Monday, 8 January 2018

Islam tak larang berbaik dengan orang kafir

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah orang yang beriman mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman.
Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) daripada Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu)." (Surah Ali-Imran, ayat 28)
Ulama tafsir mengemukakan beberapa riwayat berkenaan sebab turunnya ayat ini antaranya riwayat al-Tabari daripada Ibn Abbas mengenai orang Yahudi yang berkawan baik dengan orang Ansar untuk menjauhkan orang Ansar daripada agama mereka.
Berkata Rifa'ah bin Al-Munzir, Abdullah bin Jubayr dan Sa'id bin Khaithmah kepada kumpulan Ansar itu: "Jauhilah kamu daripada kaum Yahudi dan jangan berteman baik dengan mereka nanti mereka memfitnah kamu dalam agama ini." Lalu ayat ini diturunkan.
Riwayat Al-Kalbi menyatakan, ayat ini dinuzulkan kepada munafikin iaitu Abdullah bin Ubayy dan rakan-rakannya yang berkawan dengan Yahudi serta Musyrikin. Mereka menyampaikan berita kepada Yahudi dan Musyrikin serta mengharapkan kemenangan dalam usaha menentang Rasulullah SAW.
Al-Wahidi meriwayatkan daripada Ibn Abbas, bahawa sekumpulan Yahudi bersetia kawan dengan sekumpulan orang Ansar untuk memurtadkan mereka. Lalu dinasihatkan oleh Rifa'ah bin Al-Munzir, Abdullah bin Jubayr, Sa'id bin Khaithamah supaya berwaspada terhadap niat jahat orang Yahudi itu.
Allah SWT tidak melarang orang Islam mengadakan hubungan baik dengan bukan Islam. Tidak menjadi kesalahan mengadakan hubungan dengan bukan Islam dan keharusan itu meliputi semua kafir dengan syarat mereka tidak mengancam Islam serta umatnya.
Nabi SAW memandang berat terhadap mereka yang menyakiti kafir zimmi. Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa menzalimi kafir yang diikat perjanjian setia kepada kerajaan Islam atau mengurangkan haknya, atau membebankannya di luar keupayaannya atau diambil sedikit daripada haknya tanpa kebenarannya, maka aku menjadi pembelanya pada hari Kiamat." (Riwayat Abu Dawud)
Toleransi tanpa kompromi akidah
Islam adalah agama perdamaian dan agama toleransi. Ia bukan kata-kata kosong tetapi dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan dibuktikan secara praktikal oleh Rasulullah SAW melalui sejarah kehidupan serta perjuangan Baginda.
Perkara awal dilakukan Rasulullah SAW setiba di Madinah ialah mengadakan perjanjian dengan Yahudi. Antara inti pati perjanjian, negara Islam Madinah menghormati kepercayaan mereka, mempertahankan dari segala bentuk ancaman dan menjadikan mereka masyarakat Madinah yang akan mempertahankan setiap inci buminya.
Rasulullah SAW sendiri mempunyai jiran dalam kalangan ahli kitab yang dilayan baik oleh Baginda dengan memberikan hadiah kepada mereka, begitu juga sebaliknya mereka turut menghargainya dengan memberi Nabi SAW hadiah.
Bukankah penghinaan, ugutan serta menimbulkan bibit-bibit kebencian kepada penganut agama lain adalah sesuatu yang dicela oleh al-Quran kerana boleh mencetuskan permusuhan dan kebencian yang pasti tidak akan menguntungkan sesiapa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan." (Surah al-A'nam, ayat 108)
Atas asas toleransi inilah tamadun Islam berkembang. Orang bukan Islam dalam sejarah mereka melihat bagaimana Islam membina tamadun tanpa prejudis terhadap orang lain bahkan memberi ruang cukup luas kepada bukan Islam bersama menyumbang kepada pembinaan kemajuan dan ketamadunan dunia.
Begitulah toleransi yang dituntut tanpa kompromi berkaitan akidah dan kepercayaan. Setiap muslim wajib beriman kepada rasul di samping keimanan tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW.


Credit: Ahmad Shukri Yusoff

No comments:

Post a Comment