Melalui pembangunan akal budi seseorang insan akan beradab mulia dan berbudi tinggi, menghargai dan mengenang jasa pemimpin terdahulu yang merangka segala pembangunan negara. Melalui akal budi juga akan terpancar keluhuran hati bagi meningkatkan tamadun bangsa itu sendiri. Akal budi sesuatu bangsa itu akan terpancar melalui percakapan, perbuatan dan pemikiran serta tindakan yang baik.
Jika dilihat dan diteliti melalui perhimpunan Bersih 4.0, tingkah laku dan gaya hidup generasi muda pada masa ini lebih menjurus kepada sikap yang penuh kekasaran, ganas, perbuatan yang kurang sopan dan tidak beradab, gemar mencarut dan mudah terpengaruh dengan gejala negatif, melanggar undang-undang negara, memijak gambar pemimpin dan tidak berfikir secara rasional sebelum melakukan sesuatu perkara.
Malaysia sedang memasuki era baru pembangunan ke taraf negara maju menjelang abad ke-21, selepas 58 tahun kemerdekaan. Malaysia menjadikan pembangunan sebagai agenda utama ke arah kemajuan. Kini Malaysia sudah menjadi salah sebuah kuasa ekonomi terpenting di rantau ASEAN dan negara perdagangan ke-18 terbesar di dunia.
Dengan penduduknya seramai hampir 30 juta orang pada hari ini, Malaysia juga menumpukan dan menyeimbangkan bidang pembangunan dengan bidang perindustrian dan pertanian. Kedua-dua bidang ini adalah penyumbang terbesar ke arah kerancakan ekonomi.
Justeru, pembangunan akal budi penduduknya dengan bidang pembangunan mestilah seimbang. Perlu ditegaskan perkembangan ekonomi serta kemajuan sains dan teknologi akan terjejas sekiranya pembangunan akal budi tidak mantap.
Pendidikan akal budi dapat diterapkan melalui ilmu agama, sastera, sejarah, moral, muzik, drama, tarian dan bentuk kesenian lain termasuk budaya tradisional yang dapat membentuk identiti kebangsaan. Lantaran itu, kajian dan penyiasatan saintifik perlu dilakukan terhadap perubahan tingkah laku generasi muda. Ini boleh dilakukan dengan mengenal pasti masalah, membuat hipotesis dan merancang penyiasatan yang berkesan.
Dahulu, masyarakat negara ini sangat mementingkan adab dan budaya, pertuturan yang sopan dan perbuatan yang berlandaskan akal yang bijaksana. Ini menunjukkan mereka begitu menghargai dan menjunjung tinggi akal budi sehingga budi itu diibaratkan sebagai sendi bangsa yang membentuk kemajuan tamadun. Jelaslah, budi pekerti yang sempurna akan menghasilkan fikiran yang bernas.
Melalui akal dan budi seseorang itu dapat menilai kebenaran dan kebatilan dengan akal yang waras dan sihat seperti firman Allah SWT yang maksudnya; “Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang berakhlak dan berakal sihat yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar:9).
Pendidikan akal budi hendaklah diterapkan di rumah dan di sekolah dalam usaha melahirkan manusia beriman dan ihsan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; “Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) adab daripada Allah, kalau Allah meluaskan adab baginya maka akan luas adabnya dan menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya adab) maka sempitlah adabnya.” (Riwayat Al-Hakim).
Masyarakat hari ini berdepan cabaran baharu yang rumit, yang dicetuskan oleh arus globalisasi. Apa yang harus dipastikan adalah keseimbangan dalam pembangunan di negara ini. Semua pembangunan yang dilaksanakan mestilah mengambil kira kesejahteraan manusia dan generasi akan datang. Para pemimpin parti politik juga perlu mendidik generasi muda dan tidak melakukan provokasi sehingga mereka terpengaruh dengan gaya yang kasar dan melampaui batas.
Ibnu Khaldun dalam Mukaddimah menyatakan manusia mempunyai kelebihan daripada makhluk lain kerana manusia boleh menanggapi sesuatu di luar diri melalui kemampuan berfikir, mewujudkan imaginasi sesuatu perkara berdasarkan kepada analisis dan sintesis.
Begitulah bagi Malaysia yang dirancang mencapai tahap negara maju mesti mempersiapkan pembangunan akal budi penduduknya terutama generasi muda. Landasan kepada tujuan ini sudah ada melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2016 yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2007, antaranya bertujuan membina negara bangsa dan membangunkan modal insan. Usaha ini akan diteruskan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang memfokuskan sistem pendidikan sebagai tunjang pembangunan modal insan yang holistik.
Seterusnya, negara akan mencapai pendidikan berkualiti dengan menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif terperinci bagi mencapai matlamat sistem pendidikan yang dinamik. Oleh itu, pendidikan dan pembangunan akal budi mestilah diseimbangkan dalam pendidikan dan pengajaran di sekolah.
Dua bidang utama yang menjadi fokus dalam proses transformasi Kementerian Pendidikan mampu merealisasikan aspirasi untuk meningkatkan akses, kualiti, ekuiti, perpaduan serta keberkesanan sistem pendidikan negara. Selain itu, tumpukan juga pendidikan akal budi yang meliputi pendidikan hati, jiwa dan akal yang penuh dengan kasih sayang dan nilai kemanusiaan.
Melalui perancangan teliti kurikulum baru telah dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa. Ia merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.
Sistem pendidikan merupakan tunjang pembangunan negara yang bukan sahaja bertanggungjawab melahirkan modal insan berkualiti tinggi tetapi juga insan yang berbudi pekerti, berakhlak mulia dan rasional dalam tindakan yang menjadi nadi kepada kejayaan sesebuah negara berdasarkan transformasi yang mahu dilaksanakan kerajaan.
Dalam pada itu, pembinaan institusi keluarga yang bahagia, komuniti yang utuh semangat kewarganegaraannya, mempunyai semangat patriotisme dan cinta negara yang tidak berbelah-bahagi turut menyumbang kepada usaha mewujudkan modal insan berkualiti yang daripadanya akan terbentuk masyarakat yang selamat dengan kadar jenayah terkawal.
Jauhkan generasi muda daripada budaya luar yang melalaikan. Mereka perlu dipupuk dengan sikap yang produktif dan jati diri yang kuat ke arah kebaikan dan kemajuan negara. Pegangan agama dan budaya yang kukuh akan menjadikan generasi muda hari ini pemimpin berwibawa pada masa depan.
Sesungguhnya, akhlak yang mulia ibarat perhiasan yang cantik. Insan yang berakhlak mulia akan menjadi pasak kepada pembangunan negara. Insan yang dilengkapi adab sopan, budi-bahasa dan akal budi akan menjamin pembangunan seimbang bagi negara ini.


Credit: r Aminudin Mansor,UKM