Sunday, 27 November 2011

Masih ramai percayakan khurafat, syirik


ISLAM adalah agama tauhid iaitu agama yang berasaskan keimanan terhadap kekuasaan Allah SWT dan tiada 

Tuhan selain-Nya.

Dalam mengukur keimanan seseorang, ia bukan saja dinilai berasaskan kepercayaan terhadap enam Rukun
Iman semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan pelaksanaan terhadap lima perkara wajib Rukun Islam.

Dengan gabungan kedua- dua perkara ini, barulah boleh dianggap sempurna agama seseorang itu walaupun
pada zahirnya, Allah SWT lebih mengetahui setiap apa yang dilakukan hamba-Nya.

Namun, dalam menceritakan soal pelaksanaan amal ibadat berpandukan Rukun Iman dan Rukun Islam,
sebenarnya masih ramai antara kita yang secara tidak sedar melanggar satu daripada dua perkara asas ini
 di mana yang paling nyata, percaya terhadap perkara khurafat atau dalam kata mudah, syirik kepada Allah SWT.

Perlu difahami bahawa syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah SWT pada sifat Uluhiyyiah atau sifat Rububiyyiah-Nya.

Sifat Uluhiyyiah ialah sifat Allah SWT yang berhak disembah, dipatuhi perintah- Nya, dicintai, diberi tumpuan dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak segala keburukan.


Sifat Rububiyah pula ialah sifat Allah dalam mentadbir, mengurus, mendidik dan mengasuh makhluk ciptaan-Nya.

Oleh kerana itu, amatlah sesat dan syirik jika kita mendewa-dewakan sebarang makhluk dengan mengasihi,
mencintai dan mentaati perintahnya sebagaimana layaknya mencintai dan mentaati Allah SWT atau meminta
selain mengharapkan sesuatu hajat daripada sebarang makhluk.

Firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 48: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa
syirik dan akan mengampunkan dosa lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya ia melakukan dosa besar.” Adalah malang
 apabila ramai daripada masyarakat pada hari ini, walaupun sering diingatkan mengenai hal syirik, tetap t
erpesong daripada panduan yang diberikan Allah SWT.

Ramai daripada masyarakat hari ini lebih percaya kepada bomoh dan dukun untuk memenuhi sesuatu hajat
termasuk pangkat, kedudukan dan pengaruh.

Malah, apabila tidak menemui tanda sakit menerusi kaedah sains dan teknologi moden, kita akan lebih percaya
pula kepada bomoh yang pastinya akan menyatakan puncanya daripada gangguan jin atau syaitan. Lebih teruk
lagi, apabila keadaan itu berlaku, kita menaruh harapan pada bomoh itu untuk menyembuhkan penyakit dihidapi
dengan melakukan pelbagai syarat yang kadangkala tidak masuk akal untuk dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menemui tukang tilik atau ahli sihir atau bomoh dan bertanya sesuatu
kepada mereka, lalu dia mempercayai akan apa yang dikatakan mereka, sesungguhnya dia menggerunkan apa
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.” Amalan khurafat lain pula termasuk memakai tangkal azimat
dengan keyakinan tertentu seperti menjadi kebal, pelaris perniagaan, penolak bahaya, penyembuh penyakit,
penggerun dan penunduk musuh.

Rasulullah SAW melarang keras amalan memakai tangkal azimat dan di dalam satu hadis, baginda menyebut: “Sesungguhnya jampi mantera, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah syirik.” Malah, ada pula di kalangan masyarakat hari ini lebih mempercayai tilikan nasib berpandukan sifat seseorang atau hanya dengan meneliti
 tarikh lahir. Mereka lebih mempercayai tilikan manusia mengenai untung nasib mereka, sedangkan untung nasib mereka hanya diketahui Allah SWT.

Disebabkan itu, wujud golongan manusia yang lebih cenderung untuk percaya kepada nasib yang disebutkan
tukang tilik itu tadi, walhal setiap perkara yang bakal berlaku terjadi berdasarkan tindakan dilakukan seseorang.

Kecualilah ia membabitkan hal musibah atau kematian yang ditentukan Allah dan tidak boleh dihalang oleh
sesiapa pun. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 106: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad)
menyembah atau  memuja yang lain daripada Allah yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan
juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu.

“Oleh itu, jika engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu jadilah engkau daripada orang- orang
 yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).” Sebagai manusia yang diberikan akal,
kita nilai sendiri peribadi seorang tukang tilik itu. Paling mudah, sebelum mempercayainya, kita nilai adakah
mereka (tukang tilik) mampu menilik detik hidup mereka, waktu susah atau waktu sakit.

Jika mereka tidak mampu menilai diri sendiri, adakah pula mereka mampu menilik diri orang lain?
Credit to: HMetro

Ibu mati dikelar anak lelaki dalam rumah


27/11/2011 7:30pm


KUALA LUMPUR – Seorang ibu berusia 75 tahun mati selepas lehernya dikelar dengan pisau oleh anak lelakinya yang dipercayai mengidap penyakit mental di rumah mereka di Taman Bukit Serdang, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Abdul Razak Elias berkata, dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi tadi, warga emas itu (nama enggan diberi polis) mati di tempat kejadian, manakala anaknya berusia 35 tahun itu pula cedera parah di leher akibat cubaan untuk menyembelih dirinya sendiri.
"Kejadian disedari seorang anak perempuan mangsa yang kebetulan datang ke rumah itu dan menemui ibunya terbaring di tilamnya di ruang tamu rumah tiga tingkat itu.
"Suspek pula sempat menyambut kakaknya yang hadir itu sebelum terjatuh akibat pendarahan di leher.
“Kakak suspek kemudian segera membawanya ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut dan kami difahamkan suspek kini tenat,” katanya di tempat kejadian di sini.
Beliau berkata, tiada kesan pergelutan di rumah itu dan pihak forensik menemui pisau dengan kesan darah, yang dipercayai digunakan suspek, di atas meja kopi di ruang tamu rumah.
Abdul Razak berkata, polis percaya mangsa dikelar sekali sebelum suspek cuba menyembelih dirinya sendiri lebih dari satu percubaan. Credit to: Bernama

Selisih faham: Lelaki mati ditikam adiknya


27/11/2011 7:32pm


KUALA LUMPUR – Akibat perselisihan faham, nyawa seorang abang melayang di tangan adik lelakinya sendiri disaksikan oleh ibu bapa mereka di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya dekat sini petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang melibatkan adik-beradik berumur 21 dan 28 tahun itu yang bertengkar di ruang tamu sehingga suspek nekad mengambil pisau pemotong sayur di dapur dan menikam abangnya.
Akibat tikaman di anggota badannya, suspek cedera parah dan segera dibawa ke wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan mati dua jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, motif kejadian sedang disiasat. Credit to– Bernama

Kalau Jodoh Tak Kemana



MOHAMED Zulfazli Abdul Ghani dan Nurhafiza Anati Ab. Rahim menaiki sampan di hadapan rumah mereka yang ditenggelami air di Kampung Nyatoh, Setiu, Terengganu, semalam. – MINGGUAN/SITI AIRUNNISA ALAUI


IBARAT pepatah ‘kalau jodoh tak ke mana’, pasangan pengantin Mohamed Zulfazli Abdul Ghani, 31, dan Nurhafiza Anati Ab. Rahim, 25, tetap melangsungkan perkahwinan mereka selepas rumah pengantin perempuan ditenggelami air.
Majlis akad nikah Mohamed Zulfazli, seorang juruteknik dari Perak, dan Nurhafiza, pengurus makanan segera, diadakan kelmarin manakala acara kenduri dan bersanding semalam di Masjid Kampung Penarik dekat Kampung Nyatoh, Setiu, Terengganu.
Pasangan itu gembira majlis perkahwinan mereka dapat dilangsungkan dalam suasana meriah dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu.
Credit to: Utusan

Saturday, 26 November 2011

Maut dipijak lembu


MALANG...polis membawa mayat Akosetiawan untuk dibedah siasat.
MALANG...polis membawa mayat Akosetiawan untuk dibedah siasat.
HULU BERNAM: Seorang buruh ladang mati dipercayai dipijak sekumpulan lembu selepas melanggar seekor daripada haiwan berkenaan dalam kemalangan di Jalan Tanjung Malim- Bestari Jaya berdekatan Kampung Gedangsa di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku jam 8 malam apabila mangsa, Akosetiawan Ibon, 27, seorang warga Indonesia menunggang motosikal bersendirian dari pekan Gedangsa ke rumahnya di Kampung Soeharto, dekat sini. Rakan mangsa, Mohd Irwan Kamaruzaman, 22, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu sebaik menerima panggilan daripada orang ramai sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia melihat rakannya sudah meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan luka di muka yang turut diselaputi najis lembu. “Kami baru bertemu dan minum lewat petang semalam (kelmarin) di restoran kolam pancing Gedangsa. Tidak sangka pula ajal menjemputnya dengan keadaan menyedihkan dan tragik,” katanya.
Credit to: HMetro

Ancaman perogol bersiri berakhir



SUSPEK (gambar kiri) ditangkap ketika cuba merogol mangsa ke-20 dalam asrama pekerja yang terletak di dalam bangunan ini di Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU – Pemburuan polis Kelantan terhadap seorang lelaki yang dilabelkan sebagai penjenayah seks paling dikehendaki berakhir apabila dia ditangkap oleh orang awam ketika cuba merogol mangsa dalam sebuah asrama di sini kelmarin.
Gadis berusia dalam lingkungan 20-an itu yang bekerja sebagai jurujual sepatutnya menjadi mangsa ke-20 lelaki tersebut.
Namun kegiatan licik suspek yang juga penganggur berusia 29 tahun itu memerangkap diri sendiri apabila suaranya dalam rumah perempuan itu menarik perhatian jiran mangsa yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seorang wanita yang bertugas sebagai penjaga asrama tersebut pada pukul 11.10 pagi kelmarin.
Penjaga asrama itu bersama dua lelaki yang juga pekerja di sebuah kedai datang menyiasat atas kepercayaan ada penghuni membawa masuk teman lelaki tetapi kemudian terkejut mendapati suspek cuba merogol mangsa yang diikat dengan wayar seterika.
“Dua pekerja itu kemudian menangkap lelaki tersebut sebelum diserahkan kepada polis.
“Saya nampak ada kesan luka pada pipi mangsa dan tangannya diikat dengan wayar seterika,” kata wanita berusia 30 tahun itu yang enggan identitinya didedahkan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tetapi enggan mengulas lanjut.
Credit to: Kosmo.

Wednesday, 23 November 2011

Hodoh kemudian cantik selepas diserang cimpanzi


Wanita dapat muka baharu dipuji cantik



GAMBAR fail pada 11 Ogos lalu menunjukkan wajah Charla Nash (kiri) selepas dia diserang seekor cimpanzi.Gambar kanan menunjukkan wajahnya selepas dia menjalani pembedahan pemindahan muka di Hospital Wanita Brigham, Massachusetts pada Mei 2011.



HARTFORD, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita yang diserang seekor cimpanzi menyatakan dia lebih kerap keluar rumah selepas menjalani pembedahan pemindahan muka dan wajah baharunya itu dipuji cantik.
Wanita berkenaan, Charla Nash memberitahu program bual bicara terbitan NBC, Today, wajah penderma organ yang diperolehinya itu mula berubah menurut struktur tulang mukanya.
"Ada orang memberitahu saya bahawa saya cantik," kata Nash dalam wawancara tersebut yang disiar kelmarin.
"Sebelum ini mereka belum pernah memuji saya cantik," tambahnya.
Menurut Nash, dia turut disapa oleh seorang kanak-kanak semasa keluar membeli belah baru-baru ini.
"Ia belum pernah berlaku sebelum ini. Budak perempuan itu menyatakan Hi kepada saya. Saya tidak menakutkan sesiapa," katanya.
Nash diserang oleh seekor cimpanzi seberat 90 kilogram yang dipelihara oleh jirannya pada 2009.
Haiwan itu mengoyakkan hidung, bibir, kelopak mata dan tangan Nash sebelum ia ditembak mati oleh polis.
Dia menjalani pembedahan pemindahan muka dan kedua-dua belah tangannya pada Mei lalu.
Wanita itu akan menjalani pembedahan pemindahan tangan kali kedua dalam masa setahun selepas ekoran masalah komplikasi. - Agensi