Saturday, 26 January 2019

MANFAATKAN TEKNOLOGI UNTUK BERDAKWAH

Image may contain: Sarimin Sorno, sitting
LEDAKAN teknologi komunikasi masa kini diakui mewujudkan fenomena baharu kepada gerakan dakwah. Ini dapat dilihat melalui penggunaan pelbagai platform media sosial.
Penggunaan Facebook, WhatsApps, Instagram dan Twitter dilihat memberi peluang luas terhadap penyebaran mesej dakwah kerana sifatnya bukan hanya pantas tetapi lebih global.
Dilaporkan kini terdapat lebih 500 juta pengguna Facebook dan lebih 100 juta pengguna Twitter di seluruh dunia. Di negara ini sahaja direkodkan lebih 12 juta penduduk mempunyai akaun Facebook masing-masing dengan majoritinya berusia antara 16 hingga 35 tahun.
Kemunculan media sosial tersebut dilihat sebagai satu wadah penting untuk berdakwah. Ini kerana penyampaian mesej dakwah itu boleh merentasi sempadan seterusnya mampu menyasarkan kepada segenap lapisan bangsa.
Walau bagaimanapun, media sosial ibarat pisau memberi kebaikan dan dalam masa sama mendatangkan kemudaratan.
Ini kerana dalam keghairahan itu berkemungkinan besar kita terlupa batas-batas agama sehingga sanggup melanggar prinsip Islam dengan menjatuhkan dan mendedahkan keaiban seseorang termasuk melakukan fitnah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat: 11, bermaksud: “Wahai orang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan yang mencemuh dan merendah-rendah puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka...”

Bukan mutlak

Kebebasan dalam Islam bergantung kepada rasionalisasi dan kepercayaan. Oleh itu, umat Islam perlu mempunyai sifat tanggungjawab terhadap setiap berita disampaikan agar tidak mendatangkan dusta, buruk sangka, permusuhan, fitnah dan mencela.
Bayangkan apa akan berlaku kepada agama Islam dan negara tercinta jika fitnah dan pembohongan menjadi amalan dalam media massa termasuk media cetak?
Justeru, gunakanlah media sosial untuk tujuan dakwah dan perkara-perkara kebaikan. Bercakap perkara benar atau lebih baik berdiam sahaja kerana itu lebih memberi manfaat.
Ini menepati sabda Rasulullah bermaksud: “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” - Riwayat Bukhari dan Muslim
Menurut pemikir Islam, Sheikh Muhammad Ali al-Sabuni dalam kitabnya Safwat al Tafasir menjelaskan pengertian dakwah dengan hikmah bermaksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah serta syariat-Nya yang suci secara bijaksana, berlemah lembut dan beradab sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela.
Bersesuaian dengan itu, menggunakan media sosial sebagai alat dakwah melalui perkongsian ilmu, perbincangan ilmiah, peringatan dan nasihat secara berhemah merupakan satu usaha dakwah yang berhikmah.
Sehubungan itu, elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa disebabkan keghairahan melayani pelbagai kerenah melalui media massa kerana setiap apa yang disebarkan pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Hanya kata-kata diredai Allah akan dicatat manakala perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat.
Ini bertepatan dengan firman Allah bermaksud: “Sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (al-Zalzalah: 7-8)


Krerdit: Utusan


Tuesday, 1 January 2019

ISLAM KEJI SEBAR AIB ORANG

DALAM kehidupan bermasyarakat, umat Islam dituntut menjaga ukhuwah dan keharmonian berasaskan kepada nilai-nilai akhlak yang luhur.
Umat Islam juga diajar untuk mencintai dan mengasihi saudara seagama, saling mengambil berat, membantu serta menjaga aib antara satu sama lain. 
Sebagaimana sabda Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuhnya. Sesiapa memberikan pertolongan hajat saudaranya, maka Allah akan menolong dalam hajatnya. Sesiapa memberikan kelapangan kepada seseorang Muslim daripada sesuatu kesusahan, maka Allah akan melapangkan dia daripada suatu kesusahan daripada sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aib orang itu pada hari kiamat.”
Aib saudara seagama adalah perkara yang tidak boleh dibuka atau disebarkan kepada orang lain sewenang-wenangnya. Umat Islam juga dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh.
Dalam politik contohnya, perbuatan memburuk-buruk dan menyebar aib individu dari parti berbeza ideologi dilihat semakin menjadi-jadi. Hari ini orang menggunakan Internet sebagai saluran untuk membuat fitnah, adu domba, serangan peribadi dan membuka aib lawannya.
Kadang kala diikuti dengan kata-kata kesat dan maki hamun tanpa menghiraukan dosa dan tegahan agama. Allah mengancam perbuatan seperti ini melalui firman-Nya dalam surah an-Nur: 19, bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab amat pedih di dunia akhirat dan Allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak mengetahui.”
Perbuatan menyebarkan aib orang lain berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada yang suka menjaja kisah keruntuhan rumah tangga orang, merakam video perlakuan seksual, menyebar poster atau gambar mengaibkan dan ada yang mengejek bentuk fizikal seseorang.
LARANGAN MENGHINA
Umat Islam dilarang mengejek, menghina kekurangan atau keaiban orang lain seperti gemuk, kurus kering, kulit hitam, wajah hodoh, kecacatan dan sebagainya.
Semua ini termasuk dalam perbuatan mengumpat, mengeji dan memperlekeh orang lain yang dikeji oleh Allah.
Sebagaimana firman Allah melalui surah al-Humazah ayat 1 maksudnya: “Kecelakaan besar bagi setiap pengumpat lagi pengeji. Mengumpat, mengeji dan mendedahkan aib orang lain umpama memakan daging saudara sendiri yang telah mati.”
Begitu juga dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat: 12, bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila umat Islam saling membenci, menghina, mengaibkan dan memfitnah sesama sendiri sehingga membawa kepada perpecahan.
Orang yang dalam hatinya ada perasaan benci dan hasad kepada saudara se-lslam, adalah golongan dalam dirinya mempunyai sifat-sifat munafik.
Akhirnya perbuatan ini tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya perpaduan akan menjadi semakin rapuh dan umat Islam akan semakin lemah.
Justeru, umat Islam perlu membersihkan diri daripada sebarang sifat keji khususnya seperti iri hati, hasad dengki, suka mengaibkan orang lain, suka mengumpat dan suka melihat orang lain dimalukan.


Kredit: Utusan, Jab. Agama Islam Pahang

Tuesday, 20 November 2018

MISKIN TETAPI KAYA



SATU kisah yang berlaku dalam masyarakat iaitu tentang seorang penarik beca yang luar biasa. Setiap hari Jumaat dia tidak mengenakan sebarang tambang ke atas sesiapa yang menaiki becanya. Suatu hari seorang wanita yang kaya menaiki becanya. Setelah sampai di destinasi yang dituju, penenarik beca ini menolak bayaran wanita tersebut dan memberitahunya sesiapa yang menaiki becanya pada hari Jumaat dia tidak mengenakan sebarang tambang.

Wanita tadi seakan tidak percaya lalu ingin mengenali penarik beca tadi. Di hari Jumaat yang lain, wanita ini sekali lagi menaiki beca pakcik tersebut. Kali ini dia meminta untuk ke rumah pakcik tersebut. Dia berhasrat untuk mengenali keluarga pakcik itu. Apabila tiba di rumah pakcik itu, dia terkejut kerana pakcik tersebut bukan seorang yang kaya. Dia sangat kagum walaupun penarik beca itu tidak memiliki kekayaan, tetapi dia masih mampu untuk bersedekah dengan cara tersendiri. Bersedekah dengan menyumbang tenaganya untuk orang lain.

Akhirnya wanita tadi mengajak penarik beca dan keluarganya bersama-samanya menunaikan haji pada tahun tersebut. Begitulah cara ALLAH membalas dan memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya. ALLAH membalas kebaikan penarik beca tadi dengan menjemputnya menjadi tetamuNya di Baitullah.

Minda Miskin
Sesetengah orang ada yang sayangkan hartanya sehingga takut untuk berbelanja pada kebaikan. Apabila disebut tentang sedekah, zakat dan seumpanya, dia mengelak atau tidak mempedulikannya. Dia beranggapan dirinya bukan orang kaya. Belum wajib untuk mengeluarkan zakat. Kerana sentiasa merasakan apa yang dia ada tidak mencukupi. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang mengingatkan tentang sifat kedekut atau bakhil.A ntaranya Firman ALLAH SWT:

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan ALLAH kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi ALLAH jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (Surah Ali-Imran:180).

Kerana itu ALLAH mewajibkan zakat ke atas orang-orang beriman agar tidak dihinggapi penyakit bakhil dan sayangkan harta. Penyakit ini juga menjadikan kita leka mengumpulkan kekayaan kerana sikap manusia yang tidak pernah rasa cukup dengan apa yang ada.
Dari ‘Atha` dia berkata; saya mendengar Ibnu Abbas RA berkata; saya mendengar Nabi SAW bersabda: “Sekiranya anak Adam memiliki harta sebanyak dua bukit, nescaya ia akan mengharapkan untuk mendapatkan bukit yang ketiga, dan tidaklah perut anak Adam itu dipenuhi melainkan dengan tanah, dan ALLAH menerima taubat siapa saja yang bertaubat.” (Riwayat Bukhari No: 5956).

Erti Hidup Pada Memberi
Rata-rata manusia lebih gemar menerima berbanding memberi. Kerana logik akal mereka percaya apabila memberi pastilah akan berkurang apa yang ada pada tangannya. Akan tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Untuk menerima perlu dimulakan dengan memberi terlebih dahulu.

Nabi SAW bersabda: ALLAH SWT berfirman, “Wahai anak Adam, berinfaklah, niscaya Aku akan memberi nafkah kepadamu“ ( Riwayat Bukhari dan Muslim).

Akan tetapi ramai yang takut jatuh miskin apabila mereka banyak memberi. Kerana itu ALLAH SWT berfirman, Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang ALLAH menjanjikan untukmu keampunan dan kurniaan daripadaNya. Dan ALLAH Maha Luas (kurniaanNya) lagi Maha Mengatahui.  (Surah Al Baqarah 268).

Pernah suatu hari di kaunter bayaran zakat, datang seorang wanita yang agak berumur. Berpakaian biasa bukan seperti orang yang kaya. Sekali pandang mungkin kita akan menyangka bahawa dia ingin bertanya berkenaan permohonan bantuan zakat. Akan tetapi wanita ini datang untuk bertanya dan membuat kiraan zakat sama ada dia wajib membayar zakat ataupun tidak.

Setelah membuat penaksiran, betul wanita hebat ini tidak wajib membayar zakat kerana hartanya tidak mencukupi nisab. Namun, dia tetap mengeluarkan sejumlah wang dari poketnya dan memberikannya kepada amil bertugas. Dia menyatakan bahawa dia sudah berniat untuk memberi zakat sekalipun tidak wajib.

Kita sepatutnya berasa malu, disaat kita berkira-kira dan berhujah supaya tidak perlu mengeluarkan zakat sedangkan kita mempunyai harta yang mencukupi nisab, ada orang lain yang jauh lebih susah tetapi bersedia untuk memberi. Kerana mereka meyakini bahawa memberi tidak mengurangkan akan tetapi sebenarnya adalah menambah. Menambah nilai dalam diri kita. 

Firman ALLAH SWT:
“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (Surah Al-Israa’:7).

Orang Kaya Sebenar
Profesor Dr. Hamka atau lebih dikenali Buya Hamka, di dalam bukunya ‘Tasawuf Moden’ menyebut tentang hakikat kekayaan yang sebenar. Beliau menyimpulkan bahawa orang kaya adalah orang yang sedikit keperluannya. Ukuran turun naik kekayaan dan kemiskinan seseorang bergantung hajat dan keperluannya. Justeru, siapa yang paling sedikit keperluannya itulah orang yang paling kaya. Dan siapa yang amat banyak keperluannya itulah orang yang paling miskin. 

Sabda Nabi SAW:
“Kaya bukanlah diukur dengan banyaknya kemewahan dunia. Namun kaya (ghina) adalah hati yang selalu merasa cukup.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kekayaan hakiki adalah merasa cukup dengan yang ada. Bersyukur ketika menerima nikmat dan kurniaan daripada Tuhan, dan tidak kecewa jika jumlahnya berkurang. Jika dilimpahi dengan kekayaan tidak menjadikannya lupa kepada kewajipan. Harta tidak dicintai kerana ia harta. Harta dicintai kerana ia pemberian Tuhan. Digunakan untuk perkara yang membawa kebaikan.

Credit: Sinar

Wednesday, 31 October 2018

Cintai Allah dengan melakukan kebaikan


ALLAH SWT sentiasa mengingati hamba yang mengingati-Nya. รข€“ Gambar hiasan


CINTA adalah perasaan kasih sayang yang timbul dalam diri. Seseorang yang dilamun cinta pastinya akan mengingati insan tersayang pada setiap masa.
Cinta tidak hanya terhadap pasangan bercinta atau suami isteri sahaja, malah ia menjangkau kepada Allah SWT dan agama. Perasaan cinta kepada Allah boleh dizahirkan dengan mematuhi semua perintah dan meninggalkan larangan-Nya.
Seperti yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi bahawa Abu Darda’ berkata kepada Ka’ab: “Tolong beritahukan kepadaku tentang ayat yang paling khas dalam Taurat.”
Ka’ab menjawab bahawa Allah berfirman: “Telah lama kerinduan orang-orang yang sangat berbakti untuk bertemu dengan-Ku, sementara Aku lebih rindu untuk bertemu dengan mereka.”
Kata Ka’ab lebih lanjut, di sisi Allah ada tulisan: “Sesiapa mencari Aku, ia akan menemukan Aku. Dan siapa mencari selain Aku, ia tidak akan menemui Aku.”
Abu Dar’da berkata: “Aku bersaksi bahawa aku pernah mendengar Rasulullah SAW berkata seperti itu.”

Cinta Allah

Diriwayatkan daripada seorang ulama salaf, sesungguhnya Allah pernah mengatakan kepada shiddiqin: “Aku mempunyai seorang hamba antara hamba-hamba-Ku yang mencintai-Ku dan Aku mencintai dirinya.
“Ia merindui-Ku dan Aku merinduinya. Ia mengingati-Ku dan Aku mengingatinya. Ia memandang-Ku dan Aku memandang-Nya.
“Jika engkau ikut jalannya, Aku akan mencintai mu. Dan jika engkau menyimpang daripada bimbingannya, Aku akan menghukummu.”
Orang itu bertanya: “Wahai Tuhanku, apa tanda-tanda orang yang Engkau sebutkan tadi?” Allah berkata: “Ia menjaga bayang pada siang hari seperti seorang penggembala dengan penuh kasih sayang.
“Ia rindu pada terbenamnya matahari seperti burung-burung rindukan sarangnya. Ketika gelap malam, ia menegakkan kedua-dua kakinya dan menadah wajahnya kepada-Ku, tekun mendengar firman-Ku dan berasa senang dengan nikmat-Ku.
“Ada antara hamba-Ku yang menjerit, menangis, mengadu dan mengeluh, ada berdiri, duduk serta meringkuk dan sujud. Di depan mata-Ku ia tabah demi Aku dan di telinga-Ku ia tidak mengeluh kerana mencintai-Ku.
“Perkara yang akan Aku berikan kepadanya ada tiga. Pertama, aku pasang cahaya-Ku di hatinya lalu ia menceritakan tentang Aku sebagaimana Aku menceritakan tentang keadaannya.
“Kedua, seandainya langit dan bumi serta seluruh isinya dalam timbangannya, nescaya aku menganggap sedikit baginya.
“Ketiga, Aku hadapkan wajah-Ku kepadanya. Tahukah engkau, siapa hamba yang Aku hadapkan wajah-Ku kepadanya, nescaya apa pun yang ia minta pasti Aku berikan kepadanya.”
Disebutkan dalam hadis qudsi tentang Nabi Daud yang bertanya: “Wahai Tuhanku, tunjukkanlah padaku orang-orang yang layak mendapat cinta-Mu?”
Allah berfirman: “Wahai Daud, datanglah ke gunung Lebanon kerana di sana terdapat 14 orang. Jika bertemu mereka, sampaikan salam-Ku kepada mereka dan katakan kepada mereka, Tuhanmu menitipkan salam dan bertanya kepada kamu, “Apakah kamu tidak memohon sesuatu keperluan?”

Urusan dunia

Sesungguhnya kamu adalah kekasih, pengikut dan wali-wali-Nya. Dia gembira kerana kamu merasa gembira dan Dia segera mencintai kamu.”
Nabi Daud lalu mendatangi mereka. Ia menemukan mereka dekat sebuah mata air. Mereka sedang termenung memikirkan kebesaran Allah.
“Apakah kamu tidak meminta sesuatu,” tutur Nabi Daud.
Seketika, mengalirlah air mata mereka di pipi. Seorang pemimpin mereka berkata: “Maha Suci Engkau, ya Allah. Kami adalah hamba-hamba-Mu dan anak dari hamba-hamba-Mu. Tolong ampuni kami kerana hati kami berhenti mengingati Engkau sehingga mensia-siakan usia kami.”
Mereka berkata demikian kerana kesibukan urusan dunia telah menyebabkan kelalaian mengingati Allah.
Justeru, Allah berkata kepada Daud: “Janganlah engkau menjadikan antara Aku dan engkau seorang alim yang mabuk cinta terhadap urusan dunia sehingga ia boleh membuatkan engkau terhalang mencintai-Ku.
“Tinggalkan syahwat dengan cara sering berpuasa dan jangan berbuka secara berlebihan. Cintailah Aku dengan melawan nafsumu dan mencegahnya daripada pelbagai bentuk kesenangan duniawi.
“Tentu Aku akan memandangmu dengan engkau boleh melihat tabir-tabir yang menyekat antara kita terangkat.”
Justeru, marilah kita sama-sama kembali melakukan kebaikan, sekali gus mendekatkan diri kepada Allah. – Wallahua’lam

Monday, 15 January 2018

Kerendahan hati tanda kehebatan iman

Didik hati untuk menghulurkan bantuan tanpa meminta balasan atau pujian 
supaya tergolong dalam kalangan orang beriman. - Foto hiasan

Jika hendak tengok kualiti diri, lihatlah kualiti hati. Apabila hati penuh dengan sifat rendah hati seperti yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW, baru hidup seorang insan itu berkualiti dunia dan akhirat.
Rasulullah SAW, selain memiliki sifat rendah hati, Baginda juga penuh kasih sayang, seorang yang benar dan memiliki integriti tinggi. Integriti Baginda tergambar pada sikapnya, apa yang lahir dari mulutnya itulah yang ada di hatinya, tidak suka berdolak-dalik.
Baginda junjungan seorang yang amanah dan fatonah, menyampaikan ajaran yang baik dengan toleransi, walaupun berhadapan orang tinggi hati dan ego.
Jika hendak tahu sama ada kita seorang yang rendah hati atau tidak, nilai diri adakah kita ini suka mengutuk dan memperlekehkan orang. Kedua, adakah kita suka melihat kebaikan orang atau keburukannya. Ketiga, adakah yang kita lakukan mengecilkan hati atau membahagiakan orang?
Didik hati jangan berasa hebat dalam profesion kita. Tentukan kita jangan mengecilkan hati orang, terutama dalam keadaan hendak cepat melaksanakan tugas. Ada kala ketika berinteraksi banyak terbuat silap yang menyebabkan orang tersinggung.
Fokus pada penerimaan
Jika kita berjaya melakukan sesuatu dan terserlah kehebatan itu, cepat pulangkan rasa kehebatan kepada Yang Maha Berkuasa, Allah SWT untuk menghilangkan rasa ego serta memadamkan rasa berjasa kepada orang.
Kita mesti didik hati, apabila menolong orang sebenarnya bukan kita yang tolong, tetapi Allah SWT yang tolong mereka melalui kita. Allah SWT yang mengizinkan kita ada rezeki, kudrat, masa dan kesihatan untuk menolong orang serta memberi rahmat kepada makhluk Allah SWT yang lain.
Cukuplah kita berasakan segala yang berlaku di bumi Allah SWT ini adalah dengan kekuasaan-Nya, bukan kerana kehebatan kita. Ingatlah, jangan sesekali berasa hebat bagi mendidik diri sentiasa berasa rendah hati.
Jika melakukan sesuatu jangan fokus kepada apa yang berlaku, tetapi fokus penerimaan orang terhadap sesuatu yang berlaku. Demikian juga amalan kepada Allah SWT, biasanya kita sangat fokus terhadap amalan, tetapi tidak fokus kepada penerimaan oleh-Nya.
Didiklah hati supaya lembut dan khusyuk melakukan sesuatu kebaikan hanya dengan niat mendapat reda Allah SWT dan Dia menerima amalan kita.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Belumlah datang masanya bagi orang yang beriman bahawa akan khusyuk hati mereka mengingati Allah dan apa yang Dia turunkan daripada kebenaran. Dan janganlah ada mereka seperti orang yang kedatangan kitab sebelumnya. Maka panjanglah masa yang mereka lalui, maka menjadi kasarlah hati mereka, dan banyaklah antara mereka yang fasik." (Surah al-Hadid, ayat 16)
Tidak suka pujian
Hati yang penuh dengan reda kepada Allah SWT, Dia akan penuhi hati itu dengan perkara yang mendekatkan kepada-Nya. Hati yang mencari penghargaan manusia, Allah SWT akan penuhinya dengan keresahan dan kesibukan tidak menentu hingga tidak ada masa untuk beribadat kepada-Nya.
Lumrahnya, jika kita bukan seorang yang rendah hati, kita akan menjadi riak dan suka menyebut kebaikan serta amalan yang telah dilakukan. Sesungguhnya, syaitan sangat suka menyesatkan dan tidak suka kita menjadi baik, sebaliknya tertipu dengan amalan kita.
Orang yang rendah hati memandang orang lain lebih baik daripadanya, hingga tidak terserlah kewujudannya sebab tidak disebut kehebatan dan kebaikannya. Orang yang rendah hati lebih suka menerima teguran berbanding menerima pujian.
Setiap kali mendapat teguran, perasaan marah itu adalah tanda kesombongan. Didik hati suka menerima teguran dan tidak suka akan pujian. Jika melakukan sesuatu dan kita berasa sakit hati kerana orang tidak menyebut nama kita, itu tanda kita bukan orang yang rendah hati.
Demikian juga jika kita membantu dan orang itu tidak menghargai atau berterima kasih menyebabkan timbul rasa kecil hati atau mengungkit jasa, itu juga tanda kita bukan orang yang rendah hati.
Gembira lihat orang bahagia
Jadilah orang yang tidak suka dipuji dan tidak takut dikeji serta sangat suka menerima teguran. Ingatlah, pada saat kita tidak boleh menerima teguran, bermakna pada detik itu bermulalah kejatuhan kita di mata Allah SWT dan di mata manusia kerana telah menjadi sombong.
Orang yang rendah hati suka memberi, berkongsi rezeki dengan orang sekelilingnya. Semakin kaya semakin beriman, kerana kekayaan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan banyak bersedekah.
Al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin al-Syukhair, beliau berkata, "Aku telah bertemu Rasulullah SAW ketika Baginda sedang membaca ayat daripada surah al-Takathur ini, lalu Baginda bersabda: Wangku, wangku. Sedangkan wang dan harta benda kamu itu adalah yang kamu makan dan habiskan atau yang kamu gunakan, lalu ia menjadi lusuh. Yang kamu sedekahkan itulah yang kekal"
Ingatlah, bahaya paling besar bukan kejahatan orang lain lakukan kepada kita, tetapi kejahatan yang pernah kita lakukan. Tidak ada perkara baik atau buruk yang dilakukan, melainkan akan kembali kepada kita atau anak cucu pada suatu masa kelak.
Orang yang rendah hati akan bahagia melihat orang lain bahagia dan sentiasa mahu menjadikan orang bersamanya bahagia. Suka melihat orang lain mendapat kebaikan, tidak ada rasa iri hati dan hasad dengki.
Seorang yang hebat umpama 'minyak setitik di laut sekalipun, timbul juga'. Maksudnya, orang yang hebat di mana sekalipun berada orang nampak kehebatan dan kehadirannya. Gunakan mata akal dan mata hati dianugerahkan Allah SWT untuk menjadi orang hebat di dunia dan akhirat.

Credit: Prof Dr Muhaya Mohamad

Muhasabah diri jadi Mukmin terbaik



Siapa yang suka menilai atau melihat kekurangan diri, tetapi itulah cara untuk melakukan perubahan. Oleh itu, walaupun pahit untuk menerima kenyataan, itu adalah lebih baik kerana bermuhasabah dapat membersihkan diri daripada kejahilan serta dosa. Ikuti kupasan bersama Ustaz Mohd Meftah Anuar dalam segmen Islam Itu Indah di IKIMfm.
Orang yang beruntung adalah yang sentiasa membuat pembetulan supaya dapat memperbaiki kecelaan diri dan menjadikannya mukmin lebih baik. Imam al-Ghazali berkata, "Barang siapa yang sering bermuhasabah pada dirinya, nescaya dia akan temui keringanan pada hari akhirat kelak."
Menerusi rancangan Islam itu Indah, Ustaz Mohd Meeftah Anuar berkata, muhasabah adalah perkara baik namun tidak disukai kerana kebanyakan manusia tidak suka untuk menilai dan melihat kekurangan diri sendiri.
Muhasabah umpama ubat yang pahit, tidak enak namun ia adalah penawar yang mengubati seribu satu penyakit. Sungguhpun menilai diri bukan sesuatu yang menyeronokkan, tetapi orang yang sering bermuhasabah akan dapat membersihkan diri daripada kejahilan, dosa dan noda.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tidaklah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti kami mendatangkan (pahalanya). Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan." (Surah al-Anbiya, ayat 47)
Setiap perbuatan manusia walau sekecil-kecil atau sebesar-besarnya akan diperhitung dan dihisab di akhirat nanti. Perbuatan baik akan mendapat balasan baik, manakala perbuatan jahat akan menerima akibat buruk.
Sentiasa bersyukur
Seorang mukmin perlu lebih banyak merasa syukur akan segala nikmat kurniaan Allah SWT. Apa sahaja rezeki yang diperoleh adalah atas kehendak dan kurniaan-Nya. Justeru, syukur itu akan menjadikan manusia lebih tawaduk dan taat segala perintah-Nya.
Allah SWT akan mengurniakan nikmat lebih besar bagi mereka yang selalu bersyukur. Dalam menterjemahkan nilai syukur, seorang mukmin itu harus lebih banyak bermuhasabah dan melihat setiap sudut hidup sebagai anugerah Allah yang Maha Esa.
Sesungguhnya tidak akan bererti apapun yang dimiliki manusia jika tidak disertakan dengan rasa syukur dan yakin ia adalah pinjaman daripada Allah SWT. Justeru, mukmin perlu sedar dalam setiap nikmat yang dikecapi, ada rezeki orang yang lain yang tersembunyi.
Ini kerana ada kala Allah SWT mengurniakan rezeki seseorang melalui mukmin yang lain supaya mereka saling memberi dan mengingati sesama manusia.
Jauhi maksiat
Berbicara mengenai keberkatan dalam mencari rezeki, hendaklah menjauhi perbuatan maksiat yang akan menghitamkan hati, menutup pandangan mata, mengikis semua kebaikan sungguhpun mendapat nikmat di dunia ini.
Tidak ada ertinya semua kesenangan dan kenikmatan hidup jika diperoleh dengan jalan kemaksiatan kerana ia tidak mendapat keberkatan hidup, apatah lagi untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak.
Orang yang sentiasa dalam kemaksiatan sungguhpun hidupnya penuh keseronokan dan kekayaan, ia hanya satu tipu daya menyesatkan dan nikmat yang membinasakan.
Oleh itu, dalam mencari rezeki seseorang mukmin hendaklah sentiasa memeriksa kesilapan yang dilakukan supaya tidak termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat istidraj. Muhasabah jalan terbaik manusia membuat pusingan U atau menghitung kesilapan diri dilakukan.
Pegang tiga paksi
Setiap mukmin hendaklah memahami ajaran agama Islam dengan sebaiknya supaya sentiasa terbimbing pada jalan yang benar. Peganglah tiga paksi diajarkan agama iaitu menjadi khalifah yang taat akan perintah Allah SWT, mengamalkan Islam sebagai cara hidup, menjadikan akhlak baik pakaian yang akan menentukan corak tindakan diri.
Akhlak baik adalah senjata mukmin untuk menjadi manusia penuh nilai manusiawi dalam membina keperibadian yang tinggi. Rasulullah SAW bersabda: "Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia."
Hidup di dunia hanya persinggahan sebelum menuju ke kampung akhirat yang kekal abadi. Justeru, hendaklah sentiasa berusaha mempersiapkan dirinya dengan perkara yang akan meningkatkan amal timbangan di akhirat kelak.
Berdamping dengan orang soleh yang boleh menjadi pembimbing untuk sentiasa dekat kepada Allah SWT dan sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW sebagai mengingati ajaran Rasulullah SAW. Cara itu boleh mencegah mukmin daripada terjerumus perbuatan yang boleh menyesatkan.

Credit: Nik Hasnah Ismail

Monday, 8 January 2018

Sarimin: Islam tak larang berbaik dengan orang kafir

Sarimin: Islam tak larang berbaik dengan orang kafir: FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah orang yang beriman mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang ...