.

Credit: NORFARAHAH OTHMAN

Tak tahu isteri, anak mati


Serdang: Seorang lelaki kini koma manakala isteri dan anak tunggalnya terbunuh selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan, di sini, malam kelmarin.
Ketika kejadian jam 11.30 malam itu, Muhammad Zulfikri Rusli, 22, bersama isterinya, Siti Norbaiti Hassan, 21, dan anak tunggal mereka, Muhammad Zulhairie Hafiz, berusia dua tahun dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Bagaimanapun, sebaik tiba di simpang masuk ke Perumahan LP 5, motosikal ditunggangi mangsa bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda terbabit menyebabkan Siti Norbaiti mati di tempat kejadian dipercayai akibat digilis.

Muhammad Zulhairie pula sempat dikejarkan ke Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat.
Foto
MOTOSIKAL ditunggang tiga beranak bertembung dengan sebuah pacuan empat roda, kelmarin.

Bapa saudara Muhammad Zulfikri, Rohaizi Hamid, 45, berkata, kejadian berlaku ketika anak saudaranya itu baru menjemput isteri dan anaknya di taska selepas habis kerja syif petang di sebuah kedai serbaneka.


Credit:  Amir Abd Hamid