Monday, 28 September 2015

Sulu tidak akan tuntut Sabah

KOTA KINABALU 28 Sept. – Datu Mohd. Kudhar Mohammad Julaspi Kiram yang mendakwa dirinya sebagai Putera Mahkota Kesultanan Sulu memberi jaminan tidak akan membuat tuntutan terhadap Sabah pada masa akan datang.
Mohd. Kudhar Mohammad Julaspi Kiram
Sebaliknya, beliau berkata, kesultanan itu akan mengambil sikap berbaik-baik dengan negara jiran selain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan mana-mana pihak menceroboh negeri ini.
“Ini dilakukan sekiranya kita (Sulu) merdeka dan membentuk sebuah negara. Kita yakin akan diberikan hak sedemikian oleh Manila, tahun depan.
“Selepas itu, tiada lagi tuntutan terhadap Sabah. Kita tidak mahu keharmonian Sabah diganggu-gugat. Apabila kita ‘merdeka’ nanti, saya akan jemput rakyat Sulu yang berada di Malaysia untuk kembali, bersama-sama membangunkan Sulu,” dakwanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Kudhar, 59, mendakwa dirinya sebagai pewaris Sultan Mohammad Julaspi Kiram II iaitu Sultan Sulu dan Borneo Utara serta memperoleh sokongan mahkamah dari Filipina berhubung perwarisan terbabit.
Beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Filipina berhubung perkara tersebut (menggugurkan tuntutan terhadap Sabah) tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau sekeluarga melahirkan rasa kesal dan sedih terhadap insiden pencerobohan sekumpulan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.
“Ingin saya tegaskan di sini kita tidak bersetuju dan terlibat dengan insiden itu yang dilakukan oleh puak pemberontak dan merosakkan nama Kesultanan Sulu serta rakyat Sulu.
“Ketika itu saya berada di luar negara untuk urusan perniagaan. Kita mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu,” tambahnya.
Katanya, insiden tersebut memberi kesan besar kepada ‘wilayah’ Sulu khususnya di Tawi-Tawi apabila harga barang menjadi semakin mahal.
“Dulu kita mudah dapat bekalan barang dari Sabah tetapi selepas insiden itu, bekalan menjadi susah dibawa masuk. Bekalan barang makanan, terpaksa dibawa dari Manila yang jauh jaraknya dan meningkatkan kos,” jelasnya.



Credit: METRA SYAHRIL MOHAMED  

Tuesday, 22 September 2015

Apakah pula pengorbanan kita?

SAAT ini kira-kira tiga juta umat Islam dari seluruh pelosok dunia yang mendapat seruan Allah untuk menjadi tetamu-Nya pada musim haji tahun ini, pastinya sudah bergerak ke Arafah untuk berwukuf.
Beruntunglah mereka yang terpilih daripada hampir dua bilion populasi orang Islam untuk ke sana, yang setiap daripada penganut agama suci ini pasti menaruh niat dan harapan merasai pengalaman sama sebagai tetamu Allah menunaikan rukun Islam kelima itu.
Tahun ini jemaah haji diuji dengan tragedi kren runtuh di Masjidilharam yang mengorbankan lebih 100 orang termasuk dari Malaysia. Sebagai umat Islam yang beriman dengan qada dan qadar, penulis yakin waris dan ahli keluarga mahupun kenalan rapat jemaah haji terlibat me­nerima pemergian mereka dengan reda.
Beruntung jugalah mereka yang terpilih untuk mati syahid di bumi suci Mekah.
Pada musim haji kali ini, ramai kenalan penulis yang bertuah mendapat peluang menunaikan ibadat itu terma­suk yang mendapat panggilan ‘cinta’ daripada Tabung Haji di saat-saat akhir, iaitu hanya dua tiga hari sebelum penerbangan terakhir berlepas. Difahamkan mereka mendapat rezeki itu daripada 2,100 kuota tambahan yang diberikan sebagai ihsan oleh kerajaan Arab Saudi ekoran tragedi 11 September tersebut. Alhamdulillah.
Menatap gambar-gambar yang dikongsi teman di laman sosial, betapa hati ini meronta-ronta. Menyaksikan jutaan umat Islam memenuhi kota Mekah, bertawaf mengeli­lingi Kaabah, tidak terdetik langsung perasaan lega kerana tiada bersama mereka, tidak perlu berse­sak-sesak dalam lautan manusia. Sebaliknya hati ini mencemburui mereka.
Penulis doakan semua yang terpilih menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun ini akan mendapat ganjaran haji mabrur.
Bagi yang tidak berpeluang menyertai mereka di sana seperti penulis, mungkin belum ‘jodoh’ kita pada musim haji tahun ini.
Doa penulis, peluang itu akan tiba jua. Insya-Allah.
Sementara menunggu peluang berhimpun mengerjakan wukuf di padang Arafah, kita di Malaysia amat bertuah kerana dapat melakukan ibadat korban dengan menyembelih haiwan ternakan - kelebihan yang ada umat Islam di sesetengah negara tidak dapat melakukannya atas kekangan tertentu sama ada kerana tidak mampu atau tidak boleh disebabkan faktor undang-undang.
Menjelang Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban pada Khamis ini, kita maklum bagaimana keada­an saudara seagama kita kebanyakannya dari Syria yang bertarung nyawa meredah lautan dan gurun sebagai pelarian semata-mata untuk mencari tempat berlindung di Eropah. Walaupun ramai yang telah terkorban ditelan lautan, dan tidak ada jaminan negara-negara Eropah akan membuka pintu untuk mereka, pelarian ini tetap nekad menempuhinya kerana terus tinggal di tanah air mereka bukan lagi menjadi pilihan. Derita di negara sendiri sudah pasti walaupun derita sebagai pelarian mungkin menanti.
Bagi pelarian Islam terbabit pada saat ini, sambutan Hari Raya Aidiladha mungkin terlalu jauh dari kotak fikiran mereka.
Bagaimana hendak melakukan ibadat korban sedangkan mereka sendiri mungkin menjadi korban?
Keadaan hampir sama juga dihadapi ramai lagi umat Islam lain termasuk di wilayah bergolak Rakhine di Myan­mar; rakyat Palestin yang dalam perang berpanjangan de­ngan rejim Israel dan beberapa lagi pelosok lain dunia.
Itu belum dikira mereka yang menderita kekurangan makanan di beberapa wilayah di Afrika, yang untuk makan sekali sehari pun payah.
Mereka tidak mempunyai kelebihan untuk melakukan ibadat korban menyembelih haiwan ternakan seperti kita umat Islam di Malaysia. Kelebihan yang umat Islam di sesetengah negara Eropah yang tidak mempunyai masalah kewangan, bahkan mungkin lebih mewah daripada kita juga barangkali tidak menikmatinya ekoran halangan undang-undang.
Justeru jangan lupa mengucap syukur atas kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita.
Pada masa yang sama, renungkan sejenak apakah yang telah kita lakukan untuk mengekalkan ‘kelebihan’ itu? Atau adakah kita ‘masuk tangan’ dalam merosakkannya?
Sebagaimana kita maklum, peristiwa di sebalik sambutan Hari Raya Korban adalah bagi kita umat Islam menghayati dan mencontohi sifat ketakwaan Nabi Ibrahim a.s. menyahut perintah Allah agar ‘mengorbankan’ anaknya Nabi Ismail a.s. Begitu juga sifat ketaatan Nabi Ismail mene­rima dengan reda perintah Allah itu.
Sebagai manusia biasa, kita mungkin tidak diuji dengan situasi yang memerlukan pengorbanan sebegitu besar se­perti Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Kita di Malaysia juga tidak dihujani ujian yang me­nuntut pengorbanan seperti saudara kita di Palestin yang setiap hari terpaksa bergadai nyawa berhadapan dengan kekejaman tentera dan pelampau Israel. Syukur juga kita tidak diuji dengan kelaparan, bencana alam yang terlampau buruk mahupun wabak penyakit sehingga mengancam nyawa.
Justeru dalam keadaan tenang dan selesa ini tentulah tidak sukar untuk kita melakukan pengorbanan-pengorbanan kecil demi kebaikan agama, bangsa dan tanah air.
Pengorbanan anggota keselamatan seperti polis dan tentera memang jelas sebagai benteng mempertahankan negara, yang bersamanya menjamin ‘perlindungan’ agama dan bangsa.
Apa pula pengorbanan kita sebagai warga? Pemerintah, alim ulama, pemimpin politik, ketua organisasi, majikan, pekerja, guru mahupun pelajar?
Mudah-mudahan pengorbanan kita itu menyumbang kepada sesuatu yang baik, bukannya kemudaratan kepada sesiapa, lebih-lebih lagi kepada agama, bangsa dan tanah air.



CORETAN MARHAEN

Thursday, 17 September 2015

BANGUNKAN INSAN BERAKHLAK MULIA

GOLONGAN belia ceria dan bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang
GOLONGAN belia ceria dan bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin. BERNAMA
PEMBANGUNAN insan da­­­­lam sesebuah negara amat penting bagi men­capai negara maju. Pembangunan insan mestilah meliputi pembangunan akal budi generasi muda atau penduduknya ke arah perubahan dan kemajuan. Insan yang terdidik dengan adab sopan akan sentiasa menjaga kesopanan dan kesantunan dalam kehidupan.
Melalui pembangunan akal budi seseorang insan akan beradab mulia dan berbudi tinggi, menghargai dan mengenang jasa pemimpin terdahulu yang merangka segala pembangunan negara. Melalui akal budi juga akan terpancar keluhuran hati bagi meningkatkan tamadun bangsa itu sendiri. Akal budi sesuatu bangsa itu akan terpancar melalui percakapan, perbuatan dan pemikiran serta tindakan yang baik.
Jika dilihat dan diteliti melalui perhimpunan Bersih 4.0, tingkah laku dan gaya hidup generasi muda pada masa ini lebih menjurus kepada sikap yang penuh kekasaran, ganas, perbuatan yang kurang sopan dan tidak beradab, gemar mencarut dan mudah terpengaruh dengan gejala negatif, melanggar undang-undang negara, memijak gambar pemimpin dan tidak berfikir secara rasional sebelum melakukan sesuatu perkara.
Malaysia sedang memasuki era baru pembangunan ke taraf negara maju menjelang abad ke-21, selepas 58 tahun kemerdekaan. Malaysia menjadikan pembangunan sebagai agenda utama ke arah kemajuan. Kini Malaysia sudah menjadi salah sebuah kuasa ekonomi terpenting di rantau ASEAN dan negara perdagangan ke-18 terbesar di dunia.
Dengan penduduknya seramai hampir 30 juta orang pada hari ini, Malaysia juga menumpukan dan menyeimbangkan bidang pembangunan dengan bidang perindustrian dan pertanian. Kedua-dua bidang ini adalah penyumbang terbesar ke arah kerancakan ekonomi.
Justeru, pembangunan akal budi penduduknya dengan bidang pembangunan mestilah seimbang. Perlu ditegaskan perkembangan ekonomi serta kemajuan sains dan teknologi akan terjejas sekiranya pembangunan akal budi tidak mantap.
Pendidikan akal budi dapat diterapkan melalui ilmu agama, sastera, sejarah, moral, muzik, drama, tarian dan bentuk kesenian lain termasuk budaya tradisional yang dapat membentuk identiti kebangsaan. Lantaran itu, kajian dan penyiasatan saintifik perlu dilakukan terhadap perubahan tingkah laku generasi muda. Ini boleh dilakukan dengan mengenal pasti masalah, membuat hipotesis dan merancang penyiasatan yang berkesan.
Dahulu, masyarakat negara ini sangat mementingkan adab dan budaya, pertuturan yang sopan dan perbuatan yang berlandaskan akal yang bijaksana. Ini menunjukkan mereka begitu menghargai dan menjunjung tinggi akal budi sehingga budi itu diibaratkan sebagai sendi bangsa yang membentuk kemajuan tamadun. Jelaslah, budi pekerti yang sempurna akan menghasilkan fikiran yang bernas.
Melalui akal dan budi seseorang itu dapat menilai kebenaran dan kebatilan dengan akal yang waras dan sihat seperti firman Allah SWT yang maksudnya; “Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang berakhlak dan berakal sihat yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar:9).
Pendidikan akal budi hendaklah diterapkan di rumah dan di sekolah dalam usaha melahirkan manusia beriman dan ihsan. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; “Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) adab daripada Allah, kalau Allah meluaskan adab baginya maka akan luas adabnya dan menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya adab) maka sempitlah adabnya.” (Riwayat Al-Hakim).
Masyarakat hari ini berdepan cabaran baharu yang rumit, yang dicetuskan oleh arus globalisasi. Apa yang harus dipastikan adalah keseimbangan dalam pembangunan di negara ini. Semua pembangunan yang dilaksanakan mestilah mengambil kira kesejahteraan manusia dan generasi akan datang. Para pemimpin parti politik juga perlu mendidik generasi muda dan tidak melakukan provokasi sehingga mereka terpengaruh dengan gaya yang kasar dan melampaui batas.
Ibnu Khaldun dalam Mukaddimah menyatakan manusia mempunyai kelebihan daripada makhluk lain kerana manusia boleh menanggapi sesuatu di luar diri melalui kemampuan berfikir, mewujudkan imaginasi sesuatu perkara berdasarkan kepada analisis dan sintesis.
Begitulah bagi Malaysia yang dirancang mencapai tahap negara maju mesti mempersiapkan pembangunan akal budi penduduknya terutama generasi muda. Landasan kepada tujuan ini sudah ada melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2016 yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2007, antaranya bertujuan membina negara bangsa dan membangunkan modal insan. Usaha ini akan diteruskan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang memfokuskan sistem pendidikan sebagai tunjang pembangunan modal insan yang holistik.
Seterusnya, negara akan mencapai pendidikan berkualiti dengan menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif terperinci bagi mencapai matlamat sistem pendidikan yang dinamik. Oleh itu, pendidikan dan pembangunan akal budi mestilah diseimbangkan dalam pendidikan dan pengajaran di sekolah.
Dua bidang utama yang menjadi fokus dalam proses transformasi Kementerian Pendidikan mampu merealisasikan aspirasi untuk meningkatkan akses, kualiti, ekuiti, perpaduan serta keberkesanan sistem pendidikan negara. Selain itu, tumpukan juga pendidikan akal budi yang meliputi pendidikan hati, jiwa dan akal yang penuh dengan kasih sayang dan nilai kemanusiaan.
Melalui perancangan teliti kurikulum baru telah dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa. Ia merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.
Sistem pendidikan merupakan tunjang pembangunan negara yang bukan sahaja bertanggungjawab melahirkan modal insan berkualiti tinggi tetapi juga insan yang berbudi pekerti, berakhlak mulia dan rasional dalam tindakan yang menjadi nadi kepada kejayaan sesebuah negara berdasarkan transformasi yang mahu dilaksanakan kerajaan.
Dalam pada itu, pembinaan institusi keluarga yang bahagia, komuniti yang utuh semangat kewarganegaraannya, mempunyai semangat patriotisme dan cinta negara yang tidak berbelah-bahagi turut menyumbang kepada usaha mewujudkan modal insan berkualiti yang daripadanya akan terbentuk masyarakat yang selamat dengan kadar jenayah terkawal.
Jauhkan generasi muda daripada budaya luar yang melalaikan. Mereka perlu dipupuk dengan sikap yang produktif dan jati diri yang kuat ke arah kebaikan dan kemajuan negara. Pegangan agama dan budaya yang kukuh akan menjadikan generasi muda hari ini pemimpin berwibawa pada masa depan.
Sesungguhnya, akhlak yang mulia ibarat perhiasan yang cantik. Insan yang berakhlak mulia akan menjadi pasak kepada pembangunan negara. Insan yang dilengkapi adab sopan, budi-bahasa dan akal budi akan menjamin pembangunan seimbang bagi negara ini.


Credit: r Aminudin Mansor,UKM

Jangan Tidur Lepas Subuh



Kepada sahabat-sahabat yang disayangi mari kita muhasabah diri. Di sebalik diri kita ini, ada sifat pemalas yang perlu diubah. Jika kita tidak ubah tabiat pemalas kita ini, maka bermacam-macam impak negatif bakal menghanyutkan diri ke arah kemudharatan yang lebih besar.

Jika tidak sekarang, bila lagi bukan? Takkan mahu tunggu usia sudah senja baru kita terhegeh-hegeh mengubah diri. Ketika itu, tabiat pemalas kita sudah sebati dengan diri dan amat degil untuk disental segala kekotorannya yang sudah lama melekat dan merosakkan hati kita.

TABIAT PEMALAS YANG PERLU DIUBAH

Cuba cek diri kita, mana 1 menjadi amalan seharian :
1. Bangun subuh lewat
2. Tidur selepas subuh
3. Melewatkan waktu subuh
4. Ala kadar je bangun subuh
5. Tak bangun pun solat subuh


Sahabat-sahabat, masih ingat lagikah? Di waktu zaman berhingus dulu? Ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam selalu bertanya di dalam kelas,

“Siapa yang tak cukup solat 5 waktu semalam, sila berdiri”

Tanpa segan silu, secara berjemaahnya kita pun bangun sahabat. Dan bila ditanya, rata-rata yang tak cukup solat 5 waktu, adalah kerana tidak bangun subuh. Kenapa ya sahabat?

Dan kenapa dari kecil lagi, kita dididik sebegini? Diberi penekanan betapa pentingnya bangun subuh dan meraikan ke”subuh”an dengan cara tidak tidur semula seperti bebelan mak kita.

“Jangan tidur lepas subuh. Rezeki tak masuk nanti”
“Anak dara tak manis tidur banyak. Matahari terpacak atas kepala baru nak bangun”


JIKA MAHU BERMUHASABAH

Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, “Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi.” Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat subuh.

Walaupun hakikatnya tiada dalil dan hadis-hadis soheh mengenai larangan tidur selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.

Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar : “Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara’ dan ‘uruf) di sisi orang yang BERAQAL”.

Tetapi, kita sedar tak wahai sahabat?
Kenapa seharian hidup kita tidak bermaya dan tidak bersemangat? Kadangkala kita pernah menangis kerana tiada duit untuk bayar sesuatu yang penting, malah setiap hari kita pohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi seolah-olah tiada kesannya?

Kalau orang perempuan, bermacam-macam jenis pencuci muka dicubanya semata-mata nak “kulit bercahaya”. Kalau orang lelaki pula, kerisauan yang tak menentu, jadi bermacamlah “ubat kuat” yang dipakainya.

Kita nak ke isteri macam ini? Nak ke suami yang sebegini?Masing-masing menggeleng tersengih sendirian. Jika kita tak nak pasangan seperti sedemikan rupa, maka kitalah orang pertama dahulu yang kena berubah. Bukan nanti, tetapi sekarang.

MASA UNTUK BERUBAH

Maka untuk itu tidak ada alasan lagi untuk menyeru kepada PERUBAHAN.
Buat diri, pastikan masa yang terluang selepas subuh diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Jangan tidur terlalu lewat jika sayangkan waktu keemasan di kala subuh.

Buat ahli jemaah, sudahlah diri sibuk, hanya masa ini sahajalah waktu untuk belajar. Gunakan masa sebaiknya.
Buat suami, carilah rezeki. Jangan tidur.
“Kemudian setelah selesai solat, maka betebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). – Surah Al-Jumuah (Ayat 10)
Buat isteri, masaklah, kemas rumah dan sebagainya. Takkan hilang seri rumahtangga kalau kehidupan bermula sebelum terbit fajar. Mak mertua pun tak bising lagi.

“Pesanan terpenting untuk para imam dan bakal imam terutamanya untuk diri sendiri, biasakan diri jangan tidur lepas subuh dan jangan tinggal solat jemaah di masjid, nanti selepas kahwin boleh didik isteri, kalau tak dua-dua hanyut.”

Buat pelajar, kalau nak tips study smart ingat hadith ini “kalau tidur selepas subuh papa dan tidur selepas asar boleh jadi ‘gila’.” Jangan salah pilih waktu untuk belajar atau menghafal.”

Ibnul Qayyim pernah berkata, “Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya.”

Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan bermalas-malasan pula.

Antara AKAL dan NAFSU. Pertarungan ini hanya dimenangi jika manusia bersandarkan IMAN. Jika tidak manusia sama sahaja seperti haiwan, tidak menggunakan akal dengan betul. Pembaziran masa adalah perkara yang sangat merugikan. Dan hanya syaitan yang suka pembaziran. Masa itu ibadah. Semoga Allah memberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk kita sama-sama mengikut perintah-Nya.

Sedang Nabi melewati anaknya Fatimah RA yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda :
“Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Diriwayatkan al-Baihaqi)




Credit: iloveislam.com

Monday, 14 September 2015

Sayyidina Umar ditikam



Kotak merah tersebut adalah dimana tempat Sayyidina Umar ditikam oleh Abu lu'lu al Majusi, ketika itu Sayyidina Umar sedang mengimami solat subuh, dan ditikam dari belakang. Sayidina Umar ketika ditikam, hampir hampir pada saat kematiannya, beliau wasiatkan kepada anaknya, Abdullah ibnu umar untuk ke rumah Sayidatina 'Aishah, dan minta izin, dikebumikan disebelah Rasulullah, kerana jasad Nabi dikebumikan didalam Rumah Sayidatina Aishah, Lalu dibenarkan oleh Sayidatina Aishah.

Al fatihah kepada Amirul Mukminin Sayyidina Umar Radhiyallahu'anh.






Credit:Pencinta Rasulullah (SAW), Nurul Izzati

Sunday, 13 September 2015

Zulhijjah dirai, roh pengorbanan dihayati

ZULHIJJAH adalah bulan yang sarat dengan pelbagai peristiwa sejarah. Zulhijjah sinonim dengan rukun Islam yang kelima iaitu haji dan juga ibadah korban. Keistimewaan bulan ini bukan hanya khusus untuk yang menunaikan fardu haji, tetapi juga memberi kelebihan kepada yang tidak menjadi tetamu Allah SWT. Jarang sekali kita mendengar ramai orang yang menunggu akan ketibaan malam satu Zulhijjah seperti mana menantinya kedatangan bulan Ramadan.
Image result for hari raya haji
Sedangkan, kelebihan 10 hari awal bulan Zulhijjah wajar direbut bagi umat Islam yang mencari medan pahala sebagai bekalan akhirat. Seperti mana sabda Rasullullah SAW daripada Ibnu Umar RA yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”.
Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijah ini ialah kerana di dalamnya terhimpun beberapa ibadah besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Sedangkan pada waktu lain, ibadah-ibadah tersebut tidak pernah terhimpun sebegitu. Ia juga seperti pesta ibadah bagi umat Islam yang tahu memanfaatkannya.
Setiap Muslim hendaklah menyambut dan meraikan kedatangan musim kebajikan dan medan pahala tersebut dengan penuh kesyukuran. Malah seharusnya perlu dihadirkan rasa bertaubat yang bersungguh-sungguh dengan meninggalkan segala dosa dan maksiat.
“Tidak ada satu pun amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah SWT melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya: “Tidak pula jihad di jalan Allah?” Nabi SAW menjawab, “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” - Ahmad at-Tirmizi.
Keistimewaan ini tidak ditawarkan pada bulan lain, apakah masih sanggup kita membiarkan ia berlalu begitu sahaja?
Mendekatkan diri kepada Allah memerlukan rasa mujahadah yang tinggi. Pengorbanan untuk melawan hawa nafsu dan mengikat diri untuk menjadi hamba yang taat perintah-Nya perlu dididik dalam jiwa setiap individu Muslim. Inilah semangat pengorbanan yang wajar dipupuk dalam erti kata menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh dua insan yang berjiwa besar dalam sejarah Islam iaitu Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Ibadah korban yang dilakukan sempena Aidiladha bukan semata-mata menyembelih binatang dan memberi sedekah kepada yang memerlukan tetapi rohnya jauh lebih besar. Simbolik daripada ibadah ini ialah semangat pengorbanan dan jihad yang tinggi perlu ada bagi setiap individu Muslim.
Kecekalan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam me­laksanakan perintah Allah memberikan sumber inspirasi kepada umat manusia pada hari ini. Mereka mengorbankan jiwa raga dan perasaan demi perintah Allah. Maka itu, wajar kita mencontohi kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang dipamerkan oleh dua susuk tubuh yang agung tersebut. Demi mencari keredaan Allah SWT, pengorbanan jiwa raga, masa dan tenaga serta harta benda ditagih. Kita tidak akan kehilangan sekiranya ada perkara yang perlu dikorbankan demi mencari keredhaan Allah SWT. Malah ia adalah satu pengorbanan yang akan dibalas jua dengan ganjaran yang sebaik baiknya oleh Allah.
Realitinya hari ini, ramai umat Islam yang sanggup mengeluarkan wang menjalani ibadah korban dengan menyembelih binatang tetapi tidak sanggup mentaati perintah Allah SWT dalam perkara berkaitan dengan hukum lain. Sikap ini seolah-olah hanya memahami ibadah korban itu sebagai ritual tanpa ada roh pengajaran yang sebenar daripadanya. Masih ramai yang tidak menunaikan solat lima waktu, menutup aurat serta tidak melaksanakan perintah Allah.
Zulhijjah akan berlalu seperti mana perginya Ramadan atau bulan-bulan lain. Banyak peluang yang Allah berikan kepada hambanya untuk dinikmati. Sekiranya kita melepaskan peluang ini maka terlepas jualah untuk kita meraih nikmat dan rahmat-Nya. Malah sekiranya semangat perjuangan dan pengorbanan Aidiladha itu tidak dihayati, manfaatnya juga tidak akan dapat dirasai.

Credit: NORKUMALA AWANG

Saturday, 12 September 2015

Besar Fadilat Tunai Solat Dhuha

solatdhuha
BERKENAAN dengan solat dhuha ada sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah masing-masing setiap pagi bersedekah untuk persendian (ruas tulang) tubuh badannya. Maka setiap kali bacaan tasbih (Subhanallah) itu sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu sedekah, setiap bacaan tahlil (Lailahaillallah) itu sedekah, setiap takbir (Allahuakbar) itu sedekah, amar makruf nahi mungkar (menyuruh kebaikan dan melarang kejahatan) itu sedekah, dan sebagai ganti itu semua, cukuplah mengerjakan solat dhuha dua rakaat.”
Sunat dilaksana ketika matahari naik tinggi, panas terik
Solat dhuha waktunya iaitu selepas matahari sudah naik tinggi segalah dan berakhir ketika tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur). Mudahnya solat dhuha bermula setengah jam selepas waktu syuruk. Namun disunatkan melaksanakannya pada waktu matahari naik agak tinggi dan panas agak terik. Hal ini seperti hadis riwayat Ahmad dan Muslim, daripada Zahid bin Arqam RA, beliau berkata:
“Nabi SAW keluar menuju tempat ahli Quba. Pada ketika itu mereka sedang menunaikan solat dhuha. Baginda bersabda: Ini adalah solat orang yang kembali kepada Allah (Awwabiin), iaitu di waktu anak-anak unta telah bangun kerana kepanasan waktu dhuha.
Sekurang-kurangnya solat dhuha ini adalah dua rakaat seperti hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA berkata yang bermaksud: “Kekasihku Rasulullah SAW berpesan kepada saya supaya berpuasa tiga hari tiap-tiap bulan dan solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur.”
Boleh juga dibuat empat rakaat seperti hadis riwayat Muslim, daripada Aisyah RA beliau berkata: “Rasulullah SAW biasa melaksanakan solat dhuha empat rakaat, dan kadang-kadang melebihi dari itu sekehendak Allah”.
Boleh juga dibuat lapan rakaat dan setiap dua rakaat satu salam seperti hadis riwayat Abu Daud, yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW mengerjakan solat dhuha sebanyak lapan rakaat dan tiap-tiap dua rakaat bersalam. Sehinggalah kepada 12 rakaat dan sesiapa yang mengerjakan solat dhuha 12 rakaat, nescaya dia akan mendapat istana di syurga”. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, daripada Anas r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang solat dhuha 12 rakaat, nescaya Allah dirikan untuknya istana di syurga.”
Dalam kitab fiqah I’aanatuth Thalibin, jilid 1 muka surat 225 dinyatakan bahawa jika dikerjakan dua rakaat, disunatkan pada rakaat pertama sesudah membaca surah al-Fatihah, membaca surah “Wasy-Syamsi waduhaaha..” dan pada rakaat kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah “Wadhuhaa wal-Laili izaa saja.”
Jika dikerjakan lebih daripada dua rakaat, maka disunatkan tiap-tiap dua rakaat salam. Surah yang dibaca adalah seperti yang telah disebutkan, manakala rakaat selebihnya membaca surah al-Kafirun (Qul yaa ayyuhal kafirun) dan surah al-Ikhlas (Qul huwallahu ahad).
Cara yang terbaik apabila mengerjakan solat dhuha dua rakaat ialah pada rakaat pertama sesudah membaca al-Fatihah, membaca ayat Kursi sebanyak 10 kali dan pada rakaat kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah al-Ikhlas 10 kali juga. Hal ini seperti hadis daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melaksanakan solat dhuha, bacalah pada rakaat pertama surah al-Fatihah dan ayat Kursi 10 serta pada rakaat yang kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah al-Ikhlas 10 kali, pasti ia mendapat keredaan yang terbesar daripada Allah.”
Demikianlah, wallahualam.

Credit: Dr Zahazan Mohamed

Friday, 11 September 2015

Minyak zaitun bantu cegah penyakit kronik




Pemakanan sihat adalah kunci kesihatan yang baik. Pemahaman mengenai makanan sihat sangat penting untuk menjaga kesihatan. Pengetahuan mengenai lemak atau minyak sihat sangat penting untuk kesihatan kerana bukan semua lemak atau minyak tidak sihat.
Sejak 50 tahun lalu, kajian sains menunjukkan antara minyak yang sihat untuk kesihatan adalah minyak zaitun. Minyak zaitun berasal daripada buah zaitun (olea europaea) yang banyak digunakan dalam pemakanan dan juga kegunaan luar untuk disapu pada kulit.
Antara makanan sunah yang banyak diamalkan ialah minyak zaitun. Sejak 1,400 tahun lalu, Nabi Muhammad SAW menganjurkan penggunaan minyak zaitun kerana khasiatnya yang besar dikeluarkan dari pohon zaitun.
Allah SWT bersumpah dengan buah zaitun dan buah tin dalam surah at-Tin ayat satu menunjukkan buah zaitun adalah hebat dan mempunyai khasiat kesihatan yang sangat tinggi.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 11: “Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.”
Diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra, Rasulullah SAW bersabda: “Minumlah minyak zaitun dan berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati.” (HR Al-Baihaqi & Ibnu Majah).
Kajian saintifik membuktikan khasiat minyak zaitun dan ia adalah bahan utama dalam makanan Mediterranean yang terbukti secara saintifik sangat menyihatkan.
Minyak zaitun mengandungi lemak mono tak tepu (MUFA) yang menyihatkan, di samping lemak tepu dan juga lemak poli tak tepu (PUFA) termasuk Omega 3 dan 6.
Minyak zaitun juga mengandungi bahan antioksidan iaitu hydroxy tyrosol, oleocanthal, squalene dan beta karotin. Ia juga mengandungi vitamin E tokoferol dan juga vitamin K.
Kajian sains menunjukkan penduduk di Mediterranean yang banyak mengambil minyak zaitun dalam pemakanan mereka mempunyai kadar sakit jantung yang jauh lebih rendah berbanding penduduk di Amerika Utara dan utara Eropah.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Pharmacological Research 2007 berdasarkan kajian mendalam yang dijalankan oleh Prof Maria Covas di Sepanyol menunjukkan seseorang yang mengambil minyak zaitun secara kerap akan mempunyai risiko lebih rendah mendapat penyakit kardiovaskular iaitu penyakit jantung, darah tinggi, strok dan kolesterol tinggi.
Kajian ini juga menunjukkan pengambilan minyak zaitun secara kerap akan mengurangkan masalah keradangan dan disfungsi endothelium saluran darah koronari serta penyumbatan saluran darah (thrombosis).
Kajian lain yang dijalankan di National Institute of Health and Medical Research (INSERM) di Bordeaux, Perancis menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap hari mampu mencegah angin ahmar atau strok.
Kajian ini dilaporkan dalam jurnal perubatan Neurology pada 2011 yang menunjukkan seseorang yang mengambil minyak zaitun setiap hari mempunyai 41 peratus risiko lebih rendah mendapat strok berbanding seseorang yang tidak mengambil minyak zaitun.
Satu lagi kajian menarik menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap hari juga boleh mencegah kanser payudara. Sepasukan ahli sains dari Universitat Autonoma de Barcelona di Sepanyol melaporkannya pada 2010.
Pengkaji ini mendapati minyak zaitun mengurangkan aktiviti onkogen p21Ras, mencegah kerosakan DNA sel dan menggalakkan kematian sel kanser payudara secara spontan.
Kajian ini menunjukkan minyak jagung yang kaya dengan Omega 6 mempunyai kesan yang bertentangan dengan minyak zaitun. Oleh itu pengambilan minyak zaitun boleh kita amalkan sebagai suplemen harian untuk mencegah penyakit berbahaya.
Kajian oleh ahli sains Jepun yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Medical Science Monitor pada 2004 menunjukkan pengambilan minyak zaitun oleh 28 pesakit yang mempunyai masalah kolesterol tinggi selama enam minggu membantu menurunkan paras kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol HDL.
Saintis berpendapat kesan ini kandungan asid oleic (MUFA), phenol dan vitamin E dalam minyak zaitun. Kajian diterbitkan dalam British Medical Journal pada 2012 menunjukkan menggoreng menggunakan minyak zaitun dan minyak bunga matahari tidak meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung.
Kajian ini membabitkan 40,000 peserta yang dijalankan oleh University Madrid di Sepanyol. Walaupun menggoreng menggunakan minyak zaitun akan mengurangkan khasiatnya, ia tetap memberi manfaat dengan tidak meningkatkan risiko penyakit jantung.
Kajian khusus mengenai penyakit Alzheimer juga mendapati minyak zaitun boleh mencegah penyakit ini kerana kandungan bahan ‘oleocanthal’ didalamnya.
Bahan oleocanthal ini membantu mengeluarkan protein beta-amyloid yang tidak normal daripada otak seseorang. Kajian ini menunjukkan penyakit Alzheimer mempunyai kadar rendah dalam kalangan penduduk di kawasan Mediterranean berbanding wilayah lain di seluruh dunia. Kajian ini diterbitkan dalam jurnal perubatan Chemical Neuroscience pada 2013.
Pelbagai lagi kajian saintifik yang dijalankan di seluruh dunia menunjukkan penggunaan mi­nyak zaitun mengurangkan masalah kemurungan, menguatkan memori, bengkak pankreas akut (acute pancreatitis), penyakit hati akibat stres oksidatif dan penyakit bengkak usus (ulcerative colitis).
Kita boleh mengamalkan minyak zaitun dalam pemakanan seharian sebagai makanan kesihatan atau diambil sebagai suplemen harian untuk membantu mencegah pelbagai penyakit kronik. Niatkan pengambilan minyak zaitun ini sebagai mengikut sunah Rasulullah SAW mudah-mudahan kita mendapat keberkatan, insya-Allah.




Thursday, 10 September 2015

Kelebihan 10 hari awal Zulhijjah

Tidak berapa hari lagi kita akan melangkah masuk ke bulan Zulhijjah, insya-Allah. Bulan yang juga dikenali sebagai bulan haji dan sinonim dengan ibadat korban. Bagi jemaah haji, apabila tiba bulan ini semakin hampir mereka dengan kemuncak ibadat itu iaitu wukuf di Arafah.
Bagi kita yang tidak berkesempatan menjadi tetamu Allah kali ini, mari kita rebut peluang 10 hari pertama Zulhijjah dengan melakukan pelbagai ibadat sunat.
Ada beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihannya. Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: (Demi fajar dan malam yang sepuluh). (al-Fajr: 1-2)
Menurut Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Hadis riwayat Bukhari)
Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”. (Riwayat Ahmad)
Sementara itu, menurut al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijjah ialah terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
Oleh itu, marilah kita melipat-gandakan amalan pada bulan ini terutamanya solat. Disunatkan kita keluar awal ke tempat solat fardu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan.
Thauban r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. (Riwayat Muslim). Ini umum untuk semua waktu.
• Puasa. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebilangan isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
• Takbir, tahlil dan tahmid. Ini berdasarkan hadis Ibnu Umar di atas yang mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illallah), bertakbir (mengucapkan Allahu Akbar) dan bertahmid(mengucapkan Alhamdulillah)”.
Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut sama bertakbir”.
• Puasa pada hari Arafah. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini sabit dari Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (Riwayat Muslim) Bagaimanapun, amalan ini hanya disunatkan untuk orang yang tidak menunaikan haji.
• Kelebihan Hari Raya Aidiladha (Yaum an-Nahr) pada 10 Zulhijjah.
Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia.
Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdal di dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.


Credit: MOHD. RADZI MOHD. ZIN