SAAT ini kira-kira tiga juta umat Islam dari seluruh pelosok dunia yang mendapat seruan Allah untuk menjadi tetamu-Nya pada musim haji tahun ini, pastinya sudah bergerak ke Arafah untuk berwukuf.
Beruntunglah mereka yang terpilih daripada hampir dua bilion populasi orang Islam untuk ke sana, yang setiap daripada penganut agama suci ini pasti menaruh niat dan harapan merasai pengalaman sama sebagai tetamu Allah menunaikan rukun Islam kelima itu.
Tahun ini jemaah haji diuji dengan tragedi kren runtuh di Masjidilharam yang mengorbankan lebih 100 orang termasuk dari Malaysia. Sebagai umat Islam yang beriman dengan qada dan qadar, penulis yakin waris dan ahli keluarga mahupun kenalan rapat jemaah haji terlibat menerima pemergian mereka dengan reda.
Beruntung jugalah mereka yang terpilih untuk mati syahid di bumi suci Mekah.
Pada musim haji kali ini, ramai kenalan penulis yang bertuah mendapat peluang menunaikan ibadat itu termasuk yang mendapat panggilan ‘cinta’ daripada Tabung Haji di saat-saat akhir, iaitu hanya dua tiga hari sebelum penerbangan terakhir berlepas. Difahamkan mereka mendapat rezeki itu daripada 2,100 kuota tambahan yang diberikan sebagai ihsan oleh kerajaan Arab Saudi ekoran tragedi 11 September tersebut. Alhamdulillah.
Menatap gambar-gambar yang dikongsi teman di laman sosial, betapa hati ini meronta-ronta. Menyaksikan jutaan umat Islam memenuhi kota Mekah, bertawaf mengelilingi Kaabah, tidak terdetik langsung perasaan lega kerana tiada bersama mereka, tidak perlu bersesak-sesak dalam lautan manusia. Sebaliknya hati ini mencemburui mereka.
Penulis doakan semua yang terpilih menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun ini akan mendapat ganjaran haji mabrur.
Bagi yang tidak berpeluang menyertai mereka di sana seperti penulis, mungkin belum ‘jodoh’ kita pada musim haji tahun ini.
Doa penulis, peluang itu akan tiba jua. Insya-Allah.
Sementara menunggu peluang berhimpun mengerjakan wukuf di padang Arafah, kita di Malaysia amat bertuah kerana dapat melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan ternakan - kelebihan yang ada umat Islam di sesetengah negara tidak dapat melakukannya atas kekangan tertentu sama ada kerana tidak mampu atau tidak boleh disebabkan faktor undang-undang.
Menjelang Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban pada Khamis ini, kita maklum bagaimana keadaan saudara seagama kita kebanyakannya dari Syria yang bertarung nyawa meredah lautan dan gurun sebagai pelarian semata-mata untuk mencari tempat berlindung di Eropah. Walaupun ramai yang telah terkorban ditelan lautan, dan tidak ada jaminan negara-negara Eropah akan membuka pintu untuk mereka, pelarian ini tetap nekad menempuhinya kerana terus tinggal di tanah air mereka bukan lagi menjadi pilihan. Derita di negara sendiri sudah pasti walaupun derita sebagai pelarian mungkin menanti.
Bagi pelarian Islam terbabit pada saat ini, sambutan Hari Raya Aidiladha mungkin terlalu jauh dari kotak fikiran mereka.
Bagaimana hendak melakukan ibadat korban sedangkan mereka sendiri mungkin menjadi korban?
Keadaan hampir sama juga dihadapi ramai lagi umat Islam lain termasuk di wilayah bergolak Rakhine di Myanmar; rakyat Palestin yang dalam perang berpanjangan dengan rejim Israel dan beberapa lagi pelosok lain dunia.
Itu belum dikira mereka yang menderita kekurangan makanan di beberapa wilayah di Afrika, yang untuk makan sekali sehari pun payah.
Mereka tidak mempunyai kelebihan untuk melakukan ibadat korban menyembelih haiwan ternakan seperti kita umat Islam di Malaysia. Kelebihan yang umat Islam di sesetengah negara Eropah yang tidak mempunyai masalah kewangan, bahkan mungkin lebih mewah daripada kita juga barangkali tidak menikmatinya ekoran halangan undang-undang.
Justeru jangan lupa mengucap syukur atas kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita.
Pada masa yang sama, renungkan sejenak apakah yang telah kita lakukan untuk mengekalkan ‘kelebihan’ itu? Atau adakah kita ‘masuk tangan’ dalam merosakkannya?
Sebagaimana kita maklum, peristiwa di sebalik sambutan Hari Raya Korban adalah bagi kita umat Islam menghayati dan mencontohi sifat ketakwaan Nabi Ibrahim a.s. menyahut perintah Allah agar ‘mengorbankan’ anaknya Nabi Ismail a.s. Begitu juga sifat ketaatan Nabi Ismail menerima dengan reda perintah Allah itu.
Sebagai manusia biasa, kita mungkin tidak diuji dengan situasi yang memerlukan pengorbanan sebegitu besar seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Kita di Malaysia juga tidak dihujani ujian yang menuntut pengorbanan seperti saudara kita di Palestin yang setiap hari terpaksa bergadai nyawa berhadapan dengan kekejaman tentera dan pelampau Israel. Syukur juga kita tidak diuji dengan kelaparan, bencana alam yang terlampau buruk mahupun wabak penyakit sehingga mengancam nyawa.
Justeru dalam keadaan tenang dan selesa ini tentulah tidak sukar untuk kita melakukan pengorbanan-pengorbanan kecil demi kebaikan agama, bangsa dan tanah air.
Pengorbanan anggota keselamatan seperti polis dan tentera memang jelas sebagai benteng mempertahankan negara, yang bersamanya menjamin ‘perlindungan’ agama dan bangsa.
Apa pula pengorbanan kita sebagai warga? Pemerintah, alim ulama, pemimpin politik, ketua organisasi, majikan, pekerja, guru mahupun pelajar?
Mudah-mudahan pengorbanan kita itu menyumbang kepada sesuatu yang baik, bukannya kemudaratan kepada sesiapa, lebih-lebih lagi kepada agama, bangsa dan tanah air.
CORETAN MARHAEN
No comments:
Post a Comment