Penggunaan Facebook, WhatsApps, Instagram dan Twitter dilihat memberi peluang luas terhadap penyebaran mesej dakwah kerana sifatnya bukan hanya pantas tetapi lebih global.
Dilaporkan kini terdapat lebih 500 juta pengguna Facebook dan lebih 100 juta pengguna Twitter di seluruh dunia. Di negara ini sahaja direkodkan lebih 12 juta penduduk mempunyai akaun Facebook masing-masing dengan majoritinya berusia antara 16 hingga 35 tahun.
Kemunculan media sosial tersebut dilihat sebagai satu wadah penting untuk berdakwah. Ini kerana penyampaian mesej dakwah itu boleh merentasi sempadan seterusnya mampu menyasarkan kepada segenap lapisan bangsa.
Walau bagaimanapun, media sosial ibarat pisau memberi kebaikan dan dalam masa sama mendatangkan kemudaratan.
Ini kerana dalam keghairahan itu berkemungkinan besar kita terlupa batas-batas agama sehingga sanggup melanggar prinsip Islam dengan menjatuhkan dan mendedahkan keaiban seseorang termasuk melakukan fitnah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat: 11, bermaksud: “Wahai orang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan yang mencemuh dan merendah-rendah puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka...”

Bukan mutlak

Kebebasan dalam Islam bergantung kepada rasionalisasi dan kepercayaan. Oleh itu, umat Islam perlu mempunyai sifat tanggungjawab terhadap setiap berita disampaikan agar tidak mendatangkan dusta, buruk sangka, permusuhan, fitnah dan mencela.
Bayangkan apa akan berlaku kepada agama Islam dan negara tercinta jika fitnah dan pembohongan menjadi amalan dalam media massa termasuk media cetak?
Justeru, gunakanlah media sosial untuk tujuan dakwah dan perkara-perkara kebaikan. Bercakap perkara benar atau lebih baik berdiam sahaja kerana itu lebih memberi manfaat.
Ini menepati sabda Rasulullah bermaksud: “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” - Riwayat Bukhari dan Muslim
Menurut pemikir Islam, Sheikh Muhammad Ali al-Sabuni dalam kitabnya Safwat al Tafasir menjelaskan pengertian dakwah dengan hikmah bermaksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah serta syariat-Nya yang suci secara bijaksana, berlemah lembut dan beradab sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela.
Bersesuaian dengan itu, menggunakan media sosial sebagai alat dakwah melalui perkongsian ilmu, perbincangan ilmiah, peringatan dan nasihat secara berhemah merupakan satu usaha dakwah yang berhikmah.
Sehubungan itu, elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa disebabkan keghairahan melayani pelbagai kerenah melalui media massa kerana setiap apa yang disebarkan pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Hanya kata-kata diredai Allah akan dicatat manakala perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat.
Ini bertepatan dengan firman Allah bermaksud: “Sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” (al-Zalzalah: 7-8)


Krerdit: Utusan