Monday 9 November 2015

Hanya insan berhati mulia rela berkongsi kebahagiaan


IBU berkorban demi kebahagiaan anak. - Foto hiasan 

ILMU adalah mentari pada hati, membawa cahaya penerang kegelapan di hati, sekali gus sumber cahaya dalam menjalani kehidupan. Menjadi kebiasaan, kisah hidup seseorang berperanan sebagai inspirasi untuk melangkah dengan lebih berani, gagah dan penuh kepercayaan. 

Konsep itu telah diterjemahkan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi ketika bersiaran menerusi Islam Itu Indah, Rabu lalu, di radio IKIMfm jam 10.15 pagi ketika mengupas tajuk berkongsi bahagia. 

Bermula dengan kisah isteri Rasulullah SAW bernama Ummu Habibah atau nama sebenarnya Ramlah binti Abu Sufyan. Serikandi berperwatakan lembut ini tinggi akhlak dan keperibadiannya. Setelah menempuh kehidupan memeritkan, Ummu Habibah memperoleh kebahagiaan tidak dapat digambarkan saat bersuamikan Rasulullah SAW. 

Ummu Habibah mahu berkongsi bahagia menjadi isteri Rasulullah

Dikisahkan, Ummu Habibah kerana terlalu bahagia menjadi isteri Rasulullah SAW telah datang kepada Baginda dan mencadangkan, "Ya Rasulullah, disebabkan aku sangat bahagia menjadi isterimu, maka sudikah engkau mengahwini adikku yang paling aku sayangi. Sudikah kau menjadikan adikku sebagai isterimu kerana aku bahagia dan ingin berkongsi kebahagiaan ini bersamanya." 

Namun, tawaran itu ditolak kerana syariat tidak membenarkan. Lantas Ummu Habibah menawar seorang lagi saudara yang dikasihinya untuk dinikahi Rasulullah SAW. Ia juga ditolak Baginda atas sebab saudara itu adalah saudara susuan Ummu Habibah. 

Begitulah iltizam yang kuat telah dizahirkan oleh Ummu Habibah dalam kesungguhan untuk berkongsi nikmat kebahagiaan bersama orang lain. 

Selain itu, Rasulullah SAW adalah suami yang adil dan sentiasa menjaga kebajikan serta hati isteri Baginda. Pada saat gering, Rasulullah SAW masih meminta untuk diusung ke rumah isteri Baginda bagi menjaga penggiliran mereka. 

Bagaimanapun, isteri-isteri Baginda dapat berasakan Rasulullah SAW lebih gembira jika berada di rumah Saidatina Aisyah lalu mereka bermesyuarat dan sepakat untuk Rasulullah SAW tinggal di rumah Saidatina Aisyah tanpa perlu diusung bagi memenuhi penggiliran mereka. 

Sejarah juga membuktikan, Rasulullah SAW tinggal di rumah Saidatina Aisyah sehingga wafat. Jelas sifat kasih sayang Ummul Mukminin kepada Rasulullah SAW telah membawa rasa bahagia saat Rasulullah SAW yang dicintai gembira. 

Kayu ukur kepada tahap 'bersih hati' seseorang adalah dengan gambaran kebahagiaannya saat melihat kegembiraan dan kesenangan orang lain. Jika berduka cita dengan kebahagiaan orang lain, itu petanda hati diselaputi jerebu. 

Kebersihan hati penting kerana jika sukar untuk berkongsi bahagia, maka untuk memberi bahagia pasti jauh panggang daripada api. Sesungguhnya, memberi jauh lebih sukar daripada berkongsi. Mustahil mengecapi bahagia dengan memberi jika kala berkongsi sudah menimbul sangsi dan melahirkan pelbagai persepsi. 

Umpama seorang ibu, saat memiliki makanan yang sedap atau berdepan pengalaman menyeronokkan serta menggembirakan pasti akan memastikan nikmat kesedapan dan keseronokan dikecapi bersama anak. 

Seorang ibu yang membawa dua anaknya ke Madinah dan ketika itu musim kering menyebabkan kekurangan bekalan makanan. Lalu ibu datang kepada Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah untuk meminta makanan. 

Tanpa disangka Saidatina Aisyah juga mengalami perkara sama. Hanya ada tiga biji kurma dalam simpanannya. Namun, Saidatina Aisyah telah memberikan ketiga-tiga biji kurma kepada ibu dan dua anaknya itu. 

Sejurus memperoleh kurma itu, anak segera memakannya sehingga habis setiap seorang sebiji dan berbaki sebiji di tangan ibunya. Tanpa berfikir panjang, ibu itu spontan membelah kurma menjadi dua bahagian dan memberikan kepada kedua-dua anaknya tanpa meninggalkan sedikitpun untuk dirinya. 

Keadaan itu membuatkan Saidatina Aisyah menangis. Ketika menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah SAW, Baginda berkata: "Allah SWT lebih sayang kepada hamba-Nya 70 kali daripada ibu yang rela berkongsi kurma itu." 

Usah tunggu banyak untuk dikongsi 

Berkongsi bukan terletak pada kuantitinya. Tanpa mengira sedikit atau banyak, cukup mahupun tidak, kebahagiaan sentiasa cukup dikongsikan. Usah tunggu banyak baru berkongsi, kerana berkongsi yang sedikit terkadang lebih bererti. Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Ketika seorang lelaki berjalan di suatu jalan, dia terlalu dahaga. Tiba-tiba dia menemui sebuah perigi. Oleh kerana tiada timba untuknya menceduk air dari perigi itu, dia pun turun ke dalamnya dan meminum air sehingga puas. Kemudian dia naik ke atas dan ternampak seekor anjing terjelir-jelir lidahnya menjilat pasir kerana tersangat dahaga. Lelaki itu berkata kepada dirinya sendirinya: Anjing ini haus seperti apa yang aku rasakan sebelum ini. Lalu dia turun semula ke dalam perigi dan mengisi air ke dalam kasutnya. Dia memegang kasut yang dipenuhi air itu dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Lantas Allah mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah dengan menolong haiwan kita mendapat pahala juga? Baginda menjawab: Ya! Menolong setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala." (Riwayat al-Bukhari).



Credit: Norhayati Paradi

No comments:

Post a Comment