Saturday, 4 May 2013

Imigresen terima maklumat warga asing ejen PRU-13


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen mengesahkan ada menerima maklumat pihak tertentu mempergunakan warga asing di negara ini sebagai ejen dan jentera kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Serentak itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad, memberi amaran akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1993 termasuk menyenarai hitam warga asing terbabit yang boleh mengganggu ketenteraman awam.


“Imigresen mengingatkan semua pelancong, pekerja, pelabur, pembantu rumah, pelajar, pemegang pas penduduk tetap dan sesiapa saja supaya tidak membabitkan diri dengan sebarang aktiviti PRU-13,” katanya.


Perketat kawalan keselamatan
Alias berkata, kawalan keselamatan di laluan darat diperketat untuk memastikan PRU-13 berjalan secara aman serta mencegah unsur luar yang cuba mengambil kesempatan dan mengganggu proses pengundian.

“Pemeriksaan teliti bagi memastikan dokumen tulen dan tujuan kemasukan adalah seperti tercatat dalam visa. Kita juga memperketatkan pemeriksaan kegunaan pas sempadan yang mana pemegang mesti mengikut peraturan ditetapkan.

“Pemegang pas sempadan tidak boleh memasuki lebih dari 25 kilometer dari sempadan. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan ini,” katanya. 


Di Tumpat: Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pihaknya meningkatkan kawalan di semua pintu sempadan, termasuk meminta bantuan tentera Thailand sejak tiga hari lalu bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kemasukan pengundi luar supaya memaklumkan kepada polis sebelum sebarang tindakan diambil.



Credit: Berita Harian

PENDAKWA RAYA DITEMBAK MATI



Pendakwa raya ditembak mati
Beberapa anggota polis sedang melihat keadaan kereta yang dipandu oleh mangsa selepas insiden serangan itu. Gambar kecil: Ali.
ISLAMABAD - Pendakwa raya yang mengendalikan kes pembunuhan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto ditembak mati semasa dalam perjalanan ke mahkamah di Islamabad, semalam.

Dipetik AFP, Chaudhry Zulfiqar Ali dipercayai telah ditembak beberapa kali selepas sekumpulan lelaki bersenjata memintas kereta dipandunya.

Pegawai polis, Mohammad Yousuf memaklumkan ketika kejadian, Ali turut merempuh seorang pejalan kaki selepas keretanya hilang kawalan.

"Siasatan awal mendapati beliau diserang dari dua sudut berbeza," katanya.

Difahamkan, sebelum insiden menggemparkan itu, beliau pernah menerima ancaman menerusi panggilan telefon yang dibuat dari Afghanistan. 

Sementara itu, petugas perubatan memaklumkan beliau meninggal dunia sebelum tiba di hospital.

Tahun lalu, Ali pernah diberikan kawalan keselamatan ketat selepas beliau mendakwa polis penyiasat kes Bhutto ada menerima ugutan.

Credit: Sinar Harian.

Thursday, 2 May 2013

PEKERJAAN SEBAGAI IBADAH DAN TANGGUNG JAWAB

Muslim perlu meletakkan pekerjaan sebagai amanah perlu ditunaikan
Firman Allah SWT: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya).” (Surah Al-Mulk, ayat 15) 

Allah SWT menjadikan rezeki daripada-Nya sebagai hasil kejayaan usaha manusia di muka bumi ini. Sudah tentu sesiapa yang berusaha dan bekerja, dia berhak untuk mendapatkan rezeki daripada Allah SWT dan sesiapa yang tidak bekerja maka dia tidak berhak mendapatkannya. 


Sertai aktiviti ekonomi

Menjadi sunnatullah bahawa rezeki tidak dapat diperoleh kecuali dengan usaha dan kerja keras seseorang. Islam menyeru manusia mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti ekonomi seperti sektor pertanian, perikanan, perindustrian, perniagaan dan perkhidmatan. 

Islam memandang tinggi pekerjaan duniawi seperti ini dan meletakkannya sebagai ibadah dan jihad di jalan-Nya. Ia akan menjadi ibadah jika dilakukan dengan ikhlas dan pekerjaan itu tidak menghalang kita daripada mengingati Allah SWT serta hari pertemuan dengan-Nya. 

Usaha dan pekerjaan inilah yang membantu kita menegakkan agama dan memenuhi keperluan keluarga serta orang yang memerlukan. Hal ini adalah tuntutan agama dan ia tidak boleh dicapai kecuali dengan harta serta wang ringgit. 

Justeru, manusia tidak akan mendapatkannya kecuali dengan usaha dan kerja keras. Tidak hairanlah banyak nas agama menyeru dan menggesa manusia kepada usaha dan kerja keras sehingga ia menjadikannya setaraf solat, sedekah serta jihad di jalan Allah. 
Pekerjaan bukan saja penting bagi individu tetapi juga kemaslahatan masyarakat. Maka tidak patut seorang Muslim hidup dengan cara meminta-minta tanpa berusaha. Dengan bekerja, seseorang itu dapat menjaga maruah diri dan pada masa sama tangannya tidak selama-lamanya berada di bawah. 

Sabda Rasulullah SAW: “Jika salah seorang daripada kamu mengambil tali kemudian pergi ke gunung lalu kembali dengan seikat kayu api di belakangnya, lalu menjualnya dan dengan itu Allah menjaga air mukanya, adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta daripada orang ramai sama ada diberi ataupun tidak.” (Riwayat Bukhari) 

Bekerja penuhi keperluan keluarga 
Lelaki atau perempuan harus bekerja untuk memenuhi keperluan keluarganya. Al-Quran menyebut mengenai dua perempuan yang memberi minum kambing dan mereka mendapat bantuan daripada Nabi Musa. 

Mereka bekerja sebagai pengembala kambing milik keluarga kerana usia bapa mereka berdua yang sudah tua dan lemah seperti kenyataan dirakamkan oleh al-Quran: “Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: Apa hal kamu berdua? Mereka menjawab: Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.” (Surah Qasas, ayat 23) 

Andai kata seseorang merasakan tidak perlu bekerja kerana kekayaan yang melimpah ruah, maka dia harus bekerja untuk masyarakat dan umat. Walaupun bekerja termasuk dalam perkara yang harus, namun apabila ditinjau dari sisi lain ia adalah wajib kerana manusia tidak dapat mendirikan ibadah kecuali dengan menyelesaikan keperluan hidupnya terlebih dulu. 

Imam Ar-Raghib Al-Asfahani berkata, sesiapa yang tidak mahu bekerja dan berusaha maka dia terlepas daripada darjat kemanusiaan bahkan terkeluar dari golongan haiwan dan masuklah dia dalam golongan benda-benda mati. 

Kesedaran memahami hakikat hidup 
Seorang lelaki berjalan di hadapan Abu Darda’, sahabat yang terkenal dengan kezuhudannya. Orang tersebut melihat Abu Darda’ sedang menanam pokok kurma walhal usia sudah lanjut. 
Maka lelaki itu bertanya, “Mengapa kamu menanam pokok kurma sedangkan kamu sudah lanjut usia dan pokok ini pula tidak berbuah kecuali setelah beberapa tahun? Lalu Abu Darda’ menjawab: Apa salahnya jika saya mendapat pahala daripadanya disebabkan orang lain memakan buahnya.” 

Demikianlah contoh kesedaran seorang Muslim dalam memahami hakikat kehidupan iaitu orang yang terbaik ialah orang yang mampu memberi manfaat kepada orang lain. Justeru membudayakan kerja secara cemerlang adalah kewajipan agama. Islam tidak hanya sekadar menuntut seseorang untuk bekerja semata-mata, tetapi menuntut mereka bekerja dengan baik dan tekun. 

Bekerja dengan teliti dan tekun hukumnya bukan sunat dan bukan pula amalan remeh dalam Islam tetapi ia adalah satu bentuk kefarduan agama. 

Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya Allah suka jika salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan ia melakukannya dengan baik dan teliti.” (Riwayat Baihaqi) 

Oleh itu, setiap Muslim perlu meletakkan pekerjaan sebagai amanah Allah yang perlu dilakukan dengan sebaik mungkin dan mesti meyakini setiap pekerjaan itu dipersoalkan di hadapan Allah SWT. 

260 MATI KEBULURAN


260,000 orang mati kebuluran di Somalia


NAIROBI 3 Mei - Hampir 260,000 penduduk Somalia dengan separuh daripada jumlah itu adalah kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran bagi tempoh 2010 hingga 2012.

Menurut laporan Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), hampir separuh angka kematian itu merupakan golongan kanak-kanak berusia bawah lima tahun yang tinggal di kawasan paling teruk terjejas.

"Kebuluran dan kekurangan makanan yang teruk di Somalia telah meragut nyawa kira-kira 258,000 orang di antara Oktober 2010 dan April 2012, termasuk 133,000 kanak-kanak yang berumur bawah lima tahun," jelas laporan tersebut.

Somalia merupakan negara yang paling teruk dilanda musim kemarau pada 2011 yang menyebabkan lebih 13 juta orang penduduk terjejas. - AFP

Wednesday, 1 May 2013

Hubungan sulit bawa maut


Hubungan sulit antara seorang pekerja kilang papan lapis warga Indonesia dengan isteri rakan sekerja yang terjalin sekian lama berakhir tragedi berdarah apabila maut dibelasah suami wanita itu menggunakan besi paip dalam kejadian di belakang premis di Sungai Bidut, di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.40 pagi menyebabkan mangsa berusia 24 tahun cedera parah di kepala selepas suspek yang juga rakan senegaranya mengambil besi sepanjang satu meter lalu membelasahnya.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, sebelum kejadian suspek baru bangun dari tidur sebelum terserempak mangsa dan isterinya berusia 22 tahun berdua-duaan di belakang kantin kilang terbabit.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan kemarahan selain menyebabkan suspek berusia 39 tahun hilang pertimbangan sebelum mengambil besi paip lalu membelasahnya.

NASIHATILAH DENGAN BAIK.....


Nasihat perlu ada tekniknya




NASIHAT-menasihati satu budaya yang terpuji dalam Islam. Allah memuji kaum mukminin yang mengamalkan budaya nasihat-menasihati sekali gus menjadikannya sebagai salah satu syarat mencapai kecemerlangan diri.

Firman Allah SWT: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, nasihat menasihati dalam kebenaran dan nasihat menasihati dalam kesabaran. (al-Asr: 1-3)

Nasihat boleh dilakukan oleh siapa sahaja. Ia bukan hak para ustaz ataupun ulama. Jangan meninggalkan nasihat hanya kerana merasa diri belum bersih.

Suatu hari, Imam Hasan al-Basri berjumpa dengan seorang pemuda. Beliau berkata: “Nasihatilah kami, wahai pemuda." Pemuda itu pun menjawab, “Aku belum layak untuk memberi nasihat."

Hasan berkata, “Siapakah yang benar-benar layak memberi nasihat? Syaitan sangat suka dengan kata-kata ini. Ia berharap agar manusia mengambilnya sehingga tidak ada lagi yang mengajak kepada kebaikan dan melarang daripada keburukan."


Makna nasihat

Sebelum melakukan nasihat, ada baiknya kita fahami dahulu hakikat nasihat itu sendiri. Ramai yang menyangka nasihat hanyalah kata-kata saranan, usulan atau cadangan. Ada juga yang gagal membezakan antara nasihat dan celaan.

Secara asal perkataannya, nasihat bermakna: tulus ikhlas. Secara istilah, kata ini dijelaskan oleh Al-Khattabi: “Nasihat adalah sebuah kata yang mengungkapkan keinginan agar orang lain mendapat kebaikan."

Jadi, nasihat lahir daripada cinta dan kasih sayang. Seseorang yang menasihati orang lain hakikatnya tengah mencurahkan cintanya kepada orang tersebut.


Teknik nasihat

Apa yang berasal daripada hati biasanya menetap di dalam hati. Jika nasihat tidak diterima, malah melahirkan perlawanan, mesti ada yang tak kena dalam caranya. Kata-kata nasihat tidak boleh selalu disampaikan secara terus-terang, kadangkala ia mesti disampaikan dengan teknik-teknik yang kreatif.

Para ulama pernah mengajarkan teknik-teknik tertentu agar nasihat menetap di dalam hati. Antaranya, jangan menyalahkan, namun buat ia merasa bersalah. Kepandaian dalam memilih kata-kata sangat penting dalam perkara ini. Fudhail bin ‘Iyadh berkata: “Seorang Mukmin menutupi lalu menasihati. Seorang fasik mengisytiharkan lalu mencela."

Berikutnya, pilih saat yang paling kondusif untuk menasihati. Hindari memberi nasihat apabila orang yang berkenaan tengah emosi atau dalam kepenatan. Sangat baik jika kita dapat membina hubungan baik dengannya terlebih dahulu.

Setiap kali hendak menasihati seseorang, Imam Al-Sya’rani selalu membelanja makan orang yang hendak dinasihati terlebih dahulu. Sering juga beliau memberinya hadiah yang mahal-mahal.

Beliau berpendapat bahawa hadiah akan melahirkan cinta. Dan cinta melahirkan kepatuhan. Apabila cinta telah terjalin, nasihat akan sangat mudah diterima. Sebab seorang kekasih selalu tunduk patuh kepada kekasihnya.

Jangan lupa pula, nasihat tertutup lebih baik daripada nasihat terbuka. Ini bererti, hindari menegur kesalahan seseorang di hadapan orang lain. Apa lagi di hadapan orang ramai.

Apabila itu kita lakukan, hampir pasti nasihat kita akan diabaikan. Sebab orang itu merasa diaibkan, lalu berusaha membela diri.

Eloklah jika kita berbincang dengannya secara tertutup tanpa siapa yang mengetahui. Imam Al-Syafie berkata: “Siapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka ia benar-benar menasihatimu. Dan sesiapa yang menasihatimu di khalayak ramai, ia sebenarnya tengah menghinamu."


Jika nasihat ditolak

Akhir sekali, setiap kali menasihati orang lain, cubalah kita periksa motif nasihat tersebut. Benarkah kita tengah menginginkan kebaikan untuk orang yang dinasihati itu? Ataukah sebenarnya kita tengah menginginkan kebaikan untuk diri sendiri?

Jika kita berbangga apabila nasihat itu dilakukan dan marah apabila ditolak, maka itu pertanda kita tidak ikhlas. Nasihat itu bukan lahir daripada cinta, namun daripada nafsu kita yang sukakan penghormatan.

Sesiapa yang ikhlas dalam menasihati tidak akan marah jika kata-katanya tidak didengarkan. Ia mungkin sedih kerana tidak dapat membantunya, namun ia tidak ada alasan untuk marah. Wallahu a’lam.

Credit: Umar Muhammad Noor

Hubungan baik majikan, pekerja

Tugasan harus dilaksana dengan amanah, bersama kongsi keuntungan


Seluruh negara sibuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan parti yang bertanding giat berkempen dengan agresif demi mencapai keinginan menjadi wakil untuk memegang tampuk pemerintahan negara.

Namun, di sebalik kesibukan masing-masing, eloklah kita berehat dan menyambut hari yang tidak kurang pentingnya di seluruh dunia, iaitu Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun. Hari Pekerja dulunya dikenali Hari Buruh. 



Bekerja adalah suruhan agama Islam bersandarkan nas al-Quran dan hadis Nabi menyentuh keperluan berkerja bagi tujuan mencari nafkah. Islam tidak menggalakkan kemiskinan kerana enggan berkerja dan tidak mampu menampung keperluan asas diri serta keluarga.

Diriwayatkan oleh al-Tabrani dan al-Baihaqi ada menyebut, mencari sara hidup yang halal adalah satu kewajipan di samping kewajipan yang difardukan.

Firman Allah SWT: “Dan carilah apa-apa yang Allah sediakan bagi kamu untuk akhirat dan janganlah kamu lupa nasib habuan kamu dalam kehidupan dunia.” (Surah al-Qashash, ayat 27) 

Oleh itu, bekerjalah kerana Allah. Carilah rezeki yang mencukupi untuk keperluan keluarga. Pelihara hubungan antara majikan dan pekerja untuk memastikan perniagaan yang dijalankan mencapai kejayaan. 



Hak dan tanggungjawab pekerja
Kita perlu mengkaji kembali apakah hak dan tanggungjawab pekerja dan majikan seperti digariskan agama Islam kerana hubungan baik serta pelaksanaan tanggungjawab oleh kedua-duanya menjadi asas untuk menaikkan sesebuah organisasi.

Umumnya hubungan majikan dan pekerja terikat dalam satu acuan yang disebut hablum min al-nas (hubungan sesama manusia) yang wajib dijaga oleh kedua-dua pihak. Kesempurnaan hubungan antara manusia ini akan lahir hablum min Allah (hubungan dengan Allah) dijaga baik.

Firman Allah SWT: “Mereka ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada kecuali mereka berpegang kepada tali Allah dan tali dengan sesama manusia.” (Surah Ali-Imran, ayat 112) 

Di sisi Islam, majikan dan pekerja umpama satu anggota dalam ikatan persaudaraan. Harapan yang diberikan seorang saudara kepada saudaranya yang lain diberikan oleh pekerja kepada majikannya dan begitulah sebaliknya. 



Hubungan majikan, pekerja
Seorang saudara tidak akan merasa tenteram dan aman jika melihat saudaranya yang lain berada dalam keadaan sukar. Begitulah juga perasaan perlu ada dalam hubungan antara majikan dan pekerja. Tidak harus ada rasa prejudis antara kedua-dua golongan bersaudara itu. 

Majikan walaupun bebas mencari kekayaan dalam perniagaannya, tidak harus memerah keringat orang bawahan tanpa perkongsian keuntungan yang setimpal dan hanya mementingkan diri sendiri. Kebajikan yang adil juga harus diberikan oleh majikan kepada pekerja dan haruslah golongan pekerja diberi upah yang setimpal. 

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang bekerja di bawahmu adalah saudaramu. Orang yang berkerja di bawah kamu sebenarnya diizinkan Allah mengikut perintahmu. Seorang yang mengambil saudaranya sebagai pekerja wajib memberikannya makanan dari apa yang mereka makan dan memberikan pakaian dari apa yang kamu pakai. Dan pekerja tidak harus dibebankan dengan tugas-tugas di luar kemampuan mereka. Jika kamu telah memberikan tugas berat maka hendaklah kamu menolong mereka.” (Riwayat al-Bukhari) 

Di sebalik itu, pekerja harus jujur menjalankan tugasan yang telah diberikan dan tidak menekan majikan dengan tuntutan yang tidak wajar. Islam menggariskan prinsip yang perlu dalam melaksanakan tanggungjawab bekerja.

Hendaklah mencari pekerjaan yang halal dan tidak melanggar syarak. Melaksanakan amanah bekerja mestilah niat kerana Allah SWT dan tugas dilakukan dengan tekun, cekap, profesional serta penuh ihsan. 



Jangan curi tulang
Jangan sekali-kali mencuri tulang untuk melakukan aktiviti yang tidak berkaitan dengan pekerjaan seperti melayari laman sosial dan sebagainya pada waktu berkerja.

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi, Nabi bersabda: “Sesungguhnya Allah suka melihat hamba-Nya yang menjalankan pekerjaan dengan tekun (teliti).”

Imam Ahmad meriwayatkan, Rasulullah bersabda: “Allah sukakan hamba-Nya yang berkerja. Barang siapa yang bertungkus lumus mencari sara hidup keluarganya maka ia seperti seorang mujahid pada jalan Allah.” 

Syariat Islam adalah rahmat untuk seluruh alam. Penghayatan kepada seluruh aspek syariat Islam membawa kita kepada jaminan kerahmatan daripada Allah. Selamat menyambut Hari Pekerja dan semoga selepas ini kita menjadi majikan serta pekerja yang lebih baik.


Credit: Moeis Bakri-Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PGSM)