Wednesday, 3 September 2014

Israel belanja AS$2.5 bilion untuk serang Gaza



BAITULMUQADDIS - Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon kelmarin memberitahu bahawa kos operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza yang berlangsung selama 50 hari menelan belanja lebih AS$2.5 bilion (RM7.95 bilion).

"Perbelanjaan dalam operasi tersebut termasuk perbelanjaan ketenteraan dan perbelanjaan secara langsung adalah lebih 9 bilion shekel (RM8 bilion)," katanya dalam satu persidangan ekonomi di Tel Aviv.
"Kami menyerang lebih 6,000 sasaran, lebih 5,000 sasaran menggunakan kekuatan udara dan kira-kira 900 serangan lagi dilakukan menggunakan aset di darat dan laut," tambahnya.
Bagaimanapun, beliau mengaku walaupun melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap pejuang di Gaza yang bermula pada 8 Julai lalu, kumpulan berkenaan masih mempunyai simpanan senjata yang besar.
"Kumpulan pejuang di Gaza termasuk Hamas mempunyai hampir 10,000 roket dalam simpanan mereka pada permulaan operasi ketenteraan.
"Kini mereka mempunyai satu perlima daripada simpanan berkenaan iaitu kira-kira 2,000 roket," ujarnya.
Menurutnya, setiap kali sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome milik Israel memintas sebuah roket yang dilancarkan dari Palestin ia menelan belanja sebanyak AS$10,000 (RM31,810).
"Daripada sudut ekonomi ia berbaloi jika dibandingkan dengan potensi kerosakkan yang mungkin berlaku," jelasnya.
Dalam pada itu, pihak tentera berkata, sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome telah menembak jatuh 600 roket sepanjang peperangan tersebut.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 2,100 penduduk Palestin dan hampir 70 peratus daripada mereka merupakan orang awam terbunuh dalam peperangan itu.
Sementara 66 tentera dan enam orang awam Israel terbunuh dalam peperangan itu termasuk seorang warga Thailand dan seorang kanak-kanak berusia empat tahun.
Peperangan tersebut tamat selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan satu gencatan senjata jangka panjang pada minggu lalu. - 

Credit: AFP

Raih syurga dengan sedekah


SEDEKAH merupakan pemberian yang diberikan oleh seseorang kepada insan yang memerlukan. Ia dilakukan untuk meraih keredaan dan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah ta’ala. Sedekah juga menjadi salah satu amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagaimana amalan-amalan sunat yang lainnya.

Islam bukan sahaja mengajar kita mendekatkan diri dengan-Nya melalui amal ibadah yang khusus seperti solat dan berpuasa. Islam juga mendidik kita mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amal kebaikan kepada sesama manusia antaranya dengan bersedekah. 

Allah SWT menyeru hamba-hamba-Nya untuk bersedekah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 254)

Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan maksud ayat ini bahawa Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk menginfakkan sebahagian daripada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada jalan kebaikan. Ini tidak lain agar ia menjadi pahala sedekah itu tersimpan di sisi Allah SWT. Ini kerana apabila tibanya hari akhirat kelak, semua harta yang melimpah ruah tidak ada nilainya lagi. Seseorang tidak mungkin dapat menebus kesalahan dirinya ketika hidup di dunia meskipun dengan harta yang memenuhi bumi.


Nilai pemberian

Sedekah tampak remeh di mata sebahagian masyarakat namun di sisi Allah ia amalan yang begitu besar ganjarannya. Mungkin sahaja nilai pemberian kita itu kelihatan kecil di mata, namun ia mampu membuahkan pahala yang tak terhitung banyaknya. 

Allah SWT menyebutkan secara ringkas gambaran pahala mengeluarkan harta di jalannya dengan firman-Nya yang bermaksud: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261)

Kadang-kala keengganan untuk bersedekah atau mengeluarkan harta di jalan Allah bukan disebabkan kerana tidak punya harta tetapi disebabkan perasaan takut harta yang dimiliki berkurang, rugi dan pelbagai sangkaan buruk yang dibisikkan oleh syaitan. 

Gambaran ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 268).




Credit: MOHAMAD DHIYAUDDIN 
ABDUL KADIR

Tuesday, 2 September 2014

Pulih autisme dengan mukjizat al-Quran

PASTINYA setiap pasangan yang berkahwin mengimpikan zuriat sebagai pengikat kasih sayang serta penyeri dalam rumah tangga masing-masing. Namun, tiada siapa mahu anak yang dilahirkan dalam keadaan yang kekurangan ataupun cacat.

Bagaimanapun ketentuan takdir yang ditetapkan oleh Allah SWT tidak dapat dihalang. Hakikat itu sedikit sebanyak membuatkan segelintir ibu bapa menjadi terkejut menerima ketentuan untuk membesarkan anak yang bergelar orang kurang upaya (OKU) itu, lebih-lebih lagi membabitkan perkembangan mental.

Memerlukan perhatian lebih berbanding kanak-kanak normal, tidak dinafikan terdapat segelintir ibu bapa yang berputus asa untuk mendidik anak tersebut dan akhirnya mengambil sikap lepas tangan kerana didakwa ‘tidak makan saman’.

Tidak kurang juga yang beranggapan tidak perlu memberikan pendidikan dan rawatan kepada kanak-kanak malang itu kerana dianggap tidak mempunyai masa depan dan hanya menjadi bebanan kepada ibu bapa, terutamanya dalam aspek pembiayaan.

Hakikatnya, zuriat merupakan anugerah Allah SWT bagi menguji keimanan hambanya dan setiap ujian yang diturunkan mempunyai penawarnya.

Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksudnya: Sesungguhnya bagi setiap penyakit itu ada ubat. Maka apabila ubat itu serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah SWT. (riwayat Muslim)

Tidak memerlukan kos yang tinggi, Dekan Fakulti al-Quran dan Sunah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata, terapi al-Quran merupakan salah satu kaedah bagi merawat pesakit yang diakui diiktiraf pakar perubatan dunia.

“Pengiktirafan penggunaan terapi menggunakan audio sebagai rawatan alternatif oleh pakar perubatan dunia secara tidak langsung mengesahkan amalan penyembuhan melalui kaedah terapi.

“Namun begitu, penggunaan terapi audio itu hanya terbatas kepada alunan muzik ciptaan manusia, sedangkan umat Islam mempunyai al-Quran yang terkandung pelbagai mukjizat iaitu antaranya sebagai syifa’ (penyembuh).

“Al-Quran mempunyai nada huruf yang bervariasi serta susunan huruf yang harmoni sehingga apabila dibaca atau didengari mampu memberikan kesan (i’jaz Ta’thiri) dalam pelbagai sudut antaranya kesan kesihatan dan daya penyembuhan," katanya.

Beliau berkata ketika membentangkan kertas kerja Model Pendekatan Pendidikan dan Terapi berkonsep al-Quran untuk Anak Istimewa dalam seminar Pendidikan Anak-anak Istimewa dalam Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di ibu negara, baru-baru ini.

Seminar selama dua hari itu mengumpulkan sebanyak 11 kertas kerja mengenai kebajikan golongan kanak-kanak istimewa agar tidak keciciran dalam pendidikan dan semua aspek kehidupan serta membincangkan kemudahan dan kemudahan asas buat mereka.

Tambah Adnan, bukan sahaja kepada kanak-kanak autisme, kaedah terapi al-Quran juga berkesan bagi kanak-kanak istimewa lain walaupun mempunyai masalah pendengaran.

“Al-Quran sering mendahulukan sebutan dan susunan perkataan ‘mendengar’ (assam’u) berbanding deria penglihatan (al-basoru). Malah, menurut kajian sains menunjukkan deria pendengaran mula terbentuk di awal pembentukan janin yang berfungsi sepenuhnya pada minggu ke-20 janin dalam kandungan.

“Kajian neurofisiologi mendengar bacaan al-Quran, sama ada faham atau tidak tetap mendapat kebaikan dan sesuai dijadikan terapi untuk golongan OKU, tetapi lebih baik jika difahami kerana dapat mempengaruhi reaksi emosinya.

“Apabila ayat yang berbentuk seksaan atau ancaman, reaksi emosionalnya akan lebih mendorong untuk berbuat kebaikan kerana takut akan seksaan Allah SWT," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, prinsip rawatan menggunakan ayat al-Quran itu telah diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat pada zaman dahulu sedangkan penemuan rawatan barat mengenai hal itu berlaku pada zaman sains dan teknologi.






Credit: MOHD. SHAH CHE AHMAD

Jangan berhenti belajar


SALAH seorang sahabat Nabi yang terkenal sangat alim ialah Abdullah bin Mas’ud. Beliau termasuk dalam kumpulan orang-orang yang pertama memeluk Islam di Mekah.
Perawakan Ibnu Mas’ud kurus dan pendek. Namun ilmu beliau terkenal sangat tinggi dan luas. Beliau menguasai pelbagai ilmu terutama yang berkaitan dengan al-Quran.

Keilmuan beliau diiktiraf oleh Rasulullah SAW apabila baginda bersabda yang bermaksud: Ambilllah al-Quran daripada empat orang: Ibnu Mas’ud, Ubay, Salim Maula Huzaifah dan Muadz bin Jabal. (riwayat al-Bukhari)

Justeru, selepas kewafatan NabiSAW, Ibnu Mas’ud menjadi seorang tokoh ilmuwan yang sangat besar. Muridnya sangat ramai dan berasal daripada pelbagai pelosok negeri.

Meski sangat pakar dalam pelbagai ilmu, namun Ibnu Mas’ud tidak pernah berasa cukup. Sebolehnya beliau ingin terus belajar dan mempertingkatkan ilmunya.

Ibnu Mas’ud pernah berkata: Demi Allah Yang Tidak ada tuhan selain-Nya, tidaklah turun satu surah daripada al-Quran melainkan aku mengetahui di mana ia turun dan tentang perkara apakah ia diturunkan. Jika aku mengetahui seseorang yang lebih menguasai ilmu al-Quran daripada diriku dan negeri beliau boleh dicapai oleh unta, nescaya aku pasti mendatanginya. (riwayat al-Bukhari)


Amanah seorang tokoh

Sikap Ibnu Mas’ud ini memberi teladan kepada setiap orang yang bergelar tokoh ikutan. Tidak kira sama ada tokoh agama ataupun sebagainya. Seorang tokoh mesti selalu berusaha mempertingkatkan ilmunya.

Seorang tokoh tidak boleh berhenti belajar. Walau sesibuk manapun, ia mesti meluangkan sedikit masa untuk menuntut ilmu. Sebab apabila ia berhenti belajar, pada saat itulah kejahilan menutupi hatinya.

Seorang tokoh yang jahil tidak hanya merosak diri sendiri malah turut merosak ramai manusia. Terutama apabila ia seorang tokoh berkarisma yang memiliki pengikut fanatik. Ucapan dan perilakunya akan tetap dipertahankan walau salah di sisi agama sekalipun.

Menurut Al-Hafiz Ibnu Abdil Bar, seorang tokoh ikutan ibarat bahtera yang tengah berlayar. Jika ia terkandas, maka seluruh penumpangnya ikut tenggelam bersamanya.

Oleh kerana itu, tidak hairan apabila para ulama dalam kalangan salafus soleh selalu berhati-hati. Mereka sangat menjaga ucapan dan perilaku mereka, terutama apabila di hadapan orang ramai.

Berkata Imam Abdurahman bin ‘Amr Al-Awza’i, seorang ulama mujtahid ikutan ahli Syam satu ketika dahulu: “Sebelum ini kami boleh tertawa dan bermain-main. Namun setelah menjadi tokoh ikutan, kami mesti selalu berhati-hati." (Al-Bidayah wa Al-Nihayah)

Apabila satu hari nanti Allah SWT menjadikan kita seorang tokoh ikutan, sedarilah amanat besar ini. Semakin besar ketokohan seseorang di tengah masyarakat, semakin berat amanah yang menjadi tanggungannya.

Justeru, jangan pernah berhenti belajar. Sebab hanya ilmu yang dapat memastikan kelurusan ucapan dan perilaku kita. Wallahu a’lam.

Friday, 15 August 2014

Gerakan solat senaman untuk jantung


PENYAKIT jantung atau kardiovaskular berpunca daripada pelbagai faktor termasuklah gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok dan tidak menjaga pemakanan.
Pelbagai rawatan diperkenalkan bagi merawat penyakit kronik ini dari segi sains perubatan termasuklah pembedahan pintasan dan pemindahan jantung.
Walau bagaimanapun, kajian biokejuruteraan solat yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) menemui sesuatu yang sangat menarik khusus dalam sains kesihatan.
Kajian yang dilakukan terhadap 53 orang respondan mendapati solat mendatangkan kebaikan dari pelbagai sudut termasuklah aspek kesihatan.
Peserta tersebut terdiri daripada 17 lelaki dan 36 orang perempuan yang mempunyai kesihatan yang normal. Bacaan kadar denyutan jantung pada setiap postur solat direkodkan dengan menggunakan elektrokardiogram.
Terdapat beberapa gerakan asas dalam solat seperti rukuk, sujud, berdiri tegak dan tahiyat yang menjadi rukun solat bagi orang Islam.
Profesor Dr. Wan Azman Wan Ahmad, menerangkan sesuatu kepada DYMM Sultan Perak
Menurut Profesor Perubatan dan Ketua Jabatan Kardiologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Wan Azman Wan Ahmad, postur dan pergerakan solat boleh disyorkan sebagai senaman yang sangat sesuai bagi pesakit kardiovaskular atau jantung.
"Sebagai contoh, postur rukuk akan memudahkan darah dipam ke otak kerana kedudukan jantung yang selari dengan kepala.
"Bagi kedudukan sujud pula, denyutan jantung berada pada tahap paling rendah kerana kedudukan jantung adalah lebih tinggi relatif kepada kepala.
Oleh itu, ia memudahkan darah turun ke otak dengan dibantu oleh tekanan graviti. Semakin banyak darah mengalir ke otak, otak akan menjadi sihat dan cergas," jelasnya yang juga salah seorang penyelidik dalam kajian solat tersebut.
Bagi pesakit jantung, mereka disaran menjadikan solat sebagai senaman. Mereka disyorkan bersolat selama 30 minit yang bersamaan dengan 12 rakaat setiap hari untuk mendapatkan kesan yang efektif kepada jantung.
"Jadi, umat Islam sepatutnya memanfaatkan perintah solat yang dilakukan sebanyak lima kali sehari. Bukan sahaja menunaikan perintah Allah, tetapi turut menyihatkan badan mereka.
"Orang bukan Islam juga boleh melakukan pergerakan dalam solat sebagai senaman ringan kerana amalan ini boleh mengelakkan mereka daripada mendapat penyakit kardiovaskular," kongsi Wan Azhar.

Tuesday, 12 August 2014

SYEIKH Tahir Jalaluddin...Tokoh pemikir tanah air


SYEIKH Tahir Jalaluddin atau nama sebenarnya Muhammad Tahir bin Syeikh Muhamad bin Ahmad Jalaluddin adalah seorang ulama reformis yang mempunyai kaitan rapat dengan gerakan Kaum Muda di Tanah Melayu sekitar hujung 1890-an dan awal 1900.

Bapa beliau, Muhammad bin Ahmad Jalaluddin atau dikenali dengan gelaran Syeikh Langgang bin Ahmad Jalaluddin, merupakan seorang ulama yang terkenal di Minangkabau. Syeikh Tahir dilahirkan di Bukit Tinggi, Sumatera Barat pada 1869 dan berketurunan Melayu Minangkabau.

Beliau pernah menetap dan mendapat pendidikan di Mekah selama 12 tahun. Beliau sering juga digelar dengan al-Falaki di hujung namanya, mengambil sempena kemahiran beliau dalam ilmu falak.

Beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang ilmu falak dan menetap di Tanah Melayu apabila pulang dari Mesir pada 1899.

Syeikh Tahir Jalaluddin mempunyai pekerti yang mulia, gigih serta berani dalam perjuangan beliau. Beliau juga terkenal sebagai seorang pemidato yang baik.



Semasa berada di Mesir, gerakan pembaharuan Islam sedang giat berjalan di rantau berkenaan dengan dipimpin oleh Syed Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Kedua- dua mereka memperjuangkan semangat pembaharuan dalam Islam melalui Gerakan al-Tajdid wa al- Islah.


Pemikiran

Syeikh Tahir terpengaruh dengan pemikiran kedua-dua tokoh berkenaan dan apabila beliau pulang ke Tanah Melayu pada 1899, beliau cuba mengembangkan ajaran tersebut dan bergerak cergas dalam gerakan Islam.

Pada 1914, Syeikh Tahir bertugas sebagai guru di Sekolah Agama Johor Bharu sebelum dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Pemeriksaan Pelajaran Agama di Muar dan Batu Pahat.

Beliau kemudian mengajar di Madrasah al-Masyhor bersama-sama dengan Syeikh al-Hadi, seorang lagi tokoh gerakan pembaharuan Islam di Tanah Melayu.



Selepas itu, Syeikh Tahir mengajar di Madrasah Haji Taib. Semasa inilah, beliau bergerak aktif untuk mengembangkan idea dan fahaman Kaum Muda, terutamanya di sekitar Kampung Baharu, Alor Gajah, Melaka dan di Kampung Parit Jamil.

Syeikh Tahir meninggal dunia pada 2 Oktober 1956 di Kuala Kangsar, Perak. Beliau memberikan sumbangan besar terutama sekali merubah pemikiran orang Melayu dan menyedarkan mereka supaya berusaha mendapatkan ilmu pengetahuan termasuk ilmu dari Barat, bagi mencapai kejayaan dan kemajuan.

Beliau merupakan pelopor gerakan pembaharuan Islam yang berteraskan al-Quran dan al- Sunnah dan berusaha gigih membebaskan umat Islam daripada pemikiran yang sempit.

Beliau meninggalkan kesan besar terhadap kemajuan pendidikan di tanah air, sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat pengajian tinggi, dengan memasukkan sukatan pelajaran moden bagi ilmu pengetahuan seperti sains, matematik, geografi dan sebagainya.

Pemikiran beliau bukan sahaja tersebar luas di Tanah Melayu tetapi turut berkembang hingga ke Sumatera, Sulawesi, Jawa dan Kalimatan.

Beliau bersama-sama Syed Syeikh al-Hadi telah menerbitkan majalah al-Imam pada 1906, yang mencetuskan semangat menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

Beliau juga menangkis propaganda Barat terhadap Islam serta menentang pemikiran Barat yang mengelirukan melalui penulisan beliau dalam kitab Al-Islam Waraddu Muntaqidihi dan ‘al-Islam wa Nasraniah maal Ilmi wal Madaniah.

Syeikh Tahir memberi sumbangan besar dalam reformasi sistem pendidikan negara terutamanya dalam sistem pendidikan di sekolah agama.

Syeikh Tahir Jalaluddin dikaitkan dengan ‘Golongan al-Imam’ atau dikenali juga sebagai ‘Kaum Muda.’ Beliau digolongkan dalam ‘Golongan al-Imam’ kerana beliau adalah pelopor kepada penerbitan Majalah al-Imam, yang menyeru orang Melayu supaya mengubah pemikiran sempit mereka yang mempercayai perkara-perkara tahayul dan khurafat.

Turut digolongkan bersama-sama Syeikh Tahir dalam ‘Golongan al-Imam’ ialah Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas Mohd. Taha dan Syeikh Muhammad Salim al-Kalali.

Pembaharuan pemikiran yang cuba dibawa oleh mereka telah ditentang oleh ulama konservatif dan mereka diberikan pelbagai gelaran seperti ‘Kaum Sesat’, ‘Wahabbi’ dan ‘Kaum al-Manar’.


Pendita Alim Zaaba

Tokoh pemikir dan ahli bahasa Melayu, iaitu Pendeta Za’ba sendiri turut tergolong dalam kumpulan Gerakan Pembaharuan Islam ini. 

Melalui majalah al-Imam, Syeikh Tahir dan Syed Syeikh al-Hadi cuba membuka minda orang Melayu terhadap persekitaran kehidupan yang masih terbelenggu dengan pelbagai permasalahan, khususnya yang muncul dari dalam diri dan masyarakat Melayu itu sendiri.

Tuesday, 5 August 2014

Perancangan Allah sangat sempurna

MUSIBAH memang menyakitkan. Namun di sebalik setiap musibah, terdapat hikmah yang sangat besar.

Abu Salamah dan Umi Salamah adalah pasangan yang sangat berbahagia. Kedua-duanya ialah sahabat Nabi SAW yang telah beriman sejak sebelum Hijrah. Mereka bahkan termasuk dalam kalangan yang paling awal memeluk Islam apabila seluruh ahli Mekah menolaknya.

Pahit getir menjaga akidah mereka lewati bersama. Pasangan ini sempat berpisah sekian lama apabila kaum musyrik menghalang Abu Salamah membawa anak isterinya berhijrah ke Madinah. Namun Allah SWT kemudian berkenan menyatukan kembali dua insan yang saling mencintai ini di Madinah. Walau hidup sederhana, namun anak-beranak ini merasakan kebahagiaan hakiki di bawah naungan Islam.

Suatu hari Umi Salamah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim tertimpa musibah, lalu ia mengucapkan kata-kata yang Allah perintahkan iaitu: Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un, dan ia berdoa: ‘Ya Allah, berilah daku pahala atas musibah ini dan gantikanlah musibah ini dengan yang lebih baik’, melainkan Allah akan menggantikan musibah itu dengan sesuatu yang lebih baik untuknya."

Beberapa masa kemudian, tepatnya pada perang Uhud, Abu Salamah pulang ke rumah dengan luka-luka memenuhi tubuhnya. Lima bulan kemudian, beliau meninggal dunia.

Kejadian ini sungguh menyayat hati Umi Salamah. Beliau sangat sedih kerana kehilangan seorang suami yang sangat dicintai. Beliau teringat doa yang diajarkan Nabi SAW, lalu membacanya. Namun apabila tiba pada kalimat: “Gantikanlah musibah ini dengan yang lebih baik", timbul keraguan di hatinya.

“Tiada suami yang lebih baik daripada Abu Salamah," fikir Umi Salamah. “Beliau adalah suami yang begini dan begitu..." Umi Salamah terus mengenang semua kebaikan arwah suaminya ini.

Tidak lama setelah tempoh iddahnya berlalu, Rasulullah SAW datang meminang Umi Salamah. Baginda lebih baik berbanding Abu Salamah. Bahkan, baginda ialah makhluk Allah yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah. Kehadiran beliau merupakan perwujudan janji Allah untuk orang yang bersabar dalam menghadapi musibah.
Hikmah


Kisah yang diadaptasi daripada sebuah hadis Sahih Muslim ini memberikan energi murni bagi setiap orang yang tengah tertimpa musibah. Sama ada kerana berpisah dengan orang yang dikasihi, kehilangan harta benda, tertimpa kemalangan dan lain-lain.

Kisah ini mengajarkan bahawa terdapat hikmah di sebalik setiap musibah. Perancangan Allah SWT sangat sempurna dan selalu membawa kebaikan bagi hamba-hamba-Nya.

Andai Umi Salamah tidak pernah merasakan kepahitan musibah, beliau tidak akan mendapat kehormatan menjadi isteri Rasulullah SAW. Dan beliau tidak akan mendapat gelaran mulia “Ummul Mu’minin" (Ibu orang-orang beriman) yang kekal abadi hingga ke akhirat.

Sebagai Muslim, kita dituntut bersabar apabila menghadapi musibah. Yakinlah bahawa setiap musibah selalu diiringi rancangan Ilahi yang sangat baik untuk kita. Jika kita tidak menemuinya di dunia, kita pasti mendapatinya di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim tertimpa kesedihan, kekalutan dan kesakitan, walaupun sebuah duri yang menusuk kakinya, melainkan Allah akan menggugurkan untuknya sebahagian daripada dosa-dosanya. (riwayat al-Bukhari)


Allah lebih tahu

Seorang Muslim percaya bahawa Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui dan pemilik sifat-sifat sempurna lainnya. Kebijaksanaan Allah jauh lebih luas berbanding kebijaksanaan semua manusia.

Justeru, seorang Muslim mesti bertawakal kepada Allah. Ia mesti yakin bahawa setiap ketentuan Allah mestilah pilihan yang terbaik bagi hamba-hamba-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)

Lagi pula, sekuat apapun penolakan kita kepada takdir Allah SWT, musibah tersebut telah berlaku. Kemarahan dan kesedihan tidak dapat mengembalikan apa yang telah hilang. Malahan ia hanya akan membuat kita terhalang daripada rahmat Allah SWT. Justeru, sikap reda kepada takdir lebih menenangkan hati, sekali gus menjana cinta Ilahi.

Semoga Allah SWT membuka mata hati kita untuk melihat hikmah di sebalik setiap musibah yang berlaku dan memberi kita kekuatan iman untuk bersabar dalam menghadapinya. Amin ya rabbal ‘alamin.