Wednesday, 10 June 2015

hud-hud Haiwan yang memiliki radar pengesan air



KISAH burung hud-hud (belatuk) yang memiliki ‘radar pengesan air’ tergolong dalam kategori riwayat Israiliyyat.- GAMBAR HIASAN


MENGAPA hud-Hud yang dicari? Mengapa tidak helang, pipit, gagak, merpati atau merak? Itu soalan yang selalu berlegar dalam kepala saya sejak sekian lama setiap kali membaca kisah Nabi Sulaiman as dan burung hud-hud dalam surah al-Naml.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia daripada mereka yang tidak hadir? (al-Naml: 20)

Alhamdulillah akhirnya jawapan itu saya temui setelah menelaah kitab Tafsir al-Quran. Rupa-rupanya, burung hud-hud adalah jurutera air dan dikurniakan kemahiran mencari air. Nabi Sulaiman as setelah sampai ke satu tempat bersama iringan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai spesis sangat memerlukan air. Di saat itu biasanya baginda akan memanggil burung hud-hud yang mampu terbang dan mengesan kedudukan air yang terpendam dalam bumi. (Tafsir al-Tabari)

Teori tersebut seakan dikukuhkan lagi oleh kata-kata hud-hud ketika melaporkan perihal kerosakan akidah penduduk Saba’ yang menyembah matahari yang bermaksud Hud-hud berkata: Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah dan syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, - (Mereka dihalangi oleh syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah “Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan (terpendam) dalam bumi” dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan. (al-Naml: 24-25)

Hud-hud menyebut kuasa Allah SWT yang mampu mengeluarkan benda yang terpendam dalam bumi. Dalam satu tafsiran kepada perkataan “al-hab”, Sa’id ibnu al-Musayyab menyebut ia bermaksud `air’. Oleh itu, ia agak selari dengan riwayat yang menyebut kelebihan hud-hud yang mampu mengesan air dalam bumi. (Tafsir Ibnu Kathir)

Walau bagaimanapun, kisah hud-hud yang memiliki radar pengesan air” tergolong dalam kategori riwayat Israiliyyat (riwayat bersumber daripada Ahli Kitab) yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Boleh jadi benar atau salah.
 
Oleh itu, `dakwaan’ ini ia perlu disukat dengan pembuktian saintifik. Samalah perihalnya kemampuan sesetengah haiwan yang dikurniai deria khas mampu melihat malaikat atau syaitan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila kamu mendengar kokokan ayam, maka mohonlah kepada Allah akan kurniaan-Nya kerana ayam itu telah melihat malaikat, manakala apabila kamu mendengar rengekan keldai, maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada (kejahatan) syaitan kerana keldai itu telah melihat syaitan. (Sahih al-Bukhari & Muslim)

Inilah salah satu cara laluan ilmu dibuka oleh al-Quran. Seharusnya Muslim yang membaca al-Quran berfikir hikmah dan rahsia di sebalik setiap bicara al-Quran. Tambah teguh jika teori yang dikesan di sebalik ayat al-Quran dibuktikan secara saintifik.
 
Jika beginilah gayanya interaksi umat Islam dengan al-Quran, barulah al-Quran mampu menjawab segala masalah yang mereka hadapi.


 Credit: ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ         

Sunday, 31 May 2015

Wanita Islam perlu tegas dalam berpakaian

wanita islam
MUHAYA MOHAMAD

KUALA LUMPUR 30 Mei – Wanita Islam perlu tegas dalam berpakai­an mengikut syariat biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan per­sepsi daripada pelbagai pihak ter­masuk daripada mereka yang memandang rendah kepada wa­nita bertudung.                  

Pakar motivasi, Prof. Dr. Muhaya Mohamad berkata, wanita Islam perlu menyedari bahawa berhijab adalah satu elemen penting kepada seseorang Muslim. 

“Pemakaian tudung akan menerbitkan rasa kehambaan kepada pemakainya sekali gus meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

“Tiada halangan untuk wanita Islam yang berhijab untuk berfe­syen dalam berpakaian asalkan me­reka menutup aurat dan mematuhi perkara-perkara yang ditetapkan oleh syarak,” katanya dalam program Usrah Mega di Pusat Daga­ngan Dunia Putra semalam. 

Program Usrah Mega adalah anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang diadakan bersempena Kuala Lumpur International Hijab Fair 2015 bermula sejak 28 Mei dan berakhir esok.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Yadim, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Antara topik yang dikupas sepanjang tiga hari Usrah Mega diadakan termasuk persoalan mengenai aurat, cara berpakaian wanita Muslim, keperibadian wanita dan perniagaan dalam Islam.

Monday, 16 March 2015

Gagal jawab soalan matematik, majlis perkahwinan dibatal

SEORANG gadis di India enggan berkahwin selepas bakal suaminya
SEORANG gadis di India enggan berkahwin selepas bakal suaminya gagal menjawab soalan matematik mudah. – AGENSI 

UTTAR PRADESH 14 Mac – Seorang pengantin perempuan enggan meneruskan majlis perkahwinan selepas pengantin lelaki gagal menjawab soalan matematik mudah yang diajukan oleh keluar­ganya.

Laman web Mirror.uk melaporkan, pengantin perempuan yang digelar sebagai Lovely oleh Portal Times of India itu mengajukan soalan ‘15 tambah 6 sama dengan berapa’ kepada bakal suaminya, Ram Baran selepas curiga dengan tahap pendidikan lelaki itu.

Baran kemudian dengan yakin menjawab 17, tindakan yang menyebabkan Lovely membatalkan majlis perkahwinan ber­kenaan serta-merta.

“Mana-mana murid darjah satu pasti boleh menjawab soalan itu dengan mudah. Ahli keluarga pengantin lelaki sebelum ini begitu berahsia tentang tahap pendidikan anak mereka.

“Ini satu perkara yang memalukan. Kami sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan majlis ini berjalan lancar. Tapi malangnya kami telah ditipu,” kata bapa pe­ngantin perempuan, Mohar Singh.

Polis berkata, mereka tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pengantin perempuan selepas kedua-dua buah keluarga bersetuju menyelesaikan masalah ber­kenaan dengan cara baik.

“Kes ini sudah selesai. Kedua-dua buah keluarga juga bersetuju untuk memulangkan semula barangan kemas dan segala hadiah yang telah diberi,” jelas polis ber­kenaan.


Wednesday, 11 March 2015

CENGKOK SI KUCING "KANGGARU"


 
Cengkok

Pontian: Kucing jantan milik seorang warga emas di Kampung Rambah Hulu di sini, bagaikan kanggaru kerana dilahirkan dengan dua kaki hadapan pendek tiga tahun lalu.

Sanusi Hassan, 69, berkata, kucing berkenaan hidup sihat sehingga kini. Bapa kepada enam anak hasil perkahwinannya bersama Toliah Sudir, 67, berkata, dia tidak pernah melihat kejadian itu hingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli keluarga, malah turut menarik perhatian penduduk kampung.

“Kucing itu saya namakan Cengkok. Ia pemalu dan menyembunyikan diri apabila orang tidak dikenali datang ke rumah.

“Mungkin kerana dia sedar keadaan dirinya lain daripada kucing lain. Kadang-kadang Cengkok merangkak dan menggunakan dua kaki belakang untuk berjalan seperti kanggaru,” katanya.

MENJAGA KEAMANAN NEGARA SUATU TUNTUTAN

Peristiwa pencerobohan yang dilakukan kumpulan pengganas di Lahad Datu, Sabah, pada 5 Mac tahun lalu memberi kesedaran pentingnya aspek pertahanan dalam sesebuah negara. Pertahanan dan keamanan adalah keperluan penting (maslahat dharuriyyat) bagi setiap manusia, masyarakat serta negara.

Keamanan dan keselamatan membolehkan masyarakat serta negara melaksanakan tugas ke tahap maksimum.

Ulama terkenal, Yusuf al-Qaradhawi, menyebut mengenai kepentingan dan kebajikan manusia sebagai maslahat terbahagi kepada tiga iaitu masalahat dharuriyyat, sesuatu yang diperlukan manusia dalam kehidupan. Sekiranya perkara itu tidak dijaga maka kehidupan manusia akan pincang dan tidak sempurna.

Kedua, maslahat hajaiyyat iaitu perkara diperlukan manusia untuk memudahkan perjalanan hidup mereka. Jika perkara ini tidak wujud, kehidupan tidak akan pincang, tetapi mereka berhadapan sedikit kesusahan.

Ketiga, maslahat tahsiniyyat iaitu perkara yang dinilai menepati kebiasaan manusia dan menjauhkan diri daripada perkara itu boleh mencacatkan dari segi penilaian serta adat kebiasaan.




Anggota keselamatan berkawal dalam menjaga keamanan wilayah Lahad Datu. - Gambar hiasan

Keamanan berkait rapat dengan iman

Keamanan berkait rapat dengan keimanan sebagai benteng kekuatan dalam hati untuk mencipta dan membina rasa aman serta tenteram daripada segala gangguan sama ada di dunia atau akhirat. Al-Quran mengungkapkan adanya kaitan antara aspek iman dengan rasa aman dalam kehidupan manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-An'am, ayat 82)

Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak mewujudkan keamanan serta keselamatan atas nama kepentingan agama, bangsa dan negara. Oleh itu, pentingnya kesatuan dan saling bekerjasama dalam usaha membina, mewujudkan keamanan serta keselamatan.

Iman Bukhari dalam kitab sahihnya menjelaskan keterangan yang cukup menarik mengenai sabda Rasulullah SAW berkaitan keamanan. Katanya: "Kehidupan sosial dan kemasyarakatan memerlukan pertahanan dan keamanan dan aspek itu umpama penumpang kapal (ka rukkab al-safinah). Sebahagian penumpang berada di tingkat atas, sebahagian berada di tengah dan sebahagian lagi di tingkat bawah. Apabila penumpang yang berada di tingkat bawah ingin mengambil air, mereka perlu naik ke atas dan melalui bahagian yang berada di atas mereka. Lalu terdapat fikiran dalam kalangan mereka yang ingin mengambil jalan pintas untuk mengambil air dengan cara menebuk dinding kapal, agar mudah untuk mendapatkan air. Jika idea atau fikiran itu dibiarkan sudah tentu kapal tersebut akan karam, sebaliknya jika ada dalam kalangan mereka yang menyedari dan mencegah perbuatan itu, maka sudah tentu mereka akan selamat dan kapal tidak karam."

Dalam konteks Malaysia, tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. Amanah itu telah dipikul dengan jayanya oleh kedua-dua organisasi berkenaan sejak sekian lama.

Sesebuah negara yang dikatakan kukuh dan disegani antara lain mempunyai angkatan tentera yang kuat dan mantap serta canggih dari segi persenjataan. Sebab itu perkara utama dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika menegakkan kerajaan Islam pertama di Madinah ialah membentuk jentera pertahanan.

Proses menyediakan pasukan keselamatan yang kuat, profesional dan berwibawa bukanlah sesuatu yang bersifat tabii semata-mata. Bukan bermakna disebabkan adanya musuh atau terdapat ancaman sesebuah negara itu membentuk pasukan keselamatan.

Pembentukan pasukan keselamatan dalam sesebuah negara khususnya negara yang dikuasai umat Islam adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah al-Anfal, ayat 60)

Musuh Islam tetap ada sama ada musuh itu dalam pengetahuan atau di luar pengetahuan. Allah SWT mengarahkan umat Islam sentiasa bersiap sedia dan berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan supaya mereka tidak akan dikejutkan oleh musuh yang menyerang.

Syarat berperang

Allah SWT membenarkan berperang berdasarkan beberapa syarat iaitu kerana kaum Muslimin teraniaya atau ingin mempertahankan diri, menjaga agama, kebebasan beragama terancam atau dihalang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Diizinkan berperang bagi orang Islam yang diperangi oleh penceroboh, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka mencapai kemenangan, iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang besar (mereka diusir) semata-mata berkata, Tuhan kami adalah Allah kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat pertapaan sesuatu generasi (kaum Nasrani) dan tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya. Dan sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha berkuasa." (Surah al-Hajj, ayat 39-40)

Wajar pasukan keselamatan kita menentang pencerobohan pengganas demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.




Credit: Dr Burhanuddin Jalal (UPNM)

Tuesday, 17 February 2015

Kasihnya Allah pada hambaNya

Tetapi kenapa hidupku begini! susah, sebetulnya aku ingin sekali ...Pada zaman Nabi Musa berlaku kemarau yang panjang. Nabi Musa bersama 70 ribu lain umatnya melakukan solat istisqa' iaitu solat memohon agar Allah menurunkan hujan. Tetapi hujan tetap tidak turun.

Seperti yang kita ketahui Nabi Musa as digelar dengan Kalimullah kerana boleh berbicara langsung dengan Allah. Nabi Musa berbicara dengan Allah, "Ya Rabb, Engkau selalu memperkenankan doaku."

Lalu Allah menjawab, "Antara kalian itu terdapat seseorang yang bermaksiat selama 40 tahun dan tidak pernah bertaubat."

Sejurus itu bertanya Nabi Musa kepada ummatnya "siapa antara kalian yang bermaksiat selama 40 tahun dan tidak pernah bertaubat . Diminta meninggalkan tempat ini kerana hujan tidak turun kerana orang ini "
 
Orang tersebut berasa bersalah kerana menjadi sebab hujan tidak turun. Maka berbicara dihatinya jika dia bangun meninggalkan tempat itu maka terbukalah didepan khalayak akan aib dirinya yang tersorok selama 40 tahun.

Lalu dia pun mohon agar Allah mengampunkan dosanya dan menyesal diatas dosa dosanyanya itu.

Tak lama selepas itu, hujan pun mula turun. Nabi Musa as kehairanan.
Tiada yang mengaku berbuat dosa 40 Tahun dan tiada yang meninggalkan tempat ini, tetapi Allah menurunkan hujan.

Lalu Nabi Musa bertanya kepada Allah, "Mengapa Engkau menurunkan hujan wahai Allah?"
 

Lalu, ALLAH menjawab kerana telah bertaubat orang tersebut.
Nabi Musa bertanya kepada Allah, "Bolehkah aku ingin tahu siapakah orangnya itu?"

Allah menjawab, "Selama 40 tahun Aku tidak pernah membuka aibnya, adakah Aku akan membuka aibnya setelah dia bertaubat kepadaKu?"

Thursday, 5 February 2015

Mufti larang makan ulat sagu

Sarawak ExoTiC FooD - Ulat Sagu @ Ulat MulungKUCHING – Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) mengeluarkan fatwa bahawa memakan ulat sagu atau ulat mulong adalah haram dan dilarang dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Mufti negeri, Datuk Kipli Yassin (gambar kecil) berkata, masyarakat Islam di Sarawak perlu mengetahui keputusan fatwa itu dan tidak lagi terkeliru pada masa hadapan.

Menurutnya, umat Islam juga tidak dibenarkan menjalankan upacara ‘mi­ring’ atau mengikut ritual semasa Pesta Kaul kerana ia didapati melibatkan kepercayaan yang bertentangan de­ngan ajaran Islam dan hukum syarak.

“Maksudnya di sini, orang bukan Islam tetap boleh memakan ulat sagu dan meneruskan upacara tersebut tetapi orang Islam tidak sepatutnya melibatkan diri,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Kipli memberitahu, keputusan fatwa yang melarang umat Islam memakan ulat sagu sebenarnya sudah lama diputuskan.

Katanya, dalam hukum fikah, semua jenis ulat tidak boleh dimakan kerana ia dianggap sebagai suatu yang jijik dalam Islam.

“Namun, ingin saya tegaskan bahawa kita bukan menghalang masyarakat bukan Islam memakannya. Kita tidak akan ganggu budaya mereka.

Ulat Sagu, Kuliner “Ekstrim” tapi Bergizi

“Kita ada hukum agama masing-masing dan itu yang perlu diambil perhatian serius,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, berbeza dengan ulat kejumah iaitu ulat yang hidup di dalam pokok bakau kerana ia boleh dimakan.

Katanya, masih ramai masyarakat tidak tahu keputusan fatwa membenarkan kejumah dimakan oleh orang Islam kerana ia bukan hidupan dua alam.

“Salah satu syarat makanan haram ialah umat Islam dilarang makan binatang dua alam dan ia tiada najis dan sebagainya. Hukumnya ‘harus’ dimakan,” katanya.

Ulat sagu mendapat permintaan tinggi dan dijual pada harga 50 sen seekor di Sarawak.



Credit: MULLER ASEN