JITRA: Orang ramai gempar selepas seekor beruk jantan masuk ke dalam surau ketika kelas agama sedang berlangsung di sebuah pondok pengajian di Kampung Bukit Teriak di sini.
Kejadian yang menjadi viral di laman sosial itu berlaku pukul 9 pagi Sabtu ketika kira-kira 390 orang sedang mengikuti kelas pengajian agama mingguan di Mahad Dar Muhajirin di Kampung Bukit Teriak.
Tenaga pengajar pondok tersebut, Ummi Kalsom Ismail, 31, berkata beruk jantan tersebut datang dari arah hutan di belakang pondok itu dan berlegar-legar di sekitar pondok tersebut tanpa mengganggu atau mencederakan orang ramai yang mengikuti kelas pengajian.
Beliau berkata haiwan itu juga memerhati setiap daripada mereka yang berada di luar surau dan tidak mengambil makanan yang diberikan kepadanya.
"Selepas berlegar di luar, haiwan itu masuk ke dalam surau dan apa yang peliknya haiwan itu hanya melihat orang yang sedang membaca kitab agama dan hanya duduk melihat kelas pengajian yang berlangsung.
"Kemudian haiwan tersebut memanjat badan guru agama yang sedang mengajar. Ustaz itu hanya membiarkan beruk itu berada di atasnya selama beberapa minit sebelum haiwan itu turun sendiri," katanya ketika ditemui di pondok itu Ahad.
Ummi Kalsom berkata ia merupakan kejadian pertama sejak pondok itu sejak dibuka pada 2001 dan ia merupakan pengalaman tidak dapat dilupakan kerana haiwan sebesar kanak-kanak berusia lima tahun itu tidak bertindak agresif seperti kebiasaan beruk lain.
"Kami lihat beruk itu masuk ke dalam sangkar tanpa bertindak agresif," katanya.
Sementara itu beruk jantan, yang ditempatkan di JPAM Kota Setar buat sementara waktu sebelum ini, telah diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment