Thursday, 8 May 2014

Tiada perasaan bersalah tinggalkan solat

Melihat fenomena zaman kini, begitu ramai orang yang bukan hanya daripada kalangan muda, tetapi juga sudah berumur di negara Muslim yang mengabaikan solat. Adakah masih ada pada zaman moden ini orang yang bersedih hati dan menangis melihat anak serta keluarga tidak solat? 

Anas bin Malik ialah sahabat Rasulullah SAW yang terakhir wafat. Beliau mempunyai usia yang panjang (99 tahun) sehingga mengetahui ada orang mengabaikan solat selepas sekian lama Rasulullah SAW wafat.


Az-Zuhri berkata, “Saya datang kepada Anas bin Malik di Damsyik, kebetulan beliau sedang menangis. Lalu saya bertanya: Mengapa engkau menangis? Dia menjawab: Aku tidak tahu apa lagi amal yang aku dapati pada zaman Nabi Muhammad yang masih diambil berat orang sekarang selain solat itu pun sudah disia-siakan mereka.” 

Ibu bapa tak hirau anak abai solat 

Kenyataannya, apa yang berlaku dalam kebanyakan masyarakat kini bukan hanya sekadar tidak peduli, bersedih dan menangis, malah mereka (ibu bapa) tidak menghiraukan anak membiarkan waktu solat berlalu begitu saja tanpa melaksanakannya. 

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang satu generasi sesudah 60 tahun, mereka melalaikan solat dan menurut hawa nafsu, maka orang ini akan menemui kecelakaan dan kerugian. Kemudian datang lagi satu generasi, mereka membaca al-Quran, tetapi hanya di mulut saja (tidak masuk ke hati), dan semua membaca al-Quran, orang Mukmin, munafik, jahat dan fasik (tidak dapat lagi dibezakan mana orang mukmin sejati dan mana orang yang berpura-pura beriman).” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Hakim).

Wednesday, 7 May 2014

'Puting beliung' api di Chilicothe

Janae Copelin was driving with her daughter and friend when she saw this amazing fire whirl in Chillicothe, Missouri
GAMBAR puting beliung api berjaya dirakamkan Copelin di Chilicothe, Missouri pada Sabtu lalu.


CHILICOTHE, Missouri - Satu kejadian yang kadangkala dikenali sebagai 'api syaitan', lapor portal berita KMBC.com kelmarin.
Gambar 'api syaitan' itu merupakan puting beliung api berlaku apabila seorang petani membakar kawasan tanamannya pada Sabtu lalu.
Seorang pemandu, Janae Copelin sempat merakamkan gambar tersebut dan menyiarkannya di laman bergambar Instagram.
Ketika kejadian, Copelin memandu sebuah kereta di sebuah lebuh raya.
Puting beliung itu berlaku apabila terdapat angin kencang. - Agensi

Tetap tekun belajar

Road to success: Accident victim Wang Dafan is pictured learning new English words as she waits for an ambulance to arrive
Wang Dafan, menghafal perkataan Inggeris dari kamus elektronik, sambil menunggu kehadiran ambulans selepas terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini. - AGENSI

BEIJING 7 Mei - Seorang pelajar yang mengalami kecederaan selepas dilanggar sebuah kereta, cuba menahan kesakitan yang dialami dengan menghafal perkataan Inggeris dari kamus elektronik, sambil menunggu kehadiran ambulans.

Laman web Mail Online melaporkan, ketika kejadian, Wang Dafan, 18, dalam perjalanan ke kelas tutorial, sebelum motosikalnya dilanggar sebuah kereta di pusat bandar.

Selepas mengetahui kecederaan yang dialami tidak serius, Dafan mengeluarkan kamus elektronik Gizmo dan mempelajari kira-kira 107 perkataan Inggeris, sambil menunggu kehadiran ambulans.

Brain training: Wang Dafan learnt 107 words by the time paramedics arrived

"Setibanya di tempat kejadian, kami agak terkejut kerana walaupun cedera dia tetap tekun belajar. Dafan memberitahu saya, dia tidak boleh membuang masa kerana masa itu emas," ujar seorang jurucakap polis.

Dafan yang memenangi banyak anugerah dalam bidang akademik dan turut menerima biasiswa hanya mengalami cedera ringan di tangan, kaki dan kepala dalam kemalangan itu.

"Mempelajari perkataan Inggeris begitu membantu saya untuk melupakan kesakitan yang dialami. Kemalangan itu turut mengingatkan saya bahawa hidup ini terlalu singkat dan pelajaran amat penting dalam mengubah hidup seseorang," kata Dafan.

Pelajar Universiti Capital Normal itu, bercita-cita mahu menyambungkan pelajarannya ke Universiti Oxford atau Cambridge.

Niat tentukan amalan ikhlas atau tidak

Persoalan pendidikan ialah persoalan mendidik hati manusia. Hati yang sejahtera melahirkan perbuatan mulia. Perbuatan yang sejahtera melahirkan pula masyarakat berakhlak, penyayang dan bertamadun. 

Koleksi hati yang sejahtera menjadi lambang umat sejahtera dalam semua aktiviti kehidupan. Dalam pendidikan, perhatikan beberapa inti sari nasihat Luqman Al-Hakim terhadap anaknya.


Keikhlasan menjadi lambang awal hati yang sejahtera. Sabda Rasulullah SAW yang terkenal dalam bab keikhlasan niat perlu direnungi secara mendalam. Sabda Baginda: “Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niat.” 

Sesiapa yang hijrahnya kerana Allah SWT dan Rasul-Nya, maka hijrahnya bagi Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dicarinya atau wanita yang akan dinikahinya maka hijrahnya bagi niat hijrahnya. 


Sukatan keikhlasan 

Menurut an-Nawawi, itu adalah paksi Islam. Ilmuwan Islam dulu dan kini, menjadikan ia sebagai pendahuluan dalam tulisan masing-masing. Hadis ini menjadi timbang tara sukatan keikhlasan sebelum memulakan sesuatu perbuatan. 


Seseorang mendapat perlindungan serta pertolongan Ilahi bergantung pada nilai niatnya. Beriman dengan hati yang tulus ikhlas tanpa sebarang kesyirikan menjadi nasihat utama Luqman kepada anaknya. 

Syirik bukan saja berlaku kepada aspek keimanan, syirik amalan boleh berlaku dalam perbuatan seseorang. Perasaan riak, menunjuk-nunjuk kepada manusia, berbangga dengan tindak-tanduknya menjadi sebahagian syirik amalan mengikut an-Nawawi. 

Antara tanda ikhlas seseorang ialah perbuatannya semata-mata kerana Allah SWT, dia tidak menyukai orang mengetahui sedikit pun daripada amalan baiknya. Mereka yang ikhlas tidak mengambil kira sama ada perbuatannya mendapat pujian asalkan mendapat keredaan Ilahi. 

Perbuatan zahir dan batin bagi orang yang ikhlas adalah bersamaan. Amalan sukakan pujian manusia menunjukkan pengamalnya tidak ikhlas melakukan sesuatu apatah lagi dia sendiri yang memuji perbuatannya
.

Perintah melakukan keadilan

ANTARA nilai utama kemanusiaan yang dibawa oleh Islam ialah nilai keadilan. Ia akan menjadikannya sebagai pengukuh kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara. 

Al-Quran menjadikan penegakan keadilan di antara manusia sebagai matlamat semua risalah samawi sehingga diutuskan kepada mereka rasul-rasul a.s dan kerana faktor penegakan keadilan, maka dibangunkan langit dan bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan, supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. (al-Rahman: 7-9)

Maksud keadilan ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak, sama ada yang berhak itu individu atau kumpulan manusia. Islam memerintahkan agar setiap orang berlaku adil terhadap dirinya dengan menyeimbangkan antara hak dirinya, hak Tuhannya dan hak orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamu ada haknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas adalah teguran Rasulullah SAW kepada Abdullah Ibnu Amru r.a apabila dia mengabaikan hak dirinya dengan terus menerus berpuasa pada siang hari dan berqiamullail pada malam harinya.


Adil kepada keluarga

Begitu juga Islam telah memerintahkan agar berlaku adil pada keluarga, sama ada kepada suami, isteri dan anak-anak. Ketika Basyir ibnu Saad Al-Ansari hendak mendapatkan persaksian Rasulullah SAW terhadap hibah atau pemberian tertentu, dia mengutamakan pemberian tersebut kepada sebahagian anak-anaknya.

Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya, "Adakah semua anak kamu berikan yang seumpama ini?" Basyir menjawab, "tidak." Rasulullah SAW bersabda, "Carilah penyaksian ke atas pemberian tersebut selain daripadaku, aku tidak akan membuat persaksian atas ketidakadilan." (riwayat Nasaie)

Ini menggambarkan keadilan harus diberikan, sama ada kepada yang disayanginya atau tidak disayanginya supaya perasaan sayang seseorang itu tidak bersekongkol dengan kebatilan.

Alangkah hebatnya perintah untuk berbuat keadilan ini sehingga al-Quran meminta kepada kita agar berlaku adil, walaupun terhadap orang yang kita musuhi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalamkan apa yang kamu lakukan. (al-Maidah: 8)


Keadilan sosial

Antara bentuk keadilan yang paling jelas ditekankan oleh al-Quran ialah keadilan sosial di mana ia memberi maksud keadilan dalam pembahagian kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada rakyat, mendekatkan jurang yang luas antara yang kaya dan miskin, membataskan monopoli orang-orang yang kaya dan mengangkat taraf hidup orang-orang miskin.

Al-Quran turut menganjurkan supaya diberi perhatian penting kepada orang-orang yang kurang bernasib baik dan pengabaian terhadap perkara ini dengan ancaman neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Lalu diperintahkan malaikat penjaga Neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahiim; Selain itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya 70 hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin. (al-Haqqah: 30-34)

Agama juga memerintahkan kepada kita untuk berlaku adil dalam perkataan. Kemarahan kita tidak boleh menjadi alasan untuk kita tidak berkata benar dan kerelaan kita kepada seseorang tidak menjadi pendorong kepada kita untuk kita berkata suatu yang tidak benar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu). (al-An'aam: 152)

Monday, 5 May 2014

Jadilah manusia sentiasa bersyukur

Banyak ayat al-Quran dan hadis yang membincangkan soal syukur. Ada yang menjelaskan hakikat syukur, perintah bersyukur, manfaatnya, alasan bersyukur, balasan bagi yang bersyukur dan ancaman bagi yang tidak bersyukur. 

Oleh itu, bersyukur adalah sifat yang mulia di sisi Islam. Kita sering mendengar keluhan dan rungutan daripada manusia yang tidak tahu erti syukur serta sering mempersoalkan segala kekurangan diri mereka.


Sebagai manusia, tentu pernah terdetik dalam hati mengapa kadangkala seseorang itu sentiasa mendapat kegembiraan seperti cepat naik pangkat, murah rezekinya serta beroleh kejayaan cemerlang dalam pelajaran sedangkan dia selalu melakukan kemungkaran? 

Harus diingat penganugerahan yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-Nya adalah satu bentuk ujian untuk menilai sejauh mana keikhlasan orang berkenaan. Allah mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya tanpa menilai baik buruk seseorang. 

Anugerah dikurniakan untuk menilai keikhlasan insan 


Allah menguji setiap hamba dengan anugerah yang dikurniakan untuk menilai sejauh mana keikhlasan dan kesedaran insan berkenaan. 
Jika dia hamba Allah yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai manusia, dia akan sentiasa sedar kelemahan dirinya dan bersyukur dengan kurniaan tersebut serta berubah untuk menjadi insan yang terbaik, tetapi jika berlaku sebaliknya, maka dia menimbulkan kemurkaan Allah. 

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, makanlah antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)  

Seterusnya firman Allah yang bermaksud: 

“Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu adalah berhala, dan kamu membuat dusta. Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepadamu; maka mintalah rezeki itu di sisi Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Ankabut, ayat 17) 

Oleh itu, manusia perlu menyemai rasa syukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah. Sifat syukur selalu datang apabila kita pernah berasa suatu kehilangan. 

Jelaslah bahawa, sifat syukur atau berterima kasih adalah sifat terpuji yang paling tinggi bagi nilai seorang Muslim. 

Jika sabar membawa erti seseorang itu berjaya mengawal dan menahan dirinya daripada sesuatu, maka syukur membawa erti kita melakukan sesuatu itu untuk menunjukkan yang kita gembira dengan pemberian Allah. 

Bersyukur adalah sifat yang kekal sehingga dimasukkan kita ke dalam Syurga. 


Sujud syukur amalan sunah 

Di samping itu, melakukan sujud syukur juga amalan sunah yang harus diamalkan setiap Muslim. 

Sujud syukur adalah sunah yang ditinggalkan kepada kita untuk menunjukkan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah SWT atau terhindar seseorang daripada bahaya dan malapetaka. 

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya faedahnya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, (tetapi) sesiapa yang kufur (tidak bersyukur) maka tidaklah menjadi hal kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman ayat 12) 

Dalam kita melayari kehidupan ini, perlu diletakkan kesedaran pada diri, bahawa dunia pasti akan ditinggalkan dan akhirat tempat yang pasti kita datangi. 

Apabila manusia hilang rasa syukur, mereka berasakan dunia ini lebih besar berbanding akhirat, maka manusia mula melakukan perkara yang dilarang Allah. 

Sebagai hamba di muka bumi ini, kita mesti sentiasa reda dan bersyukur atas nikmat yang Allah kurniakan kepada kita walau ia sekecil zarah sekalipun.




Credit: Nur Syamimi Muhamad Shahimi

Saturday, 3 May 2014

Status syahid